Home Novelet Islamik Qasih Kadeeja
Qasih Kadeeja
nurshaza
26/9/2022 11:00:15
1,123
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 4

"Ibu nak Syams kahwin dengan Maisarah. Raudah dah kahwin dengan pilihan dia. Tinggal Maisarah aje yang masih membujang."

Syams membisu. Tidak tahu apa yang harus dibalas. Sikap Puan Suria berada di luar kotak pemikirannya.

Ada ke patut menyuruh dia berkahwin seorang lagi hanya kerana mahu dapatkan anak lelaki?

Dan alasan yang sama digunakan, kerana mahu mewarisi kompeni yang dia usahakan sejak lima tahun yang lalu.

"Ibu, Syams dah ada anak. Nak masuk empat orang dah. Bukannya Syams tak ada anak langsung. Setahu Syams, kisah kahwin lagi ni selalunya bila dah bertahun-tahun kahwin tak ada anak. Kenapa ibu nak paksa Syams kahwin lagi? Ibu tak fikir perasaan Kadeeja?"

Puan Suria mencebik.

Sikit-sikit Kadeeja. Sikit-sikit Kadeeja. Tak habis-habis.

"Perasaan dia aje ke, ibu nak kena fikir? Perasaan ibu ni siapa nak tolong fikirkan? Salah dialah sebab tak pandai nak berusaha dapatkan anak lelaki. Kan banyak petua orang dulu boleh ikut. Ada ke dia buat?"

Syams beristighfar panjang. Dadanya diusap perlahan.

Pemikiran ibunya sangat berada di luar jangkaannya!

"Apa yang ibu cakap ni? Syams tak fahamlah. Tolonglah, Syams sakit kepala fikirkan semua ni, ibu. Syams bahagia dengan Kadeeja dan anak-anak. Kenapa ibu nak musnah kebahagiaan kami?"

Puan Suria bercekak pinggang. Had kesabaran dia sudah mencapai limit. Syams sengaja menambahkan panas di dalam hatinya lagi.

Takkan tak faham lagi apa yang dia cuba sampaikan? Dia mahukan cucu lelaki!

"Syams sengaja buat-buat tak faham, kan? Ibu ingat Syams pinggirkan dia orang tu, Syams akan ikut cakap ibu. Boleh pulak Syams melawan kehendak ibu. Tak kira, ibu nak Syams kahwin dengan Maisarah. Ibu nak cucu lelaki. Jangan disebabkan Kadeeja, Syams nak jadi anak derhaka!"

Puan Suria mula menggunakan kuasanya sebagai seorang ibu.

Syams terdiam seribu bahasa. Dia buntu. Sekiranya dia menjadi anak derhaka, seluruh hidupnya sia-sia begitu saja.

Mampukah dia menunaikan kehendak Puan Suria yang melampau ini?

Macam mana pula dengan Kadeeja?

"Ibu, Kadeeja mohon. Jangan jadikan abang anak derhaka. Abang anak ibu yang baik. Dia taat pada ibu." Kadeeja mencelah setelah lama dia mendiamkan diri di anak tangga yang terletak di ruang tamu.

"Cinta...." Syams serba-salah.

"Kadeeja dah dengar, kan? Jadi izinkan Syams berkahwin lagi." Angkuh Puan Suria.

"Tak boleh. Ayah tak boleh kahwin lain. Ayah sayangkan ibu. Ayah sayangkan kami. Along merayu dekat nenek. Jangan suruh ayah kahwin lain...." Nusaybah mendekati Puan Suria.

Kadeeja tergemap. Apa tah lagi Syams. Tidak menyangka yang Nusaybah akan mendengar perbincangan hangat mereka ini. Fikirkan Nusaybah berada di dalam bilik bersama dengan adik-adiknya.

"Along tu budak kecik lagi. Jangan nak masuk campur urusan orang tua. Along tu kalau nak dapat tempat dalam hati nenek, kena ikut apa kehendak nenek."

Nusaybah terdiam.

"Tapi, nenek...."

Puan Suria menjauhkan dirinya dari Nusaybah.

"Ibu, kenapa ibu buat Syams macam tu? Tak cukup dengan rumah tangga Qamar dulu, sekarang ibu nak masuk campur urusan rumah tangga Syams? Jujur dari hati Qamar, ibu dah berubah lepas arwah ayah meninggal dunia. Kenapa ibu? Apa salah kami?"

Qamar mencelah sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia baru saja lepas berkenalan dengan jiran baru yang berpindah di sebelah rumahnya.

Tengah rancak berbual, telinganya terdengar suara riuh di dalam rumah. Dapat dia agak, pasti ibu akan menyambung hal semalam.

"Ibu nak anak-anak ibu ikut apa cakap ibu. Syurga Syams dan Qamar di bawah telapak kaki ibu. Jadi, apa yang ibu minta dan suruh. Korang berdua kena tunaikan tanpa sebarang bantahan. Hal ini tiada kaitan dengan arwah ayah."

Qamar menggeleng perlahan. Kesal dengan sikap Puan Suria yang menjunjung ego.

"Rumah tangga Qamar tu, Qamar sendiri yang tak reti nak handle. Ibu sayangkan dia tapi Qamar lepaskan dia. Tu yang buatkan ibu marah sangat dekat Qamar."

Qamar menghelakan nafas panjang. Ibu terus-terusan menyalahi dia.

"Sudahlah, ibu. Janganlah nak masuk ke topik rumah tangga Qamar pula. Perkara tu dah lepas. Sekarang ni, bagi Syams masa. Kepala Syams bercelaru sangat. Bagi masa Syams nak berfikir."

Tanpa berlengah lagi, Syams terus menarik tangan Nusaybah lalu naik ke tingkat atas. Diajak Kadeeja bersama, akan tetapi Kadeeja menyuruh suami dan anaknya untuk naik terlebih dahulu.

"Ibu...."

Qamar menjadi pemerhati di antara Kadeeja dan Puan Suria. Harus ada saksi.

"Tak ada benda penting yang ibu nak kena dengar daripada Kadeeja."

Langsung niat Kadeeja terbantut.

"Ibu, kenapa ibu buat Kadeeja macam ni? Ibu tak kesian dekat dia ke?" soal Qamar.

"Korang semua ni yang tak kesian dekat ibu," balas Puan Suria kasar.

Lalu, mendaki tangga menuju ke biliknya.

Qamar meraup wajahnya perlahan. Terkumat-kamit bibirnya melafazkan kalimah Allah.

"Kadeeja nak cakap apa dekat ibu tadi?" soal Qamar setelah sekian lama menyepi.

Bibir Kadeeja melengkung senyum.

"Kadeeja nak mohon maaf dekat ibu. Kadeeja izinkan Abang Syams kahwin lain, kalau itu membahagiakan hati ibu."

Qamar tidak terkejut dengan jawapan Kadeeja.

"Walaupun Kadeeja tersakiti?"

Kadeeja masih lagi tersenyum.

"Kadeeja tahukan keputusan Kadeeja ni akan menyakiti hati Syams?"

Kadeeja mengangguk.

"Insya-Allah, Kadeeja akan berbincang baik-baik dengan Abang Syams. Kadeeja tak nak hubungan Abang Syams dengan ibu macam ni. Berdosa besar. Selagi kehendak ibu itu boleh diikut, kita buatlah semana mampu."

Sepi.

Qamar sendiri tak tahu hendak membalas apa.

Kesabaran Qasih Kadeeja sangat luar biasa!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.