Home Novel Cinta Khaisyar
Khaisyar
Raha
10/9/2022 14:16:06
21,666
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

"Aku terima nikahnya, An-Nur Khaira Makayla dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit lima puluh sen tunai bersama senaskhah al-quran"


"Sah?"


"Sah."


Tangannya yang kian sejuk mula melepaskan  genggaman tangan tua seorang insan yang kini layak bergelar ayahnya.


Kepalanya yang sedari tadi menunduk mula diangkat. Matanya terus berhadapan dengan si ayah yang terduduk lemah di atas kerusi roda. Meskipun begitu, keinginannya untuk menjadi wali tidak mampu dibantah sesiapa. 


Dia kemudiannya membawa pandangan ke arah wajah wanita yang kini sudah bergelar isterinya lalu ditatapnya. Lama. 


Tok imam yang turut ada ketika ijab kabul mula membaca doa. Seluruh umat manusia yang berkumpul di ruang tamu rumah kayu itu yang hanya terdiri beberapa ahli keluarga terdekat dan orang-orang masjid turut mengaminkannya.


Air mata lelakinya cuba ditahan sebaik mungkin. Apatah lagi saat melihat muka tidak berperasaan si isteri. Sedikit sebanyak, hatinya terguris. Namun tetap cuba dikuatkan menyedari keputusannya untuk menikahi wanita itu.


Dan dia janji. Penyesalan tak akan hadir untuk keputusannya ini.


Dia mula bangkit dari duduk. Sejadah yang sudah teesedia disidai di suatu ruang diambil dan dibentang. Sujud syukur dilakukannya.


Saat dahinya menyentuh sejadah, terus saja air matanya meluncur laju. 


'Tuhan, aku berterima kasih atas ketentuan-Mu. Tuhan, kuatkan hati aku untuk lalui segalanya selepas ini. Tuhan... semoga mahligai yang dibina bakal kekal- hingga syurga.'


Matanya dipejam rapat. Laju saja mutiara jernih itu membasahi ruang pipinya dan terus-terusan membasahi sejadah.


'Tuhan... aku cintakan dia. Namun pasti... tak akan melebihi cintaku kepada-Mu.'


Dia mula bangun dari sujud. Dibiarkan saja air mata yang masih bersisa. Salam diberikan.


Setelah usai segalanya, dia mula bangkit. Sejadah dilipat dan digantung semula.


Langkah kakinya dibawa pergi ke arah insan yang sudah bergelar isteri. Dia sekali lagi menatap lama wajah cantik tersebut. Perlahan-lahan, senyumannya mula terukir, penuh keikhlasan.


Tangannya cuba untuk memegang wanita tersebut. Suara-suara yang menyuruh mereka bersalaman atau lebih mesra digelar 'acara pembatalan air sembahyang' mula memenuhi ruang. Namun, setiap kali dia ingin memegangnya... setiap kali itu juga dia cuba mengelak.


Dia...


Tak pernah memegang sang hawa.


Lama dia berjeda. Khaira yang sedang memandangnya dengan riak kosong turut berdiam diri.


Perlahan-lahan, dia mengangkat tangan kanannya memegang kepala Khaira yang masih dibaluti tudung bawal berwarna putih bersih, sama warna dengan baju melayu yang disarungnya ketika ini.


Bacaan doa dibaca perlahan. Namun cukup untuk sampai pada deria pendengaran milik Khaira.


"Allahumma inni as'aluka min khairina wa khairi ma jabaltaha 'alaihi. Wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha 'alaihi."


Riak keliru Khaira hanya dibiarkan. Wajahnya didekatkan sebelum sebuah kucupan diberikan ke arah dahi si isteri.


Khaira...


Kau yang pertama.


Dan kau juga yang terakhir. Aku janji. Bisiknya sendiri.


Lama mereka dalam keadaan seperti itu sebelum akhirnya dia melarikan wajahnya menjauh. Bauan wangi bunga ros semakin lama semakin menusuk masuk ke dalam rongga hidungnya.


Tangan Khaira diambil. Dia mengelus lembut tangan putih itu. Jari manisnya dicapai dan dia mula menyarungkan cincin emas yang telah dibelinya khas untuk wanita yang dicintai sebelum mengucup tangan itu penuh rasa sayang.


Meski dia tahu... hati perempuan itu sedikit pun tiada tertulis namanya.


Dia mula berura-ura ingin bangkit namun, tiba-tiba saja namanya diseru perlahan.


"Am." Wajahnya kembali dikalihkan. Senyuman manisnya ditayangkan khas kepada wanita tersebut.


Dan ini, adalah kali pertama dia senyum begitu kepada seorang perempuan selain ibunya. 


Jelas dipendengaran Amsyar, ada dengusan kecil yang berbunyi. Namun, senyumannya itu masih dikekalkan khas buat si isteri.


"Aku tak cintakan kau, Am. Aku buat sebab ayah." Walaupun keras, namun sedaya upaya dia memerlahankan suaranya supaya tidak didengari insan lain. 


Senyumnya terus mati. Tapi terus saja dia mengawal riak wajahnya. "Sekeras apapun Khaira tak cintakan Am... Am tak akan putus asa dari mencintai Khair..." 


•••


Khaira memghempaskan badannya kasar ke atas tilam. Bunyi 'krak' kayu yang seakan-akan mahu patah langsung tidak diendahkan. Rasa penatnya yang tidak boleh dibawa bincang lebih menjadi perhatiannya ketika ini. Mana tidaknya, dia menjadi pengantin hari ini. Walaupun mereka tidak buat majlis resepsi... tetap juga dia dan si ayah membuat makan-makan meskipun makanan itu hanya ditempah. Sekadar ingin memaklumkan kepada keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan juga jiran-jirannya yang dia sudah berkahwin. Penting bagi mengelakkan tercetusnya fitnah.


Keluhan dilepaskan. Hari ini saja, sudah entah berapa kali dia mengeluh.


Matanya dipejam rapat. Sedar-sedar saja... dia sudah menikah. Sudah sah menjadi isteri seorang lelaki.


Suaminya, Muhamad Amsyar Ziaulhaq. Insan yang dia hanya berjumpa dua ke tiga kali. Menjadi pilihan si ayah untuk menjaganya.


Tanpa dia sedikit pun mencintai lelaki itu.


Benar, dia pernah kagum dengan susuk itu. Susuk yang sentiasa meletakkan agamanya sebagai pegangan. Namun, saat hatinya tidak mahu... dia tetap tidak mampu memaksa dirinya sendiri.


Khaira kembali bangkit dari pembaringan. Meja kecilnya ditujui dan dia mula membuka sarungan tudung bawal putih yang sudah barai dari atas kepalanya. Rambut hitamnya kini sudsh dapat bernafas semula setelah sekian lama diperap dalam balutan tudung. 


Tuala yang tersangkut elok pada almari pula diambil. Tuala itu dililit pada bahagian pingangnya yang masih dibaluti kain. Dia ingin menukarkan kain tersebut dengan seluar yang lebih selesa memandangkan sudah tidak ada tetamu di rumah ini.


Baru saja dia ingin melucutkan kainnya, telinganya menangkap bunyi pintu bilik yang dibuka. Terus pamdangannya dikalihkan memandang ke arah pimtu tersebut.


Saat dia melihat ada seseorang masuk, matanya semakin membulat. Kainnya itu kembali ditarik.


Figura yang berada di bahagian pintu itu juga jelas terkejut melihatkan keadaan Khaira yang tidak bertudung. Pandangangannya dialihkan ke arah dinding di sebelahnya dari terus memandang Khaira.


Ah, dia sepatutnya ketuk pintu dulu tadi.


Khaira yang sudah menyedari situasi yang sedang berlaku mula bersuara. "Kau dah kenapa main terjah bilik aku?" Suaranya jelas kedengaran keras. 


"Sa... saya tanya bilik dekat mana. Diorang semua suruh saya masuk bilik ni. Mana saya tahu ni bilik awak." Panjang lebar dia menjelaskan.


Khaira mendengus. Rumahnya sememangnya ada dua bilik saja. Satu lagi, bilik ayahnya. Yelah... tak akan orang suruh Am masuk bilik ayahnya, kan?


Am yang masih tidak memandangnya hanya dibiarkan. Dia yang masih berpakaian lengkap menyarungkan semula tudung yang masih di atas kepala lalu terus keluar dari bilik untuk menuju ke arah tandas yang berada di luar bilik. 


Pintu tandas ditutup. Badannya disandarkan pada bahagian pintu tersebut bersama mata yang terpejam rapat.


Ya Allah... Tak akanlah?


Tak akanlah dia kena duduk sebilik dengan lelaki tu, hari ini?


Bawah bibirnya digigit. Memikirkan saja sudah buat dia rasa nak pindah alam.


'Huwarghh... Macam mana nak setle ni?' Bisiknya sendiri.


•••

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raha