Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret Cerita
23/1/2019 13:11:02
83,190
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 1

Bab 1

Pengenalan

Aku dilahirkan pada bulan Mei 1963. Semasa aku dilahirkan ibuku baru berusia 16 tahun, satu usia yang terlalu muda untuk anak perempuan zaman sekarang untuk berkahwin, apatah lagi melahirkan anak.Ibuku bernikah dengan abah pada usia 14 tahun.Abah pada ketika itu berusia 24 tahun.

Kalau zaman sekarang anak gadis berusia 14 tahun dikahwinkan menjadi berita hangat sehingga mengundang campurtangan menteri. Zaman dulu perempuan bernikah pada usia yang amat muda adalah perkara biasa. Pada zaman itu jarang anak perempuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti sekarang. Menurut kata emak,dia cuma belajar setakat darjah 2 sekolah Melayu tapi dia boleh membaca dan menulis dengan fasih.

Mengikut kata emak, aku dilahirkan pada tengahari Selasa disambut oleh bidan kampung yang dikenal dengan panggilan Tok Jendul. Tak tahulah kenapa panggilan Tok yang biasanya digunakan untuk orang lelaki digunapakai untuk bidan wanita. Menurut ceritanya, Tok Jendul ini ada menyimpan polong. Polong sejenis makhluk halus yang menghisap darah manusia. Katanya sesiapa yang menyimpan polong akan menhadapi kesukaran untuk meninggal dunia. Selagi polong belum berjumpa tuan yang baru nyawa si pemilik polong tidak akan meninggalkan jasad. Sejauh mana kebenarannya, wallhualam.

Aku diberikan nama Mohammad Jais  olehTok Jendul sebab dilahirkan hari Selasa. Zaman dulu tak ada pula agaknya buku panduan menamakan anak, tak macam zaman sekarang semua ibu bapa nak namakan anak mereka dengan nama yang baik-baik siap dengan maknanya sekali. CadanganTok Jendul menamakan aku  dengan nama Mohammad  Jais terus diterima tanpa sebarang bantahan. Aku  fikir kalau TokJendul menamakan aku  dengan panggilan yang pelik-pelik seperti Bulat atau Leper pun akan diterima tanpa soal oleh emak dan abah.Begitulah besarnya pengaruh bidan kampung pada ketika itu.

Emak dan abah bernikah melalui perkahwinan yang diatur keluarga. Emak pernah menceritakan kepada aku mereka tak pernah bertemu sebelum bernikah. Kali pertama emak melihat wajah abah pun ketika rombongan abah masuk meminang.

Emak juga bercerita semasa mula-mula bernikah dengan abah pada usia 14 tahun dia langsung tak pandai memasak. Nak bancuh kopi pun tak pandai.

Abah berkerja sebagai buruh kasar di sebuah ladang getah yang tak berapa jauh dari kampung  halaman emak. Aku  pun tak tahu samada emak menetap di kampung bersama ibu bapanya selepas bernikah atau mengikut abah ke ladang getah tempat abah bekerja. Ladang Getah Craigielea dulunya milik Inggeris sehingga diambil alih oleh kerajaan melalui PNB awal tahun 1980an dulu. Orang yang tinggal di ladang getah itu memanggil dengan panggilan Geli-Geli Estet.Kelakar bunyinya tapi bagi kami memang dah biasa dengan panggilan itu. Tambahan pula pada tahun 1960an hingga ke tahun 1980an perkataan geli-geli tidak membawasebarang konotasi yang tidak elok.

Tinggal di sebuah ladang getahyang terdiri dari pelbagai bangsa dan ugama benar-benar memberikan kenangan manis dalam hidup aku . Kalau kerajaan dulu pernah memperkenalkan konsep Satu Malaysia kami di Geli-Geli Estet memang telah lama hidup secara rukun dan damai dengan pelbagai bangsa.Seingat aku  majoriti penduduk Geli-Geli Estet terdiri dari orang India tapi ramai juga keluarga Melayu dan Cina yang tinggal di sana.

Kami tinggal di berek yang disediakan oleh majikan. Setiap satu berek ada 5 pintu rumah. Setiap rumah ada satu bilik tidur sahaja. Kalau mengikut piawaian zaman sekarang memang tidak luluslah sebab setiap rumah sekurang-kurangnya perlukan 3 bilik tidur. Rumah kami cuma ada bilik air yang kecil dengan kolah untuk mandi. Untuk buang air besar di belakang berek rumah pekerja ada tandas yang dikongsi bersama dengan penghuni-penghuni yang lain di dalam berek.

Tidak ada bekalan letrik di estet sehingga sekitar tahun 1977/1978 apabila kami dibekalkan dengan letrik melalui generator yang disediakan oleh majikan. Generator akan dihidupkan sekitar 5 atau 6 petang setiap hari sehingga bekalan dihentikan pagi esoknya. Begitulah setiap hari.

Sebelum ada bekalan letrik tidak banyak yang boleh dilakukan oleh penduduk. Biasanya mereka tidur awal sebab pekerja ladang mula bangun seawall pukul 5 pagi.Aku masih ingat antara aktiviti kegemaran wanita ialah berkumpul sambil berborak-borak sementara menunggu waktu untuk tidur. Zaman sekarang aktiviti dipanggil mambawang. Dengan lampu pelita mereka berborak di dalam gelap kecuali ketika bulan mengambang cahaya bulan membantu memberi cahaya.

Biasanya emak dan rakan-rakan akan berbual kosong sambil mendengar radio transistor kecil yang menjadi teman penghibur. Kami di Johor mudah mendapat siaran radio Singapura. Pada ketika itu sekitar tahun 1970an kebanyakan artis samada penyanyi atau pelakon menetap diSingapura. Singapura adalah pusat seni dunia Melayu pada ketika itu.

Radio Singapura banyak menyiarkan program bersiri yang menjadi ikutan emak  dan kawan-kawannya. Salah satu yang aku  ingat ialah kisah seram yang disiarkan secara mingguan dalam bentuk drama bersiri dengan pelakon utama nya Jah Lailawati yang mempunyai suara  yang begitu menyeramkan apabila dia mengilai menjadi pontianak.

Program seram itu biasanya bermula sekitar pukul 9 atau 10 malam. Sebelum bermula kami akan duduk berhampiran dengan radio transistor kecil sambil tertunggu-tunggu episod selanjutnya. Di berek kami ada kaki lima. Di kaki lima itulah kami, aku , emak  dan kawan-kawannya akan duduk melingkungi radio sambil menghayati jalan cerita seram.Dengan suasana malam tanpa sebarang cahaya lampu kecuali sebutir pelita minyak tanah yang cahayanya samar-samar disertai dengan cahaya bulan dan bintang yang jelas kelihatan dari kaki lima  berek memberikan suasana seram yang begitu realistik.

Pada tahun 1970an juga Pesta BolaMerdeka adalah antara acara sukan yang ditunggu-tunggu oleh warga Malaysia.Pada tahun 1970an, nama-nama besar dalam  bolasepak seperti Mokhtar Dahari, R.Arumugam, Santokh Singh dan Soh Chin Aun meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia.Kalau ada siaran langsung Pesta Bola Merdeka di radio aku akan mendengar ulasan selari dari pengulas sukan sambil membayangkan pemain-pemainyang sedang beraksi di padang. Begitu kuat daya imaginasi pada ketika itu.

Kalau bateri radio dah kurang emak akan bawa keluar bateri dari radio dan menjemur bateri di tengah panas.Tak tahulah prinsip  fizik atau kimia apakah yang digunakan aku pun tak tahu. Yang penting selepas  bateri dijemur beberapa jam, radio akan berbunyi dengan lebih kuat selepas bateri yang dijemur dipasang semula ke radio.

Abah seorang yang tidak berpelajaran tinggi. Bersekolah setakat darjah 3 sekolah Melayu. Dia boleh membaca merangkak. Abah lebih selesa membaca dan menulis dalam tulisan jawi.Walaupun abah tidak berpelajaran tinggi dia mempunyai cita-cita yang besar terutamanya terhadap aku, anak sulungnya. Abah selalu mengulang-ulang ‘ Nanti dah besar sekolah pandai-pandai. Boleh kerja yang elok kalau ada kelulusan.Jangan jadi macam abah, jadi kuli orang putih’.

Semasa aku bersekolah rendah sekitar darjah dua atau tiga abah kerap membawa aku ke Pejabat Pos di pekan jika dia nak mengeluarkan wang Simpanan Pejabat Pos (Sekarang dah menjadi Ban kSimpanan Nasional). Abah tak pandai nak mengisi boring pengeluaran wang. Jadi,aku diperlukan untuk menjadi ‘keraninya’ mengisi borang untuk abah. Abah selalu menjadikan contoh kerani pejabat pos sebagai idolanya. Abah selalu cakap ‘tengkok kerani tu, kerja senang. Gaji besar. Bukan macam abah kerja susahh,gaji kecik.Abah selalu cakap nanti lepas abis tamat sekolah dia nak daftarkan aku di Pejabat Buruh atau sekarang dikenali dengan nama Jabatan Tenaga Rakyatuntuk memudahkan aku mendapat kerja sebagai kerani.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.