TERCULIK ANAK JIN
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
“Mana anak aku? Mana anak aku?” Pekik Sarimah apabila dia telah
sampai ke tebing kolam berlumpur.
Para fasilitator
sememangnya terkejut dengan kemunculan Sarimah secara tiba-tiba. Kebetulan pada
ketika itu Haiqal masih lagi dihukum berendam di dalam kolam berlumpur.
“Haiqal!”
Terkejut benar Sarimah apabila melihat Haiqal sedang kesejukan di dalam kolam
berlumpur. “Dah berapa lama kau semua rendam anak aku dalam kolam tu!”
Fasilitator-fasilitator
kem mati kutu. Mahu tak mahu, mereka terpaksa membawa Haiqal keluar dari kolam
berlumpur tersebut. Haiqal kelihatan tidak bermaya, lemah dan ketakutan. Matanya
terbeliak seolah-olah sedang melihat sesuatu yang menakutkan.
“Kau semua memang
patut kena saman! Kau orang semua dah dera anak aku!” Sarimah nekad mahu
membawa Haiqal pulang ke rumah malam itu juga.
Selepas Haiqal
membersihkan diri, Sarimah terus mengemas barang-barang Haiqal dan memandu
pulang. Sepanjang berada di dalam kereta, Haiqal langsung tidak bersuara.
-o-
“Tok Long kenal
tak jin yang kacau Haiqal tadi?” Haiqal masih kesejukan.
“Itu Belian, jin
hutan berkepala rimau. Dia marah Haiqal datang sini.” Tok Long memimpin Haiqal
menuju ke bilik air. Di situ Haiqal disuruh duduk mencangkung. Tok Long
menceduk air dengan menggunakan gayung.
“Kenapa Tok Long
biarkan Belian balik dengan Mama?” Haiqal membiarkan Tok Long mencurahkan air
perlahan-lahan dari ibu jari kaki ke kepalanya.
“Tok Long nak
bunuh semua suku-sakat Belian di sini. Biar Belian tahu, anak cucu siapa dia
sudah ganggu!” Tok Long terus menceduk air dan menyiram Haiqal.
“Kenapa Belian
marah dengan Haiqal?” Soalan Haiqal itu menyebabkan Tok Long berhenti sejenak
daripada menyiram air.
“Sebab Haiqal
istimewa. Haiqal tahu maksud nama Haiqal dalam bahasa jin?” Lembut suara Tok
Long ketika bertanya.
“Haiqal tak tahu.
Nama ni, Mama cakap, Papa yang bagi.” Haiqal mendongak, memandang Tok Long.
“Maksud nama
Haiqal tu ialah Tengkorak. Nama penuh Haiqal, Zaqwan Haiqal, maksudnya Anak Jin
Tengkorak.” Penjelasan yang diberikan oleh Tok Long mengejutkan Haiqal.
Setahunya, maksud namanya dalam bahasa Arab bermaksud pohon besar yang subur,
dia tidak pula mengetahui maksud namanya dalam bahasa jin.
“Apa-apa ajalah,
Tok Long.” Haiqal terus menggosok-gosok badannya.
“Eh, Haiqal?
Bukankah tadi kamu... ?” Seorang fasilitator yang kebetulan mendengar bunyi
orang mandi di bilik air datang memeriksa. Alangkah terkejutnya dia apabila
mendapati Haiqal masih ada di kem itu. Selepas peristiwa Sarimah mengamuk
sebentar tadi, Haiqal sudah pun menjadi buah mulut di kalangan fasilitator dan
para peserta kem.
“Telefon emaknya
sekarang!” Jerit salah seorang fasilitator.
-o-
Sarimah tidak
mahu bercakap apa-apa tentang kem motivasi tersebut. Semasa perjalanan pulang
tadi, Sarimah ada mendapat beberapa panggilan telefon, tetapi dia enggan
menjawabnya. Sarimah tidak mahu berbicara dengan sesiapa pun sehingga perasaan
marahnya benar-benar hilang. Sarimah
terus memimpin Haiqal naik ke biliknya di tingkat atas rumah banglo tersebut.
Sarimah melihat jamnya, berbaki lagi dua jam sebelum waktu Subuh. Sarimah
kepenatan, dia pun berbaring seketika di katilnya.
Sarimah terlena
dengan cepat. Ketika itulah satu lembaga berupa budak lelaki muncul di bucu
katilnya. Mata budak lelaki itu bersinar-sinar dengan warna merah. Matanya
mirip mata kucing atau harimau. Telinganya runcing seperti telinga kucing.
Budak lelaki itu adalah Belian, jin hutan yang disebut-sebut oleh Tok Long.
Belian menyeringai, menampak
barisan giginya yang tajam. Belian cuba menyentuh kaki Sarimah tetapi tiba-tiba
dia terasa seperti satu bahang panas menyambar tangannya. Belian terkejut. Ada
sesuatu melindungi Sarimah. Dia pun menghilangkan dirinya.
-o-
“Tak dapat. Aku
dah beberapa kali cuba telefon emaknya tapi tak dapat.”
“Tadi bukankah
emaknya dah bawa masuk dia ke dalam kereta?”
“Habis yang di depan
kita ni manusia ke bukan?”
“Haiqal? Tadi
emak Haiqal ada kata apa-apa tak?”
“Emak tak jadi bawa Haiqal
balik?”
Haiqal diam.
Bertubi-tubi soalan dikemukakan ke atas dirinya.
Kesemua
fasilitator pun keluar dari dewan tersebut. Mereka berbincang sesuatu di luar
sana. Sesuatu yang misteri.
“Macam mana kalau
dia bukan manusia?”
“Kau nak uji dia
tak?”
“Aku setuju. Yang
lain setuju?”
“Aku ikut saja.”
Selepas mendapat
kata sepakat, kesemua fasilitator pun masuk semula ke dalam dewan tetapi Haiqal
sudah menghilangkan diri. Langsung tidak ada jejak. Para fasilitator kebingungan.
-o-
Jauh di Kanada. Terdapat sebuah rumah agam berhampiran dengan satu
kawasan perkuburan di Nova Scotia. Sebuah tempat yang terkenal dengan banyak
peristiwa berhantu. Di dalam rumah itu tinggal seorang lelaki yang
berusia sekitar 40 tahun. Rambutnya disikat kemas, wajahnya berjambang, matanya
kelihatan redup dan dingin. Dia duduk dengan kemas di atas sebuah sofa tunggal, menghadap ke balkoni di tingkat atas. Lagaknya seperti seorang maharaja yang berjaya menakluki banyak negara.
Di setiap jari tangannya, kecuali ibu jari,
terdapat cincin-cincin yang dikenali sebagai Delapan Cincin Solomon. Nama itu diberikan oleh lelaki itu sendiri. Setiap
cincin tersebut memiliki batu yang berbeza warna dan rupa.
“Papa tak mahu
tolong Haiqal?” Seorang anak gadis berusia sekitar 14 tahun duduk bersimpuh di samping
bapanya. Dia memakai pakaian serba hitam, bergaya gothik.
“Tak perlu,
sayang. Biar Haiqal timba pengalamannya sendiri.” Suara lelaki tersebut
kedengaran agak dalam tetapi lembut.
“Mama?”
“Papa sudah jaga
Mama, Belian tak mampu apa-apakan Mama.” Lelaki mengusap rambut anaknya.
“Qistina masih
risau dengan Mama.” Anak gadis itu merapatkan pipinya ke lengan bapanya.
“Qistina risau?” Lelaki tersebut tersenyum.
“Tentulah risau.” Gadis yang dipanggil Qistina itu memuncungkan mulutnya.
Lelaki itu
beralah. Dia menggosok-gosok sebentuk cincin di jari kelingkingnya. Tiba-tiba
muncullah satu lembaga menunggang kuda hitam di depan kedua-dua anak-beranak
itu. Badan lembaga itu kelihatan sangat gagah perkasa. Lembaga kuda bermata
merah itu meringkik dan kemudian mendenguskan nafasnya beberapa kali sementara
lembaga yang lengkap berpakaian perisai itu mendiamkan diri, menghormati
anak-beranak itu.
“Kimaris, aku
seru engkau untuk berangkat melindungi wanita itu dan anaknya. Bersegeralah
engkau ke sana dan hapuskan Belian untuk aku, atau tundukkannya menjadi
pengikut engkau.” Tenang, angkuh dan yakin. Begitulah nada suara lelaki
tersebut ketika menunjukkan jarinya ke arah gambar Sarimah dan Haiqal yang
tergantung di suatu sudut di bilik tersebut.
Kimaris
mengangguk. Raja Syaitan Berkuda itu terus memacu kuda hitamnya menembusi
dinding rumah. Pada ketika itu juga kelihatan dua puluh bayang-bayang lembaga bertubuh
tegap yang juga masing-masing menunggang seekor kuda hitam mengikutinya dari belakang.
Lelaki tersebut,
identitinya masih lagi misteri. Walau bagaimana pun, di kalangan bangsa jin,
dia digelar dengan satu nama - Lelaki Penunduk Syaitan.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga
karya ini ditulis):
05 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah
06 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015:Cerpen
Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015:Cerpen
Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015:Cerpen
Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015:Novel
IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular