Kemunculan
Sepanjang hari ini Rafie asyik termenung. Dia ingin mencari jawapan yang dirasakan sukar baginya. Apa ertinya kawan? Dia tidak tahu, tetapi itulah yang perlu dia cari.
Seperti kucing yang mencurigai sesuatu, Rafie cuba mencari jawapan bagi persoalannya dengan mendekati Yusri. Dan disebabkan itulah, di waktu rehat ini dia berada di belakang bangunan sekolah. Dia berehat bersama Yusri dan rakan-rakannya.
Segalanya nampak baik. Akan tetapi, dalam sekumpulan kunang-kunang, pasti ada seekor yang tidak terang. Hairi sememangnya tidak senang akan kehadiran Rafie. Lihat sahaja mukanya, pasti rasa hendak menumbuk. Segalanya disebabkan layanan dingin yang pernah diberikan oleh Rafie tempoh hari.
Dengan wajah tidak puas hati, dia memandang Yusri. Lantas dia bertanya, "Kau pasti ke, Yus? Kenapa dalam banyak-banyak orang, kau bawa dia lepak dengan kita?" soalnya berasa musykil.
Yusri mendengus sekali. Dengusannya itu laju, seperti tersentak dengan pertanyaan kawannya itu.
"Asal? Tak boleh ke? Dia kan kawan sekelas kita. Kawan aku lagi. Kawan aku, kawan korang juga kan?"
"Memanglah tapi bukan ke-"
"Wei, Rafie!" Suara kuat Irwan membuat ayat Hairi terhenti. Sekali gus, membuat pandangan jejaka bertubuh sasa itu memandangnya.
Mesra betul Irwan melayan Si pendiam itu. Mereka bersembang seperti sudah kenal lama.
"Seriuslah kau nak berkawan dengan kitorang, Rafie?" tanya Irwan kepada Rafie. Pertanyaan itu dibalas dengan anggukan. Semerta, Irwan berubah teruja.
"Waaahh! Seriuslah! Wei, aku okey je kalau berkawan dengan kau. Asalkan kau tak cari gaduh dengan aku macam hari tu," ujarnya ceria.
Irwan, orangnya memang sangat ceria. Kadangkala, dia suka membuat lawak dan menambah seri dalam sesebuah kumpulan. Sekiranya dia perasan ada rakannya yang muram, dia ada untuk menceriakan hari rakannya itu.
"Ya, aku faham. Aku takkan cari gaduh lagi. Cumanya aku nak kau tahu, aku perlukan masa untuk berkawan dengan kau," kata Rafie kepadanya. Dia mengharapkan Irwan faham bahawa dirinya cuba untuk menyesuaikan diri terlebih dahulu.
"Tak apa kita slow-slow dulu. Mana tahu nanti lama-lama kita rapat serapat-rapatnya. Silap-silap mandi sama-sama pun boleh." Bersama sengihan, Irwan meletakkan lengannya pada bahu Rafie.
Rafie mencebik geli. Dia tidak senang dengan kata-kata dan tindak balas Irwan itu, dengan perlahan lengannya dialihkan dari bahu.
"Maaflah. Aku bukan tak suka kau. Cuma... cara kau cakap tadi buat aku rasa jijik tahu tak."
"Kenapa pulak? Cara aku cakap macam biasa kot. Ke... kau malu-malu dengan aku." Bibir Irwan mula menyeringai. Boleh pula dia berseloroh.
"Kepala hotak kau!" gertak Rafie.
Kerenah mereka berdua berjaya membuat Yusri tertawa Yusri. "Hahaha! Kau ni Irwan, nak bergurau pun janganlah sampai nak mandi sama-sama. Apalah."
"Oh, tak boleh eh?" Irwan pura-pura tidak tahu. Nadanya kedengaran sarkastik.
"Dah tentulah tak boleh!" Begitu garang Rafie menegur.
Irwan bagaimana pun tergelak. Bermakna usikannya berjaya. "Okey, okey. Aku faham. Tapi walau apa pun, aku maksudkan kata-kata aku tadi." Irwan tetap dengan pendiriannya. Sama sekali dia menyengih.
Sekali lagi Rafie mencebik geli. "Haih... tabahlah Rafie," gumam Rafie, pasrah. Sesungguhnya dia tidak faham dengan perangai Irwan ini.
"By the way, Irwan. Boleh tak aku nak tukar panggilan nama kau? Nama kau ni susahlah nak sebut kalau ada huruf 'r' ni. Aku panggil kau Iwan boleh?" Sama seperti Yusri, dia cuba memberi nama panggilan untuk Irwan.
Tanpa berfikir panjang Irwan terus setuju. "Yup! Boleh je. Barulah nampak yang kita ni kawan. Hehehe."
Melihat rakan-rakannya sibuk melayani Rafie, timbul rasa meluat dalam diri Hairi. Mana tidaknya, dahulu Rafie begitu tegas tidak mahu berkawan dengan mereka. Akan tetapi, lain pula dengan sekarang. Dia lebih terbuka dan tidak berkelakuan sinis.
Hairi mendecitkan mulutnya.
'Apahal Si blur ni nak geng dengan kitaorang? Hari tu beria tak nak,' soal Hairi di dalam hati. Dia fikir bahawa Rafie hanya berpura-pura.
"Okey, fine! Ikut suka koranglah nak layan mamat ni. Tapi Rafie, kau jangan ingat aku buta-buta nak percayakan kau. Kalau kau tak percayakan aku, jadi aku pun sama." Jejaka bertubuh sasa ini bertegas.
"Kalau itu yang kau nak. Aku tak kisah. Not my problem," balas Rafie selamba. Ia kedengaran agak sinis.
Apa reaksi Hairi? Semestinya dia panas hati.
"Apa kau cakap? Kau nak gaduh ke hah?" Sejurus itu jejaka bertubuh sasa ini mendekati Rafie. Lagak gangsternya sudah muncul.
Namun, Rafie masih tenang. Sempat juga dia menghabiskan makanannya sebelum menyeringai kepada Hairi.
"Perlu ke gaduh? Badan je sasa tapi tak matang," ejek Rafie.
"Wei bangs*t sinilah one by one aku!" tempelak Hairi yang makin hilang sabar.
"Siapa makan cili dia rasa pedas. Ops! Bukan pedas tapi panas." Situasi antara mereka berdua semakin tegang. Nasib Irwan meleraikan mereka.
"Wei korang! Relax la. Hairi, kau janganlah ketat sangat. Kot ya pun cemburu dengan Rafie ni, janganlah sampai nak bergaduh," ujar Irwan yang nampaknya berpihak kepada lelaki pendiam ini.
"Cemburu? Wei, tolong sikit! Buat apa aku nak cemburu dengan dia?"
"Habis tu kau tak boleh nak berbaik?" Hairi terkedu. Dari gerak bibirnya nampak seperti menahan geram.
"Dahlah, korang ni bukan nak backup aku. Baik aku blah. Buat naik darah je." Hairi pun membawa diri. Namun, pemergiannya itu membuat Yusri memanggilnya.
"Hei, Hairi! Hairi!" Malangnya tidak disahut.
"Huh, dia pergi macam tu je? Dia tak lapar ke, atau sengaja dia tinggalkan roti yang dia beli ni," gumam Yusri sambil melihat sebungkus roti yang ada pada tangannya. Roti milik Hairi.
"Entahlah Yus. Aku pun tak tahu," kata Irwan lalu memicit kepalanya.
Kemudian, pandangannya beralih pada Rafie. "Kau jangan risau, Rafie, Hairi ni sebenarnya baik orangnya. Tapi mungkin ada benda yang dia tak puas hati dengan kau."
"Tapi... apa salah aku?"
"Err... itu..." Irwan tidak mampu menjawab. Dia sendiri tidak tahu apa yang membuatkan Hairi begitu marah dengannya.
"Itu mungkin kau perlu tanya Hairi sendiri." Yusri mencelah.
"Biarkan je dia. Apa yang penting sekarang ni, kita teruskan rehat kita. Sorry kalau Hairi ganggu rehat kau," pinta Yusri.
"Tak apa, Yush, aku pun dah habis makan ni. Lagipun, aku nak gerak ke koperasi. Aku nak beli pen."
"Iya ke. Kalau macam tu kita jumpa kat kelas nanti." Rafie mengangguk faham. Lantas dia pun beredar dari taman itu.
*****************************
"Alaaah!" Rungut saya di dalam hati. Baru sahaja saya selesai menghantar buku di bilik guru, tetapi balik sahaja ke kelas, Rina dan Mei sudah tiada. Mereka pergi berehat tanpa menunggu saya. Tabah sahajalah Inas.
"Haih... mesti diorang dah pergi kantin ni," andai saya. Tanpa berlengah, saya bergegas menuju ke kantin. Akan tetapi, tanpa saya sangka ada halangan besar yang perlu ditempuhi.
Sebaik sahaja tiba di satu lorong yang menghubungkan kawasan bilik darjah dan kantin, diri ini tergamam apabila melihat sekumpulan pelajar lelaki berkumpul di sekeliling lorong tersebut. Gaya mereka seperti melepak dan hanya berbual kosong.
'Haish... kenapalah diorang tak nak lepak dekat tempat lain? Dekat sini juga nak lepak,' bentak hati ini. Mana mungkin saya dapat menempuhi kumpulan tersebut, sedangkan saya takut lelaki. Malangnya nasib hari ini.
Akibat gementar, tubuh ini mula menggigil. Rasa resah mula mendatang dan air peluh mula menitik.
"Tak... tak... jangan menggigil Inas. Kau kena kuat." Tangan ini dibuku erat. Cuba menahan dan meyakinkan diri untuk terus mara.
Tapi...
Itu hanyalah tekad yang di dalam hati. Ia tidak mampu diterjemahkan dengan tindakan. Kaki saya... keras. Langsung tidak mahu bergerak. Nafas ini menjadi sesak. Dada saya ditekup seketika. Ya, keresahan saya cuba menawan tubuh.
"Apa yang kau ragu-ragu kan tu?" Datang satu suara yang menegur. Saya langsung menoleh. Saat mata menemukan wajahnya, terbuka luaslah mata ini.
"Eh? A... awak?"
Bersambung...