Home Novel Cinta Seribu Tahun
Seribu Tahun
DoubleEtch
15/6/2021 01:05:46
7,387
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

Dia mengeluarkan sekeping gambar dari dalam dompetnya. Matanya terpancang pada gambar itu. Tersenyum dia mengenang sesuatu.

“Wah,termenung nampaknya tuan…kan kita dah selesai di sini?” tegur Sarjan Farhan,menyedarkannya kembali ke alam nyata. Farhan pemuda hampir sebayanya, sedang mengurut kaki yang pastinya sedang kesakitan. “Senyum sorang-sorang ni bahaya…”

“Ada yang banyak aku belum selesaikan…” jawab Azka. Dia mengalih pandangan ke wajah Farhan.Farhan, teman karibnya, juga adalah salah seorang renjer bertugas yang telah sama-sama berjuang dengannya mempertahankan maruah bangsa dan negara dalam banyak serangan menentang petualang negara. Begitu juga dengan apa yang terjadi awal pagi tadi.

“Kekasih?”tanya  Farhan.

Azka terdiam seketika.

Benarkahitu kekasih atau dia hanya sendirian mengejar bayang-bayang yang tidak pasti?

Pertemuan kali terakhir mereka di stesen keretapi di Gemas ketika keretapinya ke pantai timur sampai tepat pada masa keretapi ke selatan singgah di platform bersebelahan di situ.  Dalam keadaan suram malam, dia tidak dapat mempercayai bagaimana takdir telah menemukan dia kembali dengan wajah itu.

Pertemuan itu memberikannya harapan bahawa impian mampu jadi kenyataan. 

“Suraya,awak… adalah perkara paling indah yang saya simpan di dalam hati saya,” dengan gugup dan rasa gementar dia berjaya menuturkannya. Dia telah melatih dirinya berkali-kali untuk menutur perkataan-perkataan itu demi membuktikan yang dia bukan berpura-pura.  Dan inilah saat yang sekian lama hanya pernah dibayangkan dalam mimpi. Tak disangka ia jadi kenyataan pada ketika dia menyangka perempuan itu sudah hilang begitu lama dari hidupnya.Dia tidak mahu terlepas lagi, sebagaimana mereka terpisah untuk beberapa tahun yang lalu.

“Sudikah Suraya menjadi teman hidup saya?” kata-kata itu terhambur juga dalam dia tertahan-tahan.Ini bukanlah tempat terbaik untuk melafazkan ikrar sedemikian namun, dia tidak pasti bila saatnya lagi takdir akan menemukan mereka lagi jika dia menunda-nundanya.

Senyuman yang terukir dibibir gadis itu menjadikan dia lebih yakin untuk meneruskan langkahnya.

            Perempuan itu kelihatan sedikit tersentak namun tidak segera menjawab, bagaikan ada sesuatu yang menjadi beban yang amat berat dalamjiwanya.

“Tapi,saya mahu capai impian saya dulu…” balas gadis itu lembut.

Tidak menolak lamarannya, jika itu boleh dipanggil lamaran, sudah cukup meredakan debarnya.

            “Apa impian paling utama Suraya?” tanyanya, matanya meneliti wajah persis bulan purnama itu dengan penuh cinta.

Memandangnya sahaja sudah cukup membahagiakan, tak terbayangkan dia keindahan sekiranya mampu memiliki gadis itu sepanjang hayatnya.

            “Saya mahu bahagiakan keluarga saya dan hantar ibu bapa saya ke Mekah…” jawab gadis itu sambil tersenyum. “Sanggupkah Azka menunggu?”

“Seribu tahun sekali pun tak lama, jika pada akhirnya Suraya terima saya…” ungkap Azka penuh harapan.

Gadisitu tunduk seketika. Mungkin enggan mempercayai hiperbola yang diucapkan Azka.

“Keretapi sudah sampai, maafkan saya Azka,” katanya lembut.

“Sepulangnya saya ke kampung nanti, akan saya hantar wakil untuk bertemu keluarga Suraya…” Azka mengukir janji.

Suraya tersenyum manis, dan tunduk malu.

Kata orang, itu lah penanda yang perempuan itu setuju, fikir Azka dalam debar.

Suraya melangkah ke arah pintu gerabak keretapi. Matanya mengekori arah pergerakan gadis itu. Langkahnya kaku enggan berganjak di platform dekat gerabak keretapi yang menghala ke selatan itu.

Surayakembali duduk di kerusinya, tersenyum manis memandang Azka, menerusi tingkap gerabak keretapi itu.

Bunyi siren keretapi sayup memecahkan kelam malam. Tak lama selepas itu, dengan longlai Suraya melambainya ketika keretapi malam itu meluncur pergi.

Bayangan itu tak mungkin luput dari ingatannya. 


/to be continued

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DoubleEtch