Home Novel Cinta SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
Sayhazs Zailie
19/8/2017 17:44:25
104,249
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21


*TQ Portal Ilham for created this lovely cover...


KEDIAMAN Encik Izzuddin tampak ‘hidup’ malam minggu itu. Rumah terang meriah dilimpahi cahaya lampu. Deretan kereta tersusun di garaj berbaris penuh. Halaman depan turut terlihat sibuk. Ditambah lagi suara-suara yang kedengaran riuh.

“Dah siap bakar semua, long?” Puan Qarina bertanya saat melangkah keluar. Tangan sambil itu menatang bekas makanan bersama Iman dan Irma. Irish serta kakak iparnya, Safiya muncul di belakang sejurus kemudian.

“Belum lagi, umi. Nak habiskan ikan, udang dengan sotong ni!” laung Izzul sederhana kuat di sudut penjuru halaman. Tangan terus menguis-nguis arang dengan penyepit. Sebelah tangan lagi tak henti melayang kipas untuk pastikan bara tetap menyala. Nasib baik ada dua set pembakar. Lajulah sikit dia dengan adik-adik dan ipar-iparnya buat kerja.

“Banyak lagi ke yang nak dibakar tu?” suara Encik Izzuddin kemudian menyampuk.

“Sikit lagi habislah ni, yah. Kejap lagi dah boleh makan,” balas Izzul lagi.

“Ha, tak apalah. Pelan-pelan buat tu. Tak payah gopoh-gopoh. Kang lain yang nak dibakar, lain pulak yang terbakar!”

Serta-merta laman bingar dengan deraian tawa mereka.

“Apa pulak yang terbakar tu, bang?”

“Apa-apa yang ada kat sinilah, Ina. Rumah, pokok, kereta. Silap-silap dengan orang pun terbakar sama!”

“Isk, abang ni! Janganlah disebut-sebut!”

“Abang bagi contoh. Dah Ina jugak tadi yang tanya, kan.”

“Yelah, abangnya! Minta dijauhkanlah!” tingkah Puan Qarina.

Hidangan-hidangan yang dibawa dari dapur tadi disusun atas meja bersama ayam, daging, kambing, sosej yang sudah siap dibakar. Selesai semua, wanita itu menapak ke bangku di laman. Melabuh duduk bersebelahan suami bersama anak menantunya.

“Baik-baik main tu cucu-cucu atuk!” Encik Izzuddin berteriak pada

“Subhanallah. Malam ni umi rasa seronok sangat.”

“Amboi! Apa yang seronok sangat tu, umi?” soal Iman yang duduk tidak jauh.

“Yelah. Seronok dapat berkumpul ramai-ramai macam ni.”

“Tapi selalu juga kita berkumpul macam ni kan, umi.”

“Memanglah, ngah. Tapi malam ni rasa lain sikit. Anak, menantu, cucu umi semua balik. Tak ada yang tertinggal pun. Kan, bang?”

Encik Izzuddin mengangguk. “Yelah. Biasa Harrys dengan Irish tak ada sama. Malam ni alhamdulillah... rezeki kita dapat berkumpul satu keluarga.”

“Syukur alhamdulillah, bang. Tercapai jugak hajat kita, ya.”

“Itulah, na. Tercapai hajat berkumpul tu satu. Dapat buat tahlil sikit lepas isyak tadi pun satu juga. Cuma hajat yang satu lagi tu tak tahulah dah terlunas ke belum.”

“Hajat apa pula tu, ayah?” Irma cepat-cepat mencelah.

“Hajat umi lepaskan rindu pada kamu orang semualah. Ni... ayah ni. Tiap malam ayah yang kena tadah telinga dengar luahan hati umi rindukan anak menantu cucunya, tau!”

“Alah. Tak apalah, yah. Umi nak bermanja dengan ayah tu!” seloroh Safiya.

“Hmm... yelah. Tapi tiap kali tu jugalah ayah kena pujuk umi. Nasib baik, cair. Nasib tak baik, jalan!”

“Isk, apa abang ni! Malulah kat depan anak menantu!” gumam Puan Qarina seraya menepuk lengan suaminya. Berderai tawa Iman, Irma, Irish dan Safiya yang duduk mengelilingi orang tua mereka.

“Tapi yang paling umi rindu mestilah Irish, kan umi? Kan? Kan?”

“Eh... tak adalah, Kak Lang.” Segera Irish menyangkal.

“Mestilah! Lepas Kak Ngah dengan Kak Lang kahwin, Irish yang selalu ada dengan Umi, temankan umi, tolong umi masak buat kerja rumah semua. Tapi sekarang Irish pun dah berumahtangga. Sedikit sebanyak mesti umi terkesan, kan.”

“Dengan semua anak-anak pun umi rindu, lang. Kau orang semua kan darah daging umi. Umi yang mengandungkan sembilan bulan. Bila berjauhan, mestilah umi akan terasa. Tapi ada betul juganya cakap alang. Sejak Irish tak ada ni, umi rasa lagi sunyi. ”

SeeI told you already!”

Mendengar itu, Irish terus meraih jemari Puan Qarina di sebelahnya. Dia sedar kepergiannya dari rumah ini telah meninggalkan kesan pada wanita separuh umur itu.

“Maafkan Irish, umi.”

“Eh, kenapa Irish nak minta maaf pula? Bukan Irish buat salah apapun.”

“Sejak pulang dari UK, baru hari ni Irish balik.”

“Alah. Irish dengan Harrys sibuk kerja, kan. Dah lama sangat pergi oversea tu. Dah tentu kerja melambak kat pejabat. Umi faham.”

“Tapi Irish dah buat umi sedih. Buat umi sunyi.”

“Irish dah kahwin, nak. Dah ada tanggungjawab. Nak tak nak, umi kena hadap satu hari nanti anak-anak akan keluar juga dari rumah ni.”

“Betul kata umi tu. Irish dah berumahtangga sekarang. Dah bersuami. Dah jadi milik Harrys. Harrys yang utama sekarang. Irish kena jalankan tugas sebagai seorang isteri sebaik-baiknya. Tentang umi tak payahlah risau. Ayah masih ada. Adik-adik pun ada.

Cuma... baliklah ke sini jenguk kami bila ada waktu terluang. Ayah tak apa, masih boleh tahan. Umi kamu ni ha... takut satu rumah ni banjir karang! Tanggung rindu punya pasal!”

“Abang!” Sekali lagi lengan Encik Izzuddin jadi sasaran.

“Walaupun Irish dah kahwin, Irish tetap anak ayah dengan umi. Sampai bila-bila pun hubungan tu takkan putus. Insya-ALLAH, Irish akan cuba balik sini selalu.”

“Irish seorang aje ke umi rindu? Dengan Harrys, umi tak rindu?” sampuk Iman.

“Rindu. Dengan semua anak menantu cucu umi rindu. Sebab tu umi rasa teruja sangat dapat berkumpul malam ni. Terima kasih anak-anak umi sebab tunaikan hajat umi. Terima kasih juga Irish sebab balik jenguk kami.”

Senyuman manis serentak terpancar di wajah Irish. Genggaman pada tangan Puan Qarina turut digenggam seerat habis.

‘Bukan terima kasih pada Irish, umi. Tapi Harrys. Sebab dia yang sungguh-sungguh nak balik ke sini.’ Ucap Irish. Bukan di lisan, sebaliknya dalam hati.

Serentak itu matanya menyoroti figura tersebut. Dalam kelompok kaum lelaki yang masih membakar, matanya menangkap raut Tengku Harrys yang begitu rancak bersembang bersama yang lain. Tak kekok lansung. Senyum pun tak putus-putus terlakar di bibir.

“Rumah Irish dah macam rumah Harrys. Keluarga Irish dah jadi keluarga Harrys sendiri. Everything yours, already be mine. Jadi tak ada alasan untuk Harrys rasa janggal, tak selesa or whatsoever.”

Kata-kata itu bermain kembali di tabir minda. Nampaknya malam ini lelaki tersebut sudah buktikan segala-galanya depan mata.


KORNEA hitamnya tertumpu pada sekumpulan kanak-kanak yang duduk di bangku halaman. Penat bermain di mini playground, perut pun dah kenyang lepas makan malam, sekarang mereka bermain dam pula. Ada yang main dam ular, main dam haji, dam kapal terbang. Permainan tradisi yang masih dikekalkan.

Satu-persatu wajah anak buahnya Irish pandang. Dari anak-anak Izzul... Alief Qusyairi, Aliefa Qismina, Alief Qhuarizmie. Kemudian anak-anak Iman... Alief Rafiqin, Aliefa Rihana dan Aliefa Rizwana. Akhir sekali pada anak-anak Irma... Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.

Inilah buah-buah hati pengarang jantungnya. Tempat dia mencurah kasih menumpang manja. Sekejap saja mereka dah besar. Namun manja padanya masih kekal sama.

“Jauhnya mengelamun.”

Suara yang muncul tiba-tiba di sebelah mengejutkan Irish. Entah sejak bila Tengku Harrys melabuh duduk di sebelahnya. Walhal tadi elok saja duduk makan dengan kaum-kaum lelaki tak jauh darinya.

“Mana ada.”

“Harrys duduk sebelah pun sampai tak perasan.”

Irish tergelak kecil. “Dah habis makan?”

“Dah.”

“Nak Irish buatkan air panas?”

“Tak apa. Harrys kenyang lagi.”

“Uncle Harrys!”

Sapaan Qusyairi menggamit perbualan pasangan tersebut. Susuk kanak-kanak itu langsung menghampirinya bersama Rafiqin.

“Hai, handsome!” balas Tengku Harrys.

“Uncle Harrys, jom main dam!” pelawa Qusyairi.

“Boleh ke uncle join?”

“Kenapa pula tak boleh? Dulu pun selalu uncle main dengan kita orang.” Kali ini Rafiqin yang bersuara.

“Tapi selalu uncle yang kalah dengan Airi, dengan Rafiq.”

Serentak Irish pandang wajah lelaki di sebelah. Harrys kalah main dam haji dengan anak-anak buahnya? Takkanlah!

“Alaa, jomlah Uncle Harrys! Mana tahu kali ni uncle menang.” Qusyairi terus duduk di bangku bertentangan Tengku Harrys bersama Rafiqin di sisinya. Buah dam berwarna hitam langsung disusun di atas papan mainan.

“Nak main berapa round ni?” Tengku Harrys turut menyusun buah dam merah miliknya.

“Uncle Harrys lawan dengan Airi dulu, lepas tu dengan Rafiq. Boleh, kan?”

“Boleh aje.”

Permainan dam haji dimulakan. Baik Tengku Harrys dan Qusyairi, masing-masing beri sepenuh tumpuan pada perlawanan. Sesekali terdengar ketawa mereka bertebaran bila buah dam berjaya di‘makan’.

“Kenapa pandang Harrys macam tu?” Suara Tengku Harrys tiba-tiba melontar pertanyaan. Sejak mula bermain, dia perasan mata wanita di sebelah tak lepas-lepas dari memandangnya.

“Tak percaya.”

“Tak percaya apa?”

“Harrys kalah main dam haji dengan budak-budak ni.”

Hujung bibir kanan Tengku Harrys sedikit menyenget.

“Harrys buat-buat kalah aje, kan?”

“Kenalah mengalah. It’s a trick to tackle thier hearts. Itu yang akan buat dia orang dekat dengan kita.”

Irish terangguk-angguk kecil. “So... dengan perempuan pun selalulah guna trick ni, ya?”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Nak buat perempuan dekat dengan Harrys. To tackle their hearts.”

I’m not.”

“Mulut cakap macam tu. Tapi dalam hati, tak tahu.”

Tengku Harrys melirik wajah Irish beberapa saat. Kemudian menyambung semula pemainannya bersama Qusyairi sambil diperhati Rafiqin. “Cemburu ke?”

“Taklah. Nak cemburu kenapa.”

Yes you are.”

“Tak.”

“Kalau tak, tak adalah suara tu berubah macam tu.”

“Mana ada.”

Sekali lagi hujung bibir Tengku Harrys tersungging. Sekilas air di kolam, boleh ditebak mana satu jantan betina.

“Kat sini tengah ramai. Harrys tak boleh nak pujuk. Tunggu masuk bilik nanti.”

“Harrys!” 

Gelak Tengku Harrys seraya terlucut dari bibirnya. 

Just joking. But...,” bicara lelaki itu terhenti. Giliran dia memainkan buah dam disudahkan sebelum mendekatkan mulutnya ke telinga Irish. “... once I’ve said, I really mean my words.”

Terkelip-kelip mata Irish merenung sisi wajah lelaki tersebut. Tengok gaya macam selamba saja. Tapi, empunya badan jarang bergurau dengan apa yang diucap. Begitu katanya... maka begitulah yang akan dibuat.



Previous: Bab 20b
Next: Bab 21b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.