4,024
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 2
Prof. Helt berpaling ke arah Kai yang berlari-lari anak menuju ke arahnya. Di belakang jejaka tersebut, turut mengikut sama Rienna, Vishvak dan Frezay. Haih, serius mereka berempat ini bagaikan sengaja pula mencari fasal dengannya.

"Apa dia?" soalnya geram.

Kai yang berhenti tepat di hadapannya dilihat menarik senyuman sinis. Ketika itu, terus perasaannya menjadi semakin tidak enak. Tambahan pula, mata audiens anggota Zentrical lain pun terkunci kepadanya.

"Prof. belum jelaskan dengan detail mengenai rules pertandingan. Kami berempat tak mahulah jika misi kali ini jadi macam misi-misi lepas." Kai merenung tajam ke arahnya.

Mendengar ujaran kata tersebut, serta-merta air muka Prof. Helt berubah. Terasa kelat saja air liur yang melekat di kerongkong. Boleh pula budak berkod nama Kai bertanyakan soalan yang menglibang-libukan hatinya.

Sebenarnya, bukannya dia tidak mahu menjelaskan peraturan pertandingan misi kali ini, tetapi dia mahu menyerahkan urusan tersebut kepada Karasuma Shou memandangkan petugas tersebut handal dalam menangani kekecohan. Zentrical Z5 dan kekecohan kan memang tak dapat dipisahkan!

"Ha... haha. Nanti Shou jelaskan," jawab Prof. Helt seraya menyapu peluh di dahinya.

Lantas, dengan terkocoh-kocoh dia segera mencapai tombol pintu lalu segera keluar dari dewan mesyuarat. Dia... tidak betah lagi berlama-lama berhadapan dengan Kai, si anak arwah kawan baiknya Profesor Dr. Imanuddin Abdullah Han.

Padanya, memandang wajah tersebut hanya menghadirkan memori indah mereka berdua sebagai rakan sekerja yang berusaha keras memajukan penyelidikan arkeologi di Jabatan Zentrix. Ianya terlalu indah untuk dikenang walaupun ada masanya juga, pertikaman lidah turut terjadi.

Namun, wajah tersebut itu jugalah yang mendatangkan kesedihan kepadanya akibat kehilangan satu-satunya pelajar kesayangannya, iaitu Dr. Syazra al-Nisa dalam insiden pengeboman makmal arkeologi di bangunan berbentuk sfera yang terletak di sebelah timur Jabatan Zentrix pada 17 tahun yang lepas.

Sudahnya, tanpa menoleh lagi dia segera melajukan langkah kakinya menuju ke bilik pengarah Jabatan Zentrix. Masa kian mencemburui dan dia tiada masa untuk dibazirkan bagi melayani pertanyaan mereka semua. Apa yang dia tahu, dia perlu melaporkan hal Mixzof kepada ketuanya!

💠💠💠

Kai, Rienna, Frezay dan Vishvak kini berada di kerusi batu yang terletak di lobi utama yang menghubungkan dewan mesyuarat dan bilik taklimat. Selepas pertanyaan mereka diabaikan oleh Prof. Helt tadi, maka di sinilah mereka berempat berkumpul bagi berbincang sesama sendiri.

"Kai, aku rasa kau ni jahat sangat kot. Tengok, profesor pun tak nak layan kau," provok Rienna sambil mengetip-ngetip hujung kukunya.

"Kau diamlah, minah." Kai menjawab selamba seraya memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar.

Hish, ada-ada sajalah perempuan ini akalnya untuk mencari fasal. Prof. Helt tak nak jawab soalannya tadi sebab dia jahat? Semestinya itu bukan sebab utamanyalah. Dia kenal profesor tua itu macam mana orangnya.

Prof. Dr. Helt Morris atau mesra dipanggil Prof. Helt bukannya tak mahu menjawab soalannya tadi. Tapi, disebabkan anggota unit Zentrical lain pun ada bersama, maka mungkin ianya memberi ketidakselesaan kepada profesor itu untuk menjawab soalannya secara terbuka.

Tetapi, sengaja dia mencari fasal dengan profesor itu memandangkan raut wajah Prof. Helt ketika marah ataupun gelabah amat membuatkan hatinya digeletek lucu. Maaflah, dia, seorang Kai memang suka menyakatnya bagai nak rak. Orang kata, masam-masam manis kan?

"Intro nak gaduh ke ni? Nah, ambil air ni dulu. Gaduh tu, simpan dulu." Menggeleng, Frezay menghulurkan air minuman dalam tin yang dibelinya dari mesin air mudah alih kepada Kai, Rienna dan juga Vishvak.

Hulurannya bersambut, tetapi seperti biasa mana pernah mereka mengucapkan terima kasih. Hanya anggukan dan isyarat senyuman saja yang diberi sebagai ganti ucapan. Kata mereka, bosanlah asyik ucap terima kasih. Tak ada cara lain yang lebih stylo ke untuk ganti perkataan lapuk itu?

"Jadi Vishvak, macam mana?" Tiba-tiba, Frezay melontarkan soalan kepada Vishvak, ketua unitnya.

Dia merujuk kepada kelakuan si profesor yang tidak mahu menjawab soalan Kai di muka pintu tadi. Peliklah juga kerana kebiasaannya, elok saja profesor tua itu menjawab mana-mana soalan yang dilontarkan oleh para anggota unit Zentrical.

Padanya, soalan yang diberikan oleh Kai kepada Prof. Helt bukanlah susah untuk dijawab. Lagipun, soalan itu biasa-biasa saja pun. Bukannya Kai meminta dana lebih untuk membeli kelengkapan ke luar negara, ataupun meminta dinaikkan pangkat. Itu pun susah ke nak jawab? Hairan betul dia dibuatnya dengan kelakuan profesor tua tersebut hari ini.

Kai hanya ingin tahu mengenai misi mereka sahaja. Yalah, unit Zentrical Z1 sampai Z4 sudah pun mengetahui maklumat terperinci taklimat kemisian dan siapakan instruktor mereka kali ini. Tetapi, unit mereka Zentrical Z5 pula tidak mendapat apa-apa perincian pun lagi.

Jabatan Zentrix kelihatan seolah-olah pilih kasih pun ada. Mereka sedar bahawasanya unit Zentrical Z5 hanyalah unit tambahan dalam Jabatan Zentrix. Jika nak dibandingkan dengan unit Zentrical lain, memang perbezaan tahap dan skil mereka sangat jauh bagaikan langit dengan bumi.

Vishvak pula yang mendengar soalan tersebut, dia tidak terus menjawab. Bahkan, dia hanya diam sambil menikmati minumannya sehingga ke tegukan terakhir. Setelah airnya diminum habis, barulah secara sukarela dia membuka mulut.

"Macam mana apanya? Teruskan sajalah," jawabnya selamba.

"Wirsyak al-Hakeem, jawapan tu tak beri penyelesaianlah." Bengang, Frezay menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Vishvak.

Melihatkan respon Frezay, Vishvak menarik senyuman sinis seraya menyepak perlahan kaki Kai yang berada di sebelahnya. Kai yang sedang meminum minumannya tersedak, namun tidak pula dia mahu membalas sepakan seniornya itu.

"Apa?" soal Kai sambil mengerutkan muka.

"Jawablah," suruh Vishvak selamba.

Rienna dan Frezay yang melihatkan ulah Vishvak dan Kai di hadapan mereka saling berpandangan sesama sendiri. Sudah kenapa dua orang manusia di hadapan mereka seolah-olah bermain tarik tali pula? Ada apa-apa berita yang mereka tidak tahu ke?

"Err..." Kai menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

"Aku pun tak tahu," jawab Kai seraya tersengih.

"Serius sikit boleh tak?" Serentak Frezay dan Rienna mencerlungkan mata mereka kepada Kai dan Vishvak.

"Aku seriuslah ni. Aku pun tak tahu kenapa singa tu tak nak jawab soalan aku. Lepas tu, gabra tak tentu fasal." Kai tetap mempertahankan diri.

Mendengar jawapan balas Kai, Rienna terus menjuihkan bibir. Ya ya sajalah Khairul Asyraf Han. Tak tahu ya? Itu semua pasti tipu. Dia sudah tahulah bagaimana reaksi jejaka itu jika dalam keadaan menyembunyikan sesuatu daripada mereka bertiga.

Dia pasti kali ini, Kai sengaja merahsiakan maklumat daripadanya dan Frezay. Dasar Kai si jurutera robotik yang terlebih berahsia. Kata sekutu dalam jenayah tetapi seteru dalam kebaikan, takkan nak bagi tips pun tak boleh? Hish, geram betullah!

"Dahlah, jom bersiap. Kita ada masa 23 jam lagi sebelum bertolak ke Iraq." Vishvak melihat jam tangannya lalu bangun dari kerusi.

"Sekejap. Kita nak siap apa kalau tak ada detail?" Rienna menyekat langkah Vishvak sambil bercekak pinggang.

Vidsvak yang melihatkan kelakuan Rienna hanya mampu menggeleng kepala. Ini semua salah Kailah yang memintanya agar merahsiakan rancangan besarnya. Aduhai, Kai! Boleh pula dia menyuruhnya agar memberikan kejutan kepada Rienna dan Frezay sebaik saja malam menjelma nanti?

> BERSAMBUNG


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.