Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,716
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

SEBAIK sahaja jam berdetik pukul tiga petang, Eryssa terus masuk ke bilik rehat pekerja menukar pakaian seragamnya. Terdapat sebuah bilik mandi di situ. Selepas membersihkan diri, dia segera menyarung persalinan bersih. Rambutnya yang separuh basah, disisir dan dibiarkan tanpa diikat. Setengah jam kemudian, dia dan Zeek sudah melangkah keluar dari Restoran Tijani’s.

“Kita nak ke mana?” soal Eryssa sebaik sahaja dia menghampiri kereta BMW milik Zeek. Eryssa tertanya-tanya dalam hati apakah pekerjaan Zeek ketika itu sehingga mampu memandu kereta mewah model terbaharu keluaran Jerman.

“Awak pandu kereta ke sini tadi?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Tak. Saya datang dengan Tijani. Selalu balik pun dengan dia.”

“Saya tak rasa macam nak memandu pula petang ni. Apa kata kalau kita jalan-jalan dengan kenderaan awam?” Zeek mencadangkan. Sambil itu, dia menanggalkan tali leher. Kemudian tali leher dan kot di tangan dicampak ke tempat duduk belakang.

“Awak nak naik bas?” Wajah Eryssa berkerut.

Zeek tersenyum mengerti dengan ekspresi wajah Eryssa. Sejak dahulu lagi Eryssa tidak suka menaiki bas. Itu semua gara-gara dia diraba oleh penumpang gila seks sewaktu pulang dari sekolah dahulu. Sejak daripada kejadian itu, Zeek selalu menemani Eryssa pulang ke rumah.

“Di sini ada stesen LRT?”

“Ada.” Wajah Eryssa kembali ceria. “Tapi stesen Setiawangsa jauh sikit dari sini. Kita terpaksa berjalan ke sana.” Eryssa menuding ke satu arah.

“Okey, mari!” Zeek menghulurkan tangannya.

Mereka berpimpin tangan meninggalkan Setiawangsa Business Suite. Setelah melintasi pasar raya Giant, Restoran McDonald’s dan stesen minyak Petronas, mereka melintas jalan di sebuah simpang tiga sebelum meneruskan perjalanan menuju ke stesen Star LRT Setiawangsa yang berdekatan dengan stesen minyak Esso.

Destinasi pertama mereka ialah Suria KLCC. Zeek tersenyum lucu sendirian. Kalaulah Eryssa tahu pejabatnya terletak di sekitar kawasan itu, tentu gadis itu merajuk dan berkecil hati. Buat seketika, dia terpaksa merahsiakannya. Ah...sudah terlalu banyak rahsia antara mereka.

“Awak kerja di mana sekarang?” Bagai dapat mendengar bisikan hati yang diluahkan oleh Zeek tadi, Eryssa menyoal.

“Saya uruskan perniagaan atuk.” Bagi Zeek, pengakuan itu separuh benar. Walaupun dia Pengurus Operasi Malcel, dia juga masih menguruskan perniagaan keluarganya.

“Maknanya awak selalu ulang-alik ke kampung?” Sejak mengenali Zeek, Eryssa memang tahu yang Zeek mempunyai datuk yang menjalankan perniagaan barang perhiasan wanita.

“Selalu. Hampir setiap minggu.”

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa dia?”

“Kenapa awak ubah imej? Saya sukakan imej awak yang dulu. Selekeh dan macam budak nakal.” Sebenarnya Eryssa agak kekok berjalan dan berbual-bual dengan Zeek ‘baharu’. Dia berasa seperti sedang berpacaran dengan lelaki asing. Hanya senyuman Zeek yang membuatkan dia rasa selesa dan selamat di sisi lelaki itu. Senyuman yang tidak pernah berubah. Damai dan menenangkan.

“Siapalah yang mahu membuat urusan perniagaan dengan budak yang bercakap kasar, berambut ala afro dan berpakaian selekeh? Awak mahu perniagaan keluarga saya lingkup?” Penjelasan sementara, janji Zeek dalam hati. Rasa bersalahnya semakin memuncak seminit demi seminit.

“Awak masih takut naik bas lagi?” Demi mengelakkan soalan yang memaksanya menyembunyikan kebenaran, Zeek menimbulkan persoalan lama. “Dalam LRT tak ada orang gila seks?”

“Sehingga ke hari ini, saya belum jumpa lagi. Kalau ada, saya tak ragu-ragu humbankan dia keluar dari tren. Biar kena gilis dengan tren yang seterusnya.”

“Takutnya saya. Awak dah semakin berani.” Zeek masih ingat lagi betapa eratnya Eryssa menggenggam jari-jemarinya ketika mereka menaiki bas bersama sewaktu pulang dari sekolah. Malah jika ada satu tempat duduk yang kosong, Eryssa tidak mahu duduk. Dia tetap mahu duduk di sisi Zeek. Nyata sekali pengalaman ngerinya diraba oleh lelaki tidak bermaruah itu begitu menghantui dirinya sehingga mengubah persepsi mengenai kenderaan awam itu.

“Awak tinggalkan saya sendirian lebih sembilan tahun. Saya terpaksa memberanikan diri hidup tanpa awak. Mujur saya tak cari kawan baik lain untuk jadi teman saya.” Eryssa cuba merisik tahap perhubungan mereka ketika itu. Untuk bertanya secara terus, dia tidak sanggup kerana berasa malu.

“Jadi selama ini kita hanya kawan baik sajalah?’ Sebaliknya Zeek juga turut menduga. Sewaktu mereka berbual di alam maya, sudah banyak kali dia mengusik Eryssa dengan lamaran. Adakah selama ini Eryssa menganggapnya tidak serius dan hanya suka-suka mengusik? Memang nadanya mengusik, namun dia sebenarnya serius. Itulah masalah yang sama yang dihadapinya sehingga hari ini. Dia tidak pandai meluahkan perasaan dengan betul. Lain yang mahu disampaikan, lain pula yang terucap dari ulas bibirnya.

“BFF,” balas Eryssa sambil ketawa kecil. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh berkata demikian. Kenapa tidak sahaja dia bertanya status sebenar perhubungannya dengan Zeek?

Buat sementara, Zeek akan terima pengakuan itu. Dia tidak mahu memaksa Eryssa menerima dirinya. Jika benar Eryssa masih belum bersedia menerima hubungan mereka secara serius, dia akan tunggu.

“Baiklah, Best Friend Forever. Saya nak ajak awak tengok filem terbaharu di pawagam. Dah lama kita tak menonton wayang gambar bersama-sama.” Zeek menarik tangan Eryssa menuju ke panggung wayang TGV di tingkat empat pusat membeli-belah itu.

BFF? Best Friend Forever? Eryssa rasa sedih walaupun dia sendiri yang menuturkan kata-kata itu. Kenapa dia mesti berkecil hati mendengar Zeek menyebutnya? Bukankah dia menganggap Zeek hanya sebagai teman akrab? Tetapi kenapa pula selama ini dia membahasakan Zeek sebagai buah hatinya di hadapan Tijani dan Walin? Eryssa jadi keliru. Jika dia tidak mencintai Zeek, kenapa gambar-gambar Zeek memenuhi kamarnya? Jika dia tidak mencintai Zeek, kenapa dia menolak lamaran beberapa teman sekuliah yang mahu berpacaran dengannya? Jika dia tidak mencintai Zeek, kenapa selama ini dia menganggap dirinya sudah berpunya?

Sewaktu di dalam panggung, fikiran Eryssa langsung tidak tertumpu pada filem barat yang ditayangkan. Dia masih memikirkan apakah status sebenar hubungannya dengan Zeek. Jika dia hanya teman biasa kepada lelaki itu, tentu dia tidak kisah sekiranya Zeek mempunyai hubungan dengan gadis lain. Tidak kisah? Eryssa mulai disiram perasaan cemburu yang membuak-buak. Tidak mungkin dia membiarkan perkara itu berlaku. Lantas apakah hubungan antaranya dengan Zeek jika bukan kekasih sekiranya dia boleh berperasaan begitu. Eryssa semakin berserabut.

Tanpa sedar, dia menyulam jari-jemari Zeek dan menggenggamnya erat. Manakala kepalanya dilentukkan ke bahu pemuda itu. Kepalanya rasa berat pula tiba-tiba memikirkan apakah hubungannya dengan Zeek.

Best Friend Forever? Zeek tersenyum lucu. Nampaknya dia dan Eryssa sama sahaja. Kedua-duanya menyembunyikan perasaan sebenar. Entah sampai bila mereka harus begitu?

ZEEK menghantar Eryssa pulang ke rumah hampir jam 12 tengah malam. Itu pun dia masih belum puas berbual bersama gadis itu. Selama setahun, selepas pulang dari melanjutkan pelajaran di luar negara, Zeek menyimpan hasrat mahu bertemu dengan gadis pujaan hatinya itu. Namun niat tersebut terpaksa dikekang lantaran kedudukannya di Malcel ketika itu masih goyah. Kini dia sudah boleh ‘berlari-lari anak’ di Malcel. Sungguhpun taring sebenarnya masih disembunyikan, Zeek sudah yakin yang dia boleh mengorak langkahnya dengan berhati-hati.

“Esok kita keluar makan tengah hari bersama. Saya jemput awak.” Zeek seperti tidak mahu melepaskan tangan Eryssa.

“Awak nak jemput saya di mana?” Seingat Eryssa dia masih belum memberitahu Zeek di mana dia bekerja sebenarnya. Tentu Zeek menyangka dia bekerja di Restoran Tijani’s.

“Esok saya tunggu awak di lobi Channel 11. Kita keluar makan di restoran berdekatan saja.”

Eryssa terkejut apabila Zeek tahu di mana dia bekerja ketika itu.

I know almost everything about you, my dear.” Senyum Zeek. Walaupun dia tidak berpeluang bertemu dengan Eryssa selama ini, berita mengenai hidup gadis itu sentiasa sampai ke pengetahuannya. Dia sanggup mengupah penyiasat persendirian gara-gara mahu mengintip pergerakan gadis itu. Bimbang benar dia jika Eryssa terlepas ke tangan orang lain.

“Awak ni...tak adil tau. Awak tahu segala-galanya mengenai saya. Tapi saya sendiri tak tahu apa-apa mengenai awak.” Eryssa mula menyedari hakikat itu. Tidak banyak yang dia tahu mengenai diri Zeek sebab selama ini dia tidak pernah kisah akan hal itu.

“Awak dah tau segala-gala yang awak perlu tahu mengenai saya.” Zeek cuba menyedapkan hati Eryssa. Sebenarnya dia tidak mahu Eryssa menyiasat mengenai dirinya. Hanya dengan menekan nama penuhnya di laman enjin carian Google, Eryssa pasti tahu siapa dirinya ketika itu. Dia sudah tidak boleh merahsiakan perkara itu lebih lama lagi. Esok, dia berjanji mahu membongkar segala-galanya.

“Kita jumpa esok.” Zeek menguncup belakang tangan Eryssa. Dulu semasa zaman persekolahan, dia memang selalu buat begitu tatkala mahu berpisah dengan Eryssa.

“Okey.” Eryssa menarik tangannya perlahan-lahan. Nampaknya Zeek masih belum lupa berbuat begitu. “Pandu kereta elok-elok,” pesanannya kemudian.

Eryssa berdiri di luar pagar sehinggalah kereta Zeek hilang dari pandangan. Sewaktu dia melangkah masuk ke dalam rumah semi D dua tingkat itu, keadaannya sunyi dan suram menandakan Tijani dan Walin sudah lama diulit bahtera mimpi. Rumah itu milik Tijani dan suaminya. Tetapi kini Tijani tinggal sendirian kerana suaminya dihantar bertugas ke Dubai selama tujuh tahun. Disebabkan tidak berani tinggal sendirian, Tijani telah mempelawa rakan baiknya sewaktu di universiti dahulu tinggal bersama-sama dengannya buat sementara waktu.

Eryssa naik ke tingkat atas dan menuju ke biliknya yang bertentangan dengan bilik Tijani. Bilik Walin terletak di sebelah biliknya dan bertentangan juga dengan bilik tidur utama itu. Ruang di antara bilik mereka dengan bilik tuan rumah ialah ruang rehat tempat di mana mereka sering duduk menonton televisyen.

Selepas membersihkan diri dan menyarung gaun tidur betali halus, Eryssa segera membongkar kotak-kotak pelbagai warna dan corak yang disorok di bawah katil. Kesemua kotak-kotak itu menyimpan pelbagai nostalgianya semasa zaman persekolahan. Sudah lama kotak itu dibiarkan berhabuk di bawah katil. Eryssa mencapai sebuah album gambar. Dia tersenyum membelek gambar-gambar lamanya bersama Zeek, Si Rambut Kembang.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin