Home Novel Thriller/Aksi Henzr (Dalam Penilaian)
Henzr (Dalam Penilaian)
nurshaza
1/9/2021 19:53:04
756
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

HENZR berlari keluar dari kelab malam itu apabila perutnya terasa mahu memuntahkan segala isi yang ada. Si kawan pula masih lagi di dalam kelab malam itu. Menari sakan sehingga tidak ingat dunia. Dia menepuk-nepuk dadanya yang terasa sedikit perit. Baru saja dia meneguk gelas yang keempat, dia sudah tewas. Entah kenapa hari ini dia berasa tidak sedap perut. Mungkin sejak pagi lagi, dia tidak menjamah apa-apa makanan langsung.

Setelah puas memuntahkan isi perut, dia berjalan ke belakang bangunan kelab malam itu. Menyusuri lorong gelap berhampiran situ. Suasana agak sunyi dan bau sangat tidak menyenangkan menusuk rongga hidungnya. Dia berjalan dan terus berjalan sehingga anak matanya terpaku pada satu susuk tubuh kecil yang sedang lena di tepi sebuah tong sampah hijau. Perlahan dia menghampiri kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu membuatkan dia teringat akan adik perempuan kesayangannya.

"Asal kau tidur sini?" soal Henzr selamba tanpa ucapan salam sehingga budak itu terkejut dan kepalanya terhantuk pada badan tong sampah itu.

Tung!

Henzr terkejut lalu menarik budak itu dan mendirikannya. Tangannya mengusap lembut kepala si kecil itu. Kepala digelengkan beberapa kali. Silap dia kerana menerjah budak itu tanpa salam sehingga membuatkan si kecil itu terkejut lalu terhantuk. Budak itu tidak menangis, sebaliknya hanya memandang ke arahnya dengan pandangan penuh ketakutan.

"Kenapa duduk sini? Mana mak dan ayah?" soal Henzr.

Perlahan kepala si kecil itu menggeleng. "Mak dan ayah dah mati, kena bunuh..."

Tersentak dia mendengar jawapan daripada mulut kanak-kanak lelaki itu.

"Nama apa? Umur berapa?" soalnya lagi. Ingin tahu.

"Hayyan... umur Ayan, enam tahun," jawabnya dengan nada bergetar dek kesejukan malam yang menyelimuti tubuhnya kerana hanya berpakaian t-shirt nipis.

Jaket pada tubuh, Henzr tanggalkan kemudian disarung pada tubuh si kecil itu.

"Ikut aku nak tak? Takkan sampai bila-bila kau nak duduk situ? Busuk, lemah dan tak ada siapa-siapa pun nak tolong kau." Kata-katanya cukup selamba membuatkan si kecil itu mendongak, memandangnya dengan penuh tanda tanya.

"Be... betul ke Ayan boleh ikut? Erm... Ayan nak panggil apa?" Tubuhnya didukung oleh lelaki yang baru saja dikenalinya itu.

"Ayan panggil ayah Ayan apa?" tanya Henzr seraya menyingkapkan rambut Hayyan ke belakang.

"Abi..." Perlahan saja Hayyan membalas.

Henzr menganggukkan kepalanya sekali.

"Jadi, panggil aku, abi. Abi akan jaga Ayan macam anak abi sendiri. Nak?"

Terlukis senyuman lebar pada bibir si kecil itu.

"Nak abi! Nak!" Beberapa kali kepalanya diangguk-anggukkan. Penuh keterujaan.

"Hah! Sini rupanya kau!" Muncul si kawan yang entah datang dari mana secara tiba-tiba.

"Anak siapa kau rembat ni?" soal Petra sambil mengusap wajah comot Hayyan.

"Anak kau. Anak sendiri pun tak kenal." Saja Henzr mengusik rakan baiknya itu.

Mata Petra membulat lalu dia memeluk tubuh.

"Kau ni agak-agaklah nak kenakan aku pun. Tak pernah-pernah aku sentuh perempuan lain. Gila!" tegas Petra, bengang.

Henzr tersenyum sinis. Dia terus berjalan menuju ke keretanya meninggalkan Petra di belakang.

"Hesy! Sabar je aku dapat kawan macam ni!" Langkah diatur mengejar langkah kawannya itu dari belakang.

Hayyan dimasukkan di tempat duduk belakang manakala Petra duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Tolong cari identiti Ayan ni. Aku nak jaga dia," arah Henzr dengan nada serius.

Petra sekadar menganggukkan kepala dan mula membelek telefon bimbitnya.

Aku tekad akan jaga Ayan kerana Ayan ada keistimewaannya yang tersendiri sehingga dapat menarik perhatian aku. Desis hati Henzr.

"MAAF andai kau terluka... maaf ku tak sengaja..." Aiza menyanyi-nyanyi kecil sambil menuruni anak tangga untuk menuju ke dapur.

"Tak habis-habis lagu itu je yang kau nyanyi. Naik jemu aku dengarnya. Cuba lagu rancak sikit." Soffiya menegur rakan baiknya itu. Sudah berminggu-minggu, telinganya mendengarkan lagu yang sama setiap kali Aiza menyanyi.

"Ala, bestlah lagu tu. Lirik dia asyik melekat dalam kepala otak aku aje. Kau makan apa tu? Nak sikit..."

Soffiya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia menolak sisi kepala Aiza sehingga kepala sahabatnya itu terteleng ke tepi. Bagus betul dapat kawan macam ni.

"Hesy! Sakitlah. Tak baik main kepala. Nanti aku jadi bodoh, macam mana?" Aiza mencemik.

"Eleh, tak akanlah baru tolak semua memori kau jatuh bertaburan kat atas lantai. Beragaklah sikit," kata Soffiya sambil mengaul mi segera dengan perencahnya menggunakan sudu dan garpu.

"Kau tak keluar dengan Megat ke hari ni?" soal Aiza lalu meneguk air susu berperisa coklat milik sahabatnya itu.

"Sejak kebelakangan ni, dia sibuk. Kau dah cari kerja belum?"

Aiza melepaskan keluhan perlahan lalu menganggukkan kepala. "Kata tunggu dia orang call. Tapi, sampai sekarang tak ada. Hampeh je... bagi harapan palsu..."

Soffiya bersimpati dengan Aiza. Sudah banyak kerja yang dimohon. Tapi sampai sekarang, masih lagi tiada jawapan untuk permohonan sahabatnya itu. Kata dah zaman 2020, teknologi semakin canggih. Tapi, macam makin merumitkan saja. Ramai fresh graduate yang masih menganggur. Inikan pula Aiza yang hanya ada kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Memang lambatlah dapat jawapan.

"Tak apalah. Kau cuba saja dekat mana-mana. Aku ada. Jangan risau. Aku boleh tanggung kita berdua. Macam kau tak biasa dengan aku. Aku ni dah macam kakak kau. Umur kita pun beza setahun. Kira aku pangkat kakaklah, kan? Kita kenal pun bukan semalam. Sejak bangku sekolah rendah lagi. Keluarga kau dengan keluarga aku dah macam saudara sendiri." Soffiya mengusap belakang tubuh Aiza Daneen. Walaupun Aiza bukan adik kandungnya, tapi sayangnya pada gadis itu sudah seperti adiknya sendiri. Lagikan pula, dia merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

"Terima kasih, Pia. Aku minta maaf sebab susahkan kau. Ayah aku langsung tak peduli pasal kebajikan dalam rumah ni. Tak habis-habis merayap saja sampai tak balik. Aku pun tak tahu kenapa ayah aku jadi macam tu. Dulu ada arwah umi pun sama. Lepas umi dah tak ada makin teruk aku tengok. Aku pun tak tahu nak buat apa." Tanpa sedar, air mata Aiza gugur ke pipi.

"Janganlah menangis. Kau tak keseorangan. Kau ada aku..." Soffiya memeluk tubuh Aiza. Rambut ikal mayang milik sahabatnya itu dibelai lembut.

"Dah, ya. Jangan menangis. Nah, aku suap." Sudu berisi mi segera itu disuakan ke mulut Aiza.

Aiza menyeka air matanya lalu mengangguk kecil.

Bam!

Bunyi hempasan pintu utama mengejutkan Aiza dan juga Soffiya. Termati selera makan mereka saat melihat susuk tubuh yang sudah melangkahkan kaki ke atas lantai dapur. Dengan keadaan yang sepertinya tidak terurus. Aiza mengalihkan pandangannya. Hatinya sakit setiap kali melihat wajah itu. Sakitnya itu tak akan pernah surut sejak dia kehilangan arwah uminya.

"Mi segera je?" soal Addar kepada mereka.

Soffiya seperti teragak-agak mahu menjawab soalan Addar. Namun, melihatkan Aiza yang hanya diam tidak berkutik, terpaksalah dia yang menjawab. Kalau tidak, baran si tua tu akan mencecah maksima secara tiba-tiba.

"Ya, pak cik. Barang dapur dah habis. Pia belum gaji lagi. Nanti dah gaji Pia beli barang-barang."

Addar melepaskan dengusan kasar. Sempat lagi dia menjeling ke arah anak perempuannya yang langsung tidak melayaninya. Dia mengeluarkan dompet kulitnya dari dalam poket belakang seluar sebelum lima helai duit kertas RM100 dicampakkan ke atas meja makan tersebut.

"Ni duit barang dapur. Kalau tak sempat masak, oder kan aku nasi goreng ayam dengan milo ais. Aku lapar," arah Addar sebelum kakinya memanjat anak tangga untuk naik ke tingkat atas. Sungguh dia berasa penat hari ini selepas melepaskan amarah pada anak-anak buahnya yang lembam dalam membuat tugasan yang disuruh.

"Menyuruh je tau. Bagi duit tu macam tak boleh bagi elok-elok. Nasib baik bapak aku, kalau tak dah lama dah..."

"Aiza...," tegur Soffiya sambil menggelengkan kepalanya. Kalau didengar Si Addar itu, mahu terbalik rumah ini. Tak adalah tempat untuk mereka berteduh. Yuran sewa rumah ini sajalah yang paling mampu untuk Soffiya bayar. Sewa rumah lain boleh tahan cekik darah juga.

"Yalah. Biar aku oder. Kau nak buat apa?"

"Aku nak basuh baju tu. Dah menggunung dalam bakul tu. Petang sebelum maghrib kau sidai tau."

Aiza sekadar menganggukkan kepalanya. Begitulah rutin harian mereka, buat kerja rumah secara bergilir-gilir. Kalau tak dikemas, rumah mereka duduk tu dah macam tongkang pecah. Nak harapkan bantuan Encik Addar Quthni?

Memang tak bergeraklah...


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.