Home Novel Cinta NIKAH GANTUNG
NIKAH GANTUNG
Thira Jono
8/4/2020 02:52:45
321
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

KHALIF melabuhkan punggung ke atas sofa saat mama dan papanya duduk berdua sambil menonton televisyen di ruang tamu.
Jika Khalif tiba-tiba mendapatkan tempat bersebelahan mama, itu bermakna ada perkara yang ingin dia bincangkan.

"Uncle Hadad setuju tak nak kahwinkan anak dia dengan Khalif?" belum sempat panaskan punggungnya yang baru saja dilabuhkan, dia sudah bertanya rakus. Dato Khalid terus tersentak. Lelaki itu menghembus nafas berat.

Hampir setiap hari Khalif akan bertanya hal yang sama sehinggakan Dato Khalid sendiri tidak mampu nak menjawab. Penat.

"Dato Hadad masih perlukan masa untuk buat keputusan. Sabarlah." berubah garang wajah Khalif bila Dato Khalid balas begitu. 

Sabar?

Sampai bila dia perlu bersabar?

Dia memang tidak boleh terima jawapan begitu.

"Mana boleh macam itu. Orang nak Hayfa Hanan setuju dengan lamaran orang!" tegas Khalif. Dia mencerlung tajam. 

Datin Zara terkejut mendengar teriakan si anak. Nak buat perangai lagilah tu menjerit tak tentu pasal!

"Kalau dia tak setuju macam mana? Cinta ni tak boleh dipaksa. kamu masih muda, umur kamu tu baru 24 tahun tau? Jangan beria-ia sangat nak terkejarkan anak Hadad tu sampai kamu memalukan diri sendiri. Nampak terdesak!" ngomel Datin Zara. Dia tak boleh biarkan Khalif jadi biadab begini hanya kerana seorang gadis.

"Khalif nak Hayfa! Khalif tak mahu orang lain jadi isteri Khalif." Wajahnya berubah marah tangan pula sudah mengetuk meja berulang-kali tanda dia memprotes. Dia merenung tajam ke wajah Dato Khalid yang masih tayang wajah polos.

"Kalau kita aje yang beria, benda ini takkan menjadi. Kita perlu tunggu keputusan dari pihak belah sana." sambung Dato Khalid masih tenang.

"Apa benda ni Papa. Sejak kami kecil lagi, papa dengan mama nak jodohkan orang dengan dia. Jadi apa salahnya kalau sekarang ini papa dan mama teruskan niat untuk jodohkan kami. Jangan sibuk nak tunggu keputusan dari Hayfa. Kalau dia tak bersetuju macam mana?"  balas Khalif dalam keadaan marah. Datin Zara menggeleng kepala bila sepasang matanya melihat Khalif begitu.

Kenapalah tak reti nak bersabar?

"Mama tak tahulah apa masalah anak mama ni sampai tergesa-gesa nak berkahwin. Apa yang istimewanya Hayfa sampai kamu tak mahu orang lain hadir dalam hidup kamu?" Giliran Datin Zara pula meninggikan suaranya.

"Mama dan papa tahukan apa perasaan orang dekat anak Dato Hadad. Sekarang ini dia dah habis sekolah, jadi orang nak ikat dia jadi isteri orang supaya dia tak terlepas ke tangan orang lain." luah Khalif. Desperate.

sudah lama dia memendam perasaan terhadap si gadis. Tatkala dia mendapat tahu yang si gadis sudah menamatkan zaman persekolahan, dia terus memikat hati Hayfa Hanan dengan pelbagai cara. Tapi malangnya, cara untuk dia membeli jiwa Hayfa sedikit terdesak. Caranya membuatkan Hayfa menjadi tidak selesa.

Terlalu mendesak dan membosankan.

"Jangan terikutkan sangat perangai obses kamu tu boleh tak? Bahaya tau kalau kamu terlalu berharap dengan budak tu. Banyak lagilah bunga dekat dunia ini! Bukan dia seorang aje yang wujud. Kita ni orang ternama, tak akan nak kejarkan satu bunga kalau dia dah tak nak." 
Semakin membara panas di dada Khalif bila Dato Khalid kata begitu.

"Masalahnya hari tu orang dah jumpa dengan Dato Hadad dan tanyakan dia tentang hal ini. Dato Hadad pun dah bersetuju kalau orang masuk meminang anak dia. Jadi apa salahnya." 

Dia tetap inginkan Hayfa.

"Papa dia bersetuju dengan keputusan kamu. Tapi anak dia setuju tak nak jadi isteri kepada Khalif Khalid? hal kahwin ni bukan boleh bawa main." Dato Khalid buat ayat menduga.

"Orang nak dia juga yang jadi isteri orang. Kalau dia tak jadi isteri orang, sampai bila-bila pun orang tak nak berkahwin tau. Biar papa dengan mama tak ada cucu," tutur Khalif nada keras seraya dia menendang meja sebelum berlalu pergi.

Selagi Khalif tak dapat apa yang dia inginkan, selagi itulah dia mendesak.

"Apa kita nak buat ni abang? Khalif tu melampau. Haih, selagi dia tak dapat selagi itulah dia mendesak kita untuk dapatkan apa yang dia nak." 

Pening kepala Datin Zara dibuatnya.

"Biarlah dia tu. Saya malaslah nak layan perangai dia. Khalif tu bukan budak kecil lagi tau? dia tu dah besar. Bebird pun dah berbulu. Awak tu tak payah manjakan dia sangat." 




HAYFA Hanan teresak-esak menangis setelah dia mendengar segala penjelasan dari bibir Hadi.

Sungguh! Dia tak menyangka yang papa akan buat keputusan begini. Malamnya mula bertemankan air mata.
Hadi pula bagai terperangkap di tengah lautan dalam hal ini.
Wajah adiknya mula ditatap dengan riak simpati.

"Kenapa papa nak paksa adik untuk berkahwin sedangkan adik ni masih belajar. Tolonglah cakap dengan papa jangan paksa adik macam ini. Sumpah, adik tak nak berkahwin lagi. Adik nak bebas dengan dunia adik sendiri. Adik tak mahu beri komitmen sebagai seorang isteri." luah Hayfa Hanan sebak. Kepalanya mula disandarkan ke bahu Hadi. Emosinya bercampur baur menjadi satu.

"Ya adik. Abang faham perasaan adik. Dah banyak kali abang beritahu papa yang adik nak gapai cita- cita adik sebelum berkahwin tapi papa tetap tak faham dengan apa yang cuba abang sampaikan dekat dia. Papa tetap nak adik berkahwin dengan anak Dato Khalid." Makin merengek Hayfa bila Hadi kata begitu.

Apa istimewanya Khalif sehinggakan papa sanggup buat dia begini?

Kenapalah dia perlu berkahwin dalam usia muda begini?

Kenapa papa sibuk nak jadi bapa dalam drama yang suka memaksa anak mereka berkahwin?

Ergh, tak faham!

"Adik tak mahu berkahwin dengan dia. Adik tak sukakan dia. Adik menyampah dengan Khalif tu." Hayfa berteriak geram. Tertekan dengan keadaan.

Hayfa terlalu rimas dengan desakan yang sering Khalif lakukan saat mereka berdua sedang berkomunikasi. Desakan itu membuatkan fikirannya semakin berserabut.

Tak cukup dengan mesej desakan ajak bercinta. Sekarang ini dia sibuk pula nak gunakan papa untuk dapatkan jiwa insan bernama Hayfa Hanan.

"Adik tahu kan yang dia suka kan adik dari dulu? abang pun tak tahu dah nak cakap apa sekarang ni." Hadi mencemik.

"Adik tak mahu berkahwin dengan Khalif! Sampai mati adik tak mahu," tuturnya mukhtamad. Suara Hayfa separa teriak. Dia lepaskan emosi geram dan sakit hati.

"Papa ada berikan syarat dekat abang. Dia kata kalau abang tak mahu adik berkahwin dengan Khalif, abang perlu carikan calon suami untuk adik dalam masa sebulan ni. "
Satu lagi kejutan yang diterimanya. Hayfa tepuk dahi.

Dalam masa sebulan?

Penjelasan Hadi bukannya dapat menyelesaikan masalah yang sedang melanda, tetapi kepala otak Hayfa rasa semakin sarat dengan masalah.

"Jadinya adik tetap perlu berkahwin juga, kan? Sekarang ni adik tak nak berkahwin! Adik nak hidup bebas dan Adik masih tak mahu serabutkan kepala otak adik untuk fikirkan hal suami. Mencintai dan dicintai bukanlah matlamat utama adik dalam kehidupan." Hayfa Hanan menerkup wajah dengan bantal. Dia mula merengek kecil.

Perasaan sedih, kecewa, sakit hati.
Semuanya telah menjadi satu.

"Kalau abang tak tunaikan permintaan papa yang ini, dia akan kahwinkan adik dengan Khalif. Papa tu wali, dia ada hak untuk suruh adik berkahwin dengan lelaki pilihannya," meleret Hadi memberitahu.

 Argh, masalah utamanya dia memang tak mahu libatkan diri dalam hal ini.

Faham tak wahai dunia…

"Ya Allah kejamnya papa ni." Hayfa Hanan mengetap bibir. Suaranya mula berubah serak.

"Abang pun tak fahamlah kenapa dalam banyak-banyak lelaki yang ada dalam dunia ini, anak dato gatal tu juga yang dia nak jodohkan."  Hadi merengus kasar.
Kemudian, dia pantas mengerling riak wajah yang masih bersedih.
Mindanya mula teringatkan nama seseorang. Hadi rasa sudah tiba masanya dia memberitahu hasrat hatinya.

"Kalau abang nak jodohkan adik dengan Abang Hafiy adik setuju tak?" Hadi memberi cadangan yang dia rasakan itulah antara cadangan yang terbaik boleh dilaksanakan.

Mata Hayfa Hanan membulat besar. Rasa nak terkeluar biji mata.

"Gila ke abang ni?" dia masih membeliakkan biji mata. Hadi sedikit gerun bila adiknya mula menengking.

"Hafiy aje calon yang paling sesuai untuk adik." Hayfa memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba sahaja dia terasa pening. Otaknya berserabut dan sebenarnya dia perlukan ketenangan.

"Hafiy? Tak akan dia calon yang paling sesuai? Dia tu dah anggap adik ni macam adik dia " perasaan Hayfa ketika ini semakin berkecamuk. Dia semakin rasa tak tenang dengan masalah yang dia hadapi sekarang ini.

Hayfa ingatkan bila cuti semester begini,  bolehlah Dia duduk tenang di rumah. Rupa-rupanya tidak.

"Okeylah macam ini, apa kata abang akan merayu dekat Hafiy supaya berkahwin dengan adik.  Nikah je pun tak apalah kalau masing-masing tak mahu bersanding." Hayfa melopong lagi. Ini dah kes berat. Nahas, kalau papa tahu! Hatinya berdetik.

"Adik tak ada jawapan." itu saja yang mampu dia ungkapkan.

Hayfa tak mampu berfikir lagi.

"Adik dan dia beenikah seperti biasa. Tapi kita buatlah perjanjian supaya dia tak ganggu privasi adik dan adik tak ganggu hidup dia. Kalau rasa perkahwinan ni menyusahkan, adik tak payahlah bersanding." Hayfa tarik nafas berat sebelum mengutarakan balasan katanya.

"Mana boleh macam tu. Adik ni perempuan tau? adik ada impian dalam perkahwinan adik sendiri."
Hadi mula diburu rasa bersalah bila melihat tangisan si adik yang masih tidak henti di sisinya.

"Apa kata adik dengan Hafiy nikah gantung dulu? Selepas tamat pengajian baru kita buat majlis persandingan. Dalam tempoh nikah gantung tu, adik tak payah duduk sebumbung dan dia tak payah sentuh adik. Cuma abang nak adik dengan dia berstatus suami isteri. boleh?" 

Cadangan yang makin tak masuk akal! 

Kalau dah nikah dan cukup syarat tak perlu kut nak nikah gantung.

"Nikah gantung? Abang ni tak bersekolah ke dulu? Abang tahukan yang nikah gantung tu tak ada dalam Islam? kenapa abang nak ikut?" berkerut seribu dahi Hayfa.

Hadi mengetap bibir. Dia tahu tentang hal itu. Bukannya dia tidak belajar agama. Malah sejak kecil lagi dia diajar tentang peraturan agama.

"Abang tahu benda itu, tapi abang rasa terpaksa sebab abang tak mahu adik abang berkahwin dengan anak orang tua gatal tu. Kalau adik tak bersedia untuk jalankan tanggungjawab sebagai isteri Hafiy, apa salahnya kita buat syarat tu dulu. Nanti bila adik dah bersedia nak duduk dan tidur sekali dengan Hafiy barulah syarat nikah gantung tu kita batalkan. Boleh?" Panjang lebar Hadi menjelaskan tujuan dia adakan syarat itu.

Lama Hayfa berfikir sebelum memberi jawapan. Dia pejamkan mata untuk mencari kekuatan.

"Adik sebenarnya tak berani nak ambil risiko. Adik tak pernah terfikir untuk berkahwin dalam waktu terdekat ni."
Dia sebenarnya tidak mahu mana-mana lelaki sibuk bertamu dalam hati. Hayfa mahu fokus dengan pelajarannya.

Sungguh! Hayfa bercelaru samada mahu terima atau tidak! Tiba-tiba ingatannya melayang jauh.

"Please! Setuju dengan cadangan abang. Mungkin ini pilihan terbaik yang kita ada." suaranya separa merayu.

"Kalau abang rasa itu pilihan yang terbaik untuk kita, adik bersetuju. Adik rela jadi isteri kepada Abang Hafiy."

Sekarang ini, Hayfa pasrah dengan segalanya. Hatinya lebih rela memilih Hafiy berbanding Khalif. 

sekurang-kurangnya dia memang kenal sikap dan peribadi lelaki itu.

Walaupun dia menangis sedih, walaupun dia menangis pilu, jika itu keputusan yang terbaik dari abangnya dia rela menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dia cintai.





HAYFA terus memeluk erat tubuh Yaya. 
Malam ini dia minta sahabat baiknya itu untuk tidur bersama.  Hayfa masih dalam dilema. Dia mahu meluahkan segala kesedihan.

"Yaya, Aku tak nak kahwin. Aku nak kejar kerjaya aku yang masih belum aku capai. Kenapa papa aku buat aku macam ni?" Yaya terus mengusap tubuh kawan baiknya itu. Sebak dada melihat tangisan sendu Hayfa.

Sungguh! dia faham perasaan Hayfa ketika ini.

"Allah tahu yang terbaik. Allah tahu engkau mampu hadapi ujian dari dia. Engkau kena yakin yang Allah akan hadirkan kebahagiaan dekat diri engkau selepas dia hadirkan ujian." Yaya cuba menenangkan Hayfa dengan menyampaikan kata-kata positif.

Dia sebenarnya turut bersedih melihat keadaan Hayfa begitu.

"Kenapa papa aku tak pernah nak faham anak-anak dia? Kenapa aku lahir dalam keluarga yang pentingkan kekayaan? Kenapa papa aku selalu pentingkan diri? Dia langsung tak mahu faham anak dia."

Luah Hayfa panjang lebar dalam esakan sendu. Semakin kuat esakan tangisan Hayfa semakin hati Yaya menjadi sebak.

"Lagi bagus agaknya kalau aku jadi anak orang kampung. Tak payah sibuk nak fikir status keluarga. Tak payah sibuk nak jadi korban semata-mata nak selamatkan perniagaan keluarga. Aku yakin papa aku nak aku berkahwin dengan Khalif disebabkan kerjasama dia dan Uncle Khalid."

Bukan setahun dua dia mengenali papanya. Dia tahu yang Dato Hadad seorang manusia yang sanggup buat apa saja demi mencapai hasratnya untuk lebih maju dalam urusan perniagaan. Dato Khalid bagaikan lubuk emas buatnya.

"Mungkin papa kau ada sebab dia yang tersendiri. Dia tu papa engkau, dia mesti nak yang terbaik untuk kau." Hayfa menggeleng.

Kalau nak yang terbaik, papa tak akan pilih jalan yang salah buatnya.

Papa kejam! Papa jahat...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Thira Jono