Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
01 - JAGA PEKAN BARU

JAGA PEKAN BARU

(Inspirasi daripada kisah benar yang tidak dapat dipastikan kebenarannya)

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Petang itu, Sudir yang berusia pertengahan 20-an, menapak kakinya sendirian di Pekan Baru. Betul kata orang, pekan itu sunyi seperti baru lepas dilanda wabak maut. Kata orang, ada banyak kisah pelik dan seram di pekan tersebut. Ramai orang telah tinggalkan pekan tersebut. Entah kenapa Sudir begitu berani menerima jawatan jaga di Pekan Baru.

“Tugas kamu senang sahaja. Kamu pusing-pusing, jaga Pekan Baru, jangan bagi sesiapa pecah masuk kedai-kedai di situ.” Begitulah pesan penyelia di syarikat Pekaba Sekuriti kepada Sudir.

Sudir mengangguk tanda faham. Dapat bekerja di Pekan Baru pun sudah cukup buat hatinya melonjak-lonjak gembira. Baginya upah RM3000 sebulan untuk menjaga keselamatan di Pekan Baru pada waktu malam sangat lumayan. Sebenarnya Sudir ada tujuan lain untuk datang ke Pekan Baru.

“Pekan Baru tu kawasan larangan. Kalau kau nak masuk sana, kau kena jadi jaga.” Salah satu maklumat awal yang disampaikan kepada Sudir ketika dia mengkaji pekan tersebut.

“Pekaba Sekuriti yang uruskan jaga di pekan tu.”

“Pekan Baru tu kawasan perkampungan jin. Kau berani nak kerja malam-malam di situ?”

-o-

“Anak ni, Sudir, jaga baru tu ke” Pak Asan, tauke gudang tepung, berbadan kecil dan gendut, adalah orang pertama yang ditemui Sudir.

“Ya, pakcik.” Sudir tersengih-sengih.

“Berapa lama nak kerja sini?” Mata Pak Asan yang agak kemerahan merenung tepat ke wajah Sudir. Sebelah anak matanya berwarna putih. Pak Atan buta sebelah matanya barangkali.

“Saya tak pasti lagilah Pakcik. Gaji pun tinggi, mungkin bertahun juga.” Sudir menjawab dengan selembut-lembut nada.

“Harap-harap begitulah. Anak ni memang kuat semangat. Senang hati Pakcik, ada jaga di sini. Anak tengok-tengoklah gudang pakcik ni. Takut-takut ada pencuri masuk, tangkap aja.” Pak Asan menepuk bahu Sudir. “Pakcik pergi dululah, ya?”

“Pakcik, saya nak panggil Pakcik apa?” Tergesa-gesa Sudir bertanya selepas bersalaman dengan Pak Asan.

“Maaf, Sudir. Terlupa nak perkenalkan diri. Panggil saja Pakcik, Pak Asan.” Pak Asan tersenyum sambil menolak motosikalnya perlahan-lahan ke jalan raya.

Sudir memandang gudang tepung Pak Asan. Sunyi betul. Tak pasti pula berapa orang pekerja di sini. Sudir berpaling semula ke arah Pak Asan tetapi Pak Asan sudah pun menghilang.

‘Laju betul Pak Asan bawa motosikal,’ getus hati Sudir.

Sudir memerhatikan meter minyak motosikalnya. Tinggal sesuku. Sudir menghidupkan enjin, sekali tujah motosikalnya pun bergerak. Sudir mencari stesen minyak. Ketika itu jam sudah hampir pukul 7.00 malam.

-o-

Lengang. Lampu-lampu di stesen minyak itu masih menyala tetapi langsung tidak ada orang di stesen minyak itu. Sudir menjenguk ke kaunter. Kosong.

‘Solat maghrib dululah,’ bisik hati Sudir.

Apabila Sudir mendekati surau, kedengaran alunan merdu suara imam membaca surah-surah Al-Quran. Terdapat dua orang lelaki sedang berjemaah menunaikan solat maghrib. Sudir cepat-cepat mengambil wuduk. Masih berbaki satu rakaat. Semasa Sudir melanjutkan solatnya, kedua-dua lelaki tadi terus menetap di bilik surau sambil berzikir. Kedua-duanya kelihatan tenang. Mungkin sudah lama mereka bekerja di stesen minyak tersebut.

“Kamu ni jaga baru sini ke?” Salah seorang pekerja stesen minyak itu bertanya.

“Ya. Baru mula malam ni. Kamu berdua dah lama kerja di sini?” Sudir berjabat tangan dengan kedua-dua pekerja stesen minyak tersebut.

“Kami dah kerja di sini sejak dari mula stesen minyak ni dibuka. Oh, ya, jaga lama apa cerita?” Sambil berbual-bual, Sudir dan kedua-dua pekerja stesen minyak itu perlahan-lahan melangkah kembali ke arah motosikalnya.

“Jaga lama dah masuk hospital sakit jiwa.” Jawapan daripada Sudir sedikit pun tidak membuatkan pekerja tersebut tersentak. Mereka tetap kelihatan tenang.

“Kejap ya, ada pelanggan datang.” Pekerja stesen minyak itu bergegas ke kaunter. Dia kelihatan sedang bercakap seorang diri.

“Dengan siapa dia bercakap tu?” Sudir terpinga-pinga melihat keanehan yang berlaku di depan matanya.

“Kau tak nampak ke pelanggan tengah bayar duit minyak kat depan kaunter tu, Sudir?” Pekerja yang seorang lagi itu membalas semula dengan pertanyaan.

“Eh, macam mana kamu tahu nama saya? Saya belum beritahu nama saya lagi?” Sudir memandang pekerja stesen minyak di depannya dengan rasa curiga. Jantungnya sudah mula berdebar-debar.

“Maaf, kami pun terlupa nak perkenalkan diri. Saya Anip dan kawan saya yang tengah bertugas di kaunter tu, namanya Arip. Minyak motosikal kamu, saya dah isi dah penuh, tak perlu bayar selagi kamu ikhlas bekerja jadi jaga di pekan ini.”

Sudir mengalihkan pandangannya ke arah motosikalnya, tempat duduknya masih tertutup. Dia belum lagi menyuruh kedua-dua pekerja itu mengisi tangki minyak motosikalnya. Peluh dingin memercik dari dahi dan hidung Sudir. Apabila Sudir memandang semula ke arah Anip, jasad Anip telah pun hilang. Sudir memandang pula ke arah kaunter stesen minyak, Arip juga telah tiada!

Lutut Sudir terasa lemah dan mula menggeletar. Anip dan Arip sudah pasti bukan manusia. Manusia takkan hilang semudah itu. Sekarang Sudir sudah faham kenapa jaga yang lama boleh sampai diserang sakit jiwa.

-o-

Malam beransur larut. Sudir terus memandu motosikalnya mengelilingi pekan kecil itu. Lot-lot kedai-kedai yang lengang pada mulanya tiba-tiba sahaja jadi meriah. Lampu-lampu kedai menyala, dan bunyi-bunyi enjin kenderaan menggegarkan jalan-jalan. Suara-suara laungan orang-orang berniaga juga kedengaran. Anehnya, Sudir tak dapat melihat sesiapa pun di situ.

“Aku ni sedang bermimpikah?” Sudir bertanya kepada dirinya sendiri.

“Taklah, anak ni tak bermimpi.” Tiba-tiba sahaja muncul seorang makcik tua di samping Sudir. Berpakaian kebaya tradisional.

“Eh, terkejut saya, Makcik!” Sudir menarik nafas dalam-dalam. Degupan jantungnya melaju.

“Anak ni nampak macam tak sihat saja, kulit muka pucat semacam. Kenapa?” Makcik tua itu tersenyum simpul.

“Saya tak tahulah nak cerita apa...” Urat-urat di badan Sudir masih belum berhenti bergetar.

“Anak ni jangan buat-buat pelik. Terima ajalah. Inilah keistimewaan Pekan Baru.” Pantas, makcik tua itu memotong percakapan Sudir.

“Apa yang istimewanya Pekan Baru ni, Makcik?” Pemikiran Sudir ketika ini sudah cukup berserabut.

“Anak sendiri boleh jawab soalan tu. Makcik tak nak cerita apa-apa.” Jawapan makcik tua itu menambahkan lagi rasa kusut pada pemikiran Sudir.

Melihatkan Sudir kelihatan tertekan, makcik tua itu mempelawa Sudir untuk makan di kedai makannya.

“Jom, Sudir, Makcik belanja Sudir makan mi rebus dan sirap limau. Kedai makcik di depan tu saja.”

Sudir yang masih kusut pemikirannya mengangguk saja.

-o-

Semangkuk mi rebus dan segelas sirap limau kelihatan cukup menyelerakan. Bau harum sirap limau dan aroma yang dimesejkan daripada wap-wap mi rebus sudah cukup mengecurkan air liur Sudir. Sudir menyebut nama Allah, sebelum menenggelamkan hujung sudu besinya ke dalam mangkuk mi rebus. Tekak Sudir terasa haus tiba-tiba, oleh itu dia pun menyedut air sirap limau yang dingin dengan straw berwarna hitam. Sedap! Segar! Memang pandai makcik ni membancuh sirap.

Sudir menghirup sup mi rebus. Rasa masin dan masam cukup seimbang. Kesedapan mi rebus masakan makcik tua tersebut membuatkan fikiran Sudir kembali tenang. Untung dia menerima pelawaan makcik tua tersebut tadi.

“Makcik, kenapa kedai makcik tak ada orang, sedangkan makanan di sini sedap-sedap? Tinggi ‘umph’nya makcik. Nanti saya ajak kawan-kawan saya ke, sedara-mara saya ke, datang sini.” Sudir tersengih-sengih.

“Eh, kedai di sini memang tak ada orang tetapi jin-jinnya ramai yang jadi pelanggan tetap makcik. Tengok sekeliling kamu tu, nak.”

Sudir terpegun mendengar kata-kata makcik tua tersebut. Dia pun memandang ke sekitarnya. Berpuluh-puluh pelanggan memenuhi meja makan di kedai tersebut. Bulu roma Sudir meremang. Mana tidaknya, pelanggan-pelanggan yang datang itu ada yang matanya seperti ular, seperti kucing dan ada yang bertelinga seperti kuda dan anjing. Ada yang dewasa, anak kecil dan bayi. Kesemua pelanggan itu tiba-tiba memandang ke arah Sudir.

Sudir rasa terancam. Dia meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya ke atas kedua-dua belah pehanya seperti pengantin lelaki sedang bersanding di atas pelamin. Sudir tunduk tetapi matanya masih terus menjeling dan melilau melihat makhluk-makhluk alam yang sedang memandangnya.

‘Habislah, aku seorang manusia di sini. Makcik tua ni pun tentu jin juga,” bisik hati kecil Sudir.

“Nak, kamu jangan takut dengan kami. Kamu dah kerja jadi jaga di sini pun kami dah cukup berterima kasih. Hal-hal masalah manusia mesti diuruskan oleh manusia juga. Kalau kami, jin yang masuk campur, nanti satu kampung kami kena halau atau dipaksa pindah. Kami tak mahu cari pasal dengan manusia tetapi kadang-kadang manusia suka kacau tempat-tempat kami. Khidmat jaga seperti anak ni, memang perlu ada di sini.” Tiba-tiba salah satu daripada makhluk Allah itu bersuara.

“Ya, betul tu. Jangan esok, kamu dah berhenti kerja pula. Kami tak kacau anak-anak Adam seperti kamu selagi kamu tak ganggu kampung kami,” sahut pelanggan yang lain pula.

“Kalau anak berkenan dengan mana-mana anak dara kami, pun boleh kami tolong kahwinkan cepat-cepat.” Kata-kata gurauan jin tersebut disahut dengan gelak ketawa jin-jin yang lain. Sudir yang masih kebingungan tersengih-sengih dalam gementar.

“Makcik, berapa semua ni? Saya nak bayar dah ni.” Sudir tiba-tiba sahaja mahu beredar dari situ. Dia berharap hari siang akan cepat tiba. Dia perlu menenangkan fikiran dan membuat keputusan sama ada mahu terus bekerja atau berhenti saja.

“Alah, kan tadi makcik cakap, makcik belanja. Terima kasihlah ya, sebab sudi singgah kedai makan makcik ni.” Makcik tua tadi berdiri di sebelah Sudir.

“Terima kasih ya, Makcik. Saya beransur dululah, nak kena sambung kerja.”

Makcik tua tersebut tersenyum sambil mengangguk-angguk.

Sudir melambai-lambai ke arah pelanggan-pelanggan lain yang ada di gerai tersebut. Namanya kini sudah mula meniti di telinga-telinga penduduk-penduduk bukan manusia di sekitar pekan itu.

Sudir kelihatan agak kekok untuk berjalan keluar dari kedai tersebut. Tiba-tiba sahaja semua pelanggan dan makcik tua tadi lenyap. Keadaan kembali menjadi sunyi dan lengang. Sudir menggeleng-gelengkan kepala. Perutnya masih terasa kenyang dan wangian daripada air sirap limau yang diminumnya tadi masih dapat dihidunya. Dia pasti bukan bermimpi.

-o-

Semasa dia cuba menghidupkan enjin motosikalnya dia ternampak ada empat orang berpakaian serba hitam sedang cuba mengopak pintu sebuah kedai yang tertutup.

“Siapa kamu semua, hah?” jerit Sudir. Sudir menghalakan lampu suluh ke arah mereka berempat.

Keempat-empat lembaga hitam itu, yang diyakini adalah manusia berhenti seketika. Mereka semua memandang ke arah Sudir. “Eh, ada jaga lagi rupanya. Jeman, kau cakap jaga tu dah berhenti kerja, habis ni siapa pula?” Salah seorang daripada pencuri tersebut bersuara.

“Kenapa kau sebut nama aku?” Seorang pencuri berbadan kurus tinggi marah-marah dan mengetuk kepala pencuri pertama yang bersuara tadi.

“Aduh! Ini semua salah kau, kau cakap hari ni tak ada jaga!” Pencuri yang pertama menengking kembali ke arah rakannya tadi.

“Mana aku tahu tiba-tiba ada jaga malam ni? Kita dah rancang baik-baik tau.”

“Alah, kita ni berempat, dia tu seorang saja. Apa lagi, kita belasah dia bagi pengsan dulu!”

Mendengar kata-kata pencuri yang pertama tadi, ketiga-tiga pencuri yang lain pun mengangguk. Keempat-empat pencuri pun mendekati Sudir. Di tangan masing-masing ada senjata seperti tukul, spanar, gergaji dan pisau. Sudir berundur ke tempat yang lebih lapang.

Keempat-empat pencuri itu nampaknya nekad mahu membelasah Sudir. Sudir cuma ada dua pilihan, melawan atau melarikan diri. Tiba-tiba kata-kata berikut terngiang-ngiang di telinganya:

“Tugas kamu senang sahaja. Kamu pusing-pusing, jaga Pekan Baru, jangan bagi sesiapa pecah masuk kedai-kedai di situ.”

“Minyak motosikal kamu, saya dah isi dah penuh, tak perlu bayar selagi kamu ikhlas bekerja jadi jaga di pekan ini.”

“Anak ni memang kuat semangat. Senang hati Pakcik, ada jaga di sini. Anak tengok-tengoklah gudang pakcik ni. Takut-takut ada pencuri masuk, tangkap aja.”

“Kamu dah kerja jadi jaga di sini pun kami dah cukup berterima kasih. Hal-hal masalah manusia mesti diuruskan oleh manusia juga. Kalau kami, jin yang masuk campur, nanti satu kampung kami kena halau atau dipaksa pindah. Kami tak mahu cari pasal dengan manusia tetapi kadang-kadang manusia suka kacau tempat-tempat kami. Khidmat jaga seperti anak ni, memang perlu ada di sini.”

Keberanian Sudir mula membara di dadanya. Sudir merenung tajam ke arah keempat-empat pencuri tersebut.

“Hah, marilah kalau kamu semua berani! Kalau kau semua tak berani, cepat-cepat berambus dari pekan ini dan jangan datang lagi.” Sudir mengenggam hulu cota di pinggangnya.

Sikap berani dan tegas Sudir telah mula membuatkan keempat-empat pencuri tersebut ragu-ragu.

“Aku rasa elok kau saja yang berambus. Kami berempat, kau seorang. Kami memang perlukan duit sekarang ni.”

“Aku dah telan minyak motosikal percuma, aku dah makan mi rebus sedap dan air sirap limau percuma, aku dah janji akan jaga Pekan Baru ini! Aku akan jaga Pekan Baru ini daripada orang-orang seperti kalian semua! Haih!!” Sudir membuka langkah silatnya. Bunga-bunga yang entah diilhamkan dari mana, dipersembahkannya sahaja di depan pencuri-pencuri tersebut.

Sudir makin berani. Dengan aksi bunga silatnya, Sudir menapak makin dekat ke arah pencuri-pencuri tersebut. Pencuri-pencuri tersebut tidak berani menyerang Sudir dan mula berundur.

“Kita nak lawan ke tidak ni?” Salah seorang pencuri memandang ke arah kawannya.

“Kau serang dulu!” Pekik pencuri yang lain pula.

“Satu, dua, tiga... serang!” Keempat-empat pencuri pun meluru ke arah Sudir.

Sudir seperti pasrah, bersiap-sedia untuk menyambut serangan pencuri-pencuri tersebut. Serangan pertama mula menyinggah ke muka Sudir, tetapi sepantas itu juga, Sudir terdengar bisikan seseorang mengarahkannya menepis tangan penyerang tersebut dengan lengannya, kemudian entah daripada mana datangnya kekuatan, Sudir dengan pantas menumbuk rusuk di bahagian lengan musuh yang ditepisnya sebelum merebahkan pencuri tersebut dengan kaki yang diselakkan dari belakang kaki penyerang pertama tersebut. Penyerang pertama jatuh terlentang dan meraung kesakitan.

Serangan pencuri kedua pula tiba, Sudir tiba-tiba berguling ke samping untuk mengelak serangan tersebut sebelum bangkit dan menendang tepat ke arah pinggang penyerang kedua. Belum sempat pencuri tersebut rebah, Sudir melompat dan lututnya hinggap ke tengkuk belakang pencuri. Tindakan yang amat pantas dan bertenaga itu sekali lagi berjaya menumbangkan penyerangnya.

Melihat dua rakan mereka telah rebah dengan begitu pantas, kedua-dua orang pencuri yang lain mula berhati-hati sebelum bertindak.

“Kau semua elok berambus sekarang. Hari ini aku maafkan kalian semua. Kalau berani datang lagi, kau semua memang cari nahas.” Nafas Sudir berombak kencang.

“Terima kasih, bang! Terima kasih, bang. Kami tak buat lagi...” Kedua-dua orang pencuri itu pun memapah kedua-dua orang rakan mereka yang tercedera lalu beredar dari situ.

Sudir mengangkat kedua-dua belah tangannya, menghala telapak tangannya ke langit. Sudir berasa sangat bersyukur.

-o-

Setahun lalu, ada seorang pemuda yang dianggap paling lembik, pengecut dan tidak berguna di sebuah kilang. Dia berhenti kerja selepas tidak tahan diejek oleh rakan-rakan sekerjanya. Pada mulanya ingin sahaja dia mempelajari ilmu hitam dan mengenakan rakan-rakan sekerjanya tetapi apa gunanya membalas dendam kemudian diri sendiri pun akhirnya berkesudahan dengan azab di neraka. Selepas beristighfar beberapa kali, Sudir tidak jadi berbuat demikian dan memutuskan untuk berhenti kerja. Berbulan-bulan lamanya dia menganggur. Ibunya mula marah-marah. Beberapa lama kemudian dia mengetahui wujudnya jin Islam yang boleh mengajarnya ilmu mempertahankan diri di suatu tempat yang bernama Pekan Baru. Sudir mencari peluang untuk menemui jin tersebut. Hinggalah akhirnya, hari ini, dia berjaya mendapat kerja di tempat tersebut.

-o-

“Saya tahu Pakcik dan Makcik ada di sini. Terima kasih Pakcik dan Makcik kerana mengajarkan saya ilmu persilatan sebentar tadi.” Sudir bercakap seorang diri.

Tiba-tiba, satu-persatu lembaga jin muncul di sekeliling Sudir.

“Terima kasih Sudir sebab sudi jaga tempat kami. Kami jin-jin Islam di sini sudah beberapa kali berpindah-randah. Semuanya berpunca daripada perbuatan kami mengenakan anak-anak Adam. Setiap kali mereka memudaratkan kami, kami membalas tetapi akhirnya kami dihalau ke sana dan ke mari. Kali ini kami nekad untuk tinggal harmoni bersama manusia, malangnya manusia masih terus akan mengganggu kami.” Pakcik Asan muncul dan bersuara.

“Sudah tanggungjawab saya sebagai jaga di Pekan Baru ini, Pakcik. Saya akan cuba buat yang terbaik.”

Satu demi satu jin datang menghampiri dan bersalaman dan menepuk bahu Sudir. Kini Sudir tidak lagi berasa takut dengan jin-jin tersebut.

-o-

Subuh menjelma. Sudir menuju ke surau di stesen minyak untuk solat Subuh. Stesen minyak itu sunyi. Tidak ada kelibat Anip mahupun Arip. Selepas selesai solat Subuh, Sudir mengangkat tangan dan berdoa. Dia bersyukur kerana selamat sepanjang hari pertama bertugas di pekan tersebut.

Sudir kepenatan. Dia mahu cepat pulang ke rumah untuk tidur. Waktu bekerjanya sudah tamat. Sudir melangkah keluar dari bilik surau tersebut. Sudir terkejut. Dia sangat-sangat tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Pokok-pokok besar beberapa pemeluk yang berusia ratusan tahun, dengan pokok-pokok menjalar yang terjurai dari celah-celah dahannya menyambutnya di luar bilik surau tersebut. Ini memang kawasan hutan!

Apabila dia menunggang motosikalnya mengelilingi kawasan itu didapatinya langsung tidak ada satu bangunan pun di situ. Minda Sudir sarat dengan seribu satu persoalan. Sudir memecut motosikalnya dengan laju, menuju ke pejabat Pekaba Sekuriti bagi mendapatkan penjelasan.


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015: Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015: Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015: Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015: Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.