SIAPA TOK LONG? – PEWARISAN SAKA
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Suatu ketika dahulu, ada seorang nenek tua tinggal di sebuah
rumah usang. Papan rumahnya sudah buruk, barangkali ada yang sudah
reput dan atap zinknya pula sudah berkarat. Usia nenek tua mungkin sudah
mencecah 100 tahun. Ada yang bertanya, apakah tidak ada satu pun usaha untuk
memindahkan nenek tua itu ke rumah orang-orang tua?
Nenek tua ini tidak suka sesiapa pun datang mengunjunginya.
Sesiapa yang mahu datang menjenguknya, pasti dihalaunya. Wartawan tidak
terkecuali. Pegawai Kebajikan Masyarakat juga tidak terkecuali. Ada yang pernah
dibaling dengan senduk besi dan periuk besi. Nenek tua itu cukup bijak tidak
membaling piring kaca atau barangan tembikar. Jika pecah, siapa mahu ganti?
Ada seorang sukarelawan yang suka melakukan kerja-kerja
kebajikan. Sarimah namanya. Usianya sekitar 40 tahun, dan dia memiliki seorang
anak lelaki, usianya sekitar dua belas tahun. Sarimah berketurunan Melayu
tetapi dia telah lama tinggal di Kanada. Selepas kematian suaminya, dia dan
anak lelakinya, Haiqal, berhijrah ke Malaysia. Suaminya memiliki harta pusaka
berupa sebuah rumah banglo di Malaysia dan di situlah kini Sarimah menetap.
Suatu hari Sarimah mendengar tentang kisah nenek tua ini.
Dia menawarkan diri untuk cuba mendekati nenek tua itu. Entah kenapa nenek tua
ini dengan mudah menyukai Sarimah. Dengan mudah, nenek tua itu ditempatkan di
rumah orang-orang tua. Ini adalah satu keajaiban. Asal-usul nenek tua itu
sedang cuba disiasat. Pihak Kebajikan Masyarakat masih sedang cuba mengesan
waris-waris nenek tua tersebut.
Pada suatu malam, langit gelap dan rumput hijau di laman
rumah orang-orang tua itu mula menadah titisan hujan yang berat. Sesekali guruh
berkumandang dan kilat sambar-menyambar. Nenek tua tidak senang duduk. Dia
menjerit-jerit memanggil nama Sarimah. Staf-staf di rumah orang-orang tua
memujuknya tetapi dia tidak mahu berhenti menjerit. Sarimah terpaksa dipanggil.
Sarimah tergesa-gesa datang menemui nenek tua itu pada malam itu juga. Apabila ternampak
sahaja Sarimah, nenek tua pun menangis sambil duduk mencangkung.
“Kenapa Tok Long menangis ni? Ini Sarimah dah datang ni. Tok
Long jangan menangis lagi, ya?” Sarimah memeluk nenek tua yang dipanggil Tok
Long itu.
“Tok Long nak balik rumah Tok Long. Tok Long tak boleh
tinggal di sini lama-lama.” Tok Long menangis teresak-esak seperti anak kecil.
Air mata dan hingus membanjiri kedutan pada mulutnya. Mata Tok Long yang
berkatarak, merah berair.
“Kenapa Tok Long nak balik rumah lama? Tok Long rindu rumah
lama, ya?” Sarimah cuba memancing rahsia.
“Tok Long kena balik...” Tok Long tersedu-sedan. Kedua-dua
belah tangannya yang sudah berkedut seribu, disilangkan, masing-masing memegang
bahu kiri dan bahu kanan.
“Tapi sana sunyi, tak ada kawan. Sini, Tok Long ada ramai
kawan boleh teman Tok Long. Ada ramai yang boleh jaga Tok Long...” Sarimah
dengan sedaya-upaya cuba memujuk Tok Long.
“Tok Long tak mahu kacau orang-orang di sini... Tok Long
kena balik.” Nampak gayanya, Tok Long sudah bertegas tak mahu tinggal di rumah
orang-orang tua.
Sarimah memandang staf-staf yang ada tidak jauh di situ.
Sarimah memandang lama-lama ke arah seorang lelaki, berkaca mata, berjambang
dan berbadan agak gempal. Encik Akmal, dialah pengurus di rumah kebajikan itu. Lelaki
berusia lewat 40-an itu mengangguk.
“Baiklah Tok Long. Esok Sarimah bawa Tok Long balik
tengok-tengok rumah. Tapi sekejap saja tau.” Sarimah memegang bahu dan belakang
Tok Long. Diusapnya belakang Tok Long beberapa kali, selembut dan
sesopan-sopannya.
Tok Long diam. Tok Long tidak menangis lagi. Diam tidak
bermaksud bersetuju.
-o-
Pagi itu Tok Long sudah siap berpakaian serba kelabu
berbunga-bunga hijau, dan berselendang batik warna kelabu seperti yang biasa
dipakai oleh wanita-wanita tua di kampung-kampung. Tok Long tersengih apabila
melihat Sarimah datang mendekatinya. Kelihatan gigi-giginya yang sudah kuning
di sebalik bibirnya yang sudah kering. Tok Long pun berjalan terbongkok-bongkok
ke arah Sarimah, tangannya memegang lengan Sarimah. Sarimah perlahan-lahan memapah
Tok Long masuk ke van kuning cair. Pada pintu van itu tertulis perkataan ‘Rumah
Orang-Orang Tua’ dengan huruf-huruf besar berwarna hitam. Encik Akmal sendiri
yang memandu van tersebut.
-o-
“Assalamualaikum..” Itulah perkataan pertama yang diucapkan
Tok Long apabila menyelak pintu rumahnya.
Sarimah mengekori dari belakang. Encik Akmal pula sekadar
berdiri memerhatikan keadaan sekeliling rumah Tok Long. Daun-daun kering yang
gugur kelihatan di mana-mana di sekitar rumah tersebut.
“Tok Long nak buat air. Sarimah duduklah dulu.” Tok Long
tersengih-sengih memandang Sarimah, sebelum perlahan-lahan menapak, menuruni
anak tangga menuju ke dapur.
“Tak apa, Tok Long. Sekejap lagi kita nak balik dah.”
Sarimah tidak pasti sama ada masih ada bekalan makanan atau minuman di rumah
Tok Long yang sudah beberapa hari ditinggalkan itu.
Tok Long diam. Kelibatnya tidak kelihatan lagi. Melihat
kesungguhan nenek lanjut usia itu untuk membuat air, Sarimah pun pergi ke
dapur. Sunyi saja suasana di dalam rumah itu.
“Tok Long?” Sarimah mundar-mandir di dapur rumah usang itu.
Gelap. Cuma sedikit cahaya yang dapat menerjah dari ruang atap yang bocor ke
ruang dapur itu. Debu-debu halus jelas kelihatan menari-nari mengikut jalur
pancaran cahaya hingga ke lantai. Masih tidak ada kelihatan kelibat Tok Long.
Salmah menjenguk ke bilik air. Kosong. Salmah menjenguk ke
belakang rumah. Juga lengang. Tok Long sudah hilang!
“Encik Akmal! Encik Akmal! Tok Long hilang!” Sarimah
bergegas mendapatkan pengurus rumah orang tua-tua itu.
“Eh, hilang apanya? Tu, dia dah ada duduk di belakang van,
tu... Sarimah.” Berkerut dahi Encik Akmal melihat betapa menggelabahnya wanita
cantik dengan solekan nipis pada wajahnya itu.
Tok Long tersengih-sengih dari dalam van. Matanya terbeliak
besar seolah-olah mengejek Sarimah. Ibu tunggal itu diam tidak berkata apa-apa
lagi. Perangai orang berusia kadangkala sukar dijangka. Mereka adakalanya
berkelakuan seperti anak kecil. Sarimah tersenyum sendiri melihat gelagat Tok
Long. Sarimah pun duduk di kerusi belakang di dalam van bersama-sama nenek tua
itu.
Encik Akmal menghidupkan enjin. Sarimah memandang ke rumah
usang itu buat kali terakhir. Van bergerak perlahan-lahan meninggalkan laman
rumah Tok Long. Tok Long yang sedang duduk di kerusi belakang van masih lagi
tersenyum meleret dengan matanya memandang liar ke cermin pandang belakang van.
Encik Akmal terasa bulu roma di lengannya dan tengkuknya meremang secara
tiba-tiba.
“Sarimah!!! Sarimah!!!” sayup-sayup kedengaran suara mirip
suara Tok Long dari rumah usang itu. Suara itu kedengaran sayu. Menyedihkan.
Seolah-olah sedang meratap. Sarimah cepat-cepat menjenguk ke luar, tetapi tidak
ada apa-apa yang mencurigakan. Sarimah memandang ke arah Tok Long. Tok Long
diam. Matanya memandang liar ke depan van.
-o-
Malam itu, Sarimah baru hendak melelapkan mata. Telefonnya
tiba-tiba berdering lagi. Tangan Sarimah teraba-raba mencari telefon pintarnya
di atas meja kecil di sebelah katilnya.
“Sarimah, datang sekarang! Tok Long mengamuk!” Kecut jantung
Sarimah apabila mendengar suara Encik Akmal yang tercungap-cungap mencuri nafas
di corong suara telefonnya.
-o-
Cuma Sarimah yang boleh memujuk Tok Long. Cuma Sarimah yang
memahami isi hati Tok Long. Cuma Sarimah yang perlu ada apabila Tok Long
menimbulkan masalah. Begitulah pendapat staf-staf di rumah orang tua-tua itu.
Namun kali ini, mereka silap. Biarpun Sarimah sudah muncul
di depan mata Tok Long, nenek tua itu masih tetap mengganas.
“Tok Long... Sarimah ni. Tok Long jangan buat macam ini, Tok
Long. Sarimah takut.”
Tok Long ketawa mengekeh-ngekeh. Suaranya garau. Matanya
merenung tepat ke arah Sarimah. Bebola matanya seolah-olah tertonjol keluar.
Sebaik-baik sahaja anak mata Sarimah bertentangan mata
dengan Tok Long, Sarimah terus rebah. Pengsan!
-o-
Sarimah mendapati dirinya berada di bilik rawatan kecemasan
di rumah orang tua-tua itu semasa dia sedar. Dia tidak pasti sudah berapa lama
dia tidak sedarkan diri. Kepalanya masih pening-pening, badannya masih lemah.
Tidak ada sesiapa pun yang menjaganya ketika dia pengsan.
Bunyi angin kuat menderu-deru dari luar. Gelap. Tidak hujan.
Aneh.
Sarimah cuba bangkit biarpun badannya terasa berat,
urat-uratnya bagai dicucuk dengan jarum. Kepala lututnya pula terasa kebas,
sejuk dan lemah. Menggigil badan Sarimah apabila tapak kakinya menyentuh lantai
marmar. Kedinginan lantai itu pantas menyerap sampai ke sumsum tulang-tulangnya. Sarimah menguatkan hasrat, mengumpul segala
kudrat yang ada untuk berdiri dan berjalan.
Rumah orang-orang tua itu kelihatan gelap tanpa sebarang
lampu yang terbuka. Sarimah cuba mencapai suis lampu di dinding. Dipetiknya
suis tersebut tetapi lampu tetap tidak menyala. Sarimah bercadang mahu keluar
dari rumah orang tua-tua itu. Dia berjalan perlahan-lahan ke ruang penyambut
tetamu. Dinding, lantai, siling dan segala-galanya seolah-olah sedang
berputar-putar. Sekali-sekala Sarimah hilang keseimbangan badan dan
nyaris-nyaris terjatuh tetapi pantas tangannya menongkat ke dinding.
Sampai sahaja di ruang penyambut tetamu, Sarimah mendapati
pintu bangunan sedang terbuka. Sarimah dapat melihat dengan jelas, kabus
menyebar berkepul-kepul dari luar dilanda angin yang menderu-deru. Masih tidak
ada seorang pun ditemuinya.
“Sarimah, kenapa tinggalkan Tok Long?” Gema suara Tok Long
kedengaran berselang-seli dengan bunyi angin yang menderu-deru.
“Eh?” Sarimah cuba menghampiri pintu. Tiba-tiba, kedua-dua
daun pintu kuat menghempas sesama sendiri, saling merapat dan tertutup,
mengurung Sarimah yang berada di dalam rumah orang-orang tua itu.
“Sarimah tak dengar kata Tok Long...” Suara Tok Long
berbisik dan bergema dalam kegelapan ruang di dalam rumah itu.
Sarimah kebingungan. Mabuk. Sarimah tidak mampu berfikir
dengan waras.
“Tok Long dah cakap dah...” Suara Tok Long bergema lagi.
Sarimah rebah lagi. Sejuk. Seluruh badannya kebas.
“Tok Long nak balik... Tok Long tak nak datang sini lagi...”
Sarimah rasa ada sesuatu menyerkup kepalanya. Pandangan
bertambah gelap. Sarimah tidak nampak apa-apa lagi. Udara terasa panas dan
menyukarkan pernafasan. Sarimah ingin menjerit meminta tolong tetapi dia tidak
mampu.
“Aaaaaaaaaaaahhhhhhh!!!!! Lepaskan aku!!!!! Lepaskan aku!!!”
Sarimah memerah segala tenaga yang ada untuk menjerit.
Sarimah meronta-ronta. Malangnya lembaga yang menyerkup
mukanya dengan kain hitam itu tidak mahu berbelas kasihan. Sarimah
menjerit-jerit, meraung dan menangis. Dia tidak tahu siapa yang memperlakukan
begitu kepada dirinya. Mungkinkah rumah orang tua-tua itu sedang dirompak?
Kenapa pula ada orang sanggup datang merompak rumah orang-orang tua? Bukannya
ada duit berjuta-juta di situ, melainkan sejumlah duit yang didermakan oleh
orang-orang yang bermurah hati.
Tiba-tiba Sarimah terdengar seperti ada beberapa suara
membacakan surah Al-Fatihah. Kemudian kedengaran pula bacaan ayat-ayat Kursi.
Diikuti dengan surah Al-Hasyr. Ha mim. Sarimah terasa ada orang menepuk di
bahagian belakang badannya, tepat di bahagian belakang belikatnya. Kedengaran
sebutan-sebutan berbahasa Arab, seperti doa dibacakan.
Entah kenapa tiba-tiba Sarimah terasa lega. Ada sesuatu
bergerak-gerak, menyusut, mengalir dan menjalar di serata badannya. Semakin
lama terasa semakin lega. Tidak ada lagi benda yang menyerkup wajahnya.
Kehangatan mula terasa di liang-liang roma. Sesekali badannya disapa angin yang
nyaman. Badan Sarimah terasa lesu dan lemah.
“Sarimah... Sarimah dengar apa yang saya katakan ini? Jika
dengar cuba angguk, ya?” Suara seorang lelaki. Lembut nadanya.
“Bagaimana, Ustaz?” Itu seperti suara Encik Akmal.
“Bagi dia minum air ni.”
Sarimah terasa ada seseorang menyuakan segelas air.
Kebetulan Sarimah terasa haus, terasa kering dan perit tekaknya kerana
terjerit-jerit tadi. Sarimah minum saja air tersebut. Air mineral dari gelas
itu terasa dingin meratai dinding kerongkongnya, kesegarannya menyerap ke
esofagusnya terus ke dalam perut. Sarimah tiba-tiba terasa mual dan ingin
muntah.
“Biarkan dia muntah...” Suara lelaki itu lagi. Lembut.
Sarimah muntah semahu-mahunya. Perutnya terasa seperti
ditekan-tekan. Kemudian barulah dia terasa lega. Nafasnya tercungap-cungap.
Seksanya, cuma Tuhan sahaja yang tahu.
Bacaan Yasin, terus kedengaran dibacakan. Salmah cuba mahu
terlelap, tetapi setiap kali juga dia akan mendengar suara orang-orang tertentu
terus cuba berhubung dengannya.
-o-
Sarimah masih terkejut dengan berita yang baru didengarinya.
Sarimah bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Butiran-butiran pada
kertas yang dilihatnya jelas menunjukkan bahawa Tok Long, nenek tua berusia
lanjut itu adalah moyang kepada Haiqal, anak lelakinya!
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah
0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen Anak
Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah
0.6: REKRUT
15 OGOS 2015: Novel IBRIM
& TOWA - Cinta Gadis Ular