Siapa CINTA pertama kamu?
TUHAN atau MANUSIA?
Cinta Pertama
bagi aku adalah pastinya
ketika celik mata lahir ke dunia
milik IBUKU
tapi manusia mana yang tak pernah kecewa
Cinta pun bisa...
KABUR
------------------------------------------------------------------
CUTI semester datang lagi. Sebulan seperti kebiasaannya. Tiada siapa juga yang jemput aku dari sekolah usai loceng sesi akhir persekolahan berkumandang. Rakan-rakan yang lain sudah ada yang dijemput keluarga, ada pula yang masih berkemas dan bakal pulang esok hari. Aku? Huh! Aku masih berkira-kira sama ada perlukah aku balik atau tinggal sahaja di asrama bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
Tapi kali ini nampaknya aku tiada pilihan. Selalunya jika cuti semester akhir tahun, pelajar dari Sabah dan Sarawak pun tak mahu tinggal bermukim di asrama ini. Mereka pun akan terbang balik naik belon. Tak kan aku nak tinggal sendiri? Walau aku ini nampak macam 'macho' tapi bila tiba bab paranormal, memang aku tak sanggup.
"Bila kau nak berkemas? Berangan je kerja kau ni."
Aya, kawan sebilik aku menegur bila dia masih tengok aku masih terbaring, goyang kaki atas katil. Aku cuma pandang gadis itu sekilas.
"Oi! Kemas cepatlah," ujar Aya sekali lagi.
"Ala, apa pun aku nak bawa balik. Buku, baju dua tiga helai. Dah settle," jawab aku acuh tak acuh.
Gadis itu menggeleng kepala kemudian menyambung kerja mengemas barang-barangnya. Aku kembali mengelamun. Kalau aku balik pukul tiga petang, aku akan sampai ke daerah sana dalam pukul enam petang. Tolak, campur, darab, bahagi... aku akan sampai ke rumah dalam pukul tujuh malam. Kalau tiada siapa yang nak jemput aku dari simpang jalan besar tu, aku akan sampai ke rumah dalam pukul lapan malam. BERANI KE? Terus soalan itu melompat-lompat dalam kepala.
Tak boleh jadi. Aku kena balik sebelum pukul tiga petang. Aku tengok jam tiruan jenama Seiko yang aku beli dengan harga dua puluh ringgit di pasar malam berdekatan. Sudah pukul satu setengah petang. Tuala di birai katil segera aku capai lalu terus masuk ke bilik mandi. Selang lima belas minit aku sudah keluar semula.
"Oi! Mandi ke lap muka je? Cepat gila settle," tegur Fairus.
"Nak lama-lama buat apa? Mende sama je kau tengok. Bukan berubah pun. Jimatkan air lagi afdhal," jawab aku sambil aku sarung t-shirt dan seluar jeans.
"Ee... malaslah aku cakap dengan kau ni."
Aku terkebil-kebil tengok kawan yang seorang ini. Aku salah cakap ke? Logikkan apa yang aku cakap tadi?
"Kau balik naik apa ni?" tanya Aya tiba-tiba.
"Bas dua ringgit."
"Dengan siapa?"
"Entah. Siapa yang tunggu bas sama-sama nanti, dengan orang tu lah kut."
"Kak Nita tanya kau balik dengan siapa."
Aku cuma diam. Teringat pula pelajar senior tinggi lampai yang suka belanja aku makan walaupun sebenarnya aku tak suka. Dua tiga helai baju aku masukkan ke dalam beg sandang bersama dengan beberapa buku rujukan. Rambut aku yang sentiasa dipotong pendek itu aku keringkan sekali lagi kemudian aku sisir hanya menggunakan jari.
"Sikatlah elok-elok rambut tu, Syafi," tegur Fairus lagi. Aku pandang ke arahnya yang masih tak habis mengemas.
"Aku guna sikat pun rambut aku tetap macam ni. Tak kan berubah jadi rambut perempuan Melayu terakhir," jawab aku sambil aku sapu bedak Cuticura ke muka. Fairus cuma menggeleng kepala.
Cadar di katil aku tanggal dan lipatkan elok-elok bentuk saiz segi empat, kemas dan aku susun ke dalam locker bersama pakaian dan barang-barang yang lain.
"Huh! Macam locker askar!" tegur Maznah yang tiba-tiba muncul. Aku cuma pandang rakan yang aku panggil Cik Nah itu sekali imbas.
Memang aku telah terdidik oleh emak begitu teratur agar menyusun barang-barang sekemas yang boleh tapi aku rasa aku juga ada mild obsessive-compulsive disorder (OCD). Selesai berkemas aku segera mengenakan stokin dan sedia memakai kasut.
"Kau nak pergi mana?" tegur Aya.
"Eh! Aku nak baliklah."
"Oi! Bukan main laju kau bersiap. Betul ke nak balik ni?" soal Fairus pula.
"Betullah tadi beria suruh aku balik. Okey aku nak balik dah ni. Jumpa tahun depan."
"Oi! Kau tak nak peluk cium kami dulu ke? Sampai hati," Aya, budak paling pendek pernah aku jumpa buat muka sedih.
"Aku kalau peluk cium orang nanti terus kena tuduh skandal tapi sebab dah tak ada orang lain, mehlah sini aku peluk cium," ujar aku sambil tersengeh.
Aya, Fairus dan Cik Nah terus datang dan kami berempat berpelukan. Aku tinggalkan tiga rakan sebilik aku untuk beredar pulang.
Masuk ke lif tekan butang, turun. Sampai di lobi kelihatan Cikgu Maziah dan Ustazah Ramlah sedang berbual di ruang sofa. Macam mana nak mengelak ni? Fuh! minta-mintalah tak nampak.
"Syafi... awak dah nak balik?" Ah! Kantoi juga. Aku pun seperti biasa cuma tersengeh-sengeh dan mengangguk.
"Balik naik apa ni?" soal Ustazah Ramlah lagi.
"Bas," jawab aku, ringkas.
"Mari sini. Ambil ni," ujar Cikgu Maziah pula. Aku pun perlahan-lahan menghampiri dua orang guru warden tersebut.
Walaupun selalu sahaja berbual dan ditegur mereka tapi hingga kini aku masih rasa janggal. Cikgi Maziah segera menyerahkan sampul surat putih ke tangan aku. Aku sudah dapat mengagak apa isinya. Seperti kebiasaan dua guru warden itu akan memberi aku duit belanja setiap kali aku balik bercuti. Walaupun aku tak suka tapi takkan aku nak menolak pemberian orang. Cuma seboleh mungkin aku akan cuba mengelak untuk menerima.
"Tak apa cikgu saya ada cukup duit nak balik," aku beri alasan sambil silang tangan ke belakang.
"Ambil, nanti beli kasut sekolah baru."
Serta-merta pandangan aku tumpah ke arah kasut yang aku pakai. Kasut jenama Pallas yang tapaknya sudah semakin menipis menanti tembus dan kainnya yang semakin mereput menanti koyak. Kasut itupun adalah pemberian Fairus selepas dia membeli kasut yang baru. Aku kembali senyum selepas Cikgu Maziah memasukkan sampul surat putih itu ke dalam beg sandang.
"Awak ni Syafi, orang lain elok pakai baju kurung sekolah bila nak balik," tegur Ustazah Ramlah.
"Orang lain balik naik kereta ustazah, saya naik bas. Kalau ada orang kacau senang nak lari, nak sepak," jawab aku dengan muka innocent. Ustazah Ramlah hanya menggeleng kepala mendengar jawapan aku manakala Cikgu Maziah pula ketawa. Melihat waktu yang semakin berganjak aku segera minta diri untuk beredar.
Tak sampai sepuluh minit menunggu dalam cuaca panas terik, bas dua ringgit tanpa penghawa dingin tersebut tiba. Hanya aku seorang yang naik kali ini. Pelajar lain mungkin sudah pulang lebih awal. Aku ambil tempat paling belakang. Dalam bas cuma ada lebih kurang sepuluh penumpang termasuk aku. Semakin bas menjauh dari kawasan sekolah, semakin galak aku mengelamun. Tengok pokok, senyum. Tengok awan, senyum. Tengok langit, senyum. Bas lalu dekat pantai... tengok pula pantai, laut... senyum. Sedar-sedar, dah sampai ke daerah asal aku.
Penumpang terakhir yang turun bersama aku cuma tiga orang. Yang lain entah turun di mana aku pun tak perasan. Turun dari bas dua ringgit, aku terus mencari bas untuk balik ke rumah pula; seringgit untuk perjalanan selama setengah jam. Usai sampai di simpang jalan utama, aku masih berkira-kira untuk menelefon abah agar menjemput aku tetapi niat itu aku batalkan.
Jarak dari simpang jalan ke rumah bukanlah dekat. Kalau naik motor pun ambil masa empat puluh minit pergi dan balik. Basah jugalah baju dengan peluh tapi aku lebih senang berdikari. Lagipun sambil berjalan boleh layan perasaan. Sekitar pukul enam setengah petang barulah aku sampai ke rumah. Masuk sahaja kawasan pagar, dari jauh rumah kelihatan seperti kosong. Sunyi.
Aku ambil kunci dari poket beg, buka pintu dan pasang lampu. Sunyi. Kosong. Tiada sesiapa. Beg yang aku galas, aku letak elok-elok di tepi katil kemudian terus ke dapur, pasang lampu dan teguk air kosong. Jika lihat saiz rumah ini, orang luar mungkin sangka yang tinggal di dalamnya ada lebih daripada sepuluh orang, tapi rumah ini selalu sunyi.
Aku keluar semula ke verandah, lihat rumah jiran-jiran dari jauh. Bosan termenung di verandah, aku beredar pula duduk di pangkin yang dibina abah di bawah pokok rambai. Angin petang bertiup sepoi-sepoi, sejuk... memandangkan kedudukan rumah aku ini yang berdekatan dengan bukit dan sungai. Letih duduk, posisi aku ubah kepada berbaring pula. Tengok daun ditiup angin, ada yang gugur, senyum lagi. Tengok semut dan kerengga sibuk cari rezeki, senyum juga. Dengar burung murai becok berkicau, lagi lebar aku senyum. Ingatan pun menerawang...
"Anak kau tu aku tengok besar esok ramai yang suka," aku terdengar jiran kami pakcik Ali dan isterinya berbual dengan bersembang santai dengan emak selepas selesai berkebun. Umur aku ketika itu sekitar sembilan atau sepuluh tahun. Masih terngiang-ngiang bual emak dan jiran kami itu.
"Tapi itulah... cuba kau ajar buat kerja perempuan, lembut sikit. Tu tengok tu ha, dibiar dia baiki atap kandang lembu. Semalam aku tengok ikut naik baiki atap rumah. Anak kau tu perempuan."
Aku cuma dengar tapi buat-buat macam tak dengar. Sesekali aku perhati wajah emak untuk lihat reaksi. Seperti selalu emak cuma diam tak jawab sepatah pun. Kenapa semua jiran terdekat, kenalan-kenalan emak dan abah serta saudara-mara cakap perkara yang sama? Salah ke aku baiki atap kandang lembu atau atap rumah? Salah ke kalau aku panjat pokok kelapa? Salah ke kalau aku buat reban ayam dan bancuh simen?
"Baru sampai ke Syafi?" tegur Kak Wati mematikan lamunan aku. Aku segera berpaling ke arah datang suara. Kak Wati, anak Pakcik Ali senyum ke arah aku sambil tangannya sibuk mengangkat baju di ampaian. Aku angguk dan sengeh macam selalu.
"Mak, abah tak beritahu ke mereka balik kampung? Syafi tak beritahu mereka ke nak balik hari ni?" soal Kak Wati lagi. Aku senyum sambil geleng-geleng. Aku pasti Kak Wati mesti keliru sama ada aku geleng tak tahu keluarga balik kampung atau aku tak beritahu mereka aku nak balik hari ini.
"Berani ke tidur sendiri kat rumah tu? Kalau takut mari tidur sini. Malam ni nak makan apa tu? Mari makan kat rumah Kak Wati," ujar Kak Wati lagi. Sekali lagi aku geleng-geleng kepala. Aku lihat Kak Wati pun geleng kepala juga, mungkin tak faham dengan perangai aku yang daripada kecil tak banyak bercakap selain senyum.
Aku tengok jam di tangan dah berganjak ke pukul tujuh malam. Maghrib sudah semakin hampir. Cuaca pun sudah semakin gelap. Baik masuk rumah, mandi, solat dan makan apa yang ada. Aku memang tak pernah cerewet pun. Apa orang bagi aku pakai, aku makan dan aku guna tanpa banyak soal. Suka tak suka semuanya aku simpan sendiri.
Selesai solat isyak aku ke dapur rebus dua biji telur dan buat air kopi. Sementara tunggu telur masak, aku termenung lagi. Seingat aku, daripada kecil aku selalu kena tinggal. Selalu uruskan diri sendiri. Emak, abah dan adik-beradik yang lain pun ibarat bawa diri masing-masing. Kiri, kanan, atas, bawah aku perhati setiap penjuru ruang dapur, aku lebih suka sunyi yang begini daripada berada dalam ramai yang janggal.
Selesai makan ala kadar, aku ke ruang tamu, tengok tv. Tiada rancangan yang menarik pun. Bosan. Jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Di luar katak dan cengkerik sudah mula saling beradu suara. Aku buka pintu utama menghala ke verandah. Dulu waktu sebelum masuk ke asrama, aku selalu duduk di veranda ini dalam gelap seorang diri. Tabiat yang amat tidak digemari emak.
"Cubalah marah si Syafi tu abahnya. Malam-malam buta dia bangun buka pintu utama duduk dalam gelap kat verandah tu. Buatnya masuk pencuri ke, kena tarik dek orang jahat ke," emak pernah beritahu abah tentang perangai pelik aku.
"Awak yang nak beranakkan dia, awaklah tegur," kata-kata biasa abah yang selalu jadi santapan telinga aku kedengaran menjawab permintaan emak..
Kalau aku cakap, dunia aku lebih meriah dalam gelap dan sunyi malam, bukan ada orang percaya pun. Kalau aku cakap lagu angin dan tari daunan lebih romantis waktu malam nanti mesti ada yang kata aku gila. Dari verandah aku perhati langit penuh bintang. Bulan tak muncul pula malam ini. Aku boleh duduk macam ini berjam-jam tanpa jemu. Jika orang tanya, 'kau fikir apa?' aku akan jawab aku tak fikir apa-apa. Kosong. Tenang.
Dari pukul sebelas malam berganjak ke pukul tiga pagi, aku masih duduk di verandah. Sampai akhirnya aku rasa sakit pinggang kerana duduk terlalu lama dan cuaca pun semakin sejuk, barulah aku beredar masuk ke bilik. Baring tengok kipas berputar, tengok siling dan kembali dengar katak menyanyi. Tap! Tap! Tap! Bunyi embun jatuh dari pokok terus ke atap zink.
Aku tarik kotak kayu dari bawah katil yang aku buat sendiri. Masih elok bermangga seperti waktu aku tinggalkan dulu. Kuncinya aku jadikan loket rantai dan aku bawa ke mana sahaja. Kotak kayu ini adalah barang milik aku yang paling dibenci emak. Aku pun tak faham kenapa. Aku buka mangga dan buka kotak kayu, berkeriut bunyi engsel penutup kotak yang sudah berkarat.
Semuanya masih elok. Berapa buah buku berkulit tebal warna hitam yang elok tersusun aku keluarkan. Satu-persatu helaiannya aku selak. Senyum. Ketawa. Puas. Aku sendiri tak faham kenapa emak cukup benci tengok semua ini sedangkan semua ini adalah apa yang buat aku gembira. Salahkah jika aku gembira?
"Asyik berkurung dalam bilik, lukis menda tak berfaedah. Jangan sampai mak dapat semua, mak bakar hangus nanti!" terngiang-ngiang herdikan emak satu masa dulu.
"Biarlah mak. Dah itu yang dia suka," suara abang, lembut. Cuba menenangkan emak.
Aku selak kembali helaian buku di ribaan aku. Lakaran-lakaran yang aku hasilkan sendiri sejak aku mula pandai memegang pensel dan diberikan kertas. Daripada hanya lukisan cakar ayam hingga kepada yang jauh berbeza. Dari secantik-cantik lakaran hingga kepada sengeri yang terfikir di benak. Semua masih elok. Senyum. Ketawa. Puas.
"Kau tengok apa yang adik kau lukis ni. Buat malaikat tak masuk rumah!" jerkahan emak masih membingit.
Ah! Aku benci segala bunyi bernada tinggi. Ia buat jantung aku berdenyut lebih laju, buat telinga aku berdesing bingit dan buat segala amarah yang menyorok dalam diri bagai menjerkah tanpa sebab. Aku masih ingat buku lakaran, pensel warna dan semua alatulis aku dicampak emak keluar rumah. Rosak ditenggelami air hujan. Panas. Hati aku panas. Apa salahnya jika aku lukis segala yang terlihat dan terlintas dibenak ini? Bukan aku sakitkan sesiapa. Kalau aku lukis wajah abah dalam garis dan warna yang mengerikan sekalipun, bukanlah bermakna aku conteng muka abah secara realiti jadi begitu. Jika aku lukis wajah emak dengan garis dan warna-warna suram sedih, apa salahnya? Adakah salah jika aku sekadar menggambarkan isi hati dan apa yang terlihat daripada sudut pandangan aku?
Jika aku diam membisu, leka melayan perasaan sendiri, aku salah pada pandangan mereka. Jika aku cuba menampakkan isi hati daripada apa yang aku lukis... tetap, aku masih salah. Bukankah aku telah cuba berusaha memahami dan difahami? Ada masa aku terfikir kenapa manusia suka merumitkan sesuatu perkara. Contohnya, kenapa melihat laut dan ombak sebagai ganas? Kenapa tidak lihat laut cuba memujuk rawan hati dan ombak ibarat elus jari yang lembut menenangkan? Kenapa tidak mendengar desir ombak bagai pujuk rayu kepada hati?
Padangan mata aku kembali menyorot kepada lakaran dan lukisan dalam buku tersebut hinggalah aku menatap semula satu lukisan ketika aku berumur tujuh tahun. Lukisan pertama yang tidak sekadar cakar ayam atau orang lidi. Lukisan pertama yang buat abang aku terkejut ketika melihatnya. Lukisan pertama yang aku hasilkan berdasarkan imaginasi sendiri.
Ya, lukisan yang paling aku sayang hingga kini. Ia hanya lukisan aku dan emak sedang jalan berpimpinan tangan dari kebun balik ke rumah. Pertama kali aku melukis begitu teliti dan realistik. Lukisan yang buat mata emak berkaca dan buat aku pertama kali sedar aku sedih tapi tak mampu menyatakannya. Emak tidak pernah pimpin tangan aku seumur hidupnya dan aku tidak pernah gembira dan senyum seindah itu berpimpinan tangan dengan emak. Ia hanya imaginasi.
"Syafi tu Allah dah bagi kelebihan kat situ mak. Kenapa nak halang dia melukis?" tegur abang seperti selalu.
Daripada hanya sekadar melukis apa yang cantik-cantik, lukisan aku berubah tiga ratus enam puluh darjah menjadi kasar, ganas serta penuh sisi gelap yang tidak mampu digambarkan secara nyata. Mungkin kerana itu emak cukup benci dengan semua lukisan yang aku hasilkan. Emak dan semua orang tidak tahu lukisan-lukisan itu menjadikan aku waras meneruskan hidup.
"Kenapa Syafi lukis gambar abang kena ikat dengan rantai besi ni?! Doa supaya abang mati ke?!" bentak emak ketika terlihat aku sedang leka melukis di bawah pokok. Hampir setengah jam juga emak belasah aku dengan ranting pokok rambai, berbirat satu badan. Aku cuma diam dan terus diam seperti selalu. Emak, abah dan keluarga yang lain tidak pernah nampak apa yang bakal berlaku. Aku pemerhati diam yang lebih tahu.
Setelah puas melihat semula semua lukisan, aku tutup kotak kayu dan kunci semula. Kotak kayu itu kembali aku sorong ke bawah katil. Aku rebahkan semula badan ke tilam. Kipas siling yang berputar menjadi santapan mata yang seperti selalu, terlalu degil untuk lena. Bila sendiri begini, ingatan atas kisah silam begitu rancak menerjah.
Aku masih ingat, dari rekahan pintu bilik ini juga, aku mengintai emak yang masih leka menjahit baju ditemani liuk lintuk cahaya pelita. Kami sama-sama punya kesamaan... sulit untuk tidur, cuma emak tidak pernah tahu aku selalu memerhatikannya seperti malam itu, kala sunyi bertandang, emak sering kelihatan sendiri... menangis lagi.
Kefahaman aku tentang cinta dan kasih sayang kabur bersama rentak perjalanan kehidupan mereka di sekeliling. Ayah yang ada tapi serupa tiada. Ibu yang hanya memikirkan sedih nasib dirinya. Kakak yang sibuk mencari peluang untuk terbang meninggalkan rumah ini bagai rama-rama yang keluar dari kepompong dan abang yang lemas mencari damai yang sementara. Aku?
Aku yang cuba menjadi waras dalam dunia yang aku cipta. Sunyi tetapi tenang. Sendiri tetapi ditemani riuh alam. Dingin malam semakin terasa sedang mata aku masih galak menghitung putaran kipas. Jam di atas meja menunjukkan pukul enam pagi. Untuk apa tidur jika subuh sudah semakin menghampiri. Lebih baik terus jaga. Aku capai selimut, keluar dari bilik kemudian masuk ke bilik abang. Lelaki pengemas yang akhirnya tersungkur, dibeban oleh perasaan. Lelaki yang selalu melihat indah yang terlindung dalam diri adiknya ini gagal melihat indah dalam dirinya.
Ke mana abang menghilang kali ini? Mustahil abang ikut balik ke kampung. Mengenal sifat abang yang seorang itu, aku yakin abang mungkin sekarang hanyut meneroka mimpi bersama kapal selam kuningnya. Mungkin abang sedang bercanda melihat indah alam dalam mimpi namun nyatanya gagal melihat indah alam di dunia nyata. Dunia nyata ini juga seperti kaburnya kefahaman abang tentang cinta dan kasih sayang.
Aku capai bantal di katil abang. Cium dan dakap. Abang tak akan pernah tahu... aku rindu. Keluar dari bilik abang, aku kembali duduk sendiri di veranda menanti azan subuh dari surau berdekatan. Dari gelap verandah ini aku lihat lampu-lampu dari rumah jiran kiri dan kanan sudah terpasang. Manusia mati sudah hidup semula. Senyum. Syukur. Nanti dunia akan kembali gegak gempita dan aku akan buka pintu ilusi untuk masuk ke ruang sunyi seperti selalu.