Home Buku Umum Mari Berbicara Tentang Wang
Mari Berbicara Tentang Wang
Pencoret Cerita
3/2/2019 14:27:28
13,548
Kategori: Buku
Genre: Umum
Senarai Bab
Bab 1

 

Bermula di sini

Siapa nak jadi kaya? Jika diajukan soalan ini kepada setiap orang , hanpir semua akan pasti menjawab mereka nak jadi kaya. Keinginan menjadi kaya bukanlah sesuatu yang bertentangan  dengan  naluri manusia yang inginkan kesenangan dan keselesaan hidup. Persoalannya, jika semua manusia ingin menjadi kaya,kenapakah tidak semua manusia itu kaya?

Ramai manusia  mempunyai pandangan yang berbeza berhubung dengan kekayaan. Seperti yang saya katakan di atas tadi, semua manusia ingin menjadi kaya. Tetapi kenapa sebahagian kecil sahaja yang berusaha mengejar kekayaan dengan sepenuh tenaga.Sebahagian besar yang lain pula berusaha ala kadar dan merasa selesa dengan cara hidup yang sederhana. Tidak kaya tapi tidak juga miskimn. Sekadar cukup makan.Malahan ada segelintir pula beranggapan kekayaan itu adalah racun dunia dan golongan ini menolak kekayaan.

Kekayaan boleh diperolehi hanyamelalui salah satu dari 3 cara sahaja. Pertama ialah dilahirkan sebagai anak orang kaya. Kekayaan yang diwarisi adalalah kekayaan cara mudah yang tidak memerlukan titik peluh dan keringat untuk memperolehinya. Cara kedua ialah kekayaan yang diperolehi melalui perkahwinan dengan orang kaya. Cara ini jugamerupakan jalan singkat untuk menjadi kaya. Walapun kita semua percaya bahawa jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan Allah ini tidak bermakna soal pemilihan jodoh perlu diserahkan bulat-bulat kepada ketentuan Tuhan semata-mata. Bagi sesetengah golongan yang berada, perkahwinan anak-anak merupakan salah satu strategi mengukuhkan lagi empayar perniagaan dan mengekalkan kekayaan antara dua keluarga yang sudah sedia kaya. Pepatah Melayu ada berbunyi ‘ pipit sama pipit, enggang sama enggang. Takkan boleh terbang bersama’. Amatlah benar pepatah ini. Tidak ada manusia rasional yang ingin menanggung beban kewangan pasangan hidup masing-masing jika mereka mempunyai pilhan. Cerita-cerita seperti Cinderella yang memungkin seorang gadis miskin dan tidak berharta berakhir berkahwin dengan putera raja yang tampan dan kaya hanya sesuai untuk tontonan di panggung-panggung wayang sahaja. Hakikatnya, 99 .99 peratus dari kita berakhir bertemu jodoh dengan lelaki atau wanita yang kita temui setiap hari dalam pergaulan hidup kita.

Jika kita masih bujang dan selalu singgah minum digerai mak cik yang ada anak gadis yang cantik, mungkin kita akan terpikat dengan gadis tersebut dan berjaya menjadi menantu kepada maki cik pemilik gerai minuman itu. Masa bilakah kita boleh berjumpa dengan anak jutawan atau puteri raja yang kita idamkan jika sekiranya persekitaran hidup kita hanya di likungi oleh individu yang senasib dengan kita.

Bagi pembaca yang merasakan bahawa anda semua takkan menjadi kaya kerana tidak dilahirkan sebagai anak orang kaya dan telah terlepas peluang untuk mengahwini anak orang kaya janganlah mudah berputus asa. Ada satu lagi peluang untuk kita menjadi kaya. Cara ketiga ialah dengan cara melabur. Pelaburan yang dimaksudkan ialah samada berniaga atau mengembangkan harta melalui pelaburan yang bersesuaian.

Sebelum kita pergi jauh bercakap tentang kaedah untuk menjadi kaya, kita seharusnya bercakap tentang perubahan sikap dan minda yang amat diperlukan untuk membolehkan kita memandang kekayaan dan harta benda dengan pandangan yang lebih positif.

Sejak sekian  lama masyarakat kita terutamanya orang Melayu ditanamkan dengan sikap yang tidak begitu positif  terhadap kekayaan yang keterlaluan. Jika kita biasa menononton filem-filem lama lakonan AllahyarhamTan Sri P. Ramlee, watak-watak orang kaya biasanya digambarkan dengan cirri-ciri negatif. Filem-filem seperti Penarik beca dan Antara Dua Darjat memberi gambaran seolah-olah orang kaya adalah golongan penindas, suka mengekplotasi,mengutamakan wang semata-mata tanpa ada rasa simpati tehadap golongan yang kurang bernasib baik  dan pelbagai sifat negatif yang lain. Apabila mesej ini disampaikan berulang-ulang kali, sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi minda dan sikap masyarakat terhadap kekayaan itusendiri.

Penulis-penulis novel dan mereka yang bergiat dalam bidang kesusteraan Melayu juga jarang memberikan imej yang baik terhadap orang kaya. Watak-watak yang miskin dan melarat diberi simpati sedangkan watak-watak orang kaya pula selalunya dikaitkan sebagai lintah darat dan pemeras ugut harta kekayaan orang-orang miskn.Watak-watak yang susah melarat pula diangkat sebagai mempunyai nilai-nilai yang murni dan penuh kejujuran. Mereka diberi gambaran sebagai golongan yang tabah didalam menghadapi dugaan hidup dan gigih dalam mengharungi cabaran. Pada tahun 70an dahulu teramat sedikit naskah sastera yang mengangkat gaya hidup orang korporat atau golongan Melayu yang berjaya . Mungkin pada ketika itu terlalu sedikit orang Melayu yang kaya raya yang boleh dijadikan sebagai contoh yang perlu diikuti oleh anak-anak muda kita pada masa itu.

Masyarakat Melayu kaya dengan pepatah yang boleh memberikan gambaran tentang corak pemikiran orang Melayu dalam menilai kekayaan .Jika kita mengkaji pepatah dan peribahasa orang Melayu zaman dahulu kita dapati mereka terlalu berserah kepada takdir dan secara umumnya tidak memandang kekayaan itu sebagai sesuatu yang perlu atau penting.Peribahasa seperti rezeki secupak tidak akan jadi segantang menyerlahkan lagi sifat pessimistik orang Melayu terhadap usaha keras untuk mencari rezeki.Mereka lebih gemar menyerah kepada takdir. Walaupun sebagai orang Islam kita wajib mempercayai Qada’ dan Qadar sebagai salah satu Rukun Iman tetapi saya berpendapat sebahagian dari orang Melayu mempunyai konsep yang salah berhubung dengan Qada’ dan Qadar. Sepatutnya, kita hanya menyatakan itu adalah ketentuanAllah setelah gagal mendapat apa yang diusahakan selepas memberikan 110% usaha secara sistematik mengikut kemampuan akal yang diberikan oleh Allah.

Orang Melayu juga mempunyai banyak simpulan bahasa yang menggambarkan sifat negatif  terhadap kekayaan. Lintah darat dan mata duitan adalah antara istilah yang digunakan bagi mengaitkan kekayaan dengan unsur-unsur negatif. Lintah darat adalah sesorang yang dianggap sebagai pemeras harta kekayaan dari golongan miskin atau lebih tepat lagi lintah darat adalah golongan kapitalis yang mendapat untung atas angin dari hasil usaha orang lain. Mata duitan pula dikaitkan dengan golongan yang amat mementingkan keperluan materialistik semata-mata.

 

Namun begitu bagi pengkaji kesusteraan Melayu lama terdapat banyak juga pantun, gurindam, peribahasa dan sebagainya yang menggambarkan sikap positif orang  Melayu didalam ilmu pengurusan kewangan.Masyarakat Melayu dizaman kegemilangan kesultanan Melaka dulu terkenal denga nmasyarakat pedagang yang berjaya. Peribahasa ‘Sikit sikit lama lama jadi bukit’menerangkan pentingnya langkah berjimat cermat. ‘Berakit rakit kehulu, berenang renang ketepian, bersakit- sakit dahulu, bersenang-senang kemudian ‘ pula  mengalakkan sikap rajin dan usaha demi masa depan yang lebih cemerlang.

Pokok pangkalnya bergantung pada kita untuk mentafsir cerita cerita penglipur lama, pantun, peribahasa .gurindam dan sebagainya untuk melihat dari sudut positif atau negatif. Kisah angan-angan Mat Jenin contohnya boleh dianggap negatif kerana terlalu kuat berangan-angan. Tetapi kisah angan-angan Mat Jenin boleh ditafsirkan sebagai pentingnya satu wawasan atau perancangan sebelum sesuatu itu boleh dilaksanakan. Cuma silapnya Mat Jenin ialah melakukan perancangan di atas pokok kelapa.Mat Jenin moden melakukan perancangan masa depan di bilik-bilik mesyuarat yang dilengkapi dengan penghawa dingin dan tidak lagi dipanggil angan-angan tetapi istilah yang digunakan ialah perancangan strategik.

Tidak dinafikan persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk minda kita semua. Peranan ibu bapa dan rakan-rakan sebaya akan mempengaruhi cara kita berfikir. Jika kita sentiasa didedahkan dengan  pemahaman atau sesuatu konsep secara berterusan lambat laun kita akan terpengaruh juga.Anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh role model yang mereka lihat setiap hari. Jika kita dilahirkan sebagai anak seorang Perdana Menteri atau Presiden, besar kemungkinan kita akan didedahkan dengan peranan dan tugas sebagai pemimpin negara semenjak dari kecil lagi. Oleh itu amatlah tidak mengejutkan  ramai pemimpin dunia pada hari ini adalah anak kepada pemimpin-pemimpin dunia. Konsep yang sama juga boleh diterima pakai. Anak seorang pesawah atau penoreh getah mungkin akan menjadikan bapanya sebagai role model jika dia tak didedahkan dengan dunia yang lain pada peringkat usia yang muda.

Pendedahan awal amatlah penting didalam membentuk minda anak-anak. Anak-anak perlu diasuh untuk berfikiran positif terhadap kekayaan. Mereka harus dididik bahawa tidak salah untuk menjadi orang kaya. Bukan semua orang kaya itu penipu, pemeras ugut, perasuah dan sebagainya. Sifat-sifat buruk bukanlah hakmilik kekal golongan kaya semata-mata. Malahan lebih ramai orang miskin yang terlibat dengan jenayah atas desakan hidup berbanding dengan orang kaya. Begituj uga dengan sifat-sifat baik bukan milik eksklusif golongan miskin  atau terpinggir semata-mata.

Perasaan cemburu terhadap kekayaan yang dimiliki oleh rakan-rakan kita juga perlu dihindarkan. Jika kita berpandangan negatif  terhadap kekayaan secara automatik kita akan membenci orang yang kaya. Sebagai contoh, jika kita bencikan dadah, maka kita akan membenci penagih dan pengedar dadah. Seharusnya kita perlu mengajar anak-anak kita tentang nilai positif yang diberikan oleh golongan yang kaya terhadap  masyarakat.Kalau dulu orang kaya yang mempunyai banyak tanah telah mewakafkan sebahagian dari tanah milik mereka untuk didirikan masjid atau surau dan dijadikan tanah perkuburan, kini tak ramai lagi yang sanggup berbuat demikian. 

Masyarakat  perlu didedahkan tentang sumbangan yang diberikan oleh golongan kaya dan berada kepada negara melalui cukai yang dibayar. Selain dari itu jika mereka merupakan usahawan, mereka mencipta peluang pekerjaan yang memberi menafaat kepada rakyat negara kita. Golongan usahawan yang berjaya dan kaya inilah yang memberi keselesaan kepada kita semua dengan memastikan negara mempunyai rangkaian lebuh raya yang sempurna, hotel yang selesa, bekalan makanan yang mencukupi dan pelbagai kemudahan lain lagi. Memang tidak dinafikan mereka melakukan itu semua bermotifkan keuntungan tetapi cuba bayangkan apa akan terjadi tanpa kewujudan golongan usahawan yang berjaya ini.

Perubahan sikap dan minda untuk menerima sesuatu yang bertentangan dari apa yang dipegang selama ini bukanlah perkara yang mudah. Tidak ramai orang yang sanggup keluar dari zon selesa masing-masing. Tidak hairanlah ramai diantara kita termasuk saya sendiri memilih untuk berkerja makan gaji dari berniaga kerana keselesaan yang dinikmati. Walaupun fakta menunjukkan tidak ada rakyat  Malaysia masuk dalam senarai 40 orang terkaya dengan makan gaji tetapi kebanyakan dari kita tidak berani menghadapi risiko berhenti bekerja dan memulakan perniagaan yang mungkin akan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Sikap sinis orang Melayu terhadap kekayaan juga perlu diperbetulkan. Setiap kali ada majlis penyampaian derma yang tersiar di dada-dada akhbar atau ditelevisyen ramai diantara kita mengeluarkan komen-komen negatif. Tidak ikhlas, gila publisiti dan ingin menonjol diri adalah komen yang biasa kita dengar. Kita jarang menjadikan orang Melayu yang  berjaya dan telah menjadikaya sebagai role model yang perlu dicontohi. Seorang ustaz yang mengajar AlQuran di kampung-kampung  dengan percuma atau upah yang minima dianggap lebih tinggi statusnya berbanding dengan jutawan yang mendermakan jutaan ringgit untuk membina masjid.

Jika di negara barat tokoh korporat yang berjaya diangkat sehingga mencapai status selebriti, lain pula ceritanya di Malaysia. Jika di barat seorang orang kaya seperti Bill Gates atau Warren Buffet dikagumi, Bill Gates dan Warren Buffet versi Malaysia besar kemungkinan akan dicemburui. Jika di barat Donald Trump mempunyai program televisyen nnya yang tersendiri di Malaysia tak ramai yang kenal siapakah jutawan atau hartawan yang hebat. Rakyat Malaysia lebih mengenali penyanyi dan ahli sukan berbanding dengan jutawan.Tidak salah mengkagumi penyanyi atau bintang filem tetapi anak-anak muda kita perlu disedarkan dengan hakikat bahwa tidak semua dianugerahkan tuhan dengan bakat untuk bersukan atau wajah yang tampan dan cantik untuk menjadi bintang filem. Kalau kita lihat untuk menjadi kaya dan berjaya tubuh badan yang kuat dan paras rupa yang cantik bukan prasyarat untuk berjaya didalam bidang perniagaan.

Kenapakah usahawan berjaya dikagumi di negara-negara barat tetapi dicemburui di negara kita? Persoalan ini bukan mudah untuk dihuraikan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, sikap seseorang terhadap sesuatu perkara dipengaruhi oleh minda. Minda terbentuk hasil dari proses indoktrinasi berterusan dari semenjak bayi itu dilahirkan hinggalah dia meningkat dewasa. Jaka kite didedahkan dengan imej negatif yang dikaitkan dengan kekayaan, maka besar kemungkinan kita akan melihat kekyaan dari kaca mata yang negatif juga.

 

Masyarakat timur termasuk masyarakat Melayu menekankan unsur kerjasama dan perangai yang bersifat individualistik dicemuh. Banyak pepatah Melayu menekankan aspek pentingnya berkerjasama dalam sesbuah masyarakat. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, memberikan gambaran setiap susah dan senang perlu ditempuhi bersama. Individu yang bersifat mementingkan diri akan dipandang sinis seperti pepatah Seperti enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-masing.

Tidak ada salahnya kita mengamalkan semangat bantu membantu dan tolong menolong dalam sesebuah masyarakat. Namun begitu kita perlu juga memberi ruang untuk individu yang lebih berdaya usaha, lebih kreatif dan lebih bersistematik dalam mengejar sesuatu untuk mendapat kejayaan yang tidak dicapai oleh majoriti  ahli masyarakat. Individu yang berjaya tanpa mengira apa jua bidang yang diceburi seharusnya dijadikan contoh untuk diikuti,bukannya dicemuh atau disabotaj kejayaan mereka.

Ada orang yang berkata kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Ada orang berkata wang bukan segala-segalanya.Mereka memberi  pelbagai contoh dimana mereka yang berjaya di dalam perniagaan dan mempunyai wang berjuta menghadapi masalah besar. Ada yang tidak berjaya mengekalkan perkahwinan. Ada yang gagal mendidik anak dengan baik. Ada jutawan dan hartawan yang membunuh  diri.

Persoalan yang ingin saya kemukakan ialah, adakah dengan memilih untuk menjadi miskin kita semua akan dijamin dengan kabahagiaan? Walaupun saya tidak ada data atau kajian ilmiah tentang golongan manakah yang lebih bahagia, saya percaya golongan yang tidak berharta juga tidak sunyi dari masalah peribadi. Saban hari kita didedahkan dengan berita-berita orang yang menghadapi tekanan dari peminjam wang tidak berlesen kerana gagal menjelaskan pinjaman  mereka. Ramai juga yang menghadapi masalah rumahtangga seperti perceraian, pergaduhan suami isteri dan pelbagai masalah yang lain kerana desakan hidup. Ada yang memlih jenayah sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah kewangan. Semua ini akan memberi kesan tidak baik kepada diri individu itu sendiri dan juga masyarakat.

Anak-anak seharusnya dipupuk dengan sikap yang betul tentang wang. Ramai ibu bapa yang tidak berterus terang dengan anak-anak mereka jika mereka menghadapi masalah kewangan. Seboleh mungkin mereka akan menyembunyikan masalah yang dihadapi dari anak-anak. Alasan yang sering digunakan mereka tidak mahu anak-anak dibebankan dengan masalah.Ada juga yang memberi  alasan bahawa anak-anak masih terlalu muda untuk dibebankan dengan masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh golongan dewasa.

Saya tidak bersetuju dengan kaedah berkenaan. Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan anak-anak didalam memahami sesuatu isu. Yang paling penting mereka juga patut dilibatkan sekali didalam perbincangan tentang belanjawan keluarga dan hal-hal kewangan yang lain. Jika  anak-anak yang masih kecil itu didedahkan dengan konsep asas tentang wang dan perancangan kewangan saya percaya bila mereka membesar nanti merekaakan menjadi lebih bertanggung jawab didalam pengurusan kewangan.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.