08
“Sekarang tuan percaya kan cakap kitorang?”
Dua orang pembedah siasat berdiri bersebelahan dengan meja bedah, dimana satu rangka manusia hangus terlentang di atasnya diantara mereka dan seorang Inkspektor polis yang mengendalikan kes tersebut.
Sarung tangan getah mereka comot dengan darah, cebisan daging kering dan abu. Inspektor bermisai tebal yang khusyuk memerhatikan rusuk rangka, mengalihkan pandangan ke dalam rahang tengkorak.
“Kau dah masuk dalam report?” Dia menguis cebisan daging hangus yang masih melekat di rahang tengkorak dengan sebatang pen untuk lihat barisan gigi tengkorak dengan lebih jelas. Dua gigi taring di rahang atas kelihatan lebih panjang dan tajam dari gigi taring normal manusia lain. Dia mengetuk taring tersebut dengan pen yang sama beberapa kali untuk memastikan ia bukan gigi porselin. Inilah pertama kali dia memeriksa rangka manusia yang mempunyai taring sepanjang dia berkhidmat. Otaknya tidak boleh memproses informasi baru ini. Inspektor tersebut pasti taring yang diperiksanya bukan gigi palsu. Bulu romanya meremang. Fikirannya cuba menangkis teori-teori tidak masuk akal yang berserabut dalam kepala.
“Belum lagi, Inspektor,”
“Masuk je dalam report. Biar diorang yang uruskan. Kita buat kerja kita,” Muka Inspektor itu berkerut menahan bau daging hangit. Dia membersihkan hujung pennya dengan tisu. Kertas laporan bedah siasat dibaca berulang kali, cuba mencari penjelasan.
“Dah dapat tentukan cause of death? Atau bahan bakar yang digunakan?”
“Setakat ni kita tak kesan bau bahan bakar langsung. Tulang ni kena hantar lab untuk cek jika ada sisa-sisa bahan kimia. Tapi kami perasan bahagian rusuk kiri dia hancur, macam ditembusi sesuatu yang tajam. Di bahagian jantung. Kami rumuskan dia ditikam terlebih dahulu sebelum dibakar.” Pegawai perubatan tersebut menunjuk lubang di bahagian rusuk dengan ibu jari.
“Kalau mayat dibakar tanpa petrol atau bahan-bahan lain boleh jadi macam ni ke?”
“Kalau mayatnya di letak atas kayu macam orang bakar mayat mungkin boleh la tapi dari laporan tu, mayat ni dijumpai di atas lantai dalam ruang tamu rumah. Tak ada kayu atau benda lain yang dibakar dengan mayat ni. Kalau tengok pada keadaan rangka, perlukan api yang marak dan bahan bakar yang banyak. Benda-benda lain dalam rumah tu pun tak ada yang terbakar.”
“Itu yang kitorang pening sikit ni.” Sambungnya lagi.
Inspektor polis itu hanya merenung rangka hangus sambil menggaru dagu.
“Tuan tak rasa ke yang rangka ni entah-entah...” Salah seorang koroner mengangkat kening dan merenung muka inspektor tersebut.
“Mungkin apa? Tak payah nak merepek la. Aku rasa gigi taring dia memang panjang sikit dari orang lain, bukannya tak pernah ada orang gigi macam tu. Lepas tu dia sengaja kikis gigi dia jadi tajam macam tu.”
Dua orang koroner saling berpandangan.
“Macamana dengan lubang tu? Kan kalau kita nak bunuh Vampire kena tikam jantung dia?” Dia menggenggam tangan dan membuat aksi tikaman ke arah lubang di rusuk tersebut.
“Kau belajar medical kat mana? Dari cerita Dracula? Jangan mengarut. Serius sikit. Korang siapkan je autopsy ni. Lepas tu hantar report. Nanti saya bincang dengan ASP.”
Mereka menyambung kembali tugas mereka. Inspektor Aziz berjalan keluar dari bilik mayat sambil mendail nombor ASP di telefonnya. Entah kenapa dadanya tiba-tiba berdebar. Dia menoleh ke arah bilik mayat dan memerhatikan koroner mengangkat tengkorak lebih dekat ke arah lampu meja bedah dan memeriksanya dengan lebih teliti. Dia berpaling meninggalkan mereka dan berjalan ke arah lif.
“Hello? Boleh saya bercakap dengan ASP Zulkarnain?”
Sepanjang perjalanan dalam kereta, hati Aziz berasa tidak senang. Seperti ada sesuatu yang membimbangkan, dadanya terasa berat dan jantung berdegup kencang tanpa sebab. Perasaan ini sama dengan perasaan cemas ketika dia memburu penjenayah yang melarikan diri bersembunyi dalam bangunan selepas berbalas tembakan dengan polis. Perasaan cemas dan risau dia akan diserang pada bila-bila masa sahaja, bahaya menanti di setiap sudut gelap.
Aziz masuk ke simpang lorong depan rumah teres dua tingkatnya dan mendapati keadaan sangat gelap gelita. Satu deret rumah-rumah di lorong itu bergelap. Lampu jalan juga tidak bernyala. Dia dapat lihat cahaya malap lilin dari rumah-rumah jiran kecuali rumahnya sendiri. Aziz mengagak mungkin Ida membawa anak-anak mereka keluar makan selepas blackout. Mungkin anak-anaknya merengek dalam kegelapan dan memujuk Ida untuk keluar lepak di restoran mamak di hujung taman perumahan tersebut. Sankaannya meleset. Dia mulai panik apabila terpandang kereta Kancil Ida masih diparkir di dalam pagar.
Debaran jantungnya semakin kuat apabila terpandang pintu depan rumah yang tidak bertutup rapat. Aziz menarik keluar revolver dari holster dan terus menarik hammer senjata api tersebut. Dia menghidupkan lampu suluh sebelum menguis pintu dengan perlahan dan menyelinap masuk. Keadaan dalam rumahnya gelap dan sunyi. Jantungnya laju mengepam adrenalin masuk ke pembuluh darah. Tekak Aziz terasa kering. Dadanya terasa sejuk melihat perabot dan barang-barang di ruang tamu berselerak di atas lantai.
“Ida! Sara! Danny!”
Aziz terdengar suara seperti berbisik dan gelak kecil dari tingkat atas.
Dia berjengket-jengket mengelak bantal kusyen dan permainan anak-anakya yang bersepah. Lampu dan pistol diacu ke arah sofa dan meja kopi yang terbalik dengan tangan yang menggigil.
“Ida!” Dia menjerit dengan lebih kuat.
Ketika dia memanjat anak tangga, bisikan dan tawa kecil tadi semakin jelas.
“...Ida...” Suara bisikan halus mengulang nama tersebut, seperti mengejek nadanya.
“Ida!” Aziz naik dengan gopoh. Apabila sampai di tingkat dua, kesemua pintu bilik tertutup rapat. Suara berbisik mengajuk nama Ida kedengaran lagi dari bilik tidur utama.
Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menendang pintu bilik sehingga terbuka luas dan menghempas dinding. Sekujur tubuh kaku berlumuran darah terlentang di atas katil. Dia dapat melihat arteri karotid Ida sudah dikoyak-koyak dan darahnya membuak-buak mengalir membasahi baju tidur kelawar dan cadar katil. Kedua bebola mata Ida terjegil memandang ke siling. Mulutnya ternganga. Wajahnya kelihatan seperti sedang menjerit kesakitan.
“Allah! Ida!” Jantung Aziz terasa seperti direntap. Baru dua langkah Aziz berlari ke arah isterinya, satu lembaga hitam menerpa dari arah kanan. Aziz jatuh terlentang dan lembaga tersebut terus menindihnya. Lampu suluh terlepas dari tangan. Ia menderam seperti anjing liar membuatkan bulu roma Aziz meremang. Dia dapat melihat bentuk muka lembaga tersebut dibantu dengan cahaya lampu suluh walaupun agak malap. Aziz perasan taring panjang dalam mulut makhluk yang menindihnya serupa dengan taring rangka yang dia periksa sebentar tadi. Aziz menarik picu revolver berulang kali sambil menjerit sekuat hati. Peluru Revolver habis digunakan namun makhluk tersebut masih gagah menindihnya dan cuba untuk membaham leher Aziz.
Dengan kuderat yang masih ada, Aziz menghenyak lututnya ke arah testis makhluk tersebut sehingga cengkaman ke atasnya semakin longgar. Ia menjerit dengan kuat seperti suara kelawar yang sangat nyaring. Aziz menolak makhluk tersebut ke tepi dan dia dengan pantas bangkit semula untuk serangan yang seterusnya. Dia teringat sebilah pisau belati yang terselit kemas di balik stokin. Makhluk bertaring mengaum dengan lebih kuat, berang kerana mangsanya berjaya meloloskan diri. Dia menerpa sekali lagi, namun kali ini Aziz sudah bersedia dengan pisau yang sudah dihunus. Mata besi sejuk ditusuk tepat ke rusuk kiri dan menembusi jantung. Dengan serta merta ia menggelupur kesakitan dan api marak yang entah muncul dari mana menyambar makhluk tersebut. Dalam masa beberapa saat sahaja daging dan kulitnya rentung menjadi abu, hanya tinggal tulang.
Aziz mengatur kembali pernafasan. Dia meluru ke arah katil. Tubuh kaku Ida didakap, dia berdoa agar isterinya membuka mata dan menenangkan Aziz bahawa ini semua hanya mimpi buruk dan dia akan bangun disebelah Ida. Aziz meraung sekuat hati dan mengucup dahi sejuk isterinya untuk kali terakhir. Kemudian dia bergegas ke bilik Sara dan Daniel. Raksasa tersebut tidak beri belas kasihan langsung pada anak-anaknya. Seperti Ida, tubuh mereka berlumuran darah dengan kesan luka di leher masing-masing.
Aziz tersandar di pintu dan jatuh terjelopok. Hatinya terasa seperti dihiris-hiris. Air mata Aziz mengalir tanpa henti hingga pandangannya menjadi kabur. Kepalanya kusut cuba mentafsirkan apa yang sedang berlaku. Keluarganya pergi dengan begitu tragis dan kejam. Kemudian dia teringat tentang rangka bertaring yang dia periksa sebentar tadi. Aziz dengan kelam-kabut membuat panggilan telefon. Telefon koroner pertama tidak dijawab. Dia menghubbungi koroner kedua, dan panggilannya dijawab selepas dua deringan.
“Hello?”
“Hello? Mail? Ni Inspektor Aziz. Kau kat mana?”
“Umm...maaf Inspektor. Ni Konstabel Farouk. Err...Mail tak...tak boleh jawab telefon sekarang.”
“Farouk?” Aziz kenal dengan konstabel tersebut.
“Kenapa kau angkat telefon Mail? Mana dia?”
“Umm...Mail telah dibunuh, Inspektor. Ada orang jumpa mayat dia kat kereta dia dalam parking hospital.”
Jantung Aziz semakin kencang berdegup. Dadanya terasa seperti mahu meletup.
“Inspektor ada urusan dengan dia ke?
“Err...ya. Ummm...dia dengan budak Din tu bantu saya dengan kes saya tengah siasat. Din pun saya tak dapat call.”
“Macamana dengan keadaan mayat Mail? Ada kesan luka di leher?” Aziz menggigit bibir.
“Umm...Ya...Leher dia berlubang macam kena gigit, koroner belum pasti lagi kesan gigitan atau kena kelar. Err...macamana Inspektor tau? Bila kali terakhir Isnpektor jumpa diorang?”
Kepala Aziz terasa berat seperti mahu pitam. Dia memutuskan panggilan. Fikirannya kusut. Dia bersandar dan menutup mata. Bermacam perasaan bergolak dalam sanubarinya, sedih, marah, dan keliru. Seluruh tubuh Aziz menggigil.
“...Aziz...” Suara bisikan halus menerpa ke telinga.
Dia membuka matanya dengan perlahan. Ida, Sara dan Daniel berdiri didepan Aziz. Mata mereka merah menyala seperti lampu brek kereta. Keluarganya menyeringai dan mendesir sebelum menerpa ke arah Aziz. Tiga pasang taring yang tajam menggigit tengkuk, muka dan lengannya dengan lahap. Dia tidak sempat berbuat apa-apa.
Aziz tersedar sambil menjerit dan menghayun lengan ke atas. Tubuhnya lenjun berpeluh. “Hey baby. Kenapa ni sayang?” Dia menoleh ke arah gadis Vietnam berkulit putih melepak yang sedang mengusap lengannya. Nafas Aziz tercungap-cungap. Dia menepis tangan gadis yang berbogel tanpa seurat benang dan terus menuju ke bilik air.