5,134
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Empat

4

DATUK Nik Rasyid merenung wajah Dija. Gadis itu hanya memainkan jari jemarinya yang dipertautkan rapat. Berada di depan tuan punya syarikat yang tersohor itu membuatkan dia kehilangan kata. Apa yang harus diucapkan?

Dia belumpun bercakap dengan datuk, tapi angin dah bertiup kencang. Mengalahkan puting beliung lagaknya. Dija kehairanan bila dia dipanggil ke bilik datuk awal pagi begitu. Apa yang tak kena lagi? Salah lagi?

“Ada apa, datuk panggil saya?” suara Dija tetap dikawal setenangnya.

Datuk Nik Rasyid tersenyum. Wajah Dija tetap dipandang. Ada mesra pada senyumnya yang meniti di bibir. Anak matanya terus tertala pada wajah Dija.

“Tak boleh ke majikan nak panggil anak buah sendiri?” tenang sahaja suara datuk. Malah, sedikit kemesraan terserlah dalam ungkapannya.

Dija membalas renungan mata datuk. Eh, dia tak nak marah aku ke? Soal hati Dija. Manalah tahu, kalau-kalau kali ini bapanya pula yang akan mengherdik dan memakinya. Kalau dua tiga hari lepas, dia sering dimarah dan dikecam perli oleh si anak, tidak mustahil kalau hari ini, dia kena marah lagi.

“Boleh...” jawab Dija bersahaja. “Tapi, saya risau kalau-kalau saya ada buat silap.”

“Awak rasa awak ada buat silap ke Dija?”

Dija tidak segera menjawab. Wajah Datuk Nik Rasyid direnung mendalam.

“Terkadang, kesilapan orang lain, boleh juga tertimpa ke atas kita, datuk. Terkadang, kita tak lakukan kesilapan tapi orang lain akan menganggap itu suatu kesilapan.” Setelah agak lama, Dija bersuara. Meluahkan falsafahnya.

Datuk tidak segera menjawab kata-kata Dija. Dia sekadar menatapi wajah Dija. Naik seriau pula bila ditatap begitu. Kenapa dengan datuk ni?

“Err, apa yang tak kena datuk?” soal Dija sambil membetulkan selendangnya. Manalah tahu, kalau herot penutup kepalanya itu hinggakan datuk merenungnya tanpa kelip. Apa yang salah ni?

“Err...apa yang tak kena?” datuk pula yang menyoal.

“Habis, datuk tenung saya macam ada yang tak kena pada saya ni.”

Bibir Datuk Nik Rasyid tersenyum. “Tak ada yang tak kena. Semuanya okey.”

“Habis, datuk nak cakap apa?” soal Dija dengan kerut wajahnya masih jelas.

“Nak tanya...”

Dija menanti. Sabar dan tenang sahaja wajahnya menatapi wajah datuk.

“Betul ke awak nak berhenti, Dija?” soal datuk.

Kerut di dahi Dija hampir merapatkan dua keningnya.

“Siapa yang cakap, datuk?”

“Maknanya tak betul?’ soal datuk kembali.

“Bukan tak betul. Tapi, siapa yang bagitahu datuk?” Dija terus menyoal.

“Dija cakap dulu, betul atau tidak?” Datuk masih menyoal.

“Sila datuk cakap dulu, siapa yang cakap dengan datuk perkara ni?”

Datuk Nik Rasyid merenung wajah Dija.

“Adalah seseorang yang cakap tu. Betul ke, Dija apa yang saya dengar tu?”

Dija melepaskan keluhan. “Cepatnya mulut orang bawa berita yang tak pasti ya datuk? Itulah silapnya orang kita ni. Suka sangat menyebarkan khabar yang tak jelas betul atau salahnya. Khabar yang tak pasti patutnya jangan diperbesarkan dulu.”

“Tak pasti? Maksud Dija?” wajah Datuk Nik Rasyid semakin berkerut.

“Yalah, Dija tak pastikan lagi dengan pihak pengurusan syarikat ni yang Dija nak berhenti kerja. Tapi, orang-orang yang gatal mulut tu dah bawa khabar ni kepada datuk. Peliknya...” ulas Dija agak panjang.

Datuk Nik Rasyid tersengih melebar ke arah Dija. “Maknanya Dija takkan berhenti dari syarikat ni?”

Dija tidak segera menjawab pertanyaan itu. Tapi nafasnya turun naik berkali-kali. Bibirnya digigit sambil dilepaskan, berkali-kali juga,

DIJA meletakkan punggungnya di atas bangku berhampiran bilik itu. Wajahnya suram. Matanya berair. Sesekali, dia menyeka birai mata.

“Sabar, sayang...” suara Kak Sal memang sentiasa tenang dan lembut.

“Apa datuk cakap, Dija?” Marina mendekati.

Dija menggeleng. Jari jemarinya kerap singgah di birai mata.

“Dija...” Marina meletakkan lengannya di atas bahu Dija. “Kenapa?”

“Tak ada apa...”

“Habis, kenapa kau sedih ni?”

Dija cuba tersenyum. “Siapa cakap aku sedih?”

“Ceritalah...” rayu Marina. Tapak tangannya masih melekat di bahu Dija.

Dija melepas nafas. Tiada suara yang terlahir daripada bibirnya. Tiada ucap yang kedengaran. Hanya renungan mata yang bertaut pandang dengan mata Marina.

“Rina, biarlah Dija tenangkan perasaannya dulu. Nanti, kalau dah tenang, dia akan ceritakan jugak...” Kak Sal bersuara. Seakan memberikan ruang tenang di hati Dija yang sedang sarat dengan sebak.

“Ok, kau rileks dulu ya...” Marina menepuk bahu Dija.

“Semakin lama aku kat sini, jiwa aku memang takkan rilaks dah, Rina...” kendur suara Dija. Seperti ada perit yang sedang berladung di jiwanya.

Marina menghala pandangan ke arah Kak Sal yang terkedu dengan ungkapan Dija. Kak Sal sekadar merenung wajah Dija penuh simpati. Marina pula hanya mampu menjongket bahu. Senyum tiada lagi di antara bibir mereka.

“Tahulah aku ni buruk rupa, miskin dan bodoh pulak. Tapi, takkan dia tak tahu, akupun manusia jugak. Aku ada jiwa jugak...” keluh Dija.

“Siapa maksud kau ni, Dija? Datuk hina kau ke?” Marina mulai buat muka. Macam tidak percaya dengan soalannya sendiri.

Dija menggeleng.

“Habis, apa yang dia cakap?” soal Marina, mencungkil rahsia luka di hati Dija.

INGATAN Dija jadi terimbau.

“Ha, elok sangatlah kalau papa ajar sikit tukang cuci papa ni. Biar dia sedar, siapa dirinya tu.” mencelah dengan tiba-tiba pula Si Faheem, saat dia sedang berhadapan dengan Datuk Nik Rasyid. Wajah geramnya terserlah tika merenung wajah Dija yang sedang kegugupan di depan majikannya itu.

“Ikutkan hati Faheem, budak ni patut dipecat je, papa. Habis cerita...!” Meradang sangat rupanya Faheem dengan kehadiran Dija.

“Faheem...!” menjerkah geram Datuk Nik Rasyid bila mendengar Faheem mencelah dengan tiba-tiba dalam lagak kurang ajarnya itu.

“Papa tak suka kamu masuk campur dalam urusan papa!”

“Urusan papapun urusan Faheem jugak!” balas Faheem sempat menjeling geram ke arah Dija. “Bukankah tak lama lagi papa nak Faheem yang kendalikan syarikat ni? Papa nakkan Faheem jadi CEO kat sini, kan?”

“Nampaknya papa kena tangguhkan semua lantikan tu.” datuk membalas ucapan anaknya dengan geram.

“Papa...?” melopong mulut Faheem.

Dija jadi bergetar dadanya mendengarkan ungkapan datuk.

“Kamu tak tahu nak uruskan setiap pekerja dalam syarikat ni dengan baik. Macamana syarikat kita akan maju? Kamu jangan lupa Faheem, kejayaan satu-satu syarikat tu bukan semata-mata kerana CEO yang bijak sahaja, tetapi lebih daripada itu.” wajah datuk semakin memerah.

“Kalau tak diambil cakna tentang perkara-perkara kecil atau pekerja kecil macam Dija ni, sesebuah syarikat itu tak mungkin berjaya. Tak mungkin!”

“Hah? Tukang cuci macam ni kena ambil kira jugak ke, pa?” mata Faheem mengerling lagi ke arah Dija. Sinisnya sebuah renungan. Perit tertusuk ke dalam nubari Dija. Kenapa dengan mamat ni? Benci sangat ke? Salah sangat ke aku? Hisy...!

“Faheem, tukang cuci juga sebahagian daripada penyumbang kepada kejayaan syarikat ni. Tanpa mereka, syarikat kita boleh...”

“Karutlah papa ni. Takkanlah tukang sapu boleh sumbangkan kejayaan jugak buat syarikat ni.” cebik Faheem. “Faheem tahu, papa nak bela nasib dia orang ni. Tapi, janganlah sampai buat statement macam tu. Nanti dia orang ni akan perasan lebih pulak, papa.”

“Faheem...!” jerkah datuk lagi. Wajahnya makin memerah.

“Papa tak pernah ajar kamu jadi kurang ajar dan pandang rendah kepada orang lain. Apatah lagi untuk menghina...” tambah datuk. Dia benar-benar tidak senang dengan ungkapan Faheem.

“Errr, datuk, maafkan saya. Izinkan saya keluar dari sini...” tergugup-gugup suara Dija memohon berundur. Tidak sanggup untuk dia terus mendengar pertengkaran dua beranak itu kerana dia. Nanti tak pasal-pasal kena maki hamun dek Faheem.

“Duduk dulu, Dija....” pinta Datuk Nik Rasyid sambil mengisyaratkan dengan matanya agar Dija tidak keluar dari bilik itu.

“Biarkan dia keluar, pa. Faheem malas dah nak tengok muka dia. Bukannya cantikpun Budak Hitam ni.”

Pangggg!

Faheem meraba pipinya yang sudah dihadiahkan sebuah penampar oleh papanya sendiri. Datuk Nik Rasyid memang benar-benar geram dengan segala ucap kata anaknya itu. Dia juga tidak pernah menduga Faheem akan menghina Dija sebegitu rupa. Memang benar-benar membuatkan hati Datuk Nik Rasyid membara.

“Faheem, tolong jangan kurang ajar!” jerkah Datuk Nik Rasyid lagi.

Faheem diam tidak membalas kata-kata papanya. Matanya melekat pada wajah Dija. Sedang tapak tangannya masih meraba pipi. Ada kegeraman di matanya.

Dija tertusuk di hatinya. Dengan pantas, dia bangkit. Melangkah laju.

“Dija...!” panggil datuk bila melihat Dija melangkah pantas. “Tunggu dulu...”

Namun, Dija sudah sebak. Rajuk mulai menjalar di hatinya. Jiwanya jadi rencam. Senangnya orang yang tak tahu adab itu bersuara. Nama saja anak datuk datin. Tapi, perangai? Mengalahkan beruk tunggal yang mengamuk siang.

Berdesingnya telinga Dija bila menerima penghinaan daripada bibir Faheem. Namun, Dija tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya menghimpun sebak dan geram sekaligus dan bergugus.

Hissyhh....Faheem...! Nama aje cantik. Mulut? Mengalahkan Minah Potpet di desanya. Kena bagi insurans mulut macam tu.

“Faheem...ini amaran papa, lepas ni papa tak nak lagi dengar kamu hina dia.” Datuk Nik Rasyid benar-benar geram dengan mulut celupar Faheem.

“Papa ni kenapa?”

“Kenapa apa?” jerkah datuk.

“Kenapa papa pentingkan sangat budak hitam tu? Kenapa papa nak bela dia sangat? Siapa dia tu? Keluarga kita ke? Anak saudara papa ke? Atau siapa dia tu, papa?” Faheem semakin lantang bersuara walaupun sudah mendapat sebuah hadiah istimewa daripada papanya. Mungkin melepaskan rasa geram di hatinya.

Dija sempat mendengar semuanya itu. Namun langkahnya sudahpun melaju. Sudah pergi meninggalkan bilik Datuk Nik Rasyid itu. Semakin laju langkah kakinya. Semakin laju pula air jernih yang mengalir.

Begitu sekali penghinaan seorang Faheem terhadap dirinya?

Besar benarkah salahnya kepada Faheem sehingga dia membencinya sampai ke tahap itu? Hanya kerana secawan kopi dan sebaldi air? Itu saja? Alangkah mudahnya Faheem menghina orang lain hanya sebuah kesalahan kecil. Tidakkah dia boleh memaafkan orang lain dengan mudah?

Ah, terlajak perahu, boleh juga diundur. Terlajak kata? Terpikul buat selamanya. Dija akan ingat semua kata-kata kelat hadiah daripada Faheem kepadanya itu. Akan dikenang selamanya. Bukan setakat penghinaan terhadap dirinya malah turut menghina ciptaan Allah.

Betapa angkuhnya seorang Faheem.

Kenapa dia sebegitu?

Mungkin kerana dia ada harta? Mungkin kerana dia ada kedudukan?

Tapi Faheem patut tahu, harta benda milik insan tak semestinya kekal lama. Mungkin dengan mudah akan diambil kembali oleh Allah SWT. Rupa? Juga sama, kalau rasa lawa sangat rupa diri sendiri, dia patut tahu, semua itu juga pemberian Allah. Kalau Allah menginginkan, bila-bila masa rupa paras seseorang itu boleh dirampas kembali. Mungkin akan ada orang yang menyimbah asid ke wajahnya. Ataupun mungkin kekacakan dan kecantikan seseorang itu akan hilang bila berlaku kemalangan. Malah, macam-macam cara Allah boleh ambil kembali pemberiannya itu.

Begitu juga dengan kedudukan atau pangkat.

Bila-bila waktu, Allah boleh hapuskan kembali semua itu.

“Wahai Encik Faheem, janganlah kau sombongkan dirimu kerana suatu hari nanti, pembalasan Allah takkan dapat dijangka!” Dija membujuk hati sendiri.

Marina terus merenung wajah Dija yang dilamun rasa. Entah apa yang sedang Dija lamunkan, dia tidak mengerti. Segala persoalan yang diajukan seketika tadi, terus saja terbiar. Tanpa sebarang jawapan daripada teman sekerjanya itu.

“Macamana agaknya aku nak ajar dia, ya?” tiba-tiba terpancul suara Dija.

“Ajar? Siapa, Dija?” soal Marina, pelik.

Dija tidak segera menjawab. Wajah Marina ditatap.

“Dija...!” panggil Marina sambil menepuk bahu Dija. “Kenapa diam ni?”

Dija tidak menghiraukan. Dia terus melayani bicara hatinya sendiri.

“Dija, kau nak ajar siapa?” Marina terus menyoal.

Aku salah cakap ke? Soal hati Dija bila dilihat Marina begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawapan daripadanya.

“Ajar kau laa...” Dija tersenyum nakal bila tersedar dia sudah tersilap mengeluarkan kata-kata yang ingin disembunyikannya daripada pendengaran Marina.

Wajah Marina berkerut. “Aku?”

Dija mengangguk.

“Apa yang kau nak ajarkan?” soal Marina, tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Dija, temannya itu.

Wajah Marina ditatap mendalam. Ada senyum nakal terselit di bibir Dija.

“Ajar kau buat puding buih...” Dija ketawa kecil.

“Aikk...hari tu kau cakap kau tak pandai memasak...” Marina mengerutkan dahi.

Dija tersengih lebar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh