Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
57,630
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Pagi Ahad itu aku bangun lebih awal daripada biasa bagi menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari buat Aydin. Malam tadi aku telah menelefon lelaki itu bagi bertanya tentang keadaannya setelah lima hari kejadian di kafe. Aku memasakkan nasi lemak berlaukkan rendang ayam untuk sarapan pagi dan sotong masak sambal untuk makan tengah hari.

Aku sedia maklum Aydin tinggal seorang diri di sebuah kondominium di Damansara. Ketika aku memberitahu untuk memasakkannya makanan pada malam tadi, Aydin agak segan untuk menerimanya. Namun begitu, aku memujuknya dengan mengatakan ini sahaja cara untuk aku menzahirkan rasa terima kasihku di atas budinya yang telah menyelamatkanku daripada tercedera dan juga kerana telah membantuku menyelesaikan hutang lintah darat.

Aku dan Aydin telah berjanji untuk bertemu di taman rekreasi yang terletak di kawasan tempat tinggalnya. Selesai membungkus makanan, aku keluar rumah dengan menaiki kereta milik Kak Zaliha. Kakak angkatku itu begitu baik hati membenarkan aku memandu keretanya ketika dia melihat aku sedang bertungkus lumus menyiapkan bahan masakan pada malam tadi. Sempat lagi Kak Zaliha mengusikku dengan mengatakan yang gayaku ketika itu bagaikan sedang menyiapkan masakan untuk bakal suami pula. Aku tersenyum sendirian apabila diusik sebegitu. Namun ianya hanya seketika sebelum bayangan wajah Rania muncul di ruangan mata.

Aku memulakan pemanduan pada jam tujuh pagi dan tiba di taman rekreaksi itu pada jam tujuh dua puluh lima minit pagi. Ketika aku sedang memarkir kereta, aku sudah dapat melihat kelibat Aydin yang sedang duduk di atas sebuah bangku yang terletak di bawah sepohon pokok yang rendang. Setelah mematikan enjin, aku keluar dari kereta dengan menjinjit bakul yang berisi makanan untuk mendekati Aydin. Tatkala mata kami berdua bertemu, aku melemparkan senyuman yang paling manis untukknya.

“Assalamualaikum. Apa khabar hari ini?” soalku prihatin.

“Alhamdulillah...luka ni dah semakin pulih. Wah! Banyaknya makanan yang kau bawa,” ujar Aydin yang kelihatan teruja.

Aku tergelak. “Hari ni aku masak untuk kau sebab aku cuti. Kau makan banyak-banyak ya.”

Tiba-tiba Aydin memandang tepat ke wajahku.” Sebenarnya aku ada benda nak beritahu kau ni. Sesuatu yang menarik.” Aydin lebih teruja berbanding tadi.

“Apa dia?” soalku sambil tanganku mula mengeluarkan bekas makanan daripada bakul.

“Rania nak datang sini kejap lagi.”

Terhenti perbuatanku yang sedang menghidangkan makanan di atas meja. Senyumanku pudar sedikit sebelum aku segera menyedarkan diri untuk mempamerkan reaksi teruja.

“Oh...baguslah macam tu,” balasku yang cuba bereaksi ceria.

“Aku baru tahu rupa-rupanya kami tinggal di kawasan yang sama. Rania telefon aku tadi dan bertanya aku tengah buat apa? Aku cakaplah aku nak jumpa kau untuk bersarapan bersama dan Rania tawarkan diri untuk datang sini.” Aydin nampak benar-benar gembira.

Aku menggaris senyuman dalam keterpaksaan. Entah mengapa rasa sakit yang sedang memanah hatiku terasa semakin menjalar. 

“Rania nak datang sini? Untuk makan sama-sama dengan kita?”

Aydin mengangguk. “Jadi aku nak kau ajar aku sekejap apa yang perlu aku katakan ketika aku dalam Rania makan bersama pada malam ni.”

Aku bagaikan kehilangan kata-kata. Aku mula menyesal kerana terlalu mengikut perasaan ketika di dalam perjalanan ke sini. Aku datang bersama satu perasaan indah dan mengharapkan sesuatu daripada Aydin sedangkan pada hakikatnya sebenarnya aku tidak sedar bahawa di antara aku dan Aydin hanya mempunyai ikatan sebagai seorang teman sahaja. Aku yang salah kerana begitu bercita-cita untuk memasang perasaan pada Aydin.

“Tak susah pun Aydin. Kau boleh tanya Rania seperti berasal daripada mana? Apa hobi masa lapang? Dia suka makan apa? Dan selepas itu kau ikut rentak perbualan Rania. Selepas tu keserasian pasti akan wujud. Aku tengok Rania tu pun pandai berbual, jadi tak susah untuk kau wujudkan komunikasi dengan dia,” kataku.

Aydin mengangguk-angguk. “Insya Allah...aku harap aku boleh lakukannya. Eh! Rania dah sampai tu.”

Aydin bangun daripada kerusi dan melemparkan senyuman ke arah Rania yang sedang menghampiri kami bersama pakaian sukan di tubuh.

“Assalamualaikum...selamat pagi,” ucap gadis itu riang.

Keterujaan yang terserlah di wajah Aydin usah ditanya lagi. Aku tahu yang Aydin benar-benar meminati gadis cantik bernama Rania ini.

“Hai Atilea. Apa khabar?” tanya Rania ramah dan aku menjawabnya dengan nada yang sama lalu mempelawanya untuk makan bersama.

“Maaflah...kalau makanan ini buat diet you rosak?” kataku sekadar memulai perbualan kosong.

Rania tergelak. “Eh tak mengapa. I ni jenis yang makan apa sahaja lebih-lebih lagi kalau ada nasi lemak dan rendang ayam depan mata macam ini. Siapa yang nak menolak bila nampak makanan sesedap ni kan, Aydin?”

“Betul tu. I tengok pun dah rasa lapar ni,” sahut Aydin.

Namun belum sempat aku mencapai senduk nasi bagi menyendukkan nasi ke dalam pinggan Aydin, Rania lebih pantas berbuat begitu. Gadis itu pandai mengambil hati Aydin dengan bertanyakan Aydin mahukan bahagian ayam yang mana dan berapa banyak sambal, ikan bilis dan timun yang dimahukan.

Aku bagaikan tunggul yang menjadi pemerhati. Rancanganku untuk makan bersama Aydin pada pagi ini berubah menjadi pelan lain dengan adanya Rania entah muncul tiba-tiba tanpa pengetahuan awal. Entah mengapa aku terasa terasa hati dengan tindakan Rania itu yang gayanya seperti telah lama mengenali Aydin berbandingku.

“Oh Atilea...are you okay, right now?” tanya Rania tiba-tiba yang membuatkan aku bingung.

“Yes, I am. Kenapa you tanya macam tu?” Aku senyum.

“Oh dear, baguslah. Aydin ada cerita pada I tentang masalah hutang you dengan Along. Mereka ada ganggu you lagi ke? Mujur ada Aydin yang membantu you kan, kalau tak...tak tahulah apa yang akan terjadi kan?” tambah Rania yang membuatkan aku terkejut.

Aku berasakan wajahku sedang membahang kemerahan. Rasa marah dan rasa malu beradun menjadi satu. Aku memandang lama wajah bersalah Aydin dengan pandangan tajam. Aku bagaikan rasa dikhianati oleh kawan sendiri yang sanggup menceritakan aibku pada Rania, iaitu seorang yang asing di dalam hidupku. Mengapa Aydin menceritakan masalahku kepada Rania? Apa tujuan dia berbuat begitu? 

Ya...Aydin tidak ikhlas membantuku dan dia telah mencanangkan kebaikannya itu kepada Rania kerana mahu meraih reaksi positif daripada wanita itu. 

“Err...I tak ada maksud nak buat you terasa, Atilea,” tambah Rania yang terkesan perubahan wajahku.

“I rasa masalah I itu adalah peribadi. I tak suka bila ada orang luar dapat tahu,” ujarku menahan geram sambil mataku tidak lepas daripada merenung wajah Aydin. 

Airmata yang hampir mengalir cuba aku tahan dari keluar. Tanpa menunggu lama, aku bangun untuk meninggalkan mereka berdua. Sungguh hatiku terasa benar-benar sakit dengan tindakan Aydin yang tega menceritakan masalahku kepada Rania. Aku berasa benar-benar malu.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.