Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Perangkap Cinta
awa
22/1/2022 14:56:13
35,059
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 28

DARA sendiri agak terkejut bila semalam dia berani-beraninya bertanya perihal Emir kepada Atiya. Dia juga diperlihatkan renungan Atiya yang cukup panjang untuk menjawab soalannya. Dara rasa, sudah tiba masanya tidak berselindung. Haris juga masih belum berikan kata putus. Jadi, tak salah sekiranya dia mulakan langkah kanan terlebih dahulu.


Setidak-tidaknya, dia yakin bahawa Emir itu bukanlah lelaki budiman yang dia sangkakan. Lelaki itu hanya berbudi bila memerlukan bantuan kewangan. Boleh tak kalau Dara katakan Emir itu sebenarnya mata duitan?


“Dia dalam pengawasan, Dara…”


Hampir melurut tubuhnya kalau dia tidak bersandar pada dinding lif. Ayat yang baru disebut Atiya itu melemahkan seluruh tubuhnya. 


Sebab itu dia selesa bercakap dengan Atiya. Dalam banyak-banyak orang yang dia kenal, hanya Atiya yang elok bahasanya. Tegurannya juga berhemah. Bukannya penuh dengan kiasan.


“Kenapa?” Soal Dara.


Ya.


Kenapa Emir dalam pengawasan? Dia juga ingin tahu. Belum pernah lagi dia dengar keburukan lelaki ini sepanjang dia bekerja di sini. Ini kali pertama. Sudah tiba masanya dia diperdengarkan semua yang tidak elok tentang Emir. Kelemahan Emir yang dia tidak pernah tahu.


“Dia tu licik, Dara. Apa pun dia lakukan,  tidak akan meninggalkan jejak.”


Kali ini, Dara kumpulkan sedikit kekuatan untuk melihat sisi Atiya. Berat sangat ke jenayah Emir sampai dia digelar licik? Kalau dah sampai tiada jejak langsung, pastinya jenayah Emir itu taraf antarabangsa. Lebih tepat, jenayah Emir itu dirancang dengan sangat teliti.


“Sampai sekarang belum ada bukti…Semua yang pernah menjadi orang suruhan dia, menutup kemas nama dia daripada pengetahuan umum. Mereka lebih sanggup menanggung hukuman demi dia.” 


Memang patut pun Emir digelar licik kalau dah sampai ke tahap jenayah dia gagal dibuktikan.


“Mungkin habuan yang mereka terima lebih lumayan atas kerjasama yang ditawarkan Emir. Siapa tahu.” 


Salah andaian Atiya. Dara tidak pernah menerima sebarang tawaran habuan daripada Emir. Yang dia terima, ayat-ayat dan janji manis lelaki itu. Setakat ini, satu janji pun masih belum ditunaikan Emir.


“Pihak polis pernah tahan Emir sebelum ni.”


Satu lagi pengakuan yang agak mengejutkan Dara. Namun, Dara perlu akui. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua.


“Tak sampai dua puluh empat jam, dia dibebaskan. Tiada bukti yang kukuh. Dan pihak atasan beri arahan supaya membebaskan Emir.”


Besar juga pengaruh lelaki bernama Emir ni. Sampaikan pihak atasan juga terlibat memberi arahan untuk membebaskan dia. Mesti dia ada kena mengena dengan orang kuat yang membolehkan dia loloskan diri dengan mudah.


“Enough about him. Kebenaran akan terungkap kalau betul Emir salah. Atau kami yang salah faham tentang dia selama ini.” Atiya enggan memanjangkan hal tersebut. Dia memandang Dara dengan senyuman.


“Cuma dalam setahun ni, syarikat kerugian hampir setengah juta. Tak tahu ke mana perginya duit tu.”


Sikit lagi rahang Dara tidak mahu mengatup. Setengah juta itu bukanlah angka yang sedikit. Banyak! 


“Tadi saya cakap cukup cerita tentang Emir, tapi banyak pula yang saya ceritakan. Untung rugi syarikat pun saya nak cerita.” Atiya ketawa kecil. Ketika itu juga pintu lif terbuka luas.


“Jom!”


Terasa goyah langkah Dara. Namun dia gagahkan juga demi mengelak curiga Atiya. Sebaik keluar dari perut lif, sangkaan Dara segala-gala perbualan mereka telah tamat. Siapa tahu Atiya yang peramah itu terus-terusan bersuara.


“Hari ni, dah masuk kali ke tiga puluh Haris sampaikan pesan.”


Semangat Dara yang hampir pupus, kembali sebaik mendengar nama Haris. Lelaki yang dia tunggu-tunggukan sejak dari pagi. Dia jadi tidak sabar mendengar apa yang dipesan lelaki itu. Hari Dara terasa sunyi kalau nama Haris tidak dipetik.


“Budak ni memang jenis tak penyabar. Semuanya nak disampaikan cepat.” Kata Atiya lagi dengan kepala tergeleng-geleng. Susah kalau ada perkara melibatkan Haris. Semuanya tidak akan berjalan dengan lancar.


“Dia nak ajak Dara ke rumah kami.” 


Bertingkat-tingkat dahi Dara. Rumah kami? Siapa? Haris atau Atiya? Dara kurang faham di sini.


“Makan malam di sana.”


Ayat ke dua Atiya juga belum mampu menepis semua tanda tanya Dara. Sungguh! Dia masih kurang mengerti. 


Ketika itu, Dara menerima panggilan. Atiya memberi isyarat supaya Dara menjawab terlebih dahulu. Dia akan menunggu.


Dara sengaja berpaling sedikit. Dia malu sekiranya Atiya terdengar setiap perbualan dia.

 

“Dah dapat jemputan?”


Tanpa salam, tanpa mukadimah Haris terlebih dahulu menerjah. Biarpun dia ingin bertanya jemputan apa yang dimaksudkan Haris, namun mulutnya berat untuk bersuara.


“Ikut Atiya. Dinner di rumah kami.” 


Arahan Haris juga sama. Malah cara sebutan dia juga sama persis Atiya. Rumah kami. Ada apa dengan rumah kami?


“Saya nak kenalkan awak dengan papa dan mama saya.” 


Perlahan-lahan Dara geleng kepala. Untuk apa? Bila dia memberi jawapan bahawa dirinya bersetuju untuk menjadi calon isteri lelaki itu? Serasa Dara, dia belum lagi memberi sebarang persetujuan. Sempat dia menilik penampilan dirinya. Haris mahu dia berjumpa dengan orang tuanya dalam keadaan begini? Dengan baru balik kerja, belum mandi, muka penat seharian bekerja dan terus ke acara makan malam?


Maaf!


Dara rasa, dia perlu tolak.


Dia berpaling. Sebaik menyampaikan arahan sebentar tadi, Haris menamatkan terus perbualan mereka tanpa menunggu jawapan daripada pihak dia. Itu tandanya, Dara dipaksa ke sana.


“No thanks, Atiya. Saya perlu balik. Saya dah janji nak hantar mak ke klinik petang ini.”


Rasanya, alasan ini cukup kukuh. Dara tiada cara melainkan melibatkan nama emak. Hanya itu satu-satunya cara Dara menyelamatkan diri daripada terjebak dalam pertemuaan keluarga yang diatur oleh Haris. Ini tidak sepatutnya berlaku.


“Tapi, Haris harap sangat Dara datang. Dia dah beritahu orang tua kami tentang kedatangan Dara petang ni.” Atiya nampak sedikit kecewa mendengar penolakkan Dara.


Kekecewaan Atiya tidak penting baginya. Ada perkara yang sedang memaksa otak dia bekerja lebih keras daripada biasa. Dara sangat penasaran biarpun jawapan sudah terbentang di dalam fikirannya. Dia penasaran dengan hubungan Haris dengan Atiya. Dia penasaran dengan keakraban mereka berdua. Semuanya jadi semakin penasaran bila Atiya menyebut pula orang tua kami. Itu petunjuk yang cukup jelas.


“Haris dengan Atiya…” ayat Dara tergantung. Dia tidak tahu dari mana dia ingin mulakan ayat. Dia perlukan pengakuan. 


“Haris itu adik saya, Dara. Satu-satunya adik lelaki saya.” Akui Atiya tanpa selindung. 


Dara mula mencongak-congak.


Kalau Haris itu adik kepada Atiya, bermakna Haris itu merupakan anak kepada empunya syarikat. Jadi, Tuan Habib itu merupakan papa kepada Haris. Jika Tuan Habib merupakan ayah kepada Haris, jadi Haris mahu memperkenalkan dia kepada big boss? Sebagai apa? Laju gelengan kepala Dara.


“Saya tak tahu pun Haris tu adik Atiya?!” Naik sedikit ton suara Dara. Padanlah Atiya itu sering menjadi orang tengah antara dia dan Haris. 


Atiya juga nampak terkejut dengan pengakuan Dara. Nampak gayanya, dia sudah melakukan kesilapan. Pasti Haris belum berterus terang lagi kepada Dara mengenai hubungan mereka berdua.


Atiya cuba menghampiri Dara bila dia melihat Dara perlahan berundur. Daripada setapak-setapak, kini sudah dua ke tiga tapak Dara membina jarak.


“Sorry Dara…Saya ingat awak dah tahu.” Atiya diserang serba salah. Kalau dia tahu, dia akan tutup mulut dan biarkan Haris sendiri beritahu hal yang sebenar.


“Saya nak balik.” Ini lebih baik. Dia belum bersedia untuk terima jemputan Haris. Lebih tepat, dia belum bersedia bila mendapat tahu bahawa Atiya dan Haris sebenarnya ada pertalian darah.


“Haris macam mana?”


Soalan Atiya berjaya menghentikan langkah Dara. Tidak pula dia berpaling. Dalam keadaan begini Atiya masih berfikirkan Haris? Habis, dirinya? Kenapa tiada sesiapa pun ceritakan hal ini kepadanya?


Lambat-lambat dia memandang Atiya. Dia benci melihat kekecewaan diwajahnya. Kecewa di hatinya? Siapa yang nampak? 


Namun semua persoalan perlu Dara tepis jauh-jauh. Bila difikirkan semula, dia tidak punya hak untuk mempersoalkan hal itu. Dia bukannya sesiapa pun. Anggap saja hubungan Dara dan adik beradik ini lebih kepada hubungan majikan dan pekerja.


Perlahan-lahan Dara melorek senyuman terpaksa. Dara tahu apa perlu dia katakan.


“Haris boleh jemput Umairah gantikan tempat saya.”


Dara nampak betapa terkejutnya Atiya ketika dia menyebut nama itu. Bahkan, Atiya menghampirinya. Lengannya disambar.


“Dara tahu pasal Umairah?” 


Tak! Dia tak tahu tentang Umairah. Dia hanya tahu nama bekas tunang Haris. Jerit hati Dara.


Umairah yang selayaknya menerima jemputan tersebut. Tak perlu mereka beritahu, Dara sudah dapat mengagak apa motif utama makan malam tersebut diadakan. Awal-awal Dara sudah siap sedia untuk menolak apa pun cara Haris untuk memperisterikan dia.


“Saya tak rasa itu pilihan yang tepat, Dara. Kalau awak nak Umairah yang menggantikan awak untuk makan malam bersama keluarga saya, awak sedang jemput sekali kemarahan Haris.”


Dara pandang muka Atiya. Wajah Atiya yang serius, Dara tatap dalam-dalam. Takkan Atiya tak faham-faham lagi? Haris mengaturkan pertemuan keluarga, sama maksud Haris ingin memperkenalkan bakal isterinya kepada keluarga mereka. Dara bukanlah pilihan yang tepat.


“Tak semestinya makan malam bersama keluarga hanya untuk diperkenalkan sebagai isteri. Boleh jadi sebagai kawan saya. Atau kawan Haris.” 


Ayat-ayat Atiya, menghapuskan semua andaian Dara. Barulah ketegangan diwajahnya kian beransur. Dia yang terlalu berfikiran sempit. Dia yang terlalu fikir yang bukan-bukan. Memang Haris sering momokkan dia dengan ayat bakal isteri. Siapa tahu kalau Haris itu benar-benar atau hanya bercanda. Mungkin juga sekadar mahu menakut-nakutkan dirinya.


Kalau bukan Umairah tidak muncul, rasanya, Dara pasti akan gembira walaupun sedikit. Namun dia sedar akan dirinya. Dia tidak layak untuk bersama Haris. Lelaki itu sangat sempurna dimata wanita. Tidak sesuai untuk berdamping dengan dirinya yang bercabang-cabang kelemahannya.


Ketika Dara hanyut dengan emosinya, dia perasan Atiya sudah diam. Tangannya yang kemas memaut lengannya juga kian longgar. 


“Adik saya memang tak pernah salah. Dia selalu betul. Baru sebentar tadi dia kata saya tak akan berjaya memujuk awak ke rumah kami.”


Salah fikiran Atiya. Dara bukanlah anak kecil yang perlu dipujuk. Dia hanya sedar diri. Dan tidak layak untuk menerima jemputan makan malam bersama orang yang ada-ada seperti mereka.


“Sebab tu saya di sini, Dara…Saya datang sendiri nak jemput awak ke rumah orang tua saya.” 


Dara tidak boleh mengelak lagi bila suara yang dia tunggu-tunggukan telah pun muncul di belakangnya. Tadinya, dia sangat yakin kalau Haris itu tidak akan munculkan diri. Dan seperti selalu, keyakinan dia sering dibadai tsunami. Malah, kemenangan tidak pernah berpihak kepadanya. 


Tak perlu Dara menoleh, dia sudah dapat merasakan bahang lelaki itu yang menghampiri dia.


“Remember what I say…Tiada yang percuma dalam dunia ni.” Bisik Haris. 


Bisikan Haris itu hanya mengejungkan seluruh tubuh Dara. Mana tidaknya, Haris sedang mengungkit!


“Kerjasama kita akan terjalin kalau awak tunaikan apa pun permintaan saya, bukan?”


Dara teguk liur dua kali. Dia takut untuk mendengar permintaan Haris. Dia takut Haris akan mengambil kesempatan untuk memaksa.


“Sound good!” Sebut Haris lagi. Bohonglah siapa tidak tertarik dengan tawaran Dara.


“Behave, Haris…” Atiya menegur bila Haris itu seperti mahu menerkam saja Dara. Dia tahu Haris pandai menjaga batas, namun dia lebih risaukan keadaan Dara yang jelas-jelasnya lebih terkejut.


“Tapi saya bukan lelaki yang suka memaksa dan ambil kesempatan. Jadi, tolong buang semua perkara negatif dalam kepala awak tu.” Haris sudah mundur selangkah. 


“Saya akan bantu awak kalau awak percaya saya seperti mana saya percayakan awak.”


Dara pusingkan tubuhnya. Dia inginkan kepastian ayat itu yang meluncur dari mulut Haris. Dia sangkakan, Haris akan menggunakan kesempatan ini. Mungkin memaksa dia menjadi isteri lelaki ini seperti yang dimomok-momokkan Haris selama ini. Atau Haris akan menggunakan kesempatan untuk memaksa dirinya makan malam dirumah orang tuanya. Dara salah lagi dalam menilai Haris.


“So…Shall we?” 


Baik.


Dara akan turut kehendak Haris untuk kali ini. Dia akan menuntut penjelasan Haris selepas ini. Dia akan pastikan dia punya hak untuk bersuara. 


Dia akan pastikan semua soalan dia dijawab oleh Haris!


Tanpa kata, Dara melangkah. Meninggalkan adik beradik ini jauh di belakang.


“Sorry…Dara dah tahu kita adik beradik. Akak ingat Haris dah berterus terang.” Jujur Atiya ketika berpampasan dengan Haris.


Haris merenung belakang Dara. Padanlah merah-merah muka Dara. Gadis itu marahkan kerana hal ini.
































Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.