Home Novel Cinta PELANGI
PELANGI
Zahra Darina
9/4/2022 13:44:28
6,740
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

GURUH berdentum mengejutkannya dari lenanya.Matanya terbeliak memandang siling biliknya. Dia bingkas bangun. Seluruh badannya berpeluh. Mimpi ngeri selalu hadir di dalam tidurnya hampir setiap malam sejak  remaja sehinggalah dia meningkat dewasa. Kelihatan seorang wanita yang sedang berlari sambil menggendong bayinya sering kali hadir di dalam mimpinya. Kelihatan juga seorang lelaki sedang mengejar wanita itu dan akhirnya melepaskan das tembakan ke arah wanita itu. Dia hairan kenapa sering bermimpi tentang wanita itu. Apakah petandanya?

            Dia mula melangkah ke muka pintu bilik. Niatnya hendak ke dapur untuk mengambil minuman. Tekaknya terasa kering. Dia ingin membasahi tekaknya.

            “Zara!”  Terdengar suara kakaknya, Zahira menegurnya dari belakang saat dia hendak melangkah turun ke tingkat bawah untuk ke dapur.     Dia segera berpaling ke arah kakaknya yang sedang berdiri di muka pintu bilik.

            “Esok pagi aku nak keluar dengan Tengku Rayyan seorang saja. Kau tak perlu ikut sekali walaupun ibu minta kau ikut. Kau boleh ja tolak dan bagitau apa saja alasan kat ibu.” Arah Zahira.

            “Baiklah kak.” Zara segera melangkah untuk turun ke dapur dengan wajah muram.

            “Macamtu saja dia jawab? Melampau budak ni. Dahlah cuma anak angkat tetapi tak sedar diri. Kenapalah mak sayang sangat kat dia?” Zahira mula melangkah ke muka pintu dan menolak pintu biliknya dengan wajah masam mencuka.

 

 

SEAWAL pagi dia menyediakan sarapan untuk ibu bapanya dan juga kakaknya, Zahira. Dia mula teringat saat dia masih berusia 10 tahun. Ibu bapanya ini datang ke rumah anak yatim dengan niat untuk menjadikannya sebagai anak angkat. Mereka menjaganya bagai menatang minyak yang penuh. Dia amat terhutang budi kepada mereka. Dia mahu membalas budi mereka yang telah menjaganya sehingga dia meningkat dewasa.

            “Sedapnya bau.” Kedengaran suara ibunya menegur dari belakang saat dia fokus memasak sambal ayam untuk dimakan bersama nasi tumis.

            “Eh, Mama. Sejak bila  ada kat belakang Zara?” Zara tersenyum memandang ibunya yang sedang mendekatinya.

            “Zara masak sambal ayam ke?” Soal Ibunya, Puan Ziela.

            “Ya, Ma. Sambal ayam dengan nasi tumis.” Jawab Zara.

            “Sedapnya. Pandai dan rajin anak Mama masak.” Puji Puan Ziela.

            “Biasa ja,  Mana boleh lawan dengan masakan Mama.” Ujar Zara sambil tersenyum.

            “Pagi ni, Tengku Rayyan akan datang ambil Zara dan Zahira kan?” Soal Puan Ziela sambil melabuhkan punggung di kerusi.

            “Ya, tapi Zara tak ikut sekali sebab Zara ada hal kat luar. Kebetulan Zara nak jumpa kawan Zara, Husna.” Ujar Zara. Dia berasa sedih sebenarnya kerana tidak dapat keluar dengan Tengku Rayyan. Oleh kerana itu permintaan kakaknya semalam, maka dia turuti. Walaupun kakaknya membenci kerana dia hanya anak angkat, namun dia tidak pernah membenci kakaknya.

            “Mana boleh macam tu. Zara kena ikut sekali juga. Lain kali lah keluar dengan Husna.”Arah Puan Ziela.

            “Takpa, Ma. Lagipun Zara dah janji dengan Husna untuk berjumpa pagi ni.”  Terang Zara.

            Puan Ziela hanya memandang Zara dengan pandangan sedih. Dia berharap sangat Zara dapat keluar dengan Tengku Rayyan. Dia sebenarnya merancang untuk menjodohkan Zara dengan Tengku Rayyan. Disebabkan itu, dia ingin Zara keluar dengan Tengku Rayyan dan ditemani Zahira untuk mengenali hati budi masing-masing. Dia tidak menyangka bahawa rancangannya tidak menjadi hari ini.

 

 

SEBUAH Kereta Honda Civic berwarna hitam memasuki pekarangan rumah Banglo dua tingkat yang tersergam indah. Dia segera mematikan enjin sebelum keluar dari keretanya.

            “Assalamualaikum,auntie.” Tengku Rayyan memberi salam kepada Puan Ziela.

            “Waalaikumussalam,Rayyan.” Jawab Puan Ziela yang sedang berdiri di muka pintu utama sambil tersenyum. 

            “Masuklah! Kita sarapan dulu.” Pelawa Puan Ziela.

            “Tak payah susah-susah, auntie. Lagipun Rayyan nak minta izin untuk bawa Zara sarapan di luar.” Tengku Rayyan tersenyum sambil menyampaikan hasratnya.

            Puan Ziela tersenyum sebentar sebelum bersuara.

            “Cuma,Zara dah...”

            “Hai,Rayyan. Baru sampai ke?” Soal Zahira setelah muncul secara mengejut di muka pintu. Bicara Puan Ziela tergantung gara-gara Zahira yang tiba-tiba bersuara.

          “Ya, baru sampai. Zara mana?” Soal Tengku Rayyan pula.

         “Kenapa tanya Zara pula ni? Saya kan ada di depan mata awak?” Zahira kelihatan tidak berpuas hati terhadap soalan Tengku Rayyan.      

          “ Zahira!” Puan Ziela membulatkan mata memandang Zahira.

         “Maaf Rayyan, Zara keluar berjumpa dengan kawannya Husna. Nampak gayanya Rayyan keluar bersama Zahira sajalah.” Terang Puan Ziela sambil tersenyum memandang Tengku Rayyan.

       “Baiklah Auntie, Rayyan minta diri dulu ya.” Tengku Rayyan segera berpaling dan melangkah ke arah keretanya dengan wajah muram.

      “Jom Ma, Ira pergi dulu ya.” Setelah bersalaman dengan ibunya, Zahira segera melangkah ke kereta Tengku Rayyan. Dalam hatinya terasa amat gembira kerana berjaya keluar bersama Tengku Rayyan pada pagi ini.

 

 


ZAHIRA menoleh ke kanan melihat Tengku Rayyan yang sedang fokus memandu. Sejak awal pemanduan sehinggalah sekarang, Tengku Rayyan tidak memulakan sebarang bicara. Zahira dah mula bosan. Dia mula mendengus.

            Tengku Rayyan perasan akan riak wajah Zahira. Dia kenal benar sikap Zahira. Namun dia biarkan sahaja kerana dia malas melayan karenah Zahira. Nanti boleh mengundang pergaduhan. Sikap Zahira amat berbeza dengan Zara. Dia lebih selesa berbual dengan Zara berbanding Zahira. Zara mudah untuk berbincang manakala Zahira mudah memberontak.

            “Rayyan,awak sengaja kan?” Zahira mula bersuara apabila dirinya tidak tahan sejak tadi kerana diabaikan oleh Tengku Rayyan.

            “Sengaja apa?” Soal Tengku Rayyan berpura-pura tidak mengerti.

            “Awak tanya saya balik?” Zahira mula bengang. Dia tidak menyangka pertemuan dia dengan Tengku Rayyan kali ni tidak seindah yang dia harapkan.

            “Awak ni kenapa? Bunyi macam marah ja?” Tengku Rayyan masih berpura-pura tidak mengerti.

            “Oh!!!kalau Zara ada, bukan main rancak lagi awak sembang kan? Kalau saya seorang ja ada, awak tak buka mulut langsung kan?” Zahira mula berang.

            “Kenapa tiba-tiba angin satu badan ni? Lepas tu kaitkan dengan Zara pula.” Tengku Rayyan masih dalam keadaan tenang melayan karenah Zahira.

            “Ye la, awak tak cakap langsung dengan saya sejak tadi lagi. Mana saya tak marah.” Jawab Zahira.

            “Lah, saya kan tengah memandu. Nak cakap apa saja topik, dekat restoran nanti kita cakap puas-puas nah.”  Tengku Rayyan mula tersenyum melihat gelagat Zahira.

Zahira merupakan seorang kakak kepada Zara, tetapi sikapnya tidak melambangkan  sebagai seorang kakak. Tengku Rayyan lebih suka sikap Zara yang jauh lebih matang. Dia lebih selesa berbual dengan Zara. Sudah empat bulan dia tidak berjumpa Zara kerana sibuk dengan urusan kerja di luar negara. Hari ini dia berharap sangat dapat berjumpa dan berbual dengan Zara, namun lain yang terjadi. Dia terpaksa berhadapan dengan Zahira yang agak annoying.

           

 


ZAHIRA benar-benar berang kali ini. Dalam banyak-banyak restoran, kenapa juga Zara harus datang ke restoran yang sama untuk berjumpa rakannya, Husna. Ganggu betullah. Tak pasal-pasal Tengku Rayyan mengajak mereka berdua untuk sarapan sekali. Balik nanti kau siaplah Zara!

            “Zahira,kenapa tak makan? Makanan kan dah ada di depan mata. Kenapa biar macam tu ja?” Soal Tengku Rayyan sambil memerhati gelagat Zahira yang duduk di sebelahnya sebelum menoleh ke hadapan melihat Zara. Dia terpegun melihat perubahan pada Zara setelah empat bulan tidak berjumpa. Zara dah mula berhijab. Sejuk mata memandang. Tengku Rayyan tersenyum sendirian ketika memandang Zara.

            Zahira yang sedang menunduk muram sambil menguis-guis makanan dengan sudu dan garfu mula mengangkat muka menoleh ke arah Tengku Rayyan. Dia sudah tidak tahan lagi.Tengku Rayyan asyik memandang Zara sambil tersenyum. Dirinya pula seolah-olah tidak wujud di situ. Zahira segera meletakkan sudu dan garfu dengan kasar. Tindakannya mengejutkan Tengku Rayyan yang asyik memandang Zara. Begitu juga Zara dan Husna yang turut terkejut akan tindakan Zahira.

            “Saya nak baliklah!” Zahira segera bangun dari kerusi lalu bergegas ke luar dari restoran tersebut. Tengku Rayyan, Zara dan Husna terpinga-pinga melihat kelakuan Zahira. Zara tahu dialah punca kakaknya Zahira segera mengangkat kaki meninggalkan mereka. Sepatutnya dia menolak ajakan Tengku Rayyan untuk sarapan sekali. Ini semua salahnya.

            “Sekejap ye, Zara, Husna.”  Tengku Rayyan segera bangun untuk mengekori Zahira. Dia berasa bersalah pula terhadap Zahira. Takkan sesekali dia biarkan Zahira balik seorang diri. Sepertimana dia mengambil Zahira dari rumahnya, seperti itu jugalah dia harus menghantar pulang Zahira ke rumahnya.

            “Zahira!”Tengku Rayyan segera menjerit memanggil Zahira setelah keluar dari pintu restoran tersebut. Namun kelibat Zahira tidak kelihatan. Tengku Rayyan jadi cemas. Cepatnya Zahira menghilang. Seminit kemudian dia masuk semula ke dalam restoran tadi.

            Sebaik sahaja Tengku Rayyan duduk semula di kerusi di hadapan Zara dan Husna, Zara terus menyoal Tengku Rayyan.

            “Kak Zahira dah balik ke?” Zara benar-benar rasa bersalah. Gara-gara  dialah,kakaknya bergegas balik.

            “Rasanya dah balik. Dia tak ada di luar pun setelah abang keluar. Takpa, Zara dan Husna makan dulu. Nanti Abang akan hantar Zara dan Husna balik ke rumah.” Tengku Rayyan mula muram. Dia benar-benar berasa bersalah. Dia tidak sepatutnya abaikan Zahira.

 


ZAHIRA menutup pintu biliknya dengan kuat. Segala persoalan daripada ibunya langsung tidak dijawab ketika dia melangkah masuk kedalam rumah sebentar tadi. Puan Ziela yang berada di tingkat bawah sekadar istighfar setelah mendengar pintu bilik Zahira ditutup dengan kuat. Zahira hanyut dengan kemarahannya terhadap Zara. Dia menunggu saja saat Zara pulang ke rumah. Dia perlu membuat perhitungan dengan adiknya, Zara.

 

 

 

 

 

 

 

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina