Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
09 - ANAK GADIS SEPARUH BUNIAN

ANAK GADIS SEPARUH BUNIAN

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hari itu hari Sabtu. Hari pertama aktiviti ko-kurikulum sekolah dimulakan. Haiqal telah memilih sukan bola sepak. Dia duduk di atas padang rumput bersama beberapa orang pelajar yang lain. Ada pelajar senior dan ada pelajar junior.

“Hari ini cikgu mahu tengok cara kamu semua bermain bola sepak. Kamu bebas memilih posisi yang kamu suka, dan cikgu-cikgu di sini semua akan tentukan kemudian. Ada apa-apa soalan?” Cikgu Ibrahim, merupakan ketua jurulatih bola sepak sekolah. Badannya tidaklah begitu tinggi, dengan perut yang agak boroi ke depan. Dia memakai pakaian sukan lengkap berwarna serba hitam.

“Cikgu nak pilih berapa orang?” Seorang pelajar senior bertanya. Soalan yang sama ditanya tiap-tiap tahun.

“30 orang. Cikgu akan tentukan berapa orang yang layak untuk mewakili sekolah beberapa bulan kemudian.” Cikgu Ibrahim menjawab dengan tenang.

“Bila pertandingan akan mula, cikgu?” Seorang lagi pelajar senior bertanya.

“Lagi sebulan tetapi kita akan adakan permainan persahabatan dengan sekolah-sekolah berdekatan dahulu.” Jawapan yang diberikan, adalah sama seperti tahun-tahun lepas. Namun, Cikgu Ibrahim tidak pernah memperlekehkan setiap soalan yang ditanya kerana baginya, pelajar-pelajar tingkatan perlu juga tahu tentang situasi sukan bola sepak di peringkat sekolah menengah.

Dua puluh dua orang pelajar junior pun masuk ke padang. Haiqal memilih posisi sebagai penjaga gol. Entah kenapa dia suka posisi tersebut. Tidak perlu komunikasi dengan pelajar lain. Hakikatnya, Haiqal tidak peduli dia terpilih atau pun tidak.

Cikgu Ibrahim meniup wisel. Pelajar-pelajar junior masing-masing menunjukkan ketangkasan mereka. Ada beberapa pelajar yang dilihat tidak serius bermain, lalu dikeluarkan oleh Cikgu Ibrahim dan digantikan dengan pelajar-pelajar yang lain.

Ada beberapa kali pemain penyerang lawan cuba menyepak bola ke arah gol yang dijaga oleh Haiqal tetapi dengan tangkas Haiqal menyambar bola tersebut. Apabila bola disepak jauh ke kiri ketika Haiqal di kanan, Haiqal akan melompat ke kiri dan menepis bola tersebut. Ketangkasan Haiqal mengundang rasa kagum di kalangan pelajar senior. Ada juga pelajar senior yang tercabar melihat kehebatan Haiqal.

“Cikgu... cikgu... boleh saya bagi cadangan tak?” Seorang pelajar lelaki tingkatan dua, berbadan tegap dan tinggi seperti pelajar tingkatan empat memberanikan diri menemui Cikgu Ibrahim.

“Ya, ada apa Haziq?” Cikgu Ibrahim melayan kata-kata Haziq tetapi matanya masih terus memandang ke arah pelajar-pelajar junior yang sedang beraksi di tengah padang sambil berpeluk tubuh.

“Boleh tak kami nak cuba lawan pelajar tingkatan satu tu. Pasukan senior lawan junior?” Tujuan Haziq memberi cadangan tersebut tak lain dan tak bukan adalah untuk cuba mencabar dengan Haiqal.

“Cadangan yang baik. Mungkin dengan idea kamu ini, cikgu-cikgu dapat cari calon pelapis yang bagus-bagus dengan lebih cepat.” Cikgu Ibrahim pun memanggil kesemua pelajar tingkatan satu berdiri di depannya.

“Pasukan senior hendak bertanding dengan kamu semua. Cikgu dah lihat permainan kamu tadi, jadi cikgu mahu sesiapa yang sukarela mahu bertanding dengan pelajar senior untuk turun ke padang sekarang. Sebelas orang sahaja.” Cikgu Ibrahim memandang mata setiap pelajar tingkatan satu. Ada yang berani bertentangan mata, dan ada yang tunduk tidak yakin.

Beberapa orang pelajar tingkatan satu mengangkat tangan dan tampil ke hadapan. Haiqal mendiamkan diri. Melihat Haiqal tidak mahu menyertai pasukan junior untuk melawan pasukan senior, Haziq pun mendekatnya.

“Aku nak kau lawan pasukan senior.” Haziq sengaja memandang Haiqal dengan pandangan mata yang garang tetapi Haiqal masih kekal dengan wajah tidak berperasaannya. Hal itu menambahkan lagi rasa tercabar di hati Haziq. Haziq memandang seorang pelajar tingkatan satu yang berperanan sebagai penjaga gol. Dia menunjukkan ke arah pelajar tersebut. “Kau tunggu dulu.”

Pelajar tingkatan satu itu akur dan berundur. Haiqal menurut sahaja dan terus bergerak bersama-sama pelajar tingkatan satu yang lain untuk membentuk pasukan bola sepak junior. Mereka mengatur formasi empat empat dua.

“Aku nak kau ajar budak tingkatan satu yang jadi penjaga gol tu. Dia nampak macam berlagak sangat.” Haziq menghasut rakan-rakan sepasukannya. “Biar dia tahu hormat orang lebih tua.”

“Ah, tak ada masalah. Kejap lagi dia terkencing dalam seluar. Kau bagi tangan dia kebas. Tak pun kau sepak bagi kena dahi dia.” Jojo tersengih.

Permainan dimulakan. Ketangkasan pemain senior ternyata melebihi pelajar junior. Dengan mudah mereka menembusi pertahanan pelajar junior. Seorang pelajar junior cuba menyekat pelajar senior tetapi Haziq yang berada di posisi menyerang mudah sahaja mengelak halangan tersebut dan memberikan bola kepada Jojo. Jojo, Haziq dan seorang lagi pelajar senior saling membahagi-bahagikan bola. Haziq mencari peluang untuk menjaringkan gol.

Peluang sudah ada. Haziq memandang muka Haiqal yang sedang memandang tepat ke arah kaki pemain senior itu. Haziq mengenakan satu tendangan padu ke bola sepak tersebut, lalu bola itu pun berputar-putar dengan pantas ke arah muka Haiqal. Dengan tenang, Haiqal mencengkam bola tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Pelajar-pelajar tingkatan satu bersorak. Cikgu Ibrahim yang berdiri di tepi padang terpegun. Senyuman terukir di bibirnya. Serentak dengan itu, muka Haziq merah padam.

Jojo melihat kehebatan Haiqal menghembuskan nafas dengan kuat. “Huih. Tak boleh jadi. Tak boleh jadi...”

Haiqal melontarkan bola itu ke arah seorang rakan sepasukannya dengan wajah yang selamba. Selama berada di Kanada, Haiqal pernah bermain bola sepak untuk sekolahnya. Dia sudah biasa berdepan dengan budak-budak orang putih yang lebih tinggi dan tegap. Dia sudah biasa berdepan dengan kekuatan tendangan pemain berbadan tinggi seperti Haziq.

“Celaka kau! Berlagak ya!” Jojo tiba-tiba menengking Haiqal. Kecut pelajar-pelajar tingkatan satu yang lain di padang. Haiqal memandang Jojo dengan pandangan mata yang redup. Cahaya mata yang mirip dengan bapanya.

Cikgu Ibrahim meniupkan wisel, meleraikan pergaduhan yang bakal tercetus dengan isyarat tangan. Api kemarahan Jojo terpadam seketika apabila mengetahui dirinya yang telah mengikut emosi lalu dia pun tunduk mengangguk ke arah Cikgu Ibrahim dan kembali meneruskan permainan.

Pasukan bola sepak senior kembali menguasai padang. Sekali lagi Jojo dan Haziq bergandingan untuk menewaskan Haiqal. Kali ini mereka nekad untuk datang lebih dekat ke arah Haiqal, mencari peluang untuk mencederakan Haiqal. Bola jatuh di depan Haiqal, dan Haiqal cuba mendapatkannya. Ketika itulah, Jojo cuba menyepak siku Haiqal tetapi dengan pantas Haiqal memusingkan badannya lalu menapak selangkah ke depan melepasi Jojo dan Haziq. Haiqal mengetap giginya sambil melakukan sesuatu yang sukar dipercayai oleh Haziq dan Jojo.

Haiqal melompat hampir dua meter ke udara dan seketika itu juga dia menyepak bola sepak tersebut dengan sangat kuat. Bola itu berpusing-pusing laju merentasi pemain-pemain bola junior dan kemudian pelajar-pelajar senior, lalu pada ketika penjaga gol pasukan senior masih belum bersedia, bola sepak itu terus menghentam jaring gol pasukan senior. Masa seolah-olah bergerak perlahan-lahan. Semua pemain terlopong. Bahu Cikgu Ibrahim terangkat. Matanya terbeliak. Haziq dan Jojo memusingkan kepala, saling berpandangan dengan kelopak mata dan rahang mulut yang terbuka luas, amat terkejut dengan apa yang telah berlaku.

Ketika itu, Haziq mendarat, dengan sebelah lutut dirapatkan ke rumput dan kedua-dua belah tangan diluruskan ke belakang. Kepalanya tunduk memandang ke tanah, sambil mengetap giginya. Geram!

Ini bukan tahap pelajar sekolah! Ini tahap pemain bola sepak dunia melawan budak-budak sekolah! Begitulah apa yang terlintas dalam pemikiran sekalian jurulatih dan para pelajar yang ada di padang.

Haiqal berdiri tegak, membelakangi Haziq dan Jojo. Dia mendongak kepalanya memandang langit sambil bercekak pinggang. Sementara itu, Haziq dan Jojo duduk dengan kedua-dua kaki terlipat dan lutut mereka mencecah tanah. Kedua-duanya mengigil, mengaku kalah!

-o-

“Khatijah binti Sudir. Khatijah binti Sudir! Kalau ada sila angkat tangan.” Panggilan Cikgu Vanessa, yang merupakan guru pasukan penyokong sekolah atau Pom-Pom Girl menggegarkan dewan serbaguna sekolah, lantas segera memadamkan lamunan Khatijah. Guru berbangsa India yang berbadan ramping itu bercekak pinggang sambil memandang Vanessa.

“Sa... saya cikgu. Maafkan saya, Cikgu Vanessa.” Khatijah mengangkat tangan.

“Apa yang kamu buat? Jangan mengelamun, untuk berjaya kita mesti fokus dengan kerja di depan mata kita. Jika kita mengelamun semasa kerja, masa kita banyak terbuang, hasil yang dapat makin kurang. Tak boleh macam itu, Khaty.” Cikgu Vanessa menggelengkan kepala. “Pernah menyertai ‘pom-pom girl‘sebelum ini?”

“Tak pernah cikgu...” Khatijah tersipu-sipu malu. Hakikatnya kebanyakan pelajar yang menyertai pasukan penyokong sekolah terdiri daripada bukan Islam. Hal ini menyebabkan Khatijah dianggap pelik di kalangan ahli-ahli kelab tersebut.

“Kamu yakin kamu mahu kekal dalam kelab ini?” Cikgu Vanessa bertanya lagi.

“Saya yakin cikgu. Saya pernah belajar silat dengan ayah saya sejak kecil lagi.” Khatijah menunjukkan muka bersungguh-sungguh.

“Kenapa kamu tidak masuk kelab silat sahaja? Kamu sudah ada pengalaman dalam bidang itu, bukan? Mungkin di situ kamu ada peluang, boleh mewakili sekolah? Bagus untuk markah penglibatan kamu untuk masuk ke universiti atau biasiswa.” Cikgu Vanessa mengerutkan keningnya. Matanya merenung tepat ke arah Khatijah yang masih kelihatan tersipu-sipu malu.

“Saya nak cuba sesuatu yang baru cikgu.” Khatijah cuba memberanikan diri untuk bertentangan mata dengan Cikgu Vanessa. Namun jauh di dalam hatinya, terbayangkan wajah Haiqal. Rupa-rupanya itulah tujuan Khatijah menyertai pasukan penyokong sekolah. Dia berhajat mahu menyokong pasukan bola sepak sekolahnya, menyokong... Haiqal.

“Boleh tak kamu tunjukkan sesuatu yang boleh menyakinkan cikgu untuk menerima kamu?” Sebenarnya Cikgu Vanessa berniat baik. Dia rasa masa depan Khatijah lebih cerah jika Khatijah masuk ke kelab silat kerana pengalaman dan kemahiran sedia ada dalam diri anak muridnya itu.

"Saya boleh buat begini." Khatijah melompat ke arah dinding, memijak tiga kali dinding bangunan dewan sebelum membuat balik kuang, dan berputar-putar lima kali ke belakang sebelum kembali mendarat ke tanah. “Saya pandai mengimbangkan badan, Cikgu.”

Cikgu Vanessa tercengang. Pelajar-pelajar lain ternganga dan kemudian bersorak-sorak. Bagi mereka, kemahiran mengimbangkan badan memang sangat diwajibkan bagi pasukan penyokong sekolah. Vanessa tersenyum dan membengkokkan pinggangnya, memberi tunduk hormat kepada semua yang ada di situ. Ada beberapa orang pelajar perempuan yang kagum berlari dan mula memeluk Khatijah sambil terjerit-jerit.

Nampaknya tahun ini, biarpun bilangan pelajar tingkatan satu tidak ramai, tetapi mereka yang masuk mendaftarkan diri di sekolah ini ada beberapa orang yang memiliki bakat yang luar biasa. Masa depan sukan di sekolah itu menampakkan peluang untuk menyinar.

-o-

Ketika pelajar-pelajar masih lagi gamat berlatih. Khatijah merasakan ada sesuatu bayang hitam memerhatikannya secara diam-diam tanpa disedari oleh sesiapa pun kecuali dirinya. Bayang-bayang itu terlekat di dinding dan sukar dilihat dengan mata kasar. Apabila Khatijah berpaling ke arah bayang-bayang hitam tersebut, bayang-bayang hitam itu pun berlantas pergi, melintasi dewan serbaguna tersebut. Hati Khatijah mencurigai sesuatu. Khatijah meninggalkan rakan-rakannya yang sedang berlatih, lalu mengekori bayang-bayang tersebut hingga ke tandas.

“Siapa kau?” Khatijah berdiri kira-kira tujuh meter di belakang lembaga hitam tersebut.

“Kau anak Sudir bukan?” Bayang-bayang hitam itu membelakangi Khatijah.

“Ya? Kenapa?” Khatijah mengerutkan keningnya. Dia tidak pelik tetapi terkejut kerana lembaga tersebut berani menyebut nama bapanya. Bapanya terkenal di dunia jin kerana telah berkahwin dengan gadis bunian. Bermaksud, Khatijah adalah separuh manusia dan separuh bunian.

“Kau jangan cari pasal dengan anak Akalil.” Lembaga tersebut memberi amaran.

“Kau siapa? Siapa Akalil?” Khatijah memberanikan diri untuk bertanya.

“Aku... Belian.” Lembaga tersebut berpaling. Wajahnya mirip seekor harimau tetapi berbadan seperti manusia. Belian lantas menerkam ke arah Khatijah.

Sebelum sempat Belian mencapai Khatijah, kedua-dua belah tangannya telah dicengkam oleh dua orang lagi manusia menyerupai Khatijah. Serangannya terhenti.

“Kau ini?” Belian terbeliak. Dia memandang ke arah kedua-dua manusia yang berada di kiri dan di kanannya saling berganti berkali-kali.

“Aku ini dipanggil... Dupli-Kate.” Khatijah tersenyum sinis. Keyakinan diri kelihatan terpancar di kedua-dua belah anak matanya.

Khatijah membacakan beberapa petikan ayat suci Al-Quran lalu menyebabkan badan Belian berasap sebelum melontarkan Belian pergi.

Belian jatuh berguling-guling ke lantai. Belian bangkit berdiri sambil sebelah tangannya memegang lengannya yang dicengkam oleh dua Khatijah yang lain tadi.

“Kau jangan salah faham. Kau jin, aku juga jin. Aku cuma mahu bekerjasama dengan engkau!” Nampaknya Belian ada niat yang lain, mencari peluang untuk tidak tunduk kepada Raja Syaitan Kimaris dan Pesuruh Iblis, Akalil.

“Macam mana kau tahu aku akan bersetuju. Aku tak berminat. Baik kau pergi sekarang sebelum aku bakar kau dengan ayat-ayat suci Al-Quran.” Khatijah bersuara dengan nada tegas.

Dalam keadaan yang sangat marah, Belian menyeringai ke arah Khatijah sebelum berlari keluar dari tandas dan menghilangkan diri.

Khatijah menghembuskan nafas. Mengeluh, dan kemudian beredar meninggalkan tandas. Siapakah Akalil? Satu persoalan baru mula bermain di fikiran Khatijah.

LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.