DIBURU SAKA TOK LONG
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Tok
Long. Nenek tua berkedut seribu, berwajah bulat dan sudah bongkok belakang
badannya itu rupa-rupanya mempunyai pertalian darah dengan arwah suami Sarimah.
Sarimah sudah pun cuba melupakan pengalaman dirasuk jin semasa di rumah
orang-orang tua itu. Sarimah sudah pun memaafkan Tok Long, namun kemaafan itu
sebenarnya tidak perlu kerana apa yang berlaku pada hari itu bukan atas
kehendak nenek tua itu pun.
Kini,
Tok Long sudah menghilangkan diri dari rumah orang-orang tua itu. Sarimah cuba
mencari Tok Long di kediaman usangnya tetapi wanita lanjut usia itu sudah tidak
ada di situ.
“Dahulu
aku ingat, aku sebatang kara. Cuma ada Haiqal dalam hidup aku. Kini aku tahu,
aku masih ada lagi ahli keluarga. Jauh, tetapi masih tetap ada perhubungan
darah dengan Haiqal.” Sarimah duduk di ruang tamu rumahnya sambil ditemani Odah,
wanita berusia lewat 30-an. Ketika itu Haiqal masih di sekolah.
“Kau
masih tidak mudah berputus asa, itu yang penting, Sarimah.” Odah cuba
tersenyum. Sejak Sarimah diganggu jin, Odah sering mengunjungi Sarimah. Dia
bukan sekadar rakan sekerja, tetapi layak juga digelar sahabat.
“Aku
akan cuba memahami Tok Long. Aku rasa Tok Long dah lama tinggal seorang diri,
sebab itu dia jadi macam itu.” Sarimah menghela nafasnya dalam-dalam.
“Semasa
di Kanada, ada tak kau jumpa orang macam Tok Long?” Odah cuba membuatkan
Sarimah menceritakan tentang kehidupannya di Kanada. Belum pernah Odah mendengar
Sarimah bercerita tentang kisah dirinya semasa di negara orang putih itu.
“Tak
ada. Belum pernah ada kes macam ini. Budaya kita dengan orang putih tak sama.
Pemikiran mereka tak sama macam kita pun.” Sarimah diam. Dia mengimbas
kembali kenangannya semasa di Kanada, ketika suaminya masih hidup. Ada cerita
di sana yang dia ingin lupakan. Sebab itu selepas kematian suaminya, Sarimah
terus kembali ke Malaysia dengan anak tunggalnya, Haiqal.
-o-
“Haiqal.
Kenapa makanan di rumah asyik hilang?” Sarimah berdiri di depan Haiqal.
Haiqal
mendiamkan dirinya. Dia menghadap buku latihan sekolahnya di atas meja. Sesekali dia
membelek halaman buku teks. Berpura-pura menyiapkan kerja sekolahnya.
“Haiqal,
Mama tanya ni?” Sarimah masih ingat bilangan makanan di dalam tin, sayur,
daging dan ikan yang ada di rumahnya. “Haiqal ada bela binatangkah?”
“Tak
ada, Mama. Mama... Haiqal nak fokus pada kerja sekolah Haiqal ni. Esok sudah
kena hantar. Nanti cikgu marah. Kalau cikgu marah Haiqal, nanti Mama akan marah
cikgu Haiqal pula. Iyalah, ibu bapa sekarang ni, kalau cikgu marah sikit...
mesti kena marah balik. Apa nak jadi dengan ibu bapa sekarang ni?” Terkejut
Sarimah apabila melihat Haiqal membebel seperti makcik tua.
“Haiqal.
Mana Haiqal belajar cakap macam itu? Belum pernah Mama tengok Haiqal macam ini.
Mama cuma tanya, Haiqal ada bela binatangkah? Kenapa makanan di rumah ini
asyik-asyik hilang saja? Tolonglah Haiqal, beri kerjasama dengan Mama.” Sarimah
berdiri di sebelah anaknya.
“Haiqal
tak bela binatang Mama. Sumpah,” Haiqal memalingkan mukanya ke arah ibunya.
Kelihatan kerutan pada dahinya.
“Mama
minta maaf, jika Mama tuduh Haiqal tetapi memang Mama pelik ke mana hilangnya
tin-tin makanan yang Mama beli. Mama ingat semua bilangannya. Barang-barang
mentah dalam peti sejuk pun hilang juga. Itu yang buat Mama risau ni,” Sarimah
meletakkan tapak tangan di bahu Haiqal.
“Haiqal
tak tipu Mama pun. Menipu tu berdosa Mama.” Haiqal menutur kata-kata tersebut
dengan nada suara yang perlahan.
"Melawan cakap Mama pun berdosa juga." Sarimah
merenung anaknya. Dia masih ada rasa curiga terhadap Haiqal.
-o-
Malam
itu, ketika kesemua lampu utama di rumah banglo milik dua beranak itu telah
ditutup, kelihatan satu lembaga bertubuh halus perlahan-lahan bergerak menuju
ke dapur. Dia menarik pintu kabinet dapur, dan dikeluarkan satu tin makanan.
Kemudian lembaga itu mencapai pembuka tin, dan dibukanya perlahan-lahan.
Selepas tin berisi kari daging itu dibuka, dia membasuhnya dengan pili air
dibuka perlahan dan menyimpannya semula pembuka tin itu di tempat simpanan
asalnya. Dia tidak lupa mencapai sebiji telur sebelum membuka pintu belakang
dapur secara senyap-senyap. Dia tidak sedar, perbuatannya itu diperhatikan oleh
satu lagi lembaga bersusuk tubuh wanita secara diam-diam.
Pintu
dibuka, seorang wanita tua hampir seabad, berbadan bongkok sudah pun menunggu
di luar pintu itu.
“Tok
Long, ini saja yang Haiqal dapat hari ini. Mama dah dapat bau apa yang Haiqal
buat.” Lembaga itu, membahasakan dirinya sebagai Haiqal.
Nenek
tua itu tidak menjawab. Dia merenung sesuatu di belakang Haiqal. Dia kenal
orang itu.
Melihat
nenek tua yang berdiri di luar pintu dapur, lembaga wanita itu pun segera
memunculkan dirinya. “Tok Long? Tok Longkah itu?”
Sarimah.
Sarimah yang sedang mengintip anaknya, Haiqal. Haiqal terkejut melihat Sarimah.
Anak lelaki itu pucat. Dia pasti akan dimarahi mamanya.
Apabila
Haiqal berpaling semula untuk melihat ke arah Tok Long, nenek tua itu sudah
menghilangkan diri.
-o-
“Sejak
bila Haiqal kenal Tok Long?” Sarimah merenung anaknya yang sedang duduk, tunduk
membisu di atas sofa.
“Haiqal
tak tipu Mama.” Tiba-tiba Haiqal bersuara.
“Memang
Haiqal tak tipu Mama. Memang Haiqal tak bela binatang tetapi Haiqal patut
beritahu Mama kepada siapa Haiqal berikan makanan-makanan yang Mama beli untuk
kita. Kalau Haiqal jujur...”
“Mama
tak marah?” Cepat-cepat Haiqal memotong.
“Mama
tak marah lagi dah. Haiqal, sejak kita balik ke Malaysia, Haiqal sudah tak
macam dulu lagi. Haiqal macam mahu memberontak, melawan cakap Mama.” Sarimah
akhirnya meluahkan perasaannya yang terpendam. Kesabarannya terhadap Haiqal
sudah hampir ke sempadannya.
“Sebab
Mama asyik dengan kerja Mama. Tak cukup dengan kerja di pejabat, Mama sibuk
pula dengan kerja-kerja di rumah orang-orang tua tu. Mama macam hendak
menjauhkan diri daripada Haiqal. Tak macam dulu, tak macam masa Papa masih ada,”
Haiqal mencebik bibirnya. Sesekali dia menggigit bibirnya.
“Haiqal.
Mama sayangkan Haiqal. Mama sibuk dengan kerja Mama, Haiqal pun tahu yang Mama
baru dapat kerja.” Sarimah memeluk anaknya. Haiqal mendiamkan diri, kaku tanpa
sebarang tindak balas.
“Nasib
baik ada Tok Long sekarang. Selalu temankan Haiqal.”
“Haiqal
tahu tak siapa Tok Long?”
“Tok
Long kata, Papa cucu dia.”
Sarimah
diam. Otak kosongnya cuba memikirkan bagaimana Tok Long mengetahui identiti
Haiqal.
“Mama
kenal Tok Long masa Mama buat kerja kebajikan di rumah orang-orang tua itulah.
Mama memang bercadang nak bawa Tok Long tinggal dengan kita. Tak tahu pula, Tok
Long dapat cari rumah ni.”
Sarimah
cuba memikirkan secara logik. Rumah banglo ini rumah pusaka yang diwarisi oleh
suaminya. Ada kemungkinan Tok Long tahu tentang rumah ini atau pernah datang ke
rumah ini atau pernah tinggal di rumah ini. Mungkin juga, Tok Long pemilik asal
rumah ini sebelum diwariskan sebelum Tok Long berpindah ke rumah usangnya.
“Haiqal,
kalau Haiqal jumpa Tok Long lagi, kata Mama rindu dengan Tok Long.”
-o-
Malam
itu Sarimah cuba melelapkan matanya. Dia masih lagi memikirkan tentang Tok
Long. Tentang di mana Tok Long pergi, dan kenapa Tok Long melarikan diri. Semua
itu masih lagi mengacau pemikiran Sarimah.
Malam
itu di salah satu hujung atap banglo rumah Sarimah, ada satu lembaga hitam
kelabu, duduk bertenggek seperti beruk. Lembaga itu diam di situ, matanya yang
berwarna merah merenung ke halaman rumah di bawah, tidak bergerak-gerak.
Angin
berderu-deru di luar rumah, mengheret zarah-zarah embun ke serata rumah banglo
itu. Lembaga itu berbisik sambil mengirimkan pesanannya kepada angin yang
berderu-deru.
“Luwe
getih...” bisiknya.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis
Ular