Home Novel Cinta Cinta Tanpa Noktah
Cinta Tanpa Noktah
Cik Tasneem
1/1/2024 21:03:22
10,668
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1
BATU nisan yang tertera nama si mati diusap perlahan. Tiga tahun sudah hampir berlalu namun rasa sakit mahupun rindu tetap tidak berkurang.


Benarlah kata orang, rindu yang paling sakit adalah rindu kepada orang yang telah tiada. Itulah yang Aleena rasakan. Bahkan rasa rindu itulah yang diusung setiap kali dia menjejakkan kakinya ke tanah perkuburan islam, Kuala Lumpur. Tempat dimana bersemadinya jasad arwah suami yang amat dia cintai.


"Assalamualaikum, abang. Leena datang ni. Abang apa khabar? Leena harap abang baik-baik je dekat sana," bibir tercarik dengan senyuman yang cukup hambar.


Kenangan lama mula datang menghimpit. Seumpama tayangan filem. Memori-memori indah Aleena bersama dengan arwah suaminya mula memenuhi ruang mata.


"Leena rindukan abang. Rindu sangat-sangat," luah Aleena perlahan. Mutiara-mutiara jernih yang ditahan sedari tadi lagi kini mula membasahi pipi mulusnya. 


Bukan Aleena tak reda dengan pemergian sang suami, cuma rasa rindu itu yang sering datang dan mencengkam jiwa dan raganya. 


"Aleena..."


Usapan lembut di bahu Aleena menyentakkan wanita itu yang jauh mengelamun. 


Pipi yang basah dilap kasar. Dongak wajah, bibir mula mengukirkan senyuman kelat. 


"Kak Fina..." 


"Pejam celik, pejam celik dah hampir tiga tahun Rizal tinggalkan kita semua. Aku tahu kau sedih tapi aku rasa kau tak boleh nak terus macam ni. Dah tiga tahun, Leena. Dah tiba masanya untuk kau move on. Yang dah pergi tetap pergi dan takkan kembali lagi. Kita yang hidup ni sesukar macam mana sekalipun tetap kena teruskan hidup kita seperti biasa," nasihat Afina. 


Afina tahu adiknya, Aleena begitu mencintai Rizal. Buktinya walaupun sudah hampir tiga tahun arwah Rizal pergi menghadap Ilahi, Aleena tak pernah culas untuk datang berkunjung ke pusara sang suami hampir setiap bulan. Begitu teguh sekali cinta dan setia Aleena kepada Rizal. 


"Leena dah cuba, kak. Bukannya Leena tak cuba. Semuanya tu tak mudah. Terlalu banyak kenangan-kenangan manis yang tercipta diantara kami berdua," jujur Aleena.


Keluhan Afina hela perlahan. Bahu Aleena yang duduk bersebelahannya dirangkul lembut. 


"Akak faham. Tapi Leena, kau kena ingat yang kenangan akan selamanya menjadi kenangan. Dan kenangan takkan boleh diulang walau apa cara sekalipun. Macam tu juga kau dan Rizal. Rizal dah bahagia di alam sana. Urusan dia di dunia ni dah pun selesai. Kita yang masih hidup ni kena teruskan hidup kita macam biasa. Kau seharusnya bagi peluang pada diri kau untuk kembali bahagia walaupun bukan dengan Rizal. Akak yakin Rizal juga mesti tak nak tengok kau terus-terusan begini. Dia juga pasti mahu kau hidup bahagia walaupun tanpa ada dia disisi kau," nasihat Afina. 


"Bercakap memang mudah tapi nak melaluinya bukanlah mudah. Ada air mata yang perlu dikorbankan. Ada rasa sakit yang perlu ditanggung. Leena sendiri tak yakin yang Leena mampu untuk melaluinya. Cukuplah rasa sakit yang dah Leena tanggung sehingga ke hari ini atas kehilangan suami Leena sendiri."


"Habis tu sampai bila kau nak terus hidup macam ni? Biarkan diri kau terus-menerus hidup dalam kenangan silam kau dan Rizal. Kau tahu tak cara kau ni seolah-olah kau tak terima ketentuan takdir. Kau tak terima qada dan qadar yang dah Allah aturkan," rengusan dihela kasar. 


Inilah yang sering buatkan Afina naik angin dengan sikap Aleena. Kadang kala Afina rasakan Aleena terlalu berlebih dalam bersedih sehingga sanggup membiarkan dirinya terus hanyut dalam lautan kenangan silam yang semakin larut. 


Senyuman kelat terpeta diriak wajah Aleena. Terhiris juga hati kecilnya apabila dibidas sedemikian rupa oleh satu-satunya kakak yang dia ada. 


"Leena bukan tak terima ketentuan takdir, kak. Leena dah reda sejak tiga tahun yang lalu. Cuma bila melibatkan soal hati dan perasaan ni bukanlah sesuatu yang mudah," jawab Aleena lembut. 


"Kau adik aku, Leena. Sebagai kakak, aku nak tengok kau bahagia sama macam orang lain." 


Terukir senyuman nipis diulas bibir Aleena mendengarkan pengakuan si kakak kesayangannya ini. 


"In Sha Allah, kak. Akak tolong doakan Leena, ya." 


Dianggukkan kepalanya. "Dahlah tu. Jom kita balik. Dah lama sangat kita dekat sini. Kesian dekat mak tu tinggal sorang-sorang dekat rumah. Lain kali pula kita datang," ajak Afina. Punggung diangkat bersedia untuk berlalu meninggalkan tanah perkuburan Islam itu. 


"Yalah, kak." 


Pusara Rizal direnung buat kali terakhir. Bibir terhias senyuman hambar. 


"Abang, Leena balik dulu ya. Lain kali Leena datang lagi." 


Dielus buat kali yang terakhir batu nisan yang tertera sebaris nama milik Rizal. Langkah kemudian diatur membuntuti Afina yang dah jauh ke depan. 












Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cik Tasneem