BAB 10

Zakry batuk berdarah! Lagi mengerikan, darah seolah-olah memancut keluar dari mulutnya. Tidak cukup dengan itu, hidungnya juga mengalirkan darah yang amat banyak seperti air paip yang mengalir deras.

"Lailahaillallah..." Cepat-cepat Tan Sri Muda mendapatkan anaknya.

'Ya Tuhan, ujian apakah yang Engkau berikan kepadaku hari ini?' Hatinya merintih pilu. Semuanya berlaku secara tiba-tiba!

"Pa, sakit pa!" raung Zakry sambil berguling-guling di atas lantai.

"Tolong..." raungnya lagi sambil mengerekot sakit.

Pak Yanto yang baru sampai menelan air liur melihat situasi panik tersebut. Mila dengan cara Mila, Zakry dengan cara Zakry. Dalam keadaan itu, otaknya tidak mampu berfikir dengan betul.

"Ambulan, Yanto!" Jeritan daripada Tan Sri Muda pantas menyedarkannya. Laju tangannya mendail nombor telefon hospital.

"Pa, panas! Panas!" Zakry menjerit-jerit bagaikan orang kerasukan.

"Zakry..." Hati tua Tan Sri Muda begitu tergugah.

"Air, air! Bagi aku air. Panas!" Darah menyeruak lagi keluar dari mulut Zakry.

Badannya terasa seperti dicincang lumat dengan 300 bilah mata pedang. Azab panasnya tidak terkata. Terngiang-ngiang juga di telinganya bunyi seakan-akan sami Buddha membaca mantera dalam bahasa Siam.

Dalam keadaan itu, hatinya tiba-tiba terdetik sesuatu. Inikah balasan atas perbuatan jahatnya kepada Mila selama ini? Adakah perilakunya begitu tidak berperikemanusiaan?

"Mengucap, nak." Tan Sri Musa mengajar Zakry mengucap.

"Sakit, pa..." Air mata Zakry meleleh membasahi pipi lalu bercampur dengan darah.

Sakitnya bukan kepalang. Tidak tertanggung lagi azab kesakitan yang seolah-olah memulas usus dan menarik tali perutnya. Kalaulah boleh dizahirkan, rasanya boleh nampak perutnya terburai.

"Pergi! Pergi!" jeritnya pula.

Makhluk jenis apakah yang berdiri di hadapannya sekarang? Hodoh sekali! Lebih hodoh daripada hantu yang selalu muncul di kaca TV. Ya Tuhan, makhluk itu menjilat darahnya dengan rakus!

"Zakry..." Suara sang papa menerpa lagi di telinga disertai dengan ucapan syahadah.

"Zakry? What happened to you?" Tiba-tiba, Zakry terdengar suara asing menyapa pendengarannya.

"Trisha?" Suara papanya menembusi pula di telinga.

"Uncle, kenapa dengan Zak?" Suara Trisha bergetar panik.

"Uncle tak tahu." Tan Sri Muda menggeleng berkali-kali.

Mendengar jawapan Tan Sri Muda, pantas Trisha mendapatkan Zakry lalu meneliti kondisi kekasihnya. Ketika itu jugalah, hatinya meluap marah. Tak guna punya Tok Chai Buang!

Tanpa berkata apa-apa, Trisha terus bangun lalu berlari keluar dari rumah tersebut lalu segera ke keretanya. Dia datang ke sini untuk mencalit ubat guna-guna kepada Zakry, bukannya nak tengok lelaki itu dipergunakan!

Dengan hati menggelegak panas, dia segera menekan pedal minyak lalu arah rumah Tok Chai Buang ditujunya. Petang ini, dia mahu membuat perhitungan dengan si bomoh Siam berambut panjang itu!


*****


Tan Sri Muda tunduk menekur lantai. Pintu bilik kecemasan masih tertutup rapat. Pak Yanto dan Ibu Yanti yang berada di sisinya tidak dihiraukan dek dia lebih gusar akan kondisi anak dan menantunya.

Ketika itu, penyesalan datang bertimpa-timpa di pundaknya. Oh Tuhan. Sungguh kerana kebodohannya, tanpa sedar dia telah menzalimi Mila. Kerana kesibukannya, dia gagal mendidik Zakry.

"Ya Allah..." Air mata Tan Sri Muda mengalir laju membasahi pipi.

Apa solusi terbaik untuk menebus kesalahannya kepada gadis sebaik Mila? Sungguh dia tak sangka yang selama ini gadis itu diseksa fizikal dan mental oleh anaknya. Tapi, sikit pun Mila tidak mengadu. Ya Tuhan...

Dalam dia terpunduk sayu, tiba-tiba pintu bilik kecemasan terbuka lalu keluarlah doktor yang merawat. Mereka memaklumkan yang kondisi Mila baik tetapi malangnya, anak di dalam kandungan tidak dapat diselamatkan.

"Ya Allah..." Lutut Tan Sri Muda berasa lembik. Hampir dia tersungkur jika tidak sempat dipegang oleh Pak Yanto.

"Mila, papa minta maaf," raungnya.

"Papa bersalah dengan Mila. Maafkan papa." Tan Sri Muda menepuk-nepuk dinding. Sungguh hatinya sakit dengan berita itu.

Tidak lama kemudian, pintu bilik kecemasan sebelah lagi terbuka pula. Kali ini, ekspresi wajah doktor yang merawat nampak kelam. Tunduk saja wajah doktor yang berusaha menyelamatkan Zakry.

"Macam mana anak saya, doktor?" Bibir Tan Sri Muda bergetar hebat.

"Saya minta maaf. Pesakit berada dalam keadaan sangat kritikal. Harap tan sri bersedia dengan segala kemungkinan." Doktor tersebut menunduk sedikit sebagai menzahirkan ucapan takziah.

"Ya Allah..." Tan Sri Muda berasa jantungnya berhenti berdegup. Tidak semena-menanya, nafasnya terasa sesak dan sakit jantungnya menyerang kembali. Terus dia hilang kesedaran.

"Tan sri? Tan sri!" Doktor itu terus menerpa ke arah Tan Sri Muda lalu segera memulakan rawatan kecemasan.

Ruangan bilik kecemasan tersebut kembali kecoh. Ketiga-tiga orang ahli keluarga Tan Sri Muda dikejarkan serentak ke dalam unit kecemasan. Oh Tuhan, bala apakah yang menimpa keluarga ternama ini?


*****


"Tok chai!" tempik Trisha seraya menolak kasar pintu rumah Tok Chai Buang sekuat hati.

"Apa lagi?" Tok Chai Buang menjeling tajam kepada Trisha.

Dia sedang memuja syaitan ketika gadis itu muncul. Seketika, batang tubuh gadis berpakaian seksi yang menampakkan lurah buah dada dikerling sekilas.

Melihat kepada raut marah Trisha, nampaknya rancangannya sudah berjaya. Itulah, jangan main tipu dengan dia, pengamal ilmu hitam dari Siam.

"Apa ni tok? Aku suruh kau santau perempuan tu, bukan Zakry!" marah Trisha.

"Duit pengeras kau bagi tu tak cukup," balas Tok Chai Buang selamba.

"Ah, aku tak kira. Tarik balik santau kau kepada Zakry aku!" tempik Trisha.

"Zakry kau? Heh! Jangan harap!" Tok Chai Buang menarik senyuman sinis.

"Tak guna!" jerit Trisha semahu-mahunya.

Dia tahu jenis santau yang dihantar oleh bomoh itu kepada Zakry. Santau tuju. Hanya pengamal ilmu hitam berilmu tinggi mampu membuat santau maut itu. Siapa yang terkena, memang peluang hidup amat nipis!

"Hei, sedarlah sikit perempuan. Kau takkan mampu pun dapatkan cinta jantan tu." Suara Tok Chai Buang naik seoktaf.

"Tipu!" Trisha enggan menerima kenyataan.

"Kau tu boneka dia je. Kau ingat perempuan kotor macam kau ni layak ke dapat cinta dia?" Bomoh itu ketawa keras.

"Tak layak!" tekannya pula.

"Kau main kayu tiga belakang dia. Dah berapa ramai jantan 'rasa' kau? Kau ingat dia tak tahu perbuatan kau? Sebab tulah sampai ke sudah dia tak jadikan kau bini. Kau tu layak jadi perempuan simpanan je!" hinanya lagi.

Bait-bait kata yang keluar dari mulut Tok Chai Buang bagaikan tamparan besar buat Trisha. Sungguh dia tak sangka yang bomoh itu boleh tahu rahsianya.

"Tak guna!" Trisha mengetap bibir.

Matanya meliar ke sekeliling dan akhirnya, sorotan berhenti pada sebilah keris di atas dulang. Tidak semena-mena, otaknya memberi isyarat supaya bertindak sebelum bomoh itu memecahkan rahsianya kepada jantan lain yang pernah ditidurinya.

"Kau patut mati!" Pantas dia mencapai keris tersebut lalu cuba menikam Tok Chai Buang.

Bomoh itu pula apabila melihat tindakan agresif Trisha, terus mulutnya terkumat-kamit membaca mantera bagi memanggil 'tentera ghaib'. Namun, tindakannya sia-sia apabila gadis itu terlebih dahulu berjaya menikam dadanya.

"Mati! Mati! Mati" Bertalu-talu Trisha menikam dada Tok Chai Buang sampailah bomoh Siam berkaki kudung tersebut habis umur dengan mata terbeliak.

"Hahaha!" gelak Trisha semahu-mahunya.

"Zakry... tunggu aku. Aku nak jadi isteri kau. Kau mesti dah tunggu aku di syurga kan sayang?" Trisha ketawa dalam air mata.

Selepas bomoh itu mati, suhu di dalam rumah itu terus menjadi sejuk dan panas bersilih ganti. Aura seram semakin mencengkam. Keris berlumuran darah di tangannya pula ditenung tanpa perasaan.

"Sayang..." sengih Trisha.

"Jumpa sayang di syurga..." Terus dia menikam perutnya sendiri.



Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.