Home Novel Keluarga Rayyan Ooo Rayyan (Ebook I Love You 3000 Edisi Raya)
Rayyan Ooo Rayyan (Ebook I Love You 3000 Edisi Raya)
nurshaza
27/9/2021 16:59:58
730
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
ROR 5

"WEH, jauhnya kau termenung. Ingatkan bini dekat sana ke?" sergah Daffa sebaik saja dia menghenyakkan punggung di sebelah Rayyan.

Rayyan hanya mengerling Daffa seketika. Dia memang tak berminat langsung dengan Si Daffa ni. Entah macam manalah, anak-anak dia boleh ngam dengan Daffa tu tak sampai beberapa minit saja. Sama juga macam Raihana. Mudah sangat rapat dengan Daffa. Dia yang cemburu sangat ke macam mana sekarang ni? Aduh...

"Hoi! Aku tanya kau ni. Boleh pula kau tak layan aku? Kau ada masalah ke apa sebenarnya?"

Rayyan berdecit. Apa masalah mamat ni? Suka sangat kacau keamanan dia. Dia baru aje nak duduk bersantai dekat halaman belakang rumah ni. Nak ambil angin segar. Sudahlah penat, baru saja lepas mengemas dapur.

"Tak ada apa-apalah. Aku penat sebenarnya. Kau nak apa?"

Daffa menggelengkan kepala.

"Lama betul kau bersantai dekat luar rumah ni. Sampai anak-anak kau panggil pun, kau tak layan. Nasib baik ada aku yang boleh tolong kau. Parah sangat kau ni rindukan Si Hana tu. Sekarang ni, dah pukul 6:45 petang. Juadah berbuka puasa untuk hari pertama ni satu haram apa tak buat lagi? Aku baru aje siapkan empat orang anak kau tu. Kurus aku macam ni."

Rayyan tersentak. Cepat-cepat dia mendongak ke langit. Sah! Memang dah waktu senja sekarang ni. Ya Allah, apa dia dah buat ni? Kenapa dia tak boleh tersedar langsung?

"Ke... kenapa kau tak panggil aku awal-awal?" Rayyan mula menggelabah. Baru saja Raihana pergi meninggalkan dia. Begini rupanya sampaikan anak-anak terbiar. Ini kalau anak-anak beritahu si ibu, memang habis dia dikerjakannya.

"Aku nak panggil macam mana. Yang sorang tu bergaduh. Yang sorang tu nak terberak. Rauf dengan Raisha panggil kau, kau cakap nanti. Last-last dia orang panggil aku. Nak buat macam mana?"

Rayyan meraup wajahnya. Parah! Memang sah dia dah parah sekarang ni! Cepat-cepat dia berlari ke dapur. Bahan-bahan yang berada di dalam peti sejuk dikeluarkan. Dia buntu sekarang ni. Nak masak apa? Sepatutnya tadi, dia dah ada idea nak masak apa. Sekarang, semuanya lesap! Entah apa yang dia fikirkan pun, dia sendiri tak tahu.

"Ayah... nak..."

"Rauf! Please, jangan kacau ayah! Ayah dah lambat nak siapkan juadah berbuka." Tanpa sedar, Rayyan meninggikan nada suaranya kepada Rauf membuatkan anak sulungnya itu terdiam.

"Maaf, ayah." Rauf berlalu ke ruang tamu semula meninggalkan Rayyan yang sedang berperang di dapur. Siapa yang datang ke dapur itu, semua dimarahnya. Daffa pun kena marah sekali. Mood Rayyan memang kacau-bilau sekarang ni. Hanya kerana merindui Raihana.

"Uncle, rasa-rasa sempat ke ayah nak masak tu? Kesian Rauf tengok."

Daffa melepaskan keluhan. Dia mengeluarkan iPhone 11 miliknya. Aplikasi Foodpanda dibuka kemudian mencari restoran yang masih lagi menerima tempahan untuk juadah berbuka nanti.

"Kalau kita order saja dekat Foodpanda, agak-agak sempat tak?" soal Daffa kepada Rauf.

"Insya-Allah sempat rasanya, uncle. Pilih restoran yang dekat-dekat sini saja."

Daffa angguk. Segera dia memesan beberapa jenis makanan untuk mereka makan bersama ketika berbuka puasa nanti. Rauf mengangkat punggungnya lalu mendekati ayahnya yang sedang memasak di dapur. Tengok gaya memang tak sempatlah tengok Si Rayyan ni masak. Semuanya masih mentah lagi. Buat makan sahur nanti bolehlah.

"Ayah... maaf Rauf menganggu. Ayah, Rauf rasa tak sempatlah ayah masak. Kesian ayah rushingUncle Daffa dah order makanan untuk kita. Ni nanti kita buat sahur sajalah, ayah."

Secara automatik menyirap darah Rayyan mendengar nama Daffa disebut oleh Rauf. Memang dah tak ada nama lain ke? Senduk yang berada di tangan dilepaskan kasar sehingga berbunyi kuat di dalam kuali. Rauf terkejut. Secara spontan, dia mengundur ke belakang setapak. Tak pernah-pernah dia tengok ayahnya sebegini.

"Asyik-asyik Si Daffa tu. Dari kat mall tadi ayah dah dengar korang dok syok sangat sebut nama dia. Apa dia hebat sangat ke daripada ayah? Ayah masak sekejap aje. Ayah goreng nasi. Korang nak makan apa sebenarnya sampaikan dia order?"

Rauf mengerling ke arah kuali. Nasi goreng yang dikatakan oleh Rayyan hampir siap. Dia fikirkan ayah dia tak sempat masak dengan keadaan kelam-kabut macam tu.

"Maaf, ayah. Rauf ingat ayah tak sempat masak sebab kelam-kabut tadi. Rauf yang..."

"Rauf yang suruh Daffa tu order?"

Perlahan-lahan Rauf menganggukkan kepalanya. Rayyan bengang. Kuali tadi diangkat kemudian diletak kasar di dalam singki. Terkejut Rauf dibuatnya.

"Ayah, jangan buang. Maafkan, Rauf. Rauf cuma kesiankan ayah." Air mata Rauf sudah bergenangan. Sungguh dia tak ada niat mahu mengecilkan hati ayahnya itu. Dia cuma kasihan melihat ayahnya yang kelam-kabut ketika memasak.

Rayyan mendengus sebelum kaki naik mendaki tangga untuk masuk ke dalam bilik. Rauf memanjat bangku kecil lalu kuali yang berada di dalam singki diangkat dengan penuh berhati-hati menggunakan kain. Daffa yang dari tadi memerhati segera membantu Rauf. Raisha pula disuruh oleh Daffa, untuk menjaga adik-adiknya.

"Kejap lagi makanan yang uncle order tu nak sampai. Rauf hidangkan apa yang patut dekat atas meja, ya?"

Rauf menganggukkan kepalanya. Air mata yang hampir saja mahu jatuh, diseka laju. Dia rasa serba-salah dengan ayahnya. Baru saja dia mahu bergembira dengan ayahnya hari ini. Mahu berbuka puasa bersama-sama. Alih-alih begini pula jadinya. Tak pernah-pernah ayahnya marah sampai begitu sekali walaupun dulu Rayyan penat bekerja dan sering balik lewat malam.

AZAN Maghrib sudah berkumandang. Rayyan masih lagi tidak turun ke bawah. Doa berbuka puasa dibaca oleh Rauf kemudian diikuti dengan adik-adiknya serta Daffa. Mata Rauf tidak berhenti mengerling ke arah tangga. Dia berharap sangat yang Rayyan akan turun menikmati juadah berpuasa bersama mereka untuk hari pertama.

"Abam... yayah mana?" soal Rais kepada Rauf.

"Yayah nanak makan dengan kita ke?" Giliran Rizq pula menyoal.

Raisha hanya memandang kosong ke arah Rauf. Daffa pula rasa serba-salah kepada anak-anak buahnya. Adakah kehadiran dia membuatkan Rayyan terasa hati? Lagipun budak-budak ni tak habis-habis nak rapat dengan dia. Bukannya selalu dia balik ke Malaysia. Tak akanlah Rayyan masih lagi benci dekat dia pasal hal budak-budak mereka dulu? Yelah, dulu dia selalu mendapat pujian tinggi daripada saudara-mara. Rayyan pula asyik kena sindir saja. Haih...

"Tak apalah. Biar uncle panggil, ya."

"Tak payah. Aku dah turun. Kau tak payah nak acah baik sangat depan anak-anak aku. Dulu saudara-mara bolehlah kau bolot semua. Ni anak-anak aku. Tak mudah kau nak tarik hati dia orang," sindir Rayyan sambil melabuhkan punggung di sebelah Rauf.

"Ayah, Rauf minta maaf."

Rayyan terdiam seketika. Entah kenapa dia biarkan saja ego menguasai dirinya. Ego yang dulunya pernah dia sanjung sehingga dia hampir saja kehilangan semuanya termasuklah Raihana. Tapi, sekarang ni? Salahkah dia berkecil hati dengan anak-anaknya yang melebihkan Daffa daripada dia?

"Buat apa minta maaf dekat ayah? Korang kan semua suka dekat uncle kesayangan korang tu. Duduklah dengan dia. Ayah ni siapa jelah. Asyik sibuk dengan kerja sajakan? Uncle Daffa tu baru aje balik Malaysia, senang betul korang rapat dengan dia. Dengan ayah langsung..." Rayyan menggelengkan kepalanya. Langsung dia tak pandang anak-anaknya. Tangannya ligat mencedok nasi goreng yang digorengnya sendiri tadi ke dalam pinggan.

Semua hanya mendiamkan diri. Daffa agak tersentap dengan kata-kata Rayyan. Betullah tekaan dia. Rayyan masih marahkan dia pasal kisah lalu. Tak apalah. Mungkin dia tidak ada di situasi Rayyan ketika itu. Tapi sungguh, dia mahu berbaik-baik dengan sepupunya ini. Cukuplah dia merantau seorang diri di negara orang. Sudah sampai seruannya untuk pulang ke sini. Bolehlah dia rapat dengan saudara-maranya semula terutamanya Rayyan. Satu-satunya sepupu lelaki yang dia ada.

"Isk... isk..."

Daffa mengangkat wajahnya saat terdengar bunyi tangisan seseorang. Dipandangnya ke arah Rauf tapi bukan anak itu yang menangis. Pandangannya beralih pula ke arah Raisha. Anak itu sedang menangis teresak-esak sambil menyuap isi ayam ke dalam mulutnya. Berjurai-juraian air mata Raisha.

"Icha...," panggil Rauf dengan niat mahu memujuk. Dia tahu yang adiknya terkesan dengan kata-kata ayah mereka sebentar tadi. Raisha ni perangainya memang sebiji seperti ibu mereka. Hati tisu.

Rayyan memandang Raisha. Ditenungnya air mata anak itu yang berjuraian lebat. Timbul rasa serba-salah di dalam hatinya.

"Icha, jangan menangis depan rezeki. Kan ibu dah ajar...," ujar Rauf dengan nada lembut.

"Isk... isk..."

"Icha sayang ayah. Icha rindu ayah. Icha rindu ayah suap Icha makan macam dulu-dulu. Ayah janganlah cakap macam tu..." Raisha mengongoi. Tangannya tetap menyuap isi ayam ke dalam mulut. Dalam pinggannya hanya ada seketul ayam. Dari tadi dia menunggu saat berbuka puasa, mahu meminta Rayyan menyuapnya. Alih-alih ayahnya angin satu badan pula. Anak manalah yang tak sedih?

Rayyan mengetap bibirnya. Pandangannya dibuang ke sisinya. Tidak mahu memandang ke arah mereka. Silap diakah? Kenapa hati dia sakit melihat anak perempuannya itu menangis? Tiba-tiba saja, bayangan silam di mana Raihana menangis kerana perbuatan kejamnya melintasi kotak fikirannya membuatkan hatinya semakin sarat dengan perasaan serba-salah.

"Ray, aku minta maaf kalau buat kau terasa sebab budak-budak ni rapat dengan aku. Tapi, dia orang ni tak salah apa-apa. Aku yang suka main dengan dia orang. Dia orang tak nak kacau kau masih kau dekat luar tadi. Tapi, Icha berulang kali dari ruang tamu ke halaman belakang sebab nak dengan kau. Kau pula macam layan endah tak endah. Jangan salahkan dia. Kesian dia. Dia tunggu waktu berbuka puasa sebab dia nak kau suap dia."

Rayyan tidak menjawab. Perlahan dia mengangkat punggung sambil membawa pinggan berisi nasi goreng tadi lalu duduk di sebelah Raisha. Daffa, Rauf, Rais dan Rizq hanya memerhati saja.

"Shh... ayah minta maaf. Jangan menangis lagi, sayang," bisik Rayyan pada Raisha. Dia menyeka air mata masih lagi mengalir laju di pipi gadis kecil itu.

"Makan, ya. Ayah minta maaf..."

Raisha memeluk tubuh ayahnya sambil menganggukkan kepala.

"Nah, makan. Ayah suap..."

Raisha ngangakan mulutnya lalu mengunyah nasi goreng yang disuap oleh Rayyan. Perlahan bibirnya mengukir sebuah senyuman.

"Sedap ayah masak..."

Rayyan tersenyum kecil. Memang tak patut dia buat anak dia macam ni. Ikutkan sangat ego. Akhirnya, sendiri yang rasa bersalah. Dengan budak-budak pun nak terasa hati.

Rayyan ooo Rayyan...


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.