2,822
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1
1
Kringgg!!!  
Sudah setengah jam jam loceng hadiah pemberian Putra bingit membuat bunyi bising. Namun, setengah jam juga jam loceng itu tidak mampu membangunkan tubuh yang sedang berbungkus di bawah selimut tebal bercorak abstrak itu. Meskipun jeritan jam itu bergetar hingga ke gegendang telinga, sengaja dia mematikan diri. Ah! Salah dia juga. Mengapa dikunci jam itu malam tadi. Kan sudah mengganggu lenanya ketika ini.  
"Bangun!!!"  
Tidak semena tubuh yang masih bergolek malas diatas katil tiba-tiba terduduk. Eh, biar betul?  
"Bangun!!"  
Suara garau itu sekali lagi menjerit kuat dicuping telinga. Mata memang terpejam rapat. Tetapi, tubuhnya sekali lagi terangkat kerana terkejut. Hisy! Biar betul-betul ni. Kelopak mata yang masih berat untuk dibuka gagah dinaikkan sedikit. Dalam sipi-sipi lowongan, kepalanya ditoleh kanan dan kiri. Habis penjuru dicari empunya suara. Kosong. Dia berasa hairan. Mimpikah? Tapi, memang jelas suara itu di dengarnya. Bukan sekali. Tetapi dua kali.  
"Bangunn!!!"  
Sekali lagi suara garau itu bergema. Jengkel! Kelopak mata dibuka lebar meninjau-ninjau keadaan sekeliling bilik tidur sekali lagi. Ekor mata menangkap skrin telefon di atas laci berhampiran yang tiba-tiba cerah. Ciss! Bunyi telefon rupanya. Bersusah payah dia meleraikan selimut yang membungkus tubuh lalu menggagau mencapai telefon tersebut. Nama Putra terpapar. Double ciss!  
"Hmm..." sahutnya tatkala telefon pintar itu dibawa melekap ke telinga. Tubuh yang masih lemah dikembalikan ke katil. Sambil meniarap, dia mendengar suara ceria lelaki itu dihujung talian.  
"Abang dah agak Juma mesti tidur lagi. Best, kan ringtone baru tu?" tutur Putra berbaur ejekan. Dengan mata yang kembali bertutup Juma mendengus kasar. Kacau betul! Orang tengah sedap tidur ni.  
"Ada apa..?" jawabnya dengan suara yang sedikit serak. Kemudian, dia menutup mulut. Menguap lebar. Perasaan mengantuk masih banyak bersisa. Inilah akibat bila melayan drama berepisod yang beratus-ratus rentetannya. Tapi, dia tidak menyalahkan drama tersebut. Salah dirinya sendiri yang tunduk kepada keinginan untuk melayan sandiwara dari Taiwan itu. Sudah dua bulan dia menjadi penonton setia. Tepat jam dua belas setengah malam, siaran itu pasti dibuka. Malam tadi, seperti biasa dia melayani drama itu. Cuma, dia terbabas. Menyambung tontonan back-to-back rancangan realiti masakan dari Australia pula. Apa lagi nak dibuat dengan keadaan dirinya ketika ini. Dia belum mempunyai sebarang pekerjaan walaupun sudah hampir setengah tahun dia menamatkan pengajian di universiti. Bukan dia tidak berusaha. Layangkan sahaja iklan jawatan kosong yang berkaitan dengan bidang pengajiannya, kesemua telah dipohon. Ada juga rakan arwah ayah mempelawanya mengisi kekosongan disyarikat mereka. Tetapi, Juma menolak. Tak sanggup dia merampas hak orang lain dengan cara sebegitu. Dia masih mempunyai maruah diri. Jikalau mahu berkerja biarlah melalui saluran yang betul. Sekadar masuk kerja melalui 'kabel' dia tidak berminat. Juma mempunyai prinsipnya sendiri berkaitan dengan intergriti.  
"Hello... Juma, dengar tak?" soal Putra sebaik menyedari hanya alunan sepi yang diterimanya.  
"Hmm.. Yerr.." sahut Juma malas.  
"Abang ada sesuatu nak bincang dengan Juma. Lunch nanti abang ambil dekat rumah." jelas Putra. Dalam mood yang masih kuat untuk kembali ke dalam pelukan selimut tebal dikaki, kepalanya diangguk beberapa kali menyetujui cadangan abangnya itu. Sebenarnya hatinya gembira mendengar rancangan Putra itu. Namun, dalam kepalanya ketika ini dia cuma ingat untuk tidur sahaja.  
"Juma? Isy, abang tengah bercakap ni." kata Putra sedikit kuat. Dah tentu kerana dia kenal sangat dengan sikap gadis itu. Membuta aje kerjanya. Nak marah berlebihan tidak sampai hati pula. Apa boleh buat. Kesayangan Putra. Apa yang mampu dilakukan oleh Putra sekadar menasihati secara halus sahaja. Semenjak dahulu, cara itu lebih berkesan untuk Juma. Putra sendiri melihat hasilnya. Sebab itulah dia enggan berkasar dengan gadis itu. Dia terlalu kenal dengan sekeping jiwa yang kental dalamnya. Namun, terlihat rapuh diluar.  
"Iye.. Juma dengar... See you, abang. Bye." klik! Juma memutuskan talian. Bukan dia tidak suka bercakap lama-lama dengan Putra. Tapi, kelopak matanya berat sungguh untuk dilawan. Dan akhirnya dia tertewas.  
Juma menarik selimut dikaki dan kembali merebahkan diri dalam kehangatan dari terus dicengkam kedinginan hawa sejuk yang datang dari alat penyaman udara di atas kepalanya. Apa jua pesanan dari Putra pergi bersama mimpi indah yang tercipta dalam lenanya.  
Dua jam kemudian, Juma sudah keluar dari bilik tidurnya. Terasa segar tubuhnya disiram dengan air sejuk. Juma memang begitu. Setiap kali mandi pada waktu pagi dia lebih gemar mandi menggunakan air yang dingin. Rambut yang masih kebasahan dibiar lepas. Ringan kepalanya setelah disirami air. Saki-baki mengantuk sudah lama hilang. Kini, perutnya pula yang meragam minta diisi. Ketika tiba di anak tangga terakhir dia dipagut rasa hairan. Suasana di dalam banglo sunyi sahaja. Biasanya, pada jam begini dia pasti mendengar alunan lagu-lagu di era lapan dan sembilan puluhan yang datang dari corong telefon Kak Ijah. Tapi, senyap pula. Malah, pelik. Kerana keadaan ketika ini malap sekali. Tingkap masih bertutup rapat. Begitu juga dengan langsir yang tidak diselak. Tak kan Kak Ijah tidur lagi? Rasanya pintu bilik Kak Ijah terbuka lebar ketika dia melewati bilik tidur wanita itu sebentar tadi. Kak Ijah merupakan pembantu di banglo ini sejak Juma habis pengajian. Dia digajikan oleh Putra untuk menemani Juma dari tinggal bersendirian. Walaupun baru mengenali Kak Ijah, mudah sahaja buat Juma untuk rapat dengan wanita berusia lewat dua puluhan itu. Mungkin kerana mereka berkongsi minat yang sama. Iaitu gemar akan lagu-lagu sentimental sama ada dari boyband Barat mahupun tanah air. Juma menapak ke dapur. Kosong tidak berpenghuni. Makin musykil pula dia. Biasanya Kak Ijah tidak begini. Jika tidak di dapur, pasti di ruang tamu untuk mengemas. Paling tidak, di laman dapur yang cantik bersusun aneka jenis tanaman yang dapat dilihat dengan jelas dari kedudukannya di island table itu. Kebun dapur yang diilhamkan oleh Kak Ijah mendapat sentuhan rekaan landskap oleh Juma sendiri. Kata Kak Ijah, bila berada di laman itu, dia terasa seperti berada dikampung. Juma senang hati mendengarnya. Sekurang-kurangnya ada juga sesuatu yang dapat dilakukan oleh Juma untuk Kak Ijah yang tentu puas memendam rindu akan kampung halaman. Juma merapati sliding door. Sejenak sahaja.  
Namun, Kak Ijah tiada juga disitu. Ke mini market agaknya mencari barang dapur. Getus Juma membuat andaian.  
Juma bergerak ke peti ais. Hampir kosong isinya. Menguatkan lagi andaian sememangnya Kak Ijah keluar untuk membeli barang. Sebotol jem strawberi yang makin berkurang isinya di keluarkan. Dia kembali ke island table. Duduk dan mencapai bungkusan roti yang tinggal beberapa keping sahaja lagi. Salah satu pisau yang bersusun di dalam blok kayu dihadapannya dicapai. Pisau kecil itu digunakan untuk menyapu jem ke roti. Sebelum makan, dia kembali berdiri. Baru teringat untuk membuat air. Dia membancuh kopi segera sahaja. Dua keping roti menjadi alas perut. Lagi tiga jam sebelum Putra ke mari, detik hati kecil tatkala lirikan terlayang kepada jam di dinding. Bagaimana dia masih ingat? Kerana sekali lagi Putra menelefon untuk mengejutkan dirinya yang masih lena. Mengingatkan akan pertemuan mereka sebentar lagi. Ada apa agaknya dengan Putra. Tiba-tiba mahu bertemu diluar. Selalunya, jika tidak sibuk dengan tugasan kerja, Putra akan singgah ke banglo untuk makan tengah hari. Jarang benar lelaki itu mempelawanya keluar bersama-sama ketika waktu lunch. Tentu ada perkara mustahak yang mahu dibincangkan.  
Bosan bersendirian di dapur, Juma mengorak langkah ke arah sliding door dan menolaknya. Angin pagi berpusu-pusu menerobos. Perasaannya terbuai seketika dengan sambutan itu. Sesaat kelopak matanya ditutup. Dia menarik nafas yang dalam sedalamnya. Aroma alam menusuk ke hidung. Nyaman. Dua pasang selipar dilantai diintai sebelum kakinya menyarung salah satu kepunyaannya. Ulam raja, bendi dan terung diletakkan di salah satu sudut. Cili api dan cili besar disebelahnya pula. Beberapa buah pasu yang mengandungi sayur kangkung dan tomato bergantungan di atasnya. Di kedua-dua sudut yang lain terdapat kunyit, halia dan lengkuas. Kaduk dan daun salam berjiran dengan cekur. Begitu juga pokok kari. Tanaman yang ditanam itu kesemuanya biasa digunakan dalam masakan yang dimasak oleh Kak Ijah. Tanaman itu semua idea dari Kak Ijah sendiri. Kata Kak Ijah, selain dapat berjimat, ianya menjadi terapi diri. Memang benar kata wanita itu. Melihat pokok yang ditanam hidup dengan subur membuahkan rasa tenang dan damai. Juma ada terfikir untuk mengubah landskap di bahagian hadapan pula. Tetapi, dia memerlukan kebenaran dari Putra terlebih dahulu. Memanglah kediaman ini miliknya. Tetapi, sebagai salah seorang pewaris, Putra juga harus tahu apa saja kegiatan yang berlaku di dalam rumah banglo ini. Di dalam kepala Juma, sudah terbayang tanaman hiasan yang mahu dilatari di sekitar halaman banglo. Malah rekaan landskap juga sudah lama terpahat di dalam benaknya. Melihatkan reka bentuk bersimetri ini, tiada lain yang bermain difikiran Juma. Dia idamkan hiasan seakan Taman Tergantung Babylon. Oh, taman yang tersenarai diantara tujuh benda ajaib di dunia itu tidak pernah lenyap dalam fikiran Juma. Berilah pelbagai versi rekaan taman itu, Juma terima dengan senang hati kerana sememangnya lakaran yang digambarkan memang terpaling indah. Jika lukisan deskripsi sudah ternyata cantik, apatah lagi sebenar-benarnya. Berkobar semangat Juma apabila memikirkan mengenai taman itu. Teringin sungguh dia merealisasikan visual tersebut. Tak sabar pula mahu bertemu Putra sebentar lagi. Barangkali sudah tiba masa meluahkan idea yang sekian lama diperam itu. Bibir Juma menyeringai. Dia tersenyum sendiri mengenangkan hasratnya itu.  
 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh