Home Novel Cinta G H A Z I
G H A Z I
Chryst
28/11/2020 13:38:42
2,579
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

   "ALAHAI, Ghazi... Kau tahu tak betapa berharganya perempuan tadi? Nampak yang dia berminat dengan engkau" bebel Hijjaz sambil tangannya memegang stereng kereta. Ghazi di sebelah dikerling dengan ekor mata. 

Lena. Lelaki itu sedang dibuai lena. Ceh. 

Penat-penat dia membebel di sini, Ghazi boleh tidur. 

     "Kalau kau suka sangat... Kenapa tidak kau saja yang pergi mengorat dia?" omel Ghazi. Walaupun perlahan, dia pasti Hijjaz dapat menangkap butir bicaranya.

    "Itu lah masalahnya, Dia tidak mahukan aku. Dia sukakan kau!"

Membulat mata Ghazi. Baru jumpa sekali, sudah jatuh suka? Hebat betul hook-up culture di Kuala Lumpur ini. Kalau di kampung, sesi bertaaruf sahaja belum cukup untuk lelaki dan perempuan mengikat apa-apa janji kasih. 

Terus memorinya melayang kepada gadis tadi. Gadis cina berwajah indah dengan keseksian tahap mampu menghumbankan dia ke dalam api neraka. Gila betul. Sekali sudah pandang, memang sukar untuk dia mengalihkan pandangan.

     "Begini lah. Aku cuma mahu kau hidup senang di Kuala Lumpur ini, Ghazi. Apa kata kau hook-up saja dengan dia untuk tempoh beberapa bulan atau tahun. Bukan suruh kahwin pun. Asalkan kau ada modal untuk menaja diri sendiri sepanjang hidup di sini." Panjang lebar Hijjaz memberi cadangan. 

Ghazi buat tidak dengar. Lengan diletakkan di atas dahi. Kemewahan yang Hijjaz katakan itu, dia langsung tidak berminat. Dia cuma mahu hidup seperti biasa. Dan yang pasti. kehidupan begitu terlihat begitu hina di matanya. Hina kerana lelaki seperti mereka mempermainkan hati dan perhatian wanita untuk kepentingan diri sendiri. 

Dia boleh bersabar dengan Hijjaz. Dia masih tidak sampai hati mahu menegur aktiviti lelaki itu. Tetapi jangan sampai kesabarannya hilang kerana desakan Hijjaz. 

     "Aku tak peduli lah. Kau buat lah apa kau mahu buat. Aku akan cari duit dengan cara paling susah sekalipun tak apa, asalkan tangan ini dan hati ini aku elakkan dari buat perkara yang tidak sepatutnya. Kau tak ada adik perempuan, boleh lah kau bercakap sesuka hati. Aku ada adik perempuan yang aku harus risaukan masa hadapan mereka."

Hijjaz mengeluh perlahan. Tadi, matanya sudah bersinar-sinar memikirkan bagaimana hidup mereka akan berubah 360 darjah dengan berkat wajah segak Ghazi. Tetapi sekarang, lebur. 

Dia tidak akan boleh mahu mengumpan lelaki disebelah ini jika lelaki itu sendiri sudah membulatkan tekadnya.

Ah, Ghazi dan dia dua orang yang datang dari latar belakang keluarga yang berbeza. Dia anak orang miskin dan Ghazi pula ... ayahnya seorang lelaki terhormat di dalam kampung. Dermawan dan hartawan. Dia akui dia kagum dengan cara Ghazi dan adik-beradiknya dididik. Mana mungkin dia akan sanggup mengotorkan tangan pergi menoreh getah dan mencuci kandang lembu seperti Ghazi walaupun dia memerlukan duit. Jijik!

Berbeza dengan Ghazi,lelaki ini sukar sekali membantah cakap ibu bapa. Jarang. Dia sanggup sahaja melakukan apa yang disuruh ibu bapa walaupun Ghazi berkategori anak orang kaya. Walaupun mak dan ayahnya orang berduit, tidak sekalipun lelaki ini dilimpahi dengan kemewahan. Semuanya harus diusahakan sendiri. 

Hijjaz tersenyum sinis memandang Ghazi sekilas di sebelah. 

Dia dan Ghazi berbeza. Situasi mereka berbeza. Orang tuanya miskin, cuma mengharap duit dari hasil mengajar ilmu agama di sekolah rendah dan juga menoreh getah. Kalau cuma harapkan duit bapanya untuk menanggung dia belajar, pasti tidak akan mampu. 

Masih dia ingat lagi bagaimana sukarnya hidup mengikat perut. Tunggang-terbalik solat 5 waktu pun, belum tentu dia dapat merasa apa yang dia rasa sekarang. Mewah!

Dia mengaku dia hamba duit, dia bukan hamba Tuhan. 

Dia hidup bertemankan orang-orang beriman seperti ibubapa sendiri. Namun tidak pernah sekali hidup mereka menjadi lebih baik. Dan keadaan ibu bapa yang sudah semakin uzur, mereka semakin terdesak. Hidup asyik meraih simpati dari orang lain dan kalau tidak kerana ayah Ghazi seorang pendidik yang dermawan, pada siapa lagi mereka boleh minta pertolongan.

     "Kalau kau mahu buat, kau buatlah Jaz. Aku tak menghalang tapi tak juga menyokong. Asalkan jangan tarik aku sekali. Aku debik muka kau nanti." bebel Ghazi.

Hijjaz tergelak. 

Wajah Hijjaz dipandang untuk sesaat dua. Jauh sekali mahu memandang serong pada lelaki itu. Masih segar diingatannya bagaimana terseksanya jiwa dan raga seorang Hijjaz yang cuba mengimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Dia tidak berada di tempat lelaki itu, tetapi sebagai kawan baik ... pastilah terkesan walau sedikit penangan kesakitan hidup Hijjaz padanya. 

Disaat ibunya terlantar tenat di hospital, ayahnya pula masih gagah mengerjakan ladang getah walaupun lelaki tua itu juga sudah uzur. Dan bapa Hijjaz pula tiada keupayaan mahu menghantar duit kepada si anak untuk pulang ke kampung. Dengan telinganya sendiri dia mendengar HIjjaz meraung di corong telefon. Akhirnya, dia meminta ayahnya untuk membantu. 

Dia sedar usaha Hijjaz kali ini adalah demi kesenangan keluarganya.

Mereka berdua melayan fikiran sendiri. Hijjaz dengan pemanduannya, Ghazi pula leka merenung jalan raya.


TAS TANGAN kecil berjenama mewah itu dicampak ke atas katil. Rambut palsu yang dipasang di kepala, dilepaskan. Ikatan sanggul dibuka. Mulut bernyanyi-nyanyi sendiri. 

Tersenyum simpul dia mengingat memori tadi. Tubuh dijatuhkan ke atas katil dan menarik bantal peluk ke dalam pelukan. 

'Ish! Sah aku dah gila. Dari tadi asyik teringat pada dia saja' Nuha mengomel di dalam hati. 

Bantal dipeluk erat seakan dia sedang memeluk lelaki yang sedang menjengah di fikiran. 

Ghazi... Nama seperti orangnya. Punya aura ketegasan yang menenangkan.

Jarang sekali dia jumpa lelaki seperti itu. Lelaki yang tidak mudah goyah dengan keindahan wajah dan tubuhnya. Dia perasan setiap gerakan anak mata Ghazi padanya tadi. Seboleh-boleh lelaki itu mahu mengelak dari terpandangkan tubuhnya.

Teruja! Dia rasa mahu lebih mengenali Ghazi. 

Bagaimana personaliti lelaki itu sebenarnya? Apa lelaki itu masih bujang kah? Suami orang? Apa lagi yang dia mahu tahu tentang lelaki itu....

Pasti tidurnya tidak lena malam ini. Pasti!

Mungkin dia patut dodoi diri sendiri dengan menyebut nama Ghazi.

Ghazi... Ghazi... Ghazi...

Sekali lagi dia menjerit keterujaan sambil berguling-guling di atas katil. 

Nuha Irdina! Kau memang dah gila....



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Chryst