Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
107,291
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Bab 2

“Welcome Thumbelina. You have found a new home at last. Here you shall be my queen.” Aku mengulangi sepotong dialog dari kisah dongeng kanak-kanak bertajuk Thumbelina yang pernah menjadi salah satu kisah dongeng kesukaanku. Sejurus itu sekalung bunga hiasan aku letakkan di atas kepala Ifah, pembantu butik yang juga merangkap teman baikku sejak kecil.

“Oh terima kasih wahai Tuan Puteri Thumbelina.”Balas Ifah yang mula menari-nari sambil memengang kalungan bunga di atas kepalanya.

Aku hanya mencebik. Blaus di atas meja aku dicapai lalu aku sangkutkan di rak pakaian di sebelah kiriku. “Thumbelina bukan seorang puteri raja tetapi gadis kecil yang lahir dari kelopak bunga. Kalau sejak dari lahir Thumbelina tu puteri, tak perlulah dia melalui pelbagai dugaan hidup dan menangis  hampir setiap hari.” Ujarku yang tiba-tiba beremosi.

“Alah kau ni tiba-tiba aje nak emosi. Aku tau lah kisah hidup kau lebih kurang sama dengan Thumbelina yang harungi banyak dugaan hidup. Tapi akhirnya dia dapat happy ending bila dapat kahwin dengan putera raja yang setaraf dan sama kecil dengannya. Kau jugak akan dapat kesudahan macam tu kalau kau dah mula buka hati tu untuk cari prince charming kau. Ini tak...kau tu memilih sangat.Ingat sikit kau tu dah masuk dua puluh tujuh tahun. Aku lain lah sebab aku dah bertunang.” Ifah seakan memerliku sambil cincin di jari manisnya disuakan ke arahku. Satu cubitan aku hadiahkan di lengan kirinya. Aku berasa geram dengan usikannya itu.

“Kau pun tahu kan kenapa aku suka sangat Thumbelina. Dulu masa aku kecil arwah abah aku selalu ceritakan kisah  Thumbelina pada setiap malam malam sebelum aku tidur. Mungkin sebab itu agaknya aku terbawa-bawa kisah itu sampai ke dewasa. Tapi bila aku renung dan fikirkan semula nasib aku agak sama dengan kisah dongeng itu kecuali yang kau cakap tadi tu aje iaitu happy ending. Untuk aku tak ada happy ending kahwin dengan putera raja.” Aku tunduk lalu meneruskan kembali kerja-kerja menggantung stok pakaian yang baru sampai dari vendors.

Perjalanan hidup aku yang lalui penuh dengan liku dan luka sebelum aku berjaya membuka perniagaan sendiri sehingga aku berjaya pada hari ini. Tidak tergambar di dalam bentuk perkataan betapa perit dan susahnya aku berusaha sehingga aku dapat berdikari, melatih dan mengesa diri untuk keluar dari kehidupan yang sangat miskin dengan kuat berkerja hingga ke lewat malam. Bermula dengan perniagaan kecil secara online, kini aku boleh berbangga kerana aku berjaya memiliki lima buah cawangan Butik Dea Eryna yang menjadi punca mata pencarianku.

Kenapa aku katakan sejarah lalu hidup aku seakan sama seperti kisah dongeng Thumbelina? Salah satunya adalah kerana tubuh badanku yang kecil yang berketinggian hanya 155cm sahaja. Selain Ifah ada beberapa kenalanku juga memanggilku dengan gelaran Thumbelina hanya disebabkan oleh bentuk fizikalku yang kecil.

Aku Dea Eryna. Dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman yang terletak di Kuala Selangor. Selepas ibu meninggalkan aku dan membawa abang bersama, aku tinggal bersama arwah Abah dan Nenek. Namun tidak lama selepas itu, Abah meninggal dunia kerana terlibat di dalam kemalangan jalan raya. Hanya aku dan Nenek yang sudah uzur tinggal berdua di sebuah rumah usang, itupun ehsan jiran terdekat yang memberi kami tinggal secara percuma.

Namun tidak lama aku dapat tinggal bersama Nenek apabila tidak sampai setahun Abah pergi, Nenek menyusul dengan meninggalkan aku. Aku kemudian dibawa Pak Long Leman ke rumahnya yang terletak di Terengganu. Pak Long Leman berjanji untuk menjaga aku dengan sebaik-baiknya namun janjinya itu nyata dusta!

Aku dijadikan orang gaji di dalam rumahnya. Aku hidup terseksa tinggal bersama Pak Long Leman, Mak Long Senah dan Abang Karim yang sering membuli dan menderaku. Mereka sekeluarga menjadikan aku seperti orang gaji paksaan. Aku hanya dibenarkan makan sehari sekali iaitu pada waktu petang selepas aku menyiapkan kerja-kerja rumah dan memasak. Selalunya lauk dan nasi yang aku makan adalah sisa-sisa makanan yang mereka bertiga tinggalkan.

Sama seperti kisah Thumbelina, dia diculik oleh seekor katak puru yang telah jatuh cinta pada kecantikannya lalu mahu mengahwinkan anaknya dengan ThumbelinaThumbelina dikurung dan dipaksa mengikut rancangan yang direncanakan oleh keluarga katak puru itu.

“Wei...jauh kau berangan. Tu telefon kau berbunyi,angkatlah.” Sergah Ifah yang membuatkan aku tersedar dari terus memutar kenangan lalu. Telefon bimbit di atas meja segera aku capai. Nama seseorang yang aku benci tertera di atas skrin. Aku melepaskan satu keluhan berat sebelum panggilan itu aku jawab.

“Hello. Pak Long nak apa telefon saya ni?” Soalku yang langsung tidak mesra. Aku tahu pasti ada sesuatu yang dimahukan dariku, kalau tidak lelaki itu ataupun anaknya tidak akan mencariku. Pasti kerana wang lagi.

“Wah...kau sejak jadi pemilik butik dan ada banyak duit dah tak reti hormat aku ya? Ingat Eryna aku yang suap dan bagi kau makan sejak kau kecik. Kalau tak kau tak hidup sampai hari ini. Mati kebulur dah kau! Aku yang kutip kau dan bela kau sejak mak kau ikut jantan lain, bapak kau mati kena langgar. Dah lupa? Kau tak ingat ke anak yang lupa budi?” Terlalu pedih kata-kata Pak Long yang terpaksa aku telan.

Aku menahan airmata yang mula bertakung di peluput mata. “Pak Long nak berapa ribu pulak kali ni?” Ujarku tanpa berselindung.

Aku berasa jengkel mendengar Pak Long Leman ketawa di hujung talian sana. “Aku tak nak duit. Aku nak kau jadi menantu aku. Aku nak kau kahwin dengan Karim hujung tahun ni. Dah berapa lama aku bagi masa tapi kau selalu mengelak. Kau jangan nak jadi orang tak kenang budi Eryna.” Ugut Pak Long Leman lagi.

“Pak Long...saya dah cakap bepuluh kali yang saya takkan setuju untuk kahwin dengan Abang Karim tu. Kalau Pak Long nak duit cakap saja, jangan terus paksa saya kahwin dengan anak Pak Long yang tak berguna tu.”Balasku berani.

“Tak guna punya budak. Kau nak aku belasah kau macam dulu ke? Suka sangat melawan. Apa kurangnya Karim tu. Dia dah lama sukakan kau.” Kuat Pak Long menengkingku.

Aku ketawa sinis mendengar Pak Long memuji anak lelakinya yang kononnya ‘baik’ itu. “Banyak kurangnya Pak Long. Abang Karim tu kaki judi, kaki mabuk dan kaki pukul. Itu baru sikit jahat dia yang saya ungkit. Saya ni sejak kecil selalu jadi mangsa pukul dia bila dia mabuk atau kalah judi. Kalau saya tak bagi dia duit, agaknya kalau saya tak lari selamatkan diri dah lama saya ni mati. Apatah lagi bila saya jadi isteri dia nanti? Saya lebih rela mati dari dipaksa jadi isteri kepada manusia jahat macam tu.” Aku meninggikan suara meluahkan perasaan amarah yang sejak sekian lama aku pendam.

“Eryna...kalau kau tak terima Karim, jangan harap sampai bila-bila kau boleh kahwin dengan lelaki lain. Aku tak akan setuju untuk jadi wali kau bila kau nak nikah nanti.” Ugutan Pak Long Leman kali ini benar-benar membuatkan kesabaranku hilang sepenuhnya.

“Saya tak kisahlah kalau Pak Long tak nak jadi wali saya. Pak Long ingat Pak Long sekeluarga boleh ugut saya lagi ke? Saya dah dewasa dan bukan budak-budak lagi yang selalu menjadi mangsa dera saudara sendiri. Pak Long ingat ya...perkara ni kalau saya lapor kepada polis habis Pak Long tau. Saya akan dakwa Pak Long kerana mengugut saya.” Menggigil-gigil tanganku menggengam telefon bimbit yang aku lekap di telinga.

Pak Long agak lama terdiam sebelum dia mengatakan sesuatu yang membuatkan aku terpaku. “Aku nak tengok sampai bila kau boleh melawan aku. Ingat Eryna aku tak akan jad wali kau bila kau nak nikah nanti. Siapalah jantan malang yang nak pada kau nanti ya? Aku tahu kau banyak kenal lelaki-lelaki kaya tapi jangan haraplah kau boleh nikah dengan lelaki pilihan kau kerana hanya ada aku dan Karim saya yang boleh jadi wali sah kau. Aku nak kau tengok kau menderita sampai mati.”

“Pak Long ni dah gila ke apa?” Airmata aku mula mengalir.

“Tahu kau menangis ya? Baik...kalau kau dah kata kau tak nak jadi isteri Karim tak apa, aku tak akan paksa kau lagi. Tapi itu pun kalau kau ikut syarat aku.” Kata Pak Long penuh bongkak.

“Syarat apa? Pak Long nak duit berapa banyak, saya akan cuba berikan.” Balasku. Aku tidak kisah walau berapa wang yang Pak  Long minta, akan aku usahakan kerana aku tidak mahu kembali hidup di dalam penderitaan. Bagiku menerima Abang Karim menjadi suami hanya akan membuatkan hidupku kembali ke kancah penderitaan sahaja. Aku rela kerja membanting tulang seumur hidup mencari duit sebagai pertukaran daripada dipaksa bernikah dengan orang yang paling aku benci.

“Aku akan suruh Karim jangan ganggu kau lagi kalau kau kahwin dengan orang yang sama taraf dengan Karim. Lelaki itu kena bukan datang dari keluarga kaya, orang susah dan yang kerja biasa-biasa. Mekanik macam arwah bapak kau pun bagus. Yang sama susah macam kau dulu. Kau ingat lagi bukan kehidupan kau macam mana dulu? Aku nak kau cari calon yang setaraf dengan kau yang susah dulu tu, baru aku akan setuju jadi wali kau dan Karim pun tak akan ganggu kau lagi.” Sungguh syarat yang Pak Long Leman berikan ini memang tidak masuk akal.

Aku terduduk mendengar syarat yang gila itu. Esakanku bertambah menjadi-jadi. “Pak Long jangan hukum saya sebegini. Saya buat salah apa pada Pak Long sampaikan sampai sekarang Pak Long layan saya buruk macam ni. Saya minta maaf kalau saya selalu melawan dan menjawab bila Pak Long marah pada saya. Saya merayu agar Pak Long jangan buat saya macam ni.” Aku merayu. Wajah Ifah di sebelah aku pandang sayu. Tangan Ifah aku genggam erat berharap dapat mencari kekuatan untuk terus menghadapi dugaan ini.

“Cari aku bila kau dah jumpa calon tu.” Terus talian dimatikannya.

Aku mengesat airmata yang mengalir laju di pipi denganlengan bajuku. “Aku boleh jadi gila kalau terus hidup dengan mereka semua tu Ifah. Tapi apa daya aku untuk buang mereka...hanya mereka bertiga sahaja saudara yang aku ada. Walaupun penderitaan yang selalu aku dapat, tapi aku tak mampu untuk membenci mereka Ifah. Di mulut aku kata benci tetapi sejujurnya jauh dari dalam hati aku ni aku amat menyayangi mereka. Mereka keluarga aku...tetapi bagi mereka pula aku ini hanyalah sampah yang menyusahkan hidup mereka. Beginilah agaknya hidup menumpang kasih sayang orang.” Aku menangis teresak-esak di dalam pelukan Ifah.

Mujur ketika itu tiada seorang pun pelanggan di dalam butik itu. Kebetulan pada waktu sebegini kebiasaannya butik sudah pun ditutup.

Sepanjang perjalanan memandu menuju ke rumah, banyak benda yang aku fikirkan antaranya adalah syarat Pak Long tadi. Aku cuba memikirkan jalan yang terbaik supaya aku tidak menjadi isteri kepada Abang Karim. Tidak! Aku tak akan sesekali menerima lelaki itu. Tapi apa yang aku harus aku lakukan sekarang? Di mana lelaki yang boleh membantu aku memenuhi syarat Pak Long? Adakah lelaki itu akan jatuh dari langit. Oh tidak...

“Kau okay tak Eryna?” Soal Ifah yang sejak tadi hanya diam menjadi pemerhati diriku yang tidak senang duduk bagaikan cacing kepanasan.

“Kau nak tengok aku naik pelamin dengan Karim ke?”Soalku sedikit geram.

“Kau gila? Memang tak akan lah. Kalau kau nak pun, aku ni sendiri yang akan bawak kau lari jauh-jauh. Lelaki macam tu tak ada guna satu sen pun. Menyusahkan lagi adalah. Dayus...pukul perempuan.” Luah Ifah geram kerana sementelah dia sudah banyak kali melihat aku dipukul Abang Karim sepanjang kami membesar bersama.

“Ifah...apa yang harus aku lakukan ni?” Soalku. Ketika itu kereta yang aku pandu sudah pun berhenti di hadapan rumah sewa.

Ifah menggengam tangan kiriku. “Sabar ya...kita fikirkan cara bersama nanti. Aku akan sentiasa ada di sisi untuk teman kau Eryna.” Pujukan Ifah itu sedikit sebanyak melegakan hatiku.

Ketika aku baru melangkah keluar dari tempat duduk pemandu, Ifah menghulurkan sesuatu kepadaku. “Ni kau punya? Aku kutip bawah kerusi dalam kereta tadi.” Ujar Ifah.

Aku memandang lama kad nama yang berada di tanganku itu. Tiba-tiba satu idea datang melintas di benakku. Otakku ligat merancang rencana yang mungkin dapat membantu aku lari jauh dari Abang Karim.

“Lelaki ini boleh bantu aku. Aku akan pastikan dia kahwin dengan aku.” Kataku sendiri bersama satu azam yang entah datang dari mana menyelusup masuk ke dalam diri.

“Siapa? Man Kicap ni? Mekanik? Eryna...kau dah kenapa ni lain macam aku tengok.” Ifah mula risau melihat perubahan emosiku yang nampak serius.

“Ifah...malam ni dan mulai saat ini, aku nak kau menjadi saksi kepada apa yang bakal aku lakukan selepas ini. Lelaki yang bernama Man Kicap ini akan bantu aku untuk penuhi syarat Pak Long. Aku akan pastikan dia jadi suami aku walau dengan apa cara sekali pun.” Tekadku.

“Eryna...jangan main-main dengan hidup sendiri.” Ifah nampak menggelabah dengan keputusan yang baru aku sebutkan itu.

Aku berjalan menuju ke arah kereta semula, lalu pintu tempat duduk penumpang aku buka. Aku mencapai sebatang besi yang memang aku letakkan di bawah tempat duduk sebagai perlindungan keselamatan jika berlaku sesuatu perkara buruk ketika aku memandu seorang diri.

“Kau...kau nak buat apa ni Eryna?” Ifah nampak panik.Suaranya kedengaran tergagap-gagap ketika dia mendekati aku yang sedang memegang sebatang besi di tangan.

“Aku nak keluar dari penderitaan ini. Aku dah tak larat nak tanggung lagi Ifah. Aku yakin lelaki itu dapat membantu aku.” Sejurus selepas itu besi di tangan aku hayunkan kuat ke arah cermin kereta hadapan.

Bunyi deraian kaca yang pecah dihentak besi itumembuatkan kereta  milikku menggeluarkan bunyi alarm yang kuat. Aku segera mematikan alarm dari arah dalam kereta dan kembali menghentak cermin bahagian hadapan itu sehingga nampak seperti aku terlibat di dalam kemalangan. Ifah di sebelah turut menjerit ketakutan melihat tindakan beraniku itu. Aku tidak kisah kereta kesayanganku menjadi mangsa kerana hanya dengan cara ini sahaja aku dapat mendekati lelaki yang jumpa siang tadi itu.Ya...lelaki berwajah chinese look itu.

“Esok bermula episod kontrak cinta yang aku cipta. Aku sedar apa yang bakal aku lakukan ini salah dan akan menganayai lelaki itu.  Tetapi hanya ini satu-satunya cara untuk aku bebas dari penjara penderitaan.” Aku mengesat airmata yang mengalir dari tubir mata. Sesungguhnya aku juga berasa takut untuk memulakan semua ini, namun harus aku gagahkan demi mempertahankan diri sendiri yang hidup bagaikan sebatang kara.

‘Maafkan aku....’ Desis hatiku sambil imbasan wajah lelaki yang aku jumpa siang tadi itu terbayang di ruangan mata.

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.