
MISS MARSHMALLOW VSMR EGO
(DYZA AINUN)
BAB TUJUH
TIBA-TIBA Faheem muncul. Entah dari mana dia datang, Dija tidak pasti.
Namun, Dija agak terkejut dengan kemunculan anak muda itu dengan tiba-tiba
begitu. Tanpa sepatah kata. Tanpa sebarang bunyi. Tahu-tahu, Faheem sudah
tercegat di depan Dija. Dalam terkejut begitu, Dija cepat-cepat memalingkan
wajah. Dia tidak sudi untuk memandang wajah itu walaupun sesaat. Hatinya lebih
membara kalau terlihatkan wajah itu. Lantas dengan segera dia melepaskan penyapu
dan menapak langkah dengan laju menuju ke depan. Mengalahkan atlet negara pula
langkahnya.
“Dija...!” jerit Faheem.
Aikk...?
Dija tersentak untuk kali pertama bila mendengarkan bibir Faheem memanggil
namanya. Tak pernahpun anak muda itu menyebut namanya semenjak mereka
berkenalan di hari pertama dulu. Langkahnya jadi berhenti dengan tiba-tiba.
“Eh, saya ni salah dengar ke? Encik Faheem ni panggil saya ke?” perlahan-lahan
Dija berpusing ke arah anak muda itu.
“Bodoh!” marah Faheem. “Kau sendiri tak tahu nama kau ke?”
Dija cuba mengukir senyum. “Tapi, selalunya encik akan panggil saya Budak
Hitam. Kenapa hari ni panggil Dija ya? Ada urat atau fius encik yang putus ke?”
“Huh!” Faheem mendengus. Wajahnya sudah memerah. Tanda-tanda bom jangka
bakal meletup bila-bila masa sahaja. Tergambar sudah di ruang wajah Faheem. Dia
membulatkan mata dan mencerlang geram ke arah Dija.
“Bodoh!” Jerkah Faheem lagi.
“Dah buang tabiat ke? Atau ada apa-apa yang encik nak minta saya buat ni?
Nak rasuah kut!” perli Dija. Ada senyum sinis. Lega rasanya dapat meluahkan
sedikit bahasa sinis dan sindiran begitu.
Faheem kegeraman. “Kau boleh diam tak?”
“Diam?” soal Dija, aneh. “Tadi kan encik panggil saya? Kalau diam, encik
nak cakap dengan siapa? Dengan patung ke?” semakin rancak pula Dija memperli.
“Maaf ya encik. saya ni manusia, Bukan patung. Saya pandai bercakap dan
tahu jugak tersentuh hatinya...” Dija tersengih. Beraninya aku kali ni. Nak
kena pelempang agaknya aku ni. Bibir Dija terus tersenyum lebar.
Eh, eh, nakal juga aku ni ya? Pandai-pandai nak perli anak bos. Siapa aku
ni ya? Memang aku ni seorang tukang cuci yang tak sedar diri betul.
He, he, he! Dija tersenyum sendiri.
Nakalnya aku!
Oh, mak...akan kuingat pesananmu. Kena jadi gadis sopan santun. Jangan buat
orang lain terluka dengan kata-katamu wahai gadis desa yang santun, Dija!
Dija ingin sengih memanjang. Tapi dipaksa bibirnya mengeras. Jangan senyum.
Jangan sengih. Nanti Faheem akan lebih mengamuk.
“Nak aku panggil kau Budak Hitam lagi ke?” sinis dan geram suara Faheem
mulai menyambar telinga Dija. Seriau juga bila Dija merenungi wajah yang sedang
merah bagaikan udang panggang bersalut sos cili itu.
“Bolehlaa...” ujar Dija selamba. “Cantik jugak nama tu. Sesuai je dengan saya....”
“Huh!” Faheem mendengus lagi. “Baik kau diam. Nanti lebam pipi kau.”
“Dah biasa dah dengan panggilan tu, wahai Encik Faheem. Panggil aje
laaa...” sinis dan nakal suara Dija. Dia sengaja mahu menyakitkan hati Faheem.
Wajah Faheem direnung dengan ekor mata.
Aikk...aku ni nak balas dendam ke?
Dija, jangan jadi seorang pendendam. Ingat pesanan bonda tersayang. Mesti
jadi seorang pemaaf dan penyantun. Dija, sila ingat pesanan berharga itu!
“Bodohlah budak kampung hulu ni!” suara Faheem jadi meninggi. “Kau ingat
aku ni suka sangat ke nak panggil kau dengan nama sebenar kau tu? Aku lagi suka
panggil kau dengan Budak Hitam. Sesuai dengan kau.”
“Ha, panggil ajelah kalau dah encik rasakan sesuai untuk saya. Kenapa tukar
pula?” soal Dija. “Dah sinonim sangat dah dengan diri saya nama yang comel tu.”
Faheem menjengilkan matanya.
“Tapi, kalau nama Budak Hitam tu tukar jadi Pocahontas pun cantik juga.
Taklah bunyi macam kampung sangat. Macam hebat juga, kan?” ujar Dija dalam
lakaran senyumnya yang melebar.
“Diamlah, budak bodoh!” marah Faheem. “Pocahontas konon!”
“Ingatkan dah insaf !” Dija
tersengih.
“Hey, cakap tu pandang-pandang sikit siapa
orangnya yang kau lawan berkata. Aku ni bukannya suka nak mengalah
dengan kau!” tengking Faheem.
“Ha, kan betul. Takkan encik boleh insaf dalam masa dua tiga hari ni.” ujar
Dija tanpa menghiraukan kemarahan Faheem.
Faheem mahu mengangkat tangan dan melepaskan geramnya ke pipi Dija.
“Lancangnya mulut Budak Hitam ni!” marah Faheem. “Aku lempang karang baru
kau tahu bagaimana penangan seorang lelaki.”
“Bagi ajelah, kalau encik suka sangat nak dera kaum yang lemah. Tak hebat
kalau seorang lelaki tunjukkan kekuatannya terhadap seorang perempuan.” Sindir
Dija. Makin berani pula aku ni. Dija tersengih lebar.
Darah Faheem semakin mendidih. Dia hampir menjatuhkan tangannya ke pipi
Dija. Tapi, tiba-tiba saja dia berhenti. Dia mendengus geram.
Dija sudah bersedia menerima padah. Dia memejamkan mata, ketakutan!
Ikutkan hati, memanglah Dija dilempangnya sekuat hati. Tapi Faheem
mematikan hasrat hatinya. Segera dia teringat akan kata-kata papanya. Bukan
sekadar ucapan, malah berbaur amaran. Berkali-kali papanya melontarkan amaran
keras terhadap Faheem.
Dengan pantas, Faheem menjatuhkan tangan yang sudah diangkat hingga ke tepi
telinga. Dia membujuk hati yang membara. Geramnya dengan Budak Hitam itu!
“PAPA memang tak adil!” protes Faheem sewaktu mereka berdua di dalam kereta
pulang dari pejabat semalam.
Sengaja papanya mahu menumpang kereta Faheem untuk pulang bersama.
Selalunya dia dijemput oleh drebar peribadi, Pak Sahak. Namun, kali ini papanya
terasa ingin bersama Faheem untuk membincangkan sesuatu. Faheem sudah dapat
menduga papanya akan pulang bersamanya bila dia menjenguk ruang parkir papanya
kosong. Pak Sahak tidak muncul sejak tadi.
“Apa yang tak adil ni?” tenang suara Datuk Nik Rasyid. Sengaja buat tenang
walaupun hatinya memang ingin melahirkan ucapan yang keras dan berbaur amaran.
“Takkan kerana Budak Hitam tu, papa nak tangguhkan perlantikan Faheem
sebagai CEO syarikat ni?” dengan berani, Faheem meluahkan kata.
Datuk Nik Rasyid melempar pandang jauh ke luar jendela. Kereta yang dipandu
oleh anaknya itu meluncur laju. Dia tidak menjawab ucapan marah Faheem. Seolah
tidak didengari apa yang telah dilontarkan oleh bibir Faheem.
“Apa istimewa sangat dia tu, papa? Hinggakan anak sendiri papa ketepikan?”
soal Faheem. Benar-benar tidak puashati dengan tindakan papanya yang sanggup
menunda tarikh perlantikannya sebagai CEO di syarikat tersebut.
“Papa paling benci kalau manusia menghina sesama manusia.” Beberapa patah
perkataan Datuk Nik Rasyid mencakar hati Faheem. Tertusuk dengan sindiran
papanya itu.
“Faheem sakit hati pa, dengan sikap bodoh dia tu.” Faheem cuba membela
diri.
“Faheem!” jerkah datuk, marah. Pantang benar bila Faheem menghina orang
lain. Apatah lagi menghina Dija yang sudah lebih sebulan bekerja di syarikat
tersebut walaupun sebagai seorang tukang cuci.
“Memang pun!” Faheem tetap menegak pendapatnya. “Sejak dia masuk kerja
dalam syarikat kita ni, banyak sangat hal terjadi berpunca daripada dia tu,
papa. Takkan itu pun papa tak sedar. Dia tu...”
“Sudah!” marah Datuk Nik Rasyid lagi.
“Tulah papa. Selalu sangat memenangkan orang luar daripada anak sendiri.”
Faheem seakan merajuk. Namun geram dengan sikap papanya itu.
“Sebab anak sendiri lebih teruk perangainya daripada orang luar.” Balas
datuk.
“Papa, jangan bela sangat Budak...”
“Papa dah cakap, jangan sebut nama yang buruk buat dia. Dia ada nama
sendiri. Nama yang mak bapa dia pilih
masa dilahirkan dulu. Kenapa kamu ni suka sangat nak tukarkan nama baik orang
kepada nama yang hina?” soal Datuk Nik Rasyid dengan nada lebih tinggi.
“Ingat kamu tu baik sangat ke? Sudahlah suka berpoya-poya. Tak tahu nak
hormatkan orang langsung. Pentingkan diri sendiri.” Tambah datuk. “Orang macam
ni papa nak serahkan tugas menerajui syarikat?”
Faheem diam. Dengan wajah geram, dia terus memecut.
“Berapa kali papa cakap, papa tak nak kamu sebut nama buruk terhadap dia
atau siapa saja! Tolong hentikan sikap buruk kamu tu. Tolong hentikan sikap
suka menghina orang tu!” datuk bersuara dalam nada yang sangat tegas.
“Memang dia tu hitam, papa!” lancang mulut Faheem melepaskan kata geramnya.
“Tapi nama dia Dija. Bukan Budak Hitam. Pandai-pandai ya kamu bagi nama tu
kepada Dija!” marah Datuk Nik Rasyid lagi.
Faheem terpaksa kuncikan mulutnya buat seketika. Dia memang sangat geram.
“Buruk pada kulit saja. Isinya mungkin lebih manis daripada apa yang kita
nampak!” datuk terus berfalsafah. “Kamu ni, kalau yang cantik bukan main suka
lagi. Kalau yang buruk rupa, mesti kamu tak suka.”
“Macamana Faheem nak sukakan dia tu papa? Hari pertama kenal dah buat hal
dengan Faheem. Takkan papa tak kenal perangai Faheem. Memang Faheem tak suka
dengan orang yang tak tahu nak hormatkan Faheem.” Protes Faheem.
“Kamu sendiri pun bukan tahu hormatkan orang lain. Perangai buruk kamu tu
adalah sombong, bongkak dan tak pernah hormatkan orang lain. Ingat kamu tu
hebat sangat ke, Faheem? ”
“Papa ni...”
“Apa pun, papa tetap akan paksa kamu!”
“Paksa Faheem?”Faheem kehairanan.
“Ya!” tegas datuk. “Papa nak kamu pergi minta maaf dengan Dija. Janji
dengan dia takkan ulangi lagi ucapan buruk kamu.”
“Haa? Faheem yang kena pergi mintak maaf dengan dia?” terherot-herot mulut
Faheem mendengarkan paksaan papanya. Sungguh tidak disangkanya.
“Ya, kamu kena mintak maaf dengan Dija tu.” Tegas Datuk Nik Rasyid lagi.
“Tapi, pa...” Faheem buat muka.
“Tak ada tapi-tapinya lagi, Faheem. Kamu wajib minta maaf daripada Dija tu. Ini perintah
papa!” sergah datuk, geram.
Faheem menepuk dahi. “Tak nak!”
“Papa jugak nak kamu panggil nama Dija bukan Budak Hitam. Kalau papa dapat
tahu kamu sebut nama Budak Hitam, alamatnya tahun ini, kamu tetap takkan pegang
jawatan CEO yang telah papa tawarkan tu.”
Faheem mengeluh kasar. Keretanya terus dipecut. Melepaskan geram yang
tersemat di dada.
“Perlahankan kereta ni. Papa masih belum mahu mati. Kalau matipun, papa tak
nak mati atas jalan raya macam ni.” sindir Datuk Nik Rasyid. “Nanti tak
pasal-pasal, mama kamu jadi janda kalau kita terlibat dalam kemalangan akibat
pecut di jalan raya macam ni.”
Faheem terus diam.
“Haa, macam tulah anak yang soleh. Mudah dengar cakap ibu bapa...” Datuk
Nik Rasyid menepuk bahu Faheem bila dilihat puteranya itu sudah mengurangkan
kelajuannya. Walaupun datuk memang mengerti tentang samudera geram sedang
membadai di hati Faheem.
Faheem tidak menjawab.
“Esok atau lusa, papa nak Faheem mintak maaf dengan Dija.”
Pun Faheem tetap diam.
“Jangan nak hina dia lagi. Jangan marah-marahkan dia. Jangan panggil nama
buruk padanya.” Datuk terus bersuara. Tanpa dihiraukan kemarahan dan
ketidakpuashatian Faheem.
“Kalau papa dapat tahu, Faheem tetap dengan sikap buruk tu,...maaflah, papa
takkan lantik anak yang macam ni jadi
CEO. Sebab papa tak nak seorang pemimpin akan menimbulkan kebencian di hati
setiap pekerjanya.”
Faheem terus memandu.
“Faheem, dengar tak apa yang papa cakap ni?”
Anak muda itu sekadar mengangguk. Nampak di wajahnya dia sangat tidak
berpuas hati dengan amaran dan arahan papanya itu.
Wajah Dija terus terbayang di ruang mata. Gadis desa berkulit hitam likat
itu benar-benar membuatkan dia sakit hati. Geramnya.
Kalaulah ikutkan hati, mahu dilenyeknya Dija biar hancur lebur macam pisang
ditenyeh bersama gandum untuk dibuar cucur. Kemudian, lecurkan pula ke dalam
minyak panas. Biar padan muka hitam legam dia!
Tapi, papanya sudah memberikan amaran keras!
Kalau bukan kerana jawatan CEO yang ditawarkan oleh papanya, sudah tentu
Dija akan menjadi sasaran kemarahan dan kegeramannya.
‘Hisy...kenapalah dengan papa ni. sayang sangat dengan dia tu, papa?”
“Semua pekerja di syarikat papa. Termasuk juga Dija tu.”
“Tapi kenapa papa lebihkan sangat dia tu? lstimewa apa dia tu, pa?”
“Banyak keistimewaannya Faheem. Sebagai orang tua, papa tahu apa
keistimewaan gadis desa itu. Tak ada pada semua pekerja kita kat syarikat ni.”
ujar datuk.
Faheem segera berpaling ke arah papanya. Wajahnya terus berkerut. Dia mulai
buat muka. Tidak senang dengan kenyataan itu. Bagi Faheem, papanya sudah
terlalu melebihkan Dija.
“Dija tu lebih beratus kali ganda keistimewaannya berbanding dengan Rita
yang kamu gila-gilakan tu!” luah Datuk Nik Rasyid.
Faheem terkedu. Namun bara di hatinya semakin berasap. Hatinya semakin
geram terhadap gadis hitam itu.. Meruap dadanya menahan sabar. Entah apa yang
sudah merasuk papanya hingga begitu
sekali dia memuji Dija.