Kita Berkawan
Bahangnya hari, hingga terasa di dalam rumah. Sudahlah panas, berpeluh pula. Nasib Rafie ada memasang kipas meja, beranginlah sedikit tubuh ini.
Saya mengusap peluh di dahi. Seketika itu, kaki yang sedang bersila diperbetulkan. Lenguhnya tidak boleh bawa bincang. Hampir menganggu fokus untuk mencari idea.
"Rafie, Inas, mak cik nak ke rumah sekejap tau. Tak lama pun." Datang seorang wanita yang berada dalam lingkungan 40-an. Dialah Mak Cik Lina, jiran kepada Rafie, insan yang bertanggungjawab memantau kami.
Saya dan Rafie mengiyakan sahaja. Terlalu fokus memerah idea untuk tugasan kami.
Sebaik Mak Cik Lina keluar, saya kembali menelaah buku yang berada di atas meja lipat. Meja yang menjadi medan untuk kami berbincang.
Iky yang berada di sebelah abangnya, sudah mula tersengguk-sengguk. Tidak lama selepas itu, dia merebahkan kepala di atas meja lalu tertidur. Penat agaknya.
Ia kedengaran tenang bukan? Malangnya ketenangan itu tidak kekal lama. Ada satu perkara yang tidak terduga telah berlaku.
Tangan saya dibukukan. Dahi pula berkerut lalu disertakan muka geram.
"Tak! Aku tolaknya seratus peratus!" tegas Rafie sungguh.
"Hah? Kenapa pula?"
"Cara kau tu susahlah. Cubalah bagi cara yang senang sikit," tegas Rafie. Itulah masalah kami sekarang. Disebabkan perbezaan pendapat, perbalahan mula tercetus.
"Susah sangat ke contoh yang saya bagi ni? Saya tengok macam tak susah pun." Saya mempertahankan kenyataan saya. Pantang saya menyerah tanpa alasan kukuh.
"Ya, susah sangat." Rafie masih berkeras. Tidaklah saya jangka bahawa egonya tinggi sebegini.
"Tapi saya buat ni sebab nak terangkan dengan detail. Takkanlah tak boleh?"
"Inas, waktu kau sekolah rendah, kau belajar tambah tolak atau kau terus belajar algebra? Cuba jawab soalan aku." Saya terdiam, sama sekali tersentak. Saya tahu apa yang dia cuba maksudkan.
"Tengok kau sendiri faham kan maksud aku. Kalau kita nak terangkan sesuatu kenalah ada asasnya terlebih dahulu. Ya, aku tahu kau nak terangkan dengan detail, tapi nanti kalau orang lain tak faham macam mana? Objektif kita nak bagi orang senang faham." Dia menasihati saya, namun nadanya kedengaran sinis.
"Tapi kalau simple sangat orang lain tak akan faham juga. Kan lebih elok kalau kita terangkan lagi?" Saya memberi cadangan. Namun cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Rafie.
"Tak! Aku tetap tak setuju!"
Bibir saya dikemam kuat. Nak sahaja saya lepuk kepalanya. "Ish, Susahlah macam ni! Awak ni asyik tak terima je pandangan saya. Kalau saya buat dengan Rina, mesti dia setuju je. Beza sangat dengan awak, semua benda tak kena." Luahan rasa hati ini membuat jiwa lelaki ini tersentak.
"Hah? Apa kau cakap? Wei, sekarang kau berkumpulan dengan aku, kan? Jadi kau kenalah terima pendapat aku," marah Rafie.
"Apa awak cakap? Saya kena terima pendapat awak?" Suara saya mula ditinggikan.
"Yalah! Habis tu cakap siapa lagi?"
Amboi, tak nak kalah juga dia ini. Hati saya mula terasa geram. Ingin sahaja saya membidas kata-katanya. Saya dah tak tahan lagi.
"Hei, dengar sin-"
"Huarggh!" Suara kuapan Iky memecahkan ketegangan kami berdua. Terus mata kami memandangnya.
"Abang... akak... abang dengan akak bergaduh ke?" tanya Iky dalam keadaan mamai. Matanya pula diusap-usap.
"Eh! Err... tak ada apalah, Iky. Iky nak tidur ke?" soal Rafie prihatin.
"Iky mengantuk lah, abang."
"Ya ke. Kalau macam tu Iky tidurlah atas sofa tu ya. Abang dengan Kak Inas akan cakap slow-slow nanti."
"Sorry ya, Iky." Saya meminta maaf. Kasihan tidurnya terganggu disebabkan kami.
Iky pun bangun lalu merebahkan tubuhnya di atas sofa. Tidak sampai beberapa minit, dia lena dibuai mimpi. Saya dan Rafie memandang sesama sendiri.
Tanpa disangka, kami menggetus ketawa. Siapa sangka ketegangan tadi dapat diredakan hanya dengan suara kuapan Iky.
"Inas, sorry ya fasal tadi. Aku tak sangka yang kita boleh bergaduh. Tapi aku tetap dengan pendirian aku tau. Cara kau tu boleh je pakai tapi... bagi aku ia memeningkan lah," terang Rafie kepada saya.
"Eh, tak mengapa. Ada betulnya juga cakap awak tu. Saya pun nak minta maaf juga. Sepatutnya saya tak perlu samakan awak dengan Rina tadi." Diri ini dirundung rasa bersalah hingga ia terjemah pada wajah.
Rafie pula meneguk segelas air sirap yang dibancuh oleh Mak Cik Lina. Apabila rasa dahaga itu berjaya dipuaskan, dia kembali memandang saya. Saya tertunduk kesal. Rasa bersalah masih bermain di hati.
Rafie perasan dengan perubahan wajah saya. "Kau ni, tak payahlah nak rasa bersalah sangat."
"Tapi..."
"Apa kata kita berehat sekejap? Dah lama sangat kita berbincang. Mungkin otak ni pun dah tepu, sampaikan kita bertengkar."
Saya mengekek perlahan. Terhibur dengan selorohnya. "Yalah kan."
Mata saya mula melilau ke sekeliling ruang tamu rumah ini. Kemas dan bersih. Seolah-olah selalu dikemas setiap hari. Alang-alang kami tengah berehat, saya pun membuka topik itu untuk berbual.
"Saya tengok rumah awak ni cantik dan tersusun je. Mesti awak ni rajin mengemas, kan."
"Alah, itu hal kecil je. Ayah aku ni kadang balik lambat, sampaikan tak ada masa nak kemaskan rumah. Maklumlah, kena kerja keras untuk kami adik beradik. Lagipun, aku kan sulung. Nak tak nak, kena jadi contoh dekat Si Iky tu." Pandangan Rafie dikalih ke Iky yang sedang tidur.
Dari padangan itu sudah cukup membuatkan saya mengerti akan sifat Rafie. Dia sanggup berkorban apa sahaja, asalkan ia membuat adiknya gembira.
"Sebab Iky, ya. Sayang betul ya awak dengan dia."
"Eh, mestilah! Sebagai anak sulung, aku nak berikan sepenuh kasih sayang yang dia tak pernah dapat dari seorang ibu. Kesian dia, hanya sempat merasa adanya ibu cuma 11 tahun je. Sebab tu aku sanggup berkorban apa sahaja untuk dia. Aku... nak dia gembira." Hati saya tersentuh. Sungguh berinspirasi kata-katanya itu.
"Bagusnya awak. Beruntung Iky sebab ada abang macam awak ni." Rafie hanya menyengih. Tiada sebarang kata.
"Sejujurnya, saya suka orang macam awak." Kata-kata saya itu membuatkan jejaka bertubuh kurus ini terlopong.
"Haaaahh?" Pantas dia memandang saya hingga membuatkan saya terkejut.
"Eh?" Apakah saya tersalah kata? Saya berfikir sejenak.
'Sejujurnya, saya suka orang macam awak.' Itulah ayat yang saya kata tadi. Ikutkan ayat itu... sekejap!
Tanpa saya sedar pipi saya merona merah. Barulah saya perasan ayat itu membuatkan Rafie tersalah faham.
"Eh, tak! Tak! Errr... maksud saya... urmm... sifat awak yang macam ni boleh buat seseorang tertarik dekat awak. Err... lagi-lagi perempuan," dalih saya yang sedikit gelabah.
"Oh, macam tu ke." Bibir Rafie disungging senget bersama dahinya dikerutkan.
Alamak, apalah yang akan dia fikirkan tentang saya sekarang ini. Mesti dia menganggap yang saya ini pelik. Girap-gemirap jantung saya. Ia berdegup kencang. Andai masa dapat diputarkan semula, ingin sahaja saya ubah percakapan saya tadi.
"Kau dah tak takut dengan lelaki lagi ke?" tanya Rafie secara tiba-tiba.
"Eh!"
"Sejak akhir-akhir ni, kau asyik tegur aku je. Bukan kau takut lelaki ke? Ke... kau dah okey?" Saya menunduk sedih. Berat untuk saya nyatakan.
"Sebenarnya... saya masih takut lagi."
Terkejut Rafie mendengarnya. "Eh, kalau macam tu kenapa kau boleh bercakap dengan aku?"
"Saya tak tahu, Rafie. Saya sendiri tak faham. Dalam banyak-banyak lelaki, awak seorang je yang saya okey. Sebab itulah saya cuba dekati awak. Mana tahu bila dekat dengan awak rasa takut saya ni pulih." Penerangan jujur saya membuatkan dia terdiam. Teroleng-oleng kepalanya menggeleng.
"Rafie." Saya memanggil.
"Maksudnya kau nak cakap yang kau gunakan aku untuk hilangkan perasaan takut kau tu." Ayat Rafie kedengaran sinis. Adakah dia tersalah erti akan niat saya?
"Eh, tak! Bukan! Saya tak bermaksud begitu. Saya-"
"Aku dah agak. Mestilah kau akan fikir macam tu. Aku ni mana ada kawan. Dahlah pendiam, muka pun asyik masam je. Siapa je nak kawan dengan aku ni, kan?"
"Sebenarnya.... itulah sebab kenapa saya tegur awak semula."
Rafie mengerutkan dahi. "Tegur semula? Apa maksud kau?"
Dia seperti mahukan penjelasan. Saya perlu berterus terang. Mana tahu, dengan penjelasan saya nanti, dia faham akan sebab saya menegur dia kembali.
"Rafie, kita kan dah lama kenal. Sejak dari darjah satu, sampailah sekarang kita ni asyik-asyik masuk kelas yang sama. Sepanjang itu, saya selalu perhatikan awak. Dulu awak ni ceria orangnya. Ke mana awak pergi mesti tersenyum. Lagi-lagi sewaktu awak bersama dengan kawan awak.
Tapi sejak kita masuk sekolah menengah, senyuman itu sudah hilang. Awak mula menyendiri, dan itu buatkan saya risau dengan keadaan awak. Jadi... sebab itulah saya nak tolong awak, untuk dapatkan kawan semula." Rafie tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut.
"Jadi itulah niat kau rupanya," gumam jejaka ini. Kepalanya dan bahu diturunkan lalu menunduk.
"Inas, aku rasa lebih baik kau lupakan niat kau tu. Buat apalah nak berkawan kalau diorang akan tikam belakang aku. Orang macam aku ni tak layak ada kawan." Rafie membuku tangan kirinya, bagai menahan geram.
Saya tahu mengapa dia bertindak begitu. Pasti dia teringat akan detik hitam yang berlaku pada empat tahun yang lalu.
"Tapi saya pasti yang awak perlukan kawan juga, kan? Takkanlah hidup awak tak terasa sunyi?" Saya cuba meyakinkan dia.
"Inas, cukuplah." Dia meninggikan suara.
"Aku dah puas merasa adanya kawan. Cukuplah Ammar seorang je. Walaupun dia tinggalkan aku seorang diri, aku tetap tak salahkan dia. Dia pergi atas desakan keluarga, tak macam yang lain. Pergi begitu sahaja, macam lupa yang aku kawan diorang," luah Rafie dengan nada kecewa.
"Bagi diorang aku ni bukan kawan. Baik dengan aku pun sebab aku anak cikgu. Kalau bukan sebab ibu, mungkin aku bukan sesiapa." Wajahnya sedih. Pasti teringat akan kenangan pahit.
Kalau pahit yang dia ingat, saya yakin pasti ada kenangan manis yang dia rindui.
"Tapi awak ada memori dan kenangan bersama diorang, kan? Kenangan yang awak tak boleh lupakannya." Rafie terdiam seketika. Barangkali dia teringat akan memorinya suatu ketika dahulu.
"Ya, memang betul mereka bagi kenangan pahit terhadap awak, tapi bagaimana dengan kenangan manis?" Hanya dengan kata-kata itu, wajah Rafie semakin sayu.
"Kalau betul diorang kawan aku, kenapa diorang tinggalkan aku dan biarkan aku sorang-sorang? Kenapa, Inas?"
"Rafie," suara lembut saya menarik perhatiannya. Dia memandang bersama wajah sayunya.
"Itu maksudnya manusia ni ada datang dan pergi. Awak kena terima yang mereka terpaksa pergi demi kebaikan diri mereka."
"Kalau diorang pergi, tak ke aku keseorangan disebabkan sifat penting diri mereka tu?"
"Tak, Rafie! Tak!" Saya menggelengkan kepala, saya kurang bersetuju dengan pendapatnya.
"Awak jangan fikir macam tu. Sebab itu saya cakap yang kawan ni ada yang datang dan pergi. Apabila mereka pergi, awak perlu cari yang baru. Patah tumbuh hilang berganti," ujar saya bersama peribahasa.
"Apabila awak mengenali orang baru, lama-kelamaan awak akan terbiasa dengannya. Kalau awak boleh move on dengan pemergian ibu awak, saya pasti awak juga boleh lakukan perkara yang sama dengan situasi ni." Nasihat saya kepadanya.
Rafie masih mendiamkan diri. Dia berbelah bahagi.
"Rafie." Saya memanggilnya perlahan.
Dia memandang saya semula. Kali ini lebih lama. Tidak lama selepas itu, dengusan nafas berat dilepaskan.
"Semuanya dah terlambat, Inas. Siapa je nak berkawan dengan aku sekarang?" Kepasrahan jejaka ini begitu negatif.
Saya faham mengapa dia bertindak begitu. Dia tiada sokongan untuk memberikan dia satu harapan. Jikalau tiada siapa yang mampu menyokongnya, saya berani untuk menjadi insan pertama yang akan menyinari harapannya itu.
"Awak belum terlambat. Sebab saya ada untuk awak?" jawab saya lalu melemparkan senyuman manis.
Wajahnya berubah hairan. Dia tidak faham akan maksud saya itu.
"Rafie... saya sudi jadi kawan awak." Rafie terkedu.
"Eh? Ta... tapi nanti bukan ke..." Ayatnya terjeda. Masih ragu akan pilihan yang harus dia pilih.
"Kalau awak masih ragu, apa kata kita berjanji?" Saya memberi cadangan.
"Berjanji?"
"Ya, kita buat satu perjanjian. Saya jadi kawan awak serta tolong awak untuk dapatkan kawan, dan sebagai gantinya, awak kena tolong saya untuk atasi masalah saya terhadap lelaki. Win-win situation untuk kita."
Mulut Rafie terlopong, terkejut dengan cadangan itu. "Kau jadi kawan aku?"
"Ya, saya jadi kawan awak." Saat ayat itu diucapkan, mulutnya dikatupkan lalu menunduk sedikit.
Saya menatap wajahnya lama. Menunggu reaksi yang bakal diberikan.
"Inas." Suara perlahannya memanggil nama saya.
Pada ketika itulah dia kembali menatap muka saya yang sedang menanti bicaranya.
"Terima kasih sebab sudi jadi kawan aku. Ya, aku terima cadangan kau. Aku akan tolong kau dan kau tolong aku." Sebaik ayat itu diucapkan, bibir Rafie mula mengukir senyuman.
Saya berasa terharu. Hasil usaha saya, akhirnya saya berjaya melembutkan hati jejaka ini untuk melepaskan egonya.
"Sama-sama, ka-wan-ku," balas saya dengan menyebut satu persatu perkataan 'kawan'.
Maka dengan itu, bermulalah perjalanan kami sebagai kawan. Hari esok pasti menarik untuk ditunggu.
Bersambung...