“Bila majlis perkahwinan kamu berdua?” tanya Hazriq.
“Dalam masa dua bulan lagi,” jawabku. “Jemputlah datang.”
Aku menghulurkan kad undangan kepadanya. Rasanya memang tidak salah kalau aku jemput dia. Hazriq membaca seraya mengangguk.
“InsyaAllah. Kalau tak ada apa- apa hal saya akan datang.”
“Bawalah sekali teman wanita dan keluarga awak. Saya jemput mereka semua juga,” kataku.
“InsyaAllah,” balas Hazriq.
Selepas itu Hazriq lebih banyak berbual dengan Furqan. Aku mengambil kesempatan untuk melihat- lihat sekeliling kafe yang kini sesak dengan pengunjung yang ingin makan tengah hari.
“Kereta awak rosak apa sebenarnya malam tu?” Tiba- tiba Hazriq bertanya kepadaku.
“Entahlah, saya pun tak pasti,” jawabku.
“Awak tak tanya mekanik?” tanya Furqan, tidak bepuas- hati dengan sikapku.
Aku menjungkit bahu. “Tanya tapi saya tetap tak faham.”
“Macam mana kalau dia tipu awak, awak tak tahu pun,” komen Furqan.
“Tapi saya memang tak faham, saya nak buat macam mana?” soalku.
Furqan menarik muka, ingin memprotes jawapanku. Tetapi dia tidak jadi berkata apa- apa apabila sedar Hazriq sedang melihat.
“Saya kenal selalu juga ke bengkel tu. Owner dia memang baik dan boleh dipercayai.Insya Allah, saya yakin dia tak akan tipu awak,” kata Hazriq, tiba- tiba mencelah.
“Awak kenal dia?” tanyaku.
“Ya. Saya tinggal pun dekat kawasan tu juga. Jadi saya memang pernah pergi bengkel dia beberapa kali. Uncle tu memang baik,” jelas Hazriq.
Furqan tidak memberi komen. Pasti masih ada yang tidak puas di hatinya. Aku membisu,enggan terus bergaduh. Apatah lagi Hazriq ada dengan kami sekarang. Makanan pula sampai pada masa itu, jadi masing- masing tidak lagi banyak berbual seperti tadi.
Selesai makan, Hazriq minta diri. Katanya dia perlu singgah ke pejabat untuk serahkan dokumen. Furqan pula menghantarku pulang ke pejabat.
“Awak macam dah lama kenal dia?” komen Furqan.
“Saya baru kenal dia hari tu,” balasku.
“Macam mana awak tahu dia ada girlfriend?” tanya Furqan.
Tak mungkin aku akan ceritakan bagaimana aku sebenarnya boleh tahu!
“Kami pernah berbual,” jawabku samar- samar.
“Hmm…macam tu,” kata Furqan.
Kami kemudian membisu hingga sampai di hadapan bangunan pejabatku.
“Jangan lupa pergi butik. Jangan lupa balik jumpa aunty juga. Nanti dia telefon lagi,” pesanku kepada Furqan.
Lelaki itu tidak membalas, hanya menggangguk. Dia kemudiannya berlalu tanpa berkata apa- apa. Aku termangu merenung dia pergi. Kenapa dengan dia? Apa yang tidak kena sebenarnya?
Memandangkan Furqan laksanakan juga semua pesanan aku, jadi tidak ada rungutan lagi selepas itu. Aku anggap sikap murungnya itu ialah kerana tekanan. Mungkin dia banyak berfikir tentang perkahwinan kami nanti.
Hari ini aku merayau dengan Dyana untuk mencari sesuatu yang boleh ditambah kepada hadiah untuk tetamu yang datang nanti. Jarang Dyana dapat menemani aku, jadi aku sangat teruja apabila dia bersetuju tadi. Tapi sejak datang, wajahnya murung dan banyak mendiamkan diri.
“Tak sihatkah?” tanyaku pada Dyana apabila dia tidak memberi tumpuan pada perbualan kami.
“Tak adalah,” jawab Dyana.
“Habis kenapa diam dari tadi? Pelik kakak tengok kamu,” komenku.
“Adik penat kak. Kerja banyak sekarang. Cuti pun kurang,” jawab Dyana.
“Yakah? Dah penat kenapa datang juga? Berehatlah di rumah.”
Dyana mengukir senyuman kecil. “Tak apalah kak. Adik tak tolong kakak sangat pun untuk majlis kakak nanti.”
“Alah, hal kecillah.”
“Tak apalah. Jom, kak! Lagipun kita kena balik cepat. Nanti ibu berleter pula,” kata Dyana, memaut lenganku.
Betul juga. Malam ini keluarga aku dan Furqan akan makan malam bersama. Kami perlu pulang awal untuk menolong ibu memasak nanti.
“Abang Furqan datang jugakah?” tanya Dyana tiba- tiba.
“Entahlah. Dia cakap dia ada di Johor sekarang. Tapi dia cakap dia akan cuba balik untuk makan malam dengan kita,” jelasku.
Dyana hanya bergumam membalas. Raut wajahnya nampak sedikit kecewa. Dia hendak berjumpa dengan Furqankah? Sebab itukah dia bertanya?
Tapi kenapa?
“Adik tak tanya dia sendirikah?” tanyaku.
“Kami dah lama tak bercakap. Selepas game di Terengganu hari tu, adik dah tak main bowling lagi. Jadi tak ada sebab untuk berbual macam dulu,” jelas Dyana.
Jadi mereka dah tak berhubung. Mungkin aku tak patut tunjukkan pada Dyana yang aku rasa gembira dengan berita itu. Aku akui aku memang rasa cemburu apabila mereka rapat tempoh hari. Walaupun aku tahu mereka tidak akan mengkhianati aku tapi aku tetap rasa risau. Tapi semua itu sudah berlalu.
Tapi…apa boleh buat? Aku memang tersenyum lebar sekarang.
“Kenapa kakak tersenyum macam tu?” tanya Dyana.
“Tak ada apa, kakak seronok berjalan- jalan dengan kamu macam ni,” jawabku.
“Kakak nak beli apa lagi?” tanya Dyana.
“Aiskrim.”
“Huh?” Dyana kelihatan terpinga- pinga.
“Kakak tiba- tiba rasa nak makan aiskrim. Vanilla. Coklat cair. Tabur kacang di atas.”
Dyana tergelak. “Mana nak cari tu?”
“Jom!” Aku menarik tangan Dyana. “Tak pun kita boleh cuba aiskrim Turki yang glamour tu. Mari kita lawan tarik- tarik dengan dia!”
Dyana hanya tersenyum mengikut. Persiapan untuk majlis perkahwinanku berjalan lancar. Aku akan menjadi isteri Furqan dalam tempoh tidak sampai dua bulan saja lagi. Segalanya menjadi seperti apa yang aku mahukan. Terasa bagaikan dunia ini aku yang punya. Malah rasa bahagiaku memang melimpah ruah sekarang.
Jadi bagaimana aku tidak boleh tersenyum lebar?