1
ZARUL memberhentikan kereta agak mengejut di depan bangunan
pejabatnya. Dia segera menyerahkan kunci kereta kepada pemandu syarikat, Osman
untuk membetulkan kedudukan keretanya. Osman yang saban pagi menunggu
kedatangannya, menerima kunci dengan ucapan selamat pagi. Zarul melangkah
pantas ke pintu utama. Hari ini banyak urusan syarikat yang harus diselesaikan.
Ketika memasuki lif, telefon bimbitnya berdering. Zarul menjeling telefon
bimbitnya. Hmm... perempuan gila ni nak apa cari aku pagi-pagi buta ni? Lantas Zarul tidak mahu menjawab panggilan
itu. Perempuan gila itu memang sudah cukup memeningkan kepala. Dengan tidak
menjawab panggilan itu, Zarul berharap awal paginya hari ini tidak diganggu.
Tetapi sangkaan meleset. Melangkah sahaja masuk ke bilik, satu lagi kejutan
menanti. |
“Siapa bagi bunga ni?” soal Zarul sebaik sahaja masuk ke
biliknya.
Matanya merenung jambangan bunga yang besar dan cantik di atas
meja. Setiausahanya Nadia teragak-agak untuk menjawab.
“Perempuan gila tu yang bagi, kan?” Nadia mengangguk.
Pantas Zarul mengambil bunga tersebut dan mencampakkannya ke
bakul sampah.
Nadia terkejut. “Encik Zarul!” Dia terus mengambil bunga yang
baru dibuang majikannya itu.
“Sayang! Mahal bunga ni,” ujar Nadia sambil membetulkan bunga
yang patah. “Kalau encik tak nak, saya ambillah. Boleh juga buat hiasan meja.”
Dia ketawa kecil.
Perkara ini bukan luar biasa bagi setiausaha berumur 26 tahun
itu. Malah masuk kali ini, sudah 11 kali majikannya membuang bunga ke dalam
bakul sampah.
“Bagitahu perempuan tu, dia tak boleh beli maruah saya dengan
sejambak bunga!” Lelaki itu berkata. Langsung tidak memandang wajah
setiausahanya.
Nadia mengangguk sambil memandang jambangan bunga yang
sebahagiannya tercabut dan bersepah di atas lantai.
Tiba-tiba Zarul merampas bunga itu dari tangan Nadia. “Orang gila
saja nak letak sampah atas meja.” Sekali lagi dia melemparkan bunga itu ke
dalam bakul sampah.
Nadia terpana. Keras sungguh hati lelaki di hadapannya ini.
“Nanti saya belikan awak bunga yang lain,” ujar Zarul lalu
mengarahkan Nadia keluar.
Nadia meninggalkan bilik majikannya dengan persoalan yang sama.
‘Mengapa puan bersusah payah nak pikat hati Encik Zarul semula? Kalau aku, baik
aku cari saja orang lain. Buat penat badan saja kejar bekas laki macam ni ke
sana sini!’omel hatinya.
Dia duduk di mejanya. Seketika itu juga telefon bimbitnya
berdering. Nasreen menghubunginya. Dia menjeling dan melepaskan nafas berat.
‘Mesti dia nak bertanya bekas laki dia dengan pasal bunga ni,’ rungutnya di
dalam hati.
“Assalamualaikum, Nadia.”
“Waalaikumussalam, puan.”
“Macam mana, Nadia? Dia terima bunga saya?” soal Nasreen dengan
perasaan tidak sabar. Ingin tahu reaksi bekas suaminya apabila menerima
jambangan bunga yang dihadiahkannya pagi tadi.
“Macam biasalah, puan. Puan buang duit saja beli bunga tu,” jawab
Nadia dengan tenang.
Nasreen tidak mahu mendengar hujah Nadia lama-lama. Dia terus
memutuskan talian.
“Marahlah tu,” rungut Nadia sambil meletakkan semula telefon
bimbitnya di sisi. Belum sempat dia memulakan tugas, Zarul keluar dari biliknya
membawa briefcasedan sekeping fail.
Nadia bingkas bangun.
“Saya tak masuk hari ni. Mesyuarat sampai petang. Kalau perempuan
tu datang, pastikan dia tak masuk ke bilik saya.” Zarul memberi arahan.
Nadia hanya mengangguk. Dia menghantar majikannya dengan
pandangan sehingga Zarul keluar. ‘Kesian Encik Zarul. Sejak bercerai dengan
puan, hidup dia macam tak tenang. Tiba-tiba saja puan nak pikat dia balik? Apa
hal?’
Zarul melangkah terus ke lif dengan hati yang kian membengkak.
Apalagi perempuan tu hendak dari aku? Tak faham bahasa agaknya? Susah nak
berurusan dengan orang gila talak ni!
ZARUL melangkah masuk ke dalam lif. Hanya
beberapa saat selepas itu, dia sudah sampai ke lobi. Langkahnya pantas menuju
ke pintu utama. Mesyuarat akan bermula jam 10.00 pagi. Masih ada satu jam lagi.
Dia tidak mahu menjadi orang terakhir tiba ke bilik mesyuarat. Harap-harap
perjalanan ke Bank Permata berjalan lancar.
“Sayang!” Panggilan manja yang sangat dikenali itu membuatkan
Zarul terkejut.
“Sayang! I nak bercakap dengan you. Sekejap saja. Please…”
Zarul tidak menoleh langsung ke arah bekas isteri yang sedang
mengekorinya. Apa lagi yang perempuan ini hendak daripadanya? Yang lepas,
lepaslah!
“Zarul! I ada benda penting nak bagitahu you! I cuma perlukan
lima minit!” Nasreen terus mengejar bekas suaminya. Tidak menghiraukan
pandangan orang sekeliling.
Zarul tidak hirau langsung rayuan Nasreen. Apa yang dia hendak
bincang dalam masa lima minit? Selama dua tahun ini, pelbagai pekara yang
mereka bincangkan, tetapi semuanya berakhir dengan pertengkaran dan pergaduhan.
Baginya, bercerai tetap bercerai. Tidak ada lagi perbincangan selepas mahkamah
mengesahkan perceraian talak satu.
“Susahlah I nak bercakap dengan you.” Tiba-tiba Nasreen memekik
di belakang Zarul. Dia tetap mengejar bekas suaminya itu hingga ke basement.
Namun, Zarul langsung tidak mempedulikannya.
Zarul masuk ke dalam kereta lalu menghempas pintu dan terus
menghidupkan enjin kereta. Nasreen sempat menendang bahagian belakang kereta sekuat hati melepaskan geram sebelum
kereta Zarul meluncur pergi.
“Zarul!!”