Home Novel Cinta Luka Cinta
Luka Cinta
SHAQIR IMAN
7/2/2020 20:55:24
849
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Prolog

“Fiya!”

Suara nyaring Mak Long Ramlah kedengaran dari ruang dapur rumah papan yang sederhana kecil itu. Sofiya yang sedang sibuk mengemas ruang tamu, segera berlari menuju ke dapur. Penyapu lidi yang berada di tangannya dibuang ke tepi.

“Kenapa mak long?” Sofiya bertanya cemas. Takut apa-apa terjadi pada ibu saudaranya itu. Namun, dia lihat Mak Long Ramlah baik-baik saja. Cuma mukanya saja yang sedang menyinga.

“Kau boleh tanya lagi kenapa aku panggil? Ini apa, bodoh?!” Mak Long Ramlah menunjuk ke arah dapur gas.

Sofiya menyorotkan matanya ke arah yang ditunjukkan oleh Mak Long Ramlah. Betapa terkejutnya dia apabila melihat periuk yang digunakan untuk memasak air tadi telah pun kering.

“Ma... maafkan Fiya, mak long. Fiya terlupa yang Fiya masak air tadi.” ucap Sofiya memohon maaf. Dia menunduk memandang lantai rumah kayu itu. Sedar dengan kesilapan dirinya sendiri.

Mak Long Ramlah berdengus kasar. Giginya diketap menahan geram yang meluap. Lantas rambut Sofiya direntap dengan kasar sehingga menyebabkan Sofiya menjerit kesakitan.

“Senang aja kau minta maaf, kan! Kalau rumah aku ni terbakar tadi macam mana, hah?” herdik Mak Long Ramlah.

“Fiya tengah kemas kat depan tadi. Itu yang terlupa nak tutup api air ni. Maafkan Fiya, Mak Long. Fiya janji tak buat lagi.” rayu Sofiya kepada Mak Long Ramlah sambil menahan sakit. Kulit kepalanya terasa sangat perit ketika ini.

Mak Long Ramlah mendengus kasar. Dia merentap rambut Sofiya sehingga menyebabkan kepala gadis itu terdongak memandangnya. Wajah yang sedang menahan sakit itu dipandang penuh benci. Ikutkan rasa hati mahu saja diludahnya wajah itu.

“Aku tak nak dengar janji-janji bodoh kau tu. Sekarang ni aku nak kau angkat periuk tu dan letak dekat tempat lain. Sakit mata aku tengok periuk tu. Buat semak mata aja!” kata Mak Long Ramlah seraya melepaskan pegangan di rambut Sofiya.

Sofiya tidak membantah. Lantas sehelai kain buruk dicapai. Belum sempat kain buruk itu menyentuh periuk air yang masih panas berasap itu, suara Mak Long Ramlah bertempik sehingga menghentikan pergerakan Sofiya.

“Kau nak buat apa tu, hah?” soal Mak Long Ramlah kepada Sofiya.

“Fi... Fiya nak angkat periuk ni mak long.” balas Sofiya takut-takut.

“Habis kau nak buat apa dengan kain buruk tu? Nak buat kain tudung kau ke?”

Sofiya menggelengkan kepalanya. Air mata cuba ditahan sebaik mungkin walau hakikatnya dalam hati dia sudah meraung.

“Fiya nak jadikan kain buruk ni sebagai pelapik. Periuk tu panas mak long.” balas Sofiya lembut. 

“Kau jangan nak mengada-ngada. Kau letak balik kain tu dan kau angkat periuk tu sekarang!” tengking Mak Long Ramlah.

“Tapi periuk itu panas, mak long.” Sofiya cuba meraih simpati dari ibu saudaranya itu.

Mak Long Ramlah terus menjegilkan matanya.

“Peduli apa aku kalau periuk itu panas sekalipun?! Aku nak kau angkat periuk itu dan letak di tempat lain sekarang jugak!” tegas Mak Long Ramlah tanpa ada rasa kasihan pada Sofiya.

Sofiya terpaksa akur. Dia tahu tiada gunanya lagi dia merayu pada wanita itu. Kalau dia menangis air mata darah sekalipun, belum tentu Mak Long Ramlah akan kasihan padanya. Lantas dia meletakkan semula kain buruk di tangannya itu ke tepi. Air mata yang mula gugur dari tubir matanya hanya dibiarkan saja. Biarlah air mata itu menjadi saksi kepada penderitaannya saat ini.

Tangan Sofiya menggigil-gigil ketika mahu memegang periuk panas tersebut. Bahang dari periuk itu dapat dirasa walau tangannya masih belum lagi menyentuhnya. Ucapan bismillah dilafaz dan serentak dengan itu dia terus mengangkat periuk panas tersebut.

Tapi malang berganda menimpa Sofiya apabila periuk itu terlepas dari tangannya dan jatuh tepat mengenai kakinya. Sofiya terus jatuh terduduk menahan sakit. Meraung dia menahan rasa pedih yang menyiat-nyiat kulit kakinya. Air mata semakin deras membasahi pipi.

Mak Long Ramlah mendengus kasar. Langkah kaki diatur menuju ke arah Sofiya. Kepala gadis itu ditunjal berkali-kali.

“Bodoh! Buat kerja sikit macam tu pun kau tak mampu. Kau ni sama aja macam mak bapak kau yang dah mampus tu. Tak habis-habis nak menyusahkan aku. Mampus kau mati kat situ. Dasar anak sial!” hambur Mak Long Ramlah melepaskan amarahnya. Sebelum berlalu pergi, sempat dia menghadiahkan tendangan di bahu Sofiya sehingga menyebabkan duduk gadis itu terkalih.

Sofiya pula terus menangis seorang diri di situ. Mengenang nasib dirinya yang entahkan hidup entahkan mati di masa depan. Tatkala ini semua bahagian di tubuhnya terasa sakit. Begitu juga dengan hatinya yang sakit menahan pelbagai perasaan yang berkecamuk. Cuma bezanya sakit di tubuhnya masih boleh dirawat. Tapi sakit di hatinya? Hanya Allah saja yang tahu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SHAQIR IMAN