Home Novelet Cinta eBook : Bahagia Yang Sudah Tertulis (Promo Chapters)
eBook : Bahagia Yang Sudah Tertulis (Promo Chapters)
nurshaza
18/12/2021 13:16:16
915
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BYST 4

SESUDAH majlis tamat, semua tetamu yang hadir meminta diri untuk pulang ke teratak masing-masing. Zayyad awal-awal lagi sudah meminta diri untuk pulang kerana barusan saja dia mendapat panggilan daripada papanya di Kuala Lumpur. Tak dapatlah dia bermalam di rumah Sufyan seperti yang dirancang oleh Leela. Cemberut wajah gadis itu. Pada Zayyad, papanya menyelamatkan dia hari ini. Tidak perlulah dia menghadap kegedikan Leela dan Suraiya. Naik rimas dibuatnya.

Mishal menyibukkan dirinya di bahagian dapur. Membasuh pinggan-mangkuk dan periuk-belanga yang terdampar di atas lantai. Sesekali Irsa datang membantu kerana gadis itu sibuk mengemas di bahagian ruang tamu. Nisrin dan Saidin pula sudah pulang ke rumah bersama-sama dengan tetamu yang lain.

Karang kalau Mishal mengekori Nisrin dan Saidin, apa pula kata orang? Terutama mak tirinya. Pasti ada saja yang nak diapi-apikan ayahnya itu. Tahu-tahu saja dia kena sindir. Tak pun, kena marah. Nak tak nak, dia kenalah tolong kemas semua ni sampai siap. Barulah boleh balik dengan senang hati.

"Mishal lepas siap, ayah nak jumpa kau dekat depan. Ada benda dia nak tanya kau," ujar Suraiya yang muncul di muka pintu dapur.

"Hmmm..." Mishal hanya jawab nak tak nak saja. Pandang pun tidak. Dia lebih rela tenung pinggan-mangkuk yang berada di dalam singki daripada nak pandang muka tak semegah Dian Suraiya tu. Dah serupa bertentangan mata dengan musuh saja. Padahal adik-beradik sedarah.

"Kau dengar tak?" Suraiya sepertinya tidak puas hati dengan respons Mishal.

"Kan aku dah sahut tadi. Tak dengar ke? Nanti aku ke depanlah. Aku belum siap lagi." Tak korek telinga ke apa? Takkanlah tak dengar dia dah sahut tadi. Bukannya dia buat tuli pun. Sengaja aje nak menguji kesabaran hatinya.

"Kau sahut macam orang tak makan setahun. Sakit hati aku mendengarnya."

Mishal mengajuk percakapan Suraiya dengan hanya menggunakan pergerakan mulut saja. Tiada suara kedengaran. Kalau bersuara nanti, mahu berperang besar dengan Suraiya. Sekiranya ada yang membela dia, tak apa. Ini silap-silap ada yang bergabung. Jadi perang dingin nanti.

"Ya, Cik Suraiya. Saya dengar. Nanti saya keluar, ya. Puas?" Perkataan puas yang berada di hujung ayat, ditekankan sedikit agar Suraiya perasan akan perubahan suaranya.

Suraiya mendengus. Dia meninggalkan Mishal seorang diri di dapur. Tak kuasa nak melayan Mishal yang suka menyakitkan hatinya itu. Mishal apa lagi, bersorak suka dia bila Suraiya hilang dari pandangannya. Aman hidupnya sekejap. Selagi ada perempuan tu, selagi tu dirinya terasa panas walaupun angin malam menyapa tubuhnya melalui celahan cermin tingkap.

 Selagi ada perempuan tu, selagi tu dirinya terasa panas walaupun angin malam menyapa tubuhnya melalui celahan cermin tingkap

"ADA apa ayah panggil Shal?"

Selesai saja kerjanya, dia terus melangkah ke depan. Tidak berniat, untuk melengah-lengahkan masa. Kalau cepat dia buat kerja, cepatlah dia dapat pulang ke rumah. Mahu bermanja-manjaan dengan umi daripada berlama-lama di dalam rumah ini.

"Kau tak sambung belajar ke?"

Laju saja Mishal menggelengkan kepala. Entah angin mana sampuk ayahnya hari ini, dia pun tak tahu. Tiba-tiba saja menyoal tentang sambung pengajian. Lelaki di hadapannya ini mana pernah peduli tentang kebajikannya. Keperluan ke, kehendak ke, satu apa pun tak pernah kisah. Anaknya diakan seorang saja. Namanya Dian Suraiya.

"Kau tak mintak dengan Saidin ke nak sambung belajar? Semua orang duk tanya aku pasal kau. Asal Suraiya sambung belajar, tapi kau kakak dia, kau tak sambung belajar? Kau memang suka memalukan aku. Dari kau lahir sampai besar. Hidup kau tak habis-habis menyusahkan aku. Membawa malang tak henti-henti."

Nak tersentap? Perasaan tu mungkin tak dapat lari. Tapi Mishal takkan tunjuk melalui perubahan air mukanya. Dia kekal tenang walaupun hatinya ketika ini bagaikan ditusuk dengan pisau belati. Tajamkan kata-kata ayah?

"Shal dah banyak menyusahkan dia orang. Takkan Shal dengan muka tak malu nak mintak-mintak macam dekat dia orang. Shal memang tak ada ibu. Tapi setahu Shal, Shal masih ada ayah. Cuma itulah, Shal tak tahu kenapa ayah Shal tak pedulikan Shal. Dia masih lagi teguh dengan pegangan kata-kata dia sejak dulu lagi. Seorang bayi membunuh ibunya ketika lahir."

Di hujung percakapan, dia melepaskan tawa kecil. Entah kenapa, ayat yang terakhir itu seolah-olah mencuit hatinya. Terbayang seorang bayi yang baru saja lahir, memegang pisau atau pistol. Kemudian, diacukan ke arah si ibu yang terbaring lemah. Dan...

Bang!

Selamat tinggal, ibu. Dia dah bunuh ibu. Logikkah pemikiran ayah? Disalahkan dia penyebab kematian si ibu. Tak logik sama sekali. Bayi itu lahir ke dunia tanpa tahu apa-apa. Hanya bunyi tangisan saja yang kedengaran. Itu saja yang bayi itu tahu.

"Kau jangan nak main-main dengan aku, Shal. Ikutkan hati aku dulu, aku nak bunuh aje kau. Kau memang anak tak guna. Kau dah bunuh isteri aku. Lepas tu sekarang, kau hidup senang-lenang."

Mishal tersenyum kecil. Ya, ayah dia ego. Takkan pernah sesekali pun lelaki itu merendahkan egonya. Bahkan, semakin lama percakapannya semakin tidak logik. Macam tulah kalau orang tak nampak salah dia, benda tak logik, dilogikkan. Macam orang tak cukup ilmu.

"Ayah tahu ke macam mana kehidupan Shal? Ayah jangan buat Shal sampai jadi anak derhaka. Ayah kalau tak tahu kehidupan Shal macam mana, jangan sok-sok tahulah, ayah. Shal penatlah. Shal tak kacau pun ayah sekeluarga. Walaupun hati Shal ni sakit setiap kali melihat kebahagiaan kau orang. Siapa aje yang boleh tahan macam ni, ayah? Siapa?"

Nada suara Mishal sudah naik seoktaf. Air matanya sudah bergenangan di tubir mata. Bila-bila masa saja boleh tumpah ke pipi. Itu sebab dia pernah kata, dia tak kuat setiap kali berdepan dengan ayahnya. Pasti kemarahannya akan berganti dengan tangisan. Dan tangisan itu akan membuatkan ayahnya fikir yang dia seorang yang lemah.

"Cukuplah, ayah. Kalau ayah nak benci Shal sampai mati pun, Shal tak pernah halang. Bencilah Shal semana ayah mahukan. Tapi tolong, jangan persoalkan kehidupan Shal. Shal tak pernah guna sesen pun duit ayah. Semuanya guna duit walid. Jangan risau. Shal tak pernah tuntut apa-apa pun. Shal sedar yang Shal ni pembunuh. Bukan ayah je pernah cakap. Mak cik, Suraiya, Anas dan semua orang kampung sentiasa mengingatkan Shal yang Shal ni pembunuh."

Jeda.

"Sebelum Shal balik, Shal ada sesuatu nak beritahu ayah. Tapi terpulang pada ayah mahu dengar atau tidak. Shal tetap nak sampaikan dekat ayah apa yang selama ni Shal pendam."

Mishal mengerling ke arah Sufyan yang diam tidak berkutik. Biasa ayahnya akan menjawab. Tetapi kali ini tidak. Tak tahulah ayahnya sekarang berada di dunia mana. Mungkin apa yang dia cakapkan nanti, akan masuk telinga kanan kemudian keluar telinga kiri saja.

Suraiya dan ibunya tidak usah dibilang. Sibuk menonton telemovie di kaca televisyen. Memang tak pernah peduli pun dengan dia. Anas pula tidak kelihatan. Tetapi kali terakhir, dia nampak lelaki itu sudah masuk ke dalam bilik.

"Shal tak pernah minta pun ibu pergi tinggalkan Shal lepas je ibu lahirkan Shal. Shal sebagai seorang anak mesti nak membesar dengan ibu dan ayahnya sendiri. Tak ada anak yang tergamak nak bunuh ibu dia sendiri, ayah. Ayah rasa kehilangan. Begitu juga dengan Shal. Ayah bertuah kerana pernah mencipta memori bersama dengan ibu. Sedangkan Shal? Shal tak ada memori, ayah. Shal ada ayah. Tapi memori Shal bersama dengan ayah, langsung tak ada."

Air matanya sudah menitis ke pipi. Dia tewas dengan emosinya sendiri. Dari tadi dia cuba menahan, tapi akhirnya dia tidak lagi mampu menyembunyikan tangisannya.

"Shal sayang ayah. Perasaan itu memang wujud dengan sendirinya sejak Shal masa kecil. Shal selalu mimpi yang ayah datang dekat Shal. Peluk cium Shal macam mana ayah buat dekat Suraiya. Shal tak mintak emas dan permata. Shal cuma dambakan kasih sayang daripada ayah kandung Shal sendiri. Shal dah meningkat dewasa dan Shal nak ayah tahu apa yang Shal rasa selama Shal hidup."

"Shal minta maaf, ayah. Ampunkan segala dosa Shal selama ayah mengenali Shal. Shal tak rasa lepas ni Shal akan jumpa ayah lagi. Shal tak nak tambahkan dosa ayah untuk terus membenci Shal. Biar Shal tunaikan apa kemahuan ayah sejak Shal lahir lagi. Shal tahu ayah nak bawa Shal jauh pergi dari hidup ayah dulu, kan? Shal akan tunaikan, ayah."

Sufyan merenung dalam seraut wajah anaknya bersama dengan arwah Hana Nazmeen itu. Dan-dan itu juga, dia terpegun. Kenapa baru sekarang dia perasan? Nuda Mishal memiliki iras wajah arwah isterinya. Cantik dan ayu.

"Mishal..." Sufyan tersedar. Tiada lagi susuk tubuh Mishal berdiri lagi di situ. Segera dia bangun dari duduknya. Menjengahkan kepala ke pintu utama rumah.

Sufyan terdiam sejenak. Pintu utama ditutup semula. Dia tidak perasan yang Mishal sudah keluar dari rumahnya.

"Hana..." Sufyan kembali ke dunianya semula selepas melabuhkan duduk di atas sofa.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.