Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,912
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

BAB 3 (PENGSAN)


"HANI, apa masalah kau ni? Tadi kau janji nak masuk rumah lelaki tu 15 minit aje. Tapi dah lebih setengah jam baru kau balik. Kenapa kau tukar plan? Memandai-mandai ikut kepala kau sendiri!" Bariah membebel-bebel.

Dia tidak mampu membendung amarahnya lagi. Geram benar dengan Tihani. Sebaik sahaja dia ternampak kelibat gadis itu memasuki ruang balkoni rumah sewa mereka, dia tidak menunggu lama untuk menerpa ke arah Tihani dan terus meleter.

Sejujurnya, Bariah hampir nak gila menunggu adiknya kembali sebentar tadi. Tidak terkira banyaknya dia memanggil dan menyeru nama gadis itu. Risaunya dia bagai nak mati!

"Kalau jadi apa-apa, macam mana? Kalau tiba-tiba lelaki tu balik dan nampak kau kat rumah dia, macam mana? Dibuatnya dia cuba apa-apakan kau pula, macam mana?"

Bariah menambah dengan suara yang lebih kuat. Soalan kebarangkaliannya dilemparkan bertali arus.

Tihani tidak bersuara. Sekadar diam meneruskan langkah yang dirasakan tak bermaya. Dunianya tika itu terasa benar-benar kelabu. Begitu kabur tanpa fokus yang berpaksi.

"Hani, kau dengar tak? Aku tengah bercakap dengan kau ni!" jerkah Bariah.

Dia bertambah geram bila Tihani seakan-akan tidak kisah dengan leterannya. Tihani tidak tahukah, dia sedang serius tika ini?

"Hani!!!"

Bariah menarik pergelangan tangan Tihani. Dia baru hendak melanjutkan kata-kata amarahnya, namun dia tersentak. Laman wajah Tihani dilihat pucat lesi. Malah hampir keseluruhan raut adiknya itu kebasahan kerana dilapisi titis-titis peluh yang tampak dingin.

"Kenapa dengan kau ni?" Bariah lantas bertanya.

Marahnya terhadap Tihani serta-merta lesap. Dia berasa pelik melihat tingkah adiknya yang tiba-tiba kelihatan seperti sedang ketakutan.

"Bariah... aku nampak darah. Banyak darah!"

Bariah terkejut.

"Darah? Kau nampak kat mana? Rumah orang sebelah tu ke?"

"Ada orang mati. Kaca bersepah-sepah kat lantai. Budak tu! Macam mana dengan budak tu? Kalau dia mati juga, macam mana? Aku kena selamatkan budak tu! Aku kena pergi balik kat tempat tu!"

Tihani menonong mengayun langkah, namun Bariah segera menghalang.

"Hani... pandang aku! Kau sedar tak, kat mana kau sekarang ni? Cuba cakap kat aku, apa sebenarnya yang kau nampak kat sana? Betul ke ada darah? Ada orang mati? Ada budak? Kau nampak semua tu ke?"

Tihani diburu ketakutan. Dia sekali gus menekup kedua-dua lubang telinganya. Tidak mahu bayangan suara jeritan yang sedang berkeliaran di mindanya terus berlarutan.

Bingit! Segala bunyi di sekelilingnya kini amat menggentarkan sanubari.

"Hani, janganlah macam ni. Kau buat aku takutlah! Kau sedar ke tak ni? Pandang aku sekarang!" 

Bariah menggoncang-goncang bahu adiknya. Tak tahu kenapa, dia tiba-tiba rasa ingin menangis. Apa yang patut dilakukannya? Tingkah Tihani waktu itu benar-benar menakutkannya.

Rasanya sudah terlalu lama dia tidak melihat Tihani bertingkah begitu. Kali terakhir ketika mereka masih menetap di kampung di Temerloh. Namun, kejadian itu sudah bertahun-tahun berlalu.

Sejak mereka berpindah ke Shah Alam, Tihani tidak pernah lagi dilihat meracau-racau sehinggalah malam itu, Tihani seolah-olah kembali dibayangi trauma pahit yang pernah dialami gadis itu pada masa silam.

"Aku tak patut tinggalkan budak tu, Bariah. Aku patut bawa dia sekali. Macam mana kalau mereka apa-apakan budak tu? Macam mana kalau ada apa-apa terjadi kat budak tu?" Suara gelisah Tihani kedengaran semula.

Bariah tersedar. Terus dia menatap wajah adiknya. Dia ternampak kelopak mata gadis itu yang berkaca-kaca sebelum air jernih yang penuh di juring mata, dilihat menitis jatuh ke pipi.

Jari-jemari Bariah spontan mengesat air mata Tihani yang sedang mengalir tanpa henti. Dapat dirasakan tubuh adiknya yang sejuk kedinginan dan menggeletar tanpa henti.

Tanpa sedar, Bariah sama-sama menangis menyaksikan situasi itu. Dia kemudian menarik Tihani lalu memeluk tubuh itu dengan erat. Berharap dengan cara itu, ketakutan yang dirasai gadis itu beredar pergi.

"Hani, apa sebenarnya yang kau nampak kat rumah sebelah? Apa yang kau nampak?" Bariah terus menyoal dengan suara sebak.

Tihani hanya menangis dalam pelukan kakaknya.

"Sebab tu, aku kata jangan masuk rumah dia. Tapi, kau degil. Kau tak nak dengar cakap aku. Tengok apa dah jadi?" leter Bariah dengan suara tertahan-tahan.

Tihani rasa tak berdaya untuk terus berdiri. Lututnya tiba-tiba longlai. Pada waktu sama, matanya berpinar-pinar. Fokusnya mulai hilang sedikit demi sedikit.

Akhirnya, Tihani rebah. Dunianya menjadi gelap. Segala-galanya berubah hitam.

_______

TIHANI terjaga ketika jarum jam mencecah angka 6.05 pagi. Dia bangun terpisat-pisat. Lalu mendapati dirinya sedang berbaring di atas tilam yang terbentang di ruang tamu rumah.

"Argh, kepala aku!" Dia menggerutu. Hujung kepalanya yang rasa berdenyut, dipicit-picit.

"Hani, kau dah sedar?"

Kedengaran suara Bariah yang turut bingkas di sisinya secara tiba-tiba. Tihani terperanjat.

"Bariah, kenapa kau tidur kat sini?" soalnya kehairanan.

"Aku temankan kaulah."

"Temankan aku? Kenapa? Tapi, nanti kejap! Macam mana aku boleh tertidur kat sini?"

Tihani melingaskan pandangan ke sekeliling. Dia cuba mengorek mindanya tentang perkara terakhir yang diingatinya sebelum dia melelapkan mata semalam. Namun, fikirannya kosong.

"Hani... kau tak ingat ke apa yang berlaku semalam?" Bariah merenung laman wajah adiknya.

Malam tadi sejurus Tihani rebah, dia sebenarnya bercadang mahu membawa adiknya ke hospital dan kemudian menghubungi Puan Manisah, ibu mereka di kampung. Namun, dia segera membatalkan niat.

Bariah membuat keputusan untuk membiarkan sahaja Tihani berehat di rumah. Dia tidak mahu berita berkenaan keadaan Tihani yang disampaikan kepada ibu mereka nanti membuatkan wanita itu terkejut dan kembali risau.

Mujurlah keadaan Tihani masih boleh dikawal dan tidak bertambah buruk. Bariah hanya sempat berjaga beberapa ketika untuk memerhati keadaan Tihani sehinggalah dia tidak perasan bila masa dia terlena di sisi adiknya itu.

"Semalam? Apa yang dah jadi?" Tihani berasa keliru.

"Kau ingat tak, apa yang kau nampak kat rumah sebelah?"

Tihani mengerutkan dahi. Terfikir-fikir.

"Betul kau langsung tak ingat apa-apa?"

Tihani pandang kakaknya. Tiba-tiba dia menepuk tangan.

"Ya tak ya... aku masuk rumah lelaki tu, mestilah aku ingat! Kau nak tahu tak apa yang aku nampak? Macam-macam benda pelik, Bariah. Sekarang ni, confirm ada sesuatu yang tak kena tentang lelaki tu. Kita tak boleh dekat dengan dia!" Tihani membuat kesimpulan tanpa berfikir panjang.

Bariah masih merenung raut Tihani. Renungannya dalam. Cuba mengesan sesuatu di situ. Entah kenapa, dia terasa seolah-olah Tihani sebenarnya tidak ingat apa yang telah terjadi sebelum gadis itu pengsan semalam.

"Kau tak nak tanya aku ke, apa yang buatkan aku yakin pasal lelaki tu?"

Bariah terdengar soalan Tihani.

"Apa yang buatkan kau yakin sangat?"

"Aku jumpa cecair warna merah kat dalam satu bilik. Aku suspek cecair tu darah." Tihani menceritakan.

Bariah mengetap bibir. Kata-kata Tihani dibiarkan melepasi corong telinga. Benaknya kembali dibayangi ketakutan gadis itu malam tadi.

Dia jadi tertanya-tanya. Adakah yang diracaukan oleh Tihani semalam merupakan halusinasi gadis itu semata-mata atau Tihani sememangnya berdepan dengan keadaan yang mencemaskan?

"Lepas tu ada bau busuk. Busuk sangat! Mesti lelaki tu ada buat sesuatu yang tak betul kat rumah dia. Aku dapat rasa mesti..."

"Hani... cukup!" Bariah tiba-tiba memintas.

Tihani terpaku sejenak.

"Aku nak kita lupakan pasal lelaki tu."

"Tapi kenapa?"

"Lupakan! Jangan bercerita apa-apa pun pasal dia."

"Tapi, kita patut siasat lebih dalam! Biar lelaki tu kena tangkap. Apa kata, kau dengar dulu apa yang aku nak cerita ni," desak Tihani.

"Tak! Aku dah tak nak dengar apa-apa dan aku tak nak kau terlibat lagi dalam urusan lelaki tu. Tak kisahlah apa pun yang dia buat, asalkan dia tak ganggu hidup kita... kita jangan ganggu hidup dia."

"Tapi, Bariah..."

"Cukup! Aku dah tak nak dengar apa-apa lagi. Sekarang, pergi mandi lepas tu solat. Aku pun nak bersiap-siap pergi kerja. Hari ni, kau duduk kat rumah aje. Berehat." Bariah membuat keputusan tegas.

Tihani mengerutkan dahi.

"Kenapa pulak aku kena berehat? Pagi ni, aku kena pergi pejabat pos. Ada barang nak kena hantar," ujarnya.

"Hantar esok aje."

"Aku dah janji dengan customer nak hantar barang yang dia order hari ni." Tihani memberitahu.

Bekerja sebagai personal shopper, begitulah rutin Tihani setiap kali ada barang yang ditempah oleh pelanggan. Walaupun waktu kerjanya sangat fleksibel, namun dia tetap perlu mematuhi waktu penghantaran barang dengan tepat. Dia mahu memberikan perkhidmatan terbaik demi memenuhi kepuasan pelanggannya.

"Delay sehari takkan tak boleh?" Bariah mempertikai.

"Eh, kenapa dengan kau ni? Cara kau layan aku pagi ni macam aku ni sakit pulak!"

Bariah pantas melarikan pandangan. Dia tidak bercadang mahu menceritakan apa yang terjadi semalam. Tanpa menjawab kata-kata Tihani, dia bingkas. Sempat mengangkat bantal dan selimut yang telah dilipat.

"Kalau macam tu lepas hantar barang kat pejabat pos, aku nak kau terus balik rumah. Hari ni, aku mungkin balik lambat sebab kena siapkan pentas karnival kemahiran kat sekolah. Tapi, aku akan cuba uruskan kerja aku secepat mungkin supaya dapat balik awal." Bariah akhirnya berkata.

Selepasitu, dia terus berjalan menuju ke kamarnya. Meninggalkan Tihani yang masih terpinga-pinga di atas hamparan tilam menantikan jawapannya.


[Bersambung...]


*** Harap-harap plot setakat ni menarik untuk terus dibaca. Bila hero nak muncul? Jawapannya ada di bab seterusnya! So, silalah tekan vote atau komen untuk Kak Damya rasa bersemangat nak upload next chapter. :)


Previous: Bab 2b
Next: Bab 4a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna