PINTU bilik mesyuarat di tolak perlahan. Langkah diatur mendekati Yanie yang sedari tadi lagi menanti kedatangannya.
"Sorry babe, aku lambat. Pagi ni tiba-tiba kereta aku buat hal pula," keluhan dihela lelah. Punggung dilabuhkan duduk bersebelahan Yanie.
Wajah didongakkan. Wajah kelelahan Aleena direnung hairan.
"Kereta kau rosak? Habis tu kau datang office ni naik apa?"
"Grab lah. Apa lagi?"
Kepala dianggukkan. "Dah tu sekarang ni kereta kau macam mana? Dah hantar ke bengkel?"
"Dah. Aku minta tolong mekanik tempat aku selalu servis kereta tu uruskan semuanya," jawab Aleena.
"Baguslah kalau macam tu. Dua, tiga hari nanti eloklah kereta kau tu, kan? Habis tu petang ni kau balik naik apa?" soal Yanie ingin tahu.
"Naik apa lagi? Grab jelah pilihan yang aku ada."
"Yalah. Kau balik naik Grab tu hati-hati sikit. Zaman sekarang ni pemandu Grab pun tak semuanya boleh dipercayai. Kebanyakkannya suka ambil kesempatan diatas kesempitan orang lain," nasihat Yanie.
"In Sha Allah. Yang tu kau tak perlulah bimbang. Pandailah aku jaga diri aku ni nanti."
"Aku bukannya apa, kau tu dahlah perempuan. Lawa pula tu. Mana-mana lelaki yang tengok mesti meleleh air liurlah. Lagi-lagi bila dia orang tahu status kau. Memang takkan lepas peluanglah."
Bukan Yanie tak tahu selama dia berkawan rapat dengan Aleena memang ada ramai lelaki yang cuba untuk masuk jarum mengurat kawan baiknya itu. Tapi semuanya tu tak berjaya sebab Aleena bukanlah sejenis kaki melayan.
Bebola mata dijulingkan ke atas. "Dah. Tak payah nak bercakap fasal hal aku. Sekarang ni mana ketua baru kita? Tak sampai lagi ke?" mata dah melilau ke sekeliling.
"Belum lagi. Semalam Encik Hakim suruh kita semua berkumpul jam 9.30 pagi. Ini dah nak dekat pukul 10 tapi batang hidung pun tak nampak," keluh Yanie. Dia paling tak suka kalau kena menunggu.
Jam tangan yang membelit pergelangan tangannya, Aleena kerling seketika.
"Mungkin dia orang ada hal lain kut yang perlu diuruskan. Biasalah orang-orang besar macam Encik Hakim tu memang selalu sibuk."
"Aku ni sebenarnya dah tak sabar nak tengok muka Encik Taufiq tu. Kira-kira aku dah hampir 10 tahun kita tak jumpa dengan dia, kan? Hesy! Mesti sekarang ni dia dah makin handsome, kan?" sengihan gatal terpeta diraut wajah Yanie. Fikiran dah mula membayangkan susuk tubuh tegap milik senior mereka ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di menara gading suatu ketika dahulu.
"Puan Yanie, boleh tak jangan nak gatal sangat? Ingat sikit awak tu dah bersuami. Dah ada anak dua orang. Jadi perangai gatal tu tolong dibuang jauh-jauh sikit. Ini kalau suami awak dengar boleh makan hati dia dibuatnya," sempat dijeling wajah Yanie yang tersengih-sengih macam kerang busuk itu.
"Eh! Bila masa pula aku nak menggatal dengan Encik Taufiq tu? Excuse me! Aku ni masih waraslah. Aku masih sedar status aku sebagai isteri orang. Aku sebenarnya bukan apa cuma excited aje sebab dah lama tak jumpa dengan senior kita tu. Tak ada niat pun dalam hati ni nak menggatal atau tergedik-gedik dengan Encik Taufiq a.k.a ketua baru kita tu."
"Kau jelah yang terlebih excited. Entah-entah Encik Taufiq tu dah tak ingat kita ni pernah jadi junior dia," bidas Aleena.
Taufiq tu pelajar senior paling popular. Peminat perempuan dia ramai. Mana mungkin dia akan ingat atau kenal dengan mereka berdua.
"Eh, tapi Leena..."
Belum sempat Yanie menghabiskan bicaranya, suara garau milik Encik Hakim mengamit perhatian mereka berdua dan semua yang ada di dalam bilik mesyuarat itu.
"Maaf semua sebab saya terlewat sikit. Pagi ni ada hal urgent yang perlu saya selesaikan," ujar Encik Hakim tanpa dipinta.
Seramai 8 orang staf yang mendengarkannya hanya mengangguk faham tanda dan menerima apa yang barusan dibicarakan oleh orang atasan mereka itu.
"Baiklah. Saya rasa semua dah sedia maklum dengan perpindahan Puan Aida, kan? Sebenarnya tujuan saya panggil kamu semua berkumpul pada hari ini adalah untuk memperkenalkan kamu semua dengan Encik Taufiq Amsyar. Selepas ini Encik Taufiq yang akan menggantikan tempat Puan Aida," tutur Encik Hakim. Taufiq yang sedari tadi berdiri disisinya diperkenalkan kepada semua staf yang ada di ruangan bilik mesyuarat itu.
Bunyi-bunyi bisikan halus dari kalangan staf di bahagian kewangan itu mulai riuh apabila menerima perkhabaran itu.
"Salam semua. Saya Taufiq Amsyar, selaku orang yang akan menggantikan tempat Puan Aida."
Senyuman paling manis Taufiq pamerkan buat semua staf dibawah seliaannya. Diteliti setiap wajah-wajah yang ada disitu sebelum pandangan mata jatuh pada susuk tubuh Aleena yang turut tersenyum ke arahnya.
"Selepas ini apa-apa urusan kamu semua boleh refer dengan Encik Taufiq. Encik Taufiq yang akan menggalas sepenuhnya tugas Puan Aida sama seperti sebelum ini juga," beritahu Encik Hakim.
"Saya harap selepas ini kita semua boleh bekerjasama dalam satu kumpulan. Kalau ada apa-apa masalah boleh terus bagitahu saya," pesan Taufiq.
Taufiq mahu semua staf di bawahnya bekerja dengan selesa. Selepas ini tanggungjawabnya juga besar jadi Taufiq tak mahu akan timbul masalah lain pula di kemudian hari nanti.