Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 42

Dating

Hari minggu. Ia mungkin kedengaran biasa. Akan tetapi, bagi saya ia hari yang luar biasa. Pada hari inilah dua merpati akan terbang bersama, diikat dengan rasa suka, memahat memori cinta.

Hari inilah saya dan Rafie mengadakan janji temu. Tidak biasa dengan istilah itu? Mungkin istilah ini biasa didengari.

Dating.

Ya, kami berdating

Demi menjaga rahsia hubungan ini, saya dan Rafie telah memutuskan untuk berjanji temu masa di sebuah kompleks beli belah yang agak jauh dari Putrajaya. Rahsia ini perlu disorok. Jika terkantoi dengan pelajar sekolah kami, pasti kecoh jadinya. 

Nasib baiklah Kak Iman sudi membantu saya. Dia sanggup menawarkan dirinya untuk menghantar kami berdua dengan menaiki kereta. Sebaik tiba, dia menurunkan kami di hadapan pintu utama. Kami mengucapkan terima kasih sebelum melambai ke arah Kak Iman.

Saat perginya kakak dari pandangan, mata saya tertumpu pada Rafie. Saya langsung berkelip mata, melihatnya menerawang sekeliling. Hairan, mengapakah dia kelihatan berbeza hari ini? 

Dia... kelihatan menarik dari biasa. Tanpa sengaja mata kami bertemu.

"Kenapa? Ada apa-apa ke dekat muka saya ni?" tegurnya yang perasan akan pandangan saya. Sempat dia meramas-ramas wajahnya, seperti mahu membuang habuk.

"Eh? Errr... saya... ermm... awak nampak... lain," jawab saya, gugup.

Rafie tersenyum sinis. Dia kemudian menyelak rambut depannya dengan penuh gaya. "Mesti saya nampak kacak dari biasa, kan?" 

Gurauannya itu hanya mampu diiyakan tanpa sebarang kata. Malunya saya sampai memaling wajah.

"Awak pun apa kurangnya, sayang. Awak nampak lagi comel," pujinya. Apa lagi, bertukar merahlah pipi saya ini.

"Awak ni... sengaja, kan." Saya bersungut. Lantas tertawalah kekasih saya ini. Saya pula mencebik. Boleh pula dia tertawakan saya.

Melihatkan saya sebegitu, Rafie pun berdehem.

"Okey, okey. Kita teruskan rancangan kita hari ini. Apa kata kita pergi makan dulu? My treats." Saya pun apa lagi, gembiralah. Orang nak belanja, takkanlah nak tolak. 

"Seriuslah awak nak belanja?" Pertanyaan saya itu dibalas dengan anggukan.

"Untuk dinda, kanda sanggup." Balasannya sudah cukup membuat saya tersenyum. Langsung saya bersetuju.

*****************************

Makan tengahari kami, tidaklah mewah. Hanya makan di McDonald's sahaja. Sepanjang 17 tahun hidup baru saya mengerti bagaimana hendak mengambil pesanan di kaunter. Maklumlah, sebelum ini Rina atau Mei yang tolong belikan, itupun kerana saya takut untuk bercakap dengan cashier

Sejujurnya saya malu untuk akui perkara itu di hadapan Rafie. Nasib dia tidak memandang sinis. Malah bersungguh-sungguh mengajarkan saya akan cara untuk membuat pesanan.

Selesai mengalas perut, aktiviti kami sebagai pasangan kekasih diluangkan dengan bermain boling, menonton wayang dan sebagainya. 

Paling tidak saya sangkakan, Rafie mengajak saya untuk singgah ke kedai muzik. Alasannya kerana dia mahu mengenali minat saya yang meminati muzik. 

Bayangkan betapa gembiranya perasaan saya ketika itu. Lelaki yang saya cintai, hargai akan minat saya.

Kerana teruja, saya pun perkenalkan dia dengan pelbagai jenis muzik yang mungkin menepati citarasanya. Pop, rock, balada, dan muzik klasik, semuanya menjadi taruhan.

Sebagai seorang yang amat meminati seni, Rafie tidak mempunyai masalah untuk menyukainya, walaupun kebanyakan lagu yang saya perkenalkan merupakan lagu klasik.

"Sedap lagu ni. Fur Elise kan namanya?" soal Rafie mengenai lagu yang digubah oleh lagenda pemuzik dunia, Ludwig van Beethoven.

"Yup, lagu-lagu Beethoven semuanya sedap. Tapikan, walaupun kebanyakkan lagu Beethoven ni menarik dan sedap didengari, karya dia sering diperlekeh oleh pengkritik pada zamannya." Cerita saya kepada Rafie. Sengaja mahu berkongsi fakta mengenai Beethoven bersama dengannya.

"Eh, kenapa pula?" Dia bertanya. Cukup menyatakan dia terkejut.

"Itulah kebenarannya, awak. Dia berusaha tetapi diperlekeh, mendapat kritikan yang teruk dan tidak dihargai. Sayang, bila dia dah meninggal baru orang ramai hargai karyanya. Ia... menyedihkan." Suara sayu terpacul dari mulut. 

Rafie hanya mengangguk perlahan.

"Bila awak cakap macam tu baru saya teringat. Rasanya, sebelum Beethoven meninggal, dia mula pekak, kan?" 

Saya takjub. Tahu juga dia akan fakta itu lalu saya mengiyakan.

"Wah, hebatnya awak! Itu pun awak tahu ya."

"Saya kan kamus bergerak," guraunya.

"Tapi malangnya itu antara kisah sedih bagi Beethoven. Sebelum dia pekak, terlalu banyak dugaan yang dia terima. Dibuang keluarga, mengalamai depresi, malah tidak dihargai oleh sesetengah orang. Tak mampu saya bayang macam mana perasaan dia, terlalu banyak dugaan." Sekelip mata wajah ceria saya berubah bertukar sedih. 

Pelik mengapa saya terlalu sensitif akan hal ini, sedangkan orang yang saya kasihankan ini sudah pun tiada di dunia.

"Awak ni, selalu kisah tentang orang lain, kan?" Suara tenang Rafie menyedarkan saya dari lamunan. Dia tersenyum.

"Itu tandanya awak ada empati." Sambungnya lagi

"Salah ke kalau saya rasa begitu?" Saya menjadi defensif.

Rafie menggelengkan kepala. "Taklah. Siapa kata salah? Saya lagi gembira tau. Sangat gembira."   Matanya yang memandang saya melihat pada kotak CD yang dipegangnya.

"Andai kata saya dah tiada nanti, mesti awak akan lebih sayangkan saya, bukan? Sama macam Beethoven ni." Kata-katanya itu membuatkan saya tersentak.

Mengapa ayat itu yang dia ucapkan? Tidakkah dia sensitif dengan ayat itu? 

"Apa awak ni?" Saya membentak.

"Eh?" Rafie memandang hairan.

"Tak elok tau cakap macam tu. Mati tu bukan perkara yang bagus tahu tak," marah saya sungguh. 

Pantang saya jika orang bergurau mengenai mati. Namun, tiada kisahnya lelaki ini. Sebaliknya dia tertawa kecil.

"Sabar, sabar. Saya gurau je lah awak. Janganlah ambil serius," ujarnya sambil menahan ketawa.  

"Awak ni..." Saya bersungut manja. Cemberutnya muka ini sama sekali meresahkan jejaka itu, Lantas dia memujuk.

"Ala, awak. Janganlah marah," pujuknya. Saya memalingkan muka. Masih nak marah juga.

"Okey, okey. Kita lupakan semua tu ya. Sekarang ni apa kata awak cadangkan lagu yang patut saya beli?" Rafie menukar topik. Hendak atau tidak, terpaksalah melayannya tetapi secara acuh tak acuh. Sepatah dia tanya, sepatah saya jawab.

Rasa gundah masih menyelubung diri. Malah ayatnya sebentar tadi masih terngiang-ngiang di fikiran.

'Andai kata saya dah tiada nanti, mesti awak akan lebih sayangkan saya, bukan?'

Jujurnya saya tak mampu bayangkan jika ia benar-benar berlaku. 

"Awak," panggil Rafie meleret. Wajahnya menjadi risau. 

"Ya saya tahu saya terlanjur kata tadi. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya janji, saya akan jaga awak sampai penghujung hayat kita. Derita awak, derita saya juga. Cubit paha kiri, terasa juga paha kanan. Saya sayangkan awak selamanya." Habis puitis ayat yang diucapkannya. Semata-mata mahu memujuk saya.

"Awak janji? Awak janji yang hubungan kita akan kekal sampai akhir hayat?" 

Rafie mengangkat tangan kirinya.

"Ya, saya janji dan saya pegang kata-kata saya ni. Kalau saya gagal kotakannya, saya akan janji yang saya telan seribu jarum tau," selorohnya. 

Amboi, bukan main dia ya, siap sanggup hendak telan seribu jarum pula tu. Langsung saya tergelak kecil.

"Seribu jarum? Awak yakin?"

"Mestilah! Saya tak akan mungkiri janji saya bersama tuan puteri ini."

Keyakinan Rafie itu menaikkan lagi kepercayaan saya kepadanya. Langsung saya mendengus perlahan yang mana bunyi anginnya didengari Rafie.

"Lega saya rasa bila awak cakap macam tu. Walaupun sedikit."

"Tak apa, masa pasti akan mengubati keresahan awak tu. Sekarang, apa kata awak lupakan fasal tu dulu. Sekarang ni, saya nak dengar lagu yang awak recommend dekat saya?" Dia sempat melemparkan senyuman kecil.

Nasib bibirnya begitu menenangkan. Sampaikan hati ini termakan dengan pujukannya. Nasib hati ini sayang, kalau tidak mesti seharian saya merajuk.

*****************************

Siapa sangka, kesungguhan Rafie terhadap minat saya diakhiri dengan dia membeli sebuah album. Harganya mahal. Hampir mencecah RM 100. 

Bagi Rafie, dia tidak kisah akan harganya. Demi cinta, dia sanggup untuk mengetahui citarasa saya dengan lebih mendalam. 

Tidak pasti sama ada dia cuba mengambil hati ataupun menghargai citarasa saya. Namun, perasaan itu dibuang jauh kerana saya percayakan dia. Dia yang dinamakan kekasih. 

Terharu dengan sifatnya itu. Maka timbullah hasrat hati untuk membalas penghargaannya.

"Awak, apa kata kita ke kedai buku pula?" cadang saya.

"Sekejap! Kenapa kita nak ke sana?" Wajah hairan terukir pada mukanya.

"Tadikan awak hargai minat saya dengan membeli album dari pemain piano yang saya minat. Jadi, apa salahnya kalau saya nak hargai minat awak yang suka membaca buku tu."

Rafie senyum sebelum tertawa kecil. 

"Macam tu ke. Okey, kalau itu yang awak nak. Banyak yang saya nak tunjuk dekat awak," ujar Rafie teruja.

Sesampai sahaja kami di kedai buku, segera kekasih saya ini memperkenalkan segala novel-novel yang disukainya kepada saya. Wajahnya tampak teruja dari biasa. Mungkin dia mengharapkan yang saya akan turut menyukainya.

Kalau tak disebabkan saya memakai tudung, pasti sudah akan nampak senyuman ini sampai ke telinga. Mana tidaknya, kesungguhan Rafie ini membuatkan dia nampak lebih comel dari kebiasaannya. Mungkin ini sisi berbeza yang selama ini dipendam olehnya.

Gayanya seolah-olah buku ini ialah nyawa bagi jejaka itu. Barangkali, itulah yang rupa saya sewaktu memperkenalkan alunan muzik kepadanya sebentar tadi. 

Segala penerangan yang diterangkan Rafie didengar dengan tekun. Biasalah, tidak mahu dia berasa kecewa. Apatah lagi ini berkaitan minatnya.

"Jadi, sebab itulah saya minat dengan plot novel ni," katanya sambil menunjukkan sebuah buku ke arah saya.

"Ooooh... kalau macam tu, awak rasa novel yang paling sesuai untuk saya baca yang mana satu ya?"

"Kalau macam tu apa kata kita pergi di sebelah sana. Dekat sana banyak novel-novel yang menarik."

Laju benar langkah Rafie hingga terkejar-kejar saya untuk mengikutinya. Sebaik tiba, dia pun mencari buku yang berada di atas rak. Apabila dijumpai, buku itu diserahkan pula kepada saya.

"Nah, awak ambillah."

Tajuk novel dibaca.

"Sumpahan Kamu? Peliknya tajuk cerita ni? Ni cerita seram ke?"

Rafie menyengih.

"Itulah reaksi pembaca sewaktu kali pertama membaca tajuk buku ni. Kalau awak nak tahu maksud dalam cerita ni agak mendalam tahu tak. Nak tahu sedikit cuba awak baca sinopsis dia."

Atas arahannya, sinopsis pula dibaca. Makin dibaca, makin hati berasa sayu. Sekaligus diterjemahkan pada wajah. 

"Jadi, ini cerita sedih ya." Suara saya berubah perlahan.

"Ya," balas Rafie. Dia mengambil novel itu dari tangan saya. Buku itu diramas lalu dibelek dari muka surat depan hingga ke belakang.

"Kalau awak nak tahu tajuk tu cuma bahasa kiasan je. Maksud dia lebih mendalam dari apa yang kita sangka. Malangnya, buku ni agak underrated sebab tajuknya yang macam ni. Masyarakat kita ni terlalu memilih buku yang tajuknya sedap didengari, kononnya ia kedengaran moden. Kelakar bila mereka kata macam tu, walhal pemikiran mereka sebegitu mundur. Sungguh ironi."

Saya diam seketika. Tak tahu bagaimana hendak membalas. Ia seperti satu luahan. Luahan yang sudah lama terbuku di dalam hati. 

"Oh!" Rafie bagai tersedar dari khayalannya. Dia kemudian memandang saya.

"Maafkan, saya terlampau emosional." 

Cepat-cepat saya menggeleng.

"Eh, tak apa. Sekali sekala dapatlah juga saya dengar luahan awak ni," kata saya lalu menyengetkan kepala.

"Saya bukan apa, Inas. Cuma sayang sangat, buku yang hebat seperti ini tak dapat perhatian yang sepatutnya. Sebab novel ini cerita tentang masyarakat, tentang rakyat biasa. Bila saya fahaminya, hati saya bagai tertusuk dengan duri yang tajam, sebab maksudnya mendalam," ceritanya yang sempat bermetafora. Cepat-cepat saya mengusiknya.

"Wah, wah! Siap bermetafora ya. Boleh awak ceritakan apa maksud tajuk tu?"

Sengihan Rafie semakin melebar. Buku yang tadinya berada pada tangannya, diserahkan semula kepada saya.

"Itu awak kenalah baca sendiri."

"Alaaa..." rungut saya meleret. Rasa ingin tahu saya semakin mendalam. Pasti ada sesuatu yang menarik mengenai buku ini sampaikan dia membebel panjang.

"Yalah, yalah. Kalau macam tu saya beli yang ini. Lagipun, ini kan buku yang awak recommend kan dekat saya." nyata saya, akur dengan sifat Rafie yang mahu berteka-teki.

Kami berdua berjalan menuju ke kaunter bayaran. Sementara menunggu giliran untuk membayar, Rafie memanggil saya.

"Sayang." Wajahnya ditatap kembali. 

"Ya awak," balas saya.

"Saya rasa, ada perkara penting yang perlu saya beritahu. Rahsia saya."

"Rahsia? Apa dia?" 

Tangan Rafie menyeluk poket seluar. Dengusan perlahan nafasnya bagai menjadi petunjuk untuk dia menyatakan sesuatu. Dia mahu meluah, malangnya tersekat di kerongkong.

"Apa kata awak bayar dulu, nanti saya cerita."

Bersambung...

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk