Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 4

Hisamiko menangkap Yoshihisa yang melongo dan melopong. Dia mahu menegur mulanya, namun pada fikiran kedua dia membiarkan sahaja.

 

Yoshihisa agak bingung bagaimana kewujudan pulau tersebut diketahui oleh syarikat itu sedangkan beliau tidak pernah menghebahkan berita mengenai penemuan pulau tersebut setelah kembali ke Jepun. Fikirannya kembali tertancap pada lelaki misteri yang menasihati kapten kapal.

 

Siapakah lelaki yang menasihati kapten kapal? Siapa?

 

Soalan itu bermain berputar dalam benak Yoshihisa. Dia cuba memendamnya, namun ia bergema merasuk, kian kuat dan merengsakan. Dia mengesyaki lelaki itu tahu segala-galanya berkenaan Yumejima dan dialah yang membongkarkannya kepada syarikat. Tidak, tidak mungkin. Sewaktu aku menaiki rakit meninggalkan Yumejima dahulu, hanya Genjirou yang masih hidup. Genjirou si pembunuh gila, sang khianat yang akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mengambil emas di pulau itu.

 

Masih adakah yang hidup di pulau itu selain dari pembunuh gila itu? Bagaimana dengan Tomokazu? Juga Hideki? Hanya dua orang itu yang aku belum benar-benar pasti kematian mereka. Tomokazu aku bilang sudah jatuh gaung sewaktu kami melarikan diri dari Genjirou. Hideki pula sudah ditikam matanya oleh sang khianat itu. Hideki melarikan diri sambil menekup matanya yang berdarah-darah, Genjirou mengejarnya. Aku bilang Genjirou sudah membunuhnya, namun aku tidak benar-benar pasti. Genjirou mungkin gagal mengesannya.

 

Dan Katagiri...

 

Tangan Yoshihisa menggigil tiba-tiba. Katagiri sudah mati dibunuh Genjirou. Aku menyaksikannya sendiri.

 

Aku yakin kedua-dua atau salah seorang daripada mereka kembali ke Jepun, kemudian membocorkan rahsia pulau ini, termasuk namanya. Hanya rombongan kami yang menggelar pulau itu Yumejima. Pasti mereka sedang berada bersama syarikat kami. Sama ada di ibupejabat Kyushu atau di dalam kapal ini sekarang.

 

Seperti lelaki misteri yang menasihati kapten itu.

 

**

 

Sepanjang berada di atas kapal, Yoshihisa sentiasa berjaga-jaga. Dia sebenarnya masih bimbang sekiranya pembunuh gila itu yang juga bekas rakannya masih hidup dan bersembunyi di pulau itu dan cuba menjejakinya atau sedang memerhati dari jauh.

 

Yoshihisa berkira-kira mahu mengekori lelaki penasihat kapten.

 

Lelaki penasihat kapten kapal bertugas menasihati arah yang sesuai ke destinasi dan memberitahu kedudukan semasa kapal dan kapten akan memutus bagaimana mengemudi kapal, sama ada mematikan enjin atau menggunakannya dan juga berapa banyak pusingan roda kemudi. Kapten kapal juga bertanggungjawab mengendali kecukupan bahan bakar arang batu dan bekalan makanan dalam kapal.

 

Kapal yang dinaiki Yoshihisa ialah kapal enjin stim yang dibina seorang perekacipta Jepun selepas mempelajari stim enjin dari seorang diplomat Rusia di Kyushu. Kapal jenis ini digerakkan oleh kuasa arang batu yang akan memanaskan stim di dandang, menghidupkan enjin dan menggerakkan kapal. Ia mengeluarkan asap tebal hasil pembakaran arang batu. Dahulu, ketikamana geliung (sejenis kapal berlayar dan digerakkan kuasa angin dan pendayung) digunakan, peranan kapten dan jurukemudi dilakukan individu yang sama. Jurukemudi membaca sekeping manual yang dipanggil ‘rutter’ atau pelan kemudi dan menafsirnya demi menentukan kedudukan semasa kapal berpandukan struktur tanah, kedalaman laut, kewujudan dan jenis kekarang dan kekuatan angin. Namun selepas kapal stim diperkenalkan, peranan ini dipecahkan kerana kapten kapal juga harus mahir mengendali kecukupan bahan bakar seperti arang batu dan juga kejuruteraan enjin stim, suatu yang berat untuk dilakukan seorang individu. Jurukemudi biasanya terdiri dari kalangan pelayar berpengalaman dan tahu selok-belok laluan pelayaran.

 

Yoshihisa mengesan peluang. Lelaki penasihat kapten atau jurukemudi ini selalunya akan ke bilik enjin sewaktu tengahari. Yoshihisa memerhati kerapkali lelaki itu lelap di bilik enjin. Bilik enjin bising datar dan menutup segala bunyi lain, memudahkan sesiapa jua tidur tanpa gangguan. Yoshihisa tidak menyedari bahawa dia turut diekori Ryouji. Ryouji masih menyimpan sedikit curiga terhadap Yoshihisa.

 

Yoshihisa sememangnya menyedari lelaki misteri ini tidak pernah membuka mata sebelah kanannya. Dia mengesyaki lelaki ini Hideki, rakan yang ditikam matanya itu puluhan tahun lampau. Mujur dia sedang tidur. Mudah Yoshihisa mengambil kesempatan mengamati wajahnya.

 

Jelaslah dia Hideki! Sekarang dia berjambang pula.

 

Oi, Hideki. Engkau Hideki bukan?” Tegur Yoshihisa perlahan. Lelaki itu masih berdengkur.

Yoshihisa mengejutkannya dengan menggoncang bahunya.

 

Oi, okite (Bangunlah).”

 

Lelaki berjambang lebat itu mengerut dahi dan membuka mata kirinya perlahan-lahan. Mata kanan masih terkatup rapat. Dia terkejut dan bangun menegak, mengambil topi di atas meja dan menyarung pantas ke kepala, seraya cuba melarikan diri. Yoshihisa memegang tangannya.

 

“Engkau Hideki bukan?”

 

Lelaki itu mendengus. Tangan kiri lelaki itu sudah di pinggang cuba menarik keluar tantou, namun membatalkannya tatkala mendapati suara itu seperti pernah didengarinya. Ia benar suara rakan lamanya Yoshihisa.

 

“Mengapa engkau di sini Yoshihisa?” Soal lelaki itu perlahan, ada keluhan di hujung kata-katanya.

 

“Itu soalanku juga. Aku bilang kau telah mati.”

 

“Berpantang maut sebelum ajal.”

 

“Engkau yang membongkarkan pulau itu kepada syarikat?”

 

“Jadi? Engkau marah denganku? Kerana engkau terpaksa berkongsi emas itu?”

 

“Bukan begitu. Engkau tahu bukan Genjirou amat berbahaya? Apakah engkau tidak menasihati syarikat? Engkau tidak bimbang kita semua bakal dibunuhnya pula nanti?”

 

“Yoshihisa, kita punya petarung handalan di sini. Engkau pun kenal mereka bukan? Okuhida itu. Pasukan pelindung kita bukan calang-calang.”

 

Sebelum sempat Yoshihisa menyampuk, Hideki menambah, “Entah-entah si khianat itu sudah lama mati kebuluran di sana. Harap kita tidak lagi bertemunya.”

 

“Apa terjadi denganmu selepas ditikam mata?”

 

“Engkau menyaksikannya?”

 

“Aku ada di balik belukar. Maaf aku tidak berani campur atau aku turut ditikamnya.”

 

“Seperti yang kaunampak, aku lari dan dikejar. Mujur dia tak dapat mengesanku.”

 

“Bagaimana kau keluar dari situ?”

 

“Panjang kisahnya.”

 

“Pendekkan.”

 

“Ia aneh.”

 

“Aku tidak kisah. Ceritakan.” Yoshihisa mendesak.

 

“Aku didorong bayu entah dari mana. Dan sedar-sedar aku dalam kapal penangkap paus Amerika.”

 

“Hah?”

 

“Mereka membawaku ke Dejima. Aku tinggal di sana sebelum membongkarkan rahsia pulau ini kepada syarikat sekarang.”

 

“Sebentar, jelaskan lanjut berkenaan bayu itu.”

 

“Aku tak tahu bayu dari mana. Aku diangkat dan dipengsankan. Sedar-sedar aku berada di dalam kapal.”

 

Yoshihisa diam sejenak memikirkan kisah aneh Hideki. Dia mengamati wajah Hideki dan tidak meragui kesahihannya.

 

“Pulau itu aneh, Yoshihisa. Emasnya pun sungguh aneh. Wujud dalam bentuk tulen bukan bijih. Siapa pun akan gila melihat emas begitu. Dan aku ada nampak binatang...”

 

Yoshihisa menyambung soalan langsung memotong Hideki yang cuba menambah cerita.

 

“Apakah kau telah nampak dan cam bahawa aku di atas kapal ini?”

 

“Mengapa engkau tanya?”

 

“Hanya jawab soalanku.”

 

Hideki mengeluh.

 

“Aku nampak.” Balas Hideki perlahan. Dia menyambung.

 

“Mustahil aku tak kenal kau, kita sama-sama jurukemudi dahulu. Agak terkejut juga bagaimana engkau masih hidup. Namun aku buat tak tahu, bimbang engkau berdendam kerana meninggalkan engkau di pulau itu. Yoshihisa, aku harap engkau faham.”

 

Dan engkau takut bukan aku akan membongkarkannya? Yang engkau juga telah membunuh salah seorang ahli rombongan kita. Usah risau Yoshihisa. Aku tidak akan membongkarkannya. Kita sama-sama mahu bertahan sehingga projek ini berakhir, kembali ke Jepun dan meneruskan hidup masing-masing. Aku tidak mahu berkonflik dengan sesiapa pun di sini.  

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov