Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne
Khas Buat Suraya Anne
kamika
5/2/2022 22:36:08
664
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Sudah lebih dari dua minggu semenjak ketiadaan Hanis di taman perumahan itu. Meski menetap dikawasan perumahan yang tersusun, ukhwah yang terjalin antara penduduk setempat umpama mereka semua tinggal disebuah kampung. Lebih-lebih lagi  kerana kebanyakan penduduk disitu merupakan warga tua yang sebilangan besar dari mereka adalah golongan berpencen. Suraya menjalani hari-hari seperti biasa tanpa Hanis yang terkadang muncul di depan pintu mengajaknya berbual kosong. Kadang-kadang hadirnya semata-mata mahu meminta Suraya memberikan pendapat terhadap produk di atas talian yang ingin dibeli olehnya. Bukan sekali Suraya tersengih sendirian mengenangkan telatah sahabat karibnya itu. Tak perlu dihairankan kerana mereka itu hidup berjiran. Hanya terpisah oleh sebuah rumah sahaja di lorong bernombor lima itu. Saban hari pergerakan Suraya ibarat auto mode. Awal pagi dia sudah bangkit kemudian ke dapur membantu mummy. Di waktu dhuha pula dia berjemur di sebuah kebun mini sambil menemani mummy menyelenggara hampir dua puluh buah pasu kecil yang mengandungi tanaman hiasan. Mummy kelihatan fokus. Langsung tidak jejas konsentrasinya ketika berada di sekeliling tanaman yang hampir separuh adalah berjenis orkid. Sayang benar beliau akan pokok-pokok itu semua. Kalau saja-saja nak membelai tanaman itu Suraya memang tak berani. Inikan pula menawarkan diri untuk membantu. Lagak mummy tak ubah seperti seorang warden penjara waima hanya sepasu pokok sahaja yang diuruskan oleh Suraya. Menjelang tengah hari dia turun ke dapur sekali lagi. Bersama-sama ibunya, Suraya akan menyediakan juadah tengah hari dengan bantuan seminimal mungkin. Bukan dia tidak minat memasak. Lagak warden itu pasti akan muncul di waktu-waktu tertentu. Ada sahaja usaha Suraya yang tidak menepati citarasa mummy. Entahlah, setelah sekian lama berpisah Suraya seakan terlupa akan sifat cerewet yang dimiliki oleh mummy. Ah, mummy. Mujurlah sikap yang satu itu tidak begitu keterlaluan. Cukup sahaja mummy menegur bagi membetulkan perbuatannya kemudian mummy diam. Barangkali mummy sedar anak daranya yang seorang ini sudah dewasa. Sekali ketuk sudah berjalan. Tidak perlu dibebel berulang kali. Hanya saja lirikan warden itu dipamerkan cukup membuatkan Suraya mengambil langkah berhati-hati setiap kali melakukan sesuatu pekerjaan.

Usai solat Asar, Suraya merebahkan diri ke tilam. Dengan perasaan malas dia bergolek mendekati sebuah side table. Laci ditarik dan sebuah laptop berwarna kelabu gelap dikeluarkan. Dalam keadaan meniarap Suraya menantikan paparan Windows terpasang. Tanpa menunggu lebih lama, jari jemari menari di atas pad cursor lalu ikon email ditekan. Suraya tidak menafikan setiap kali ikon itu dibuka pasti perasaan gemuruh menggamit dadanya. Dia memejamkan kedua belah matanya. Acapkali dia tertanya sendiri adakah usahanya di dalam memohon pekerjaan sudah berhasil. Adakah di antara berpuluh syarikat yang telah dihantar resume dan CV miliknya memberi respon terhadap permohonannya itu. Adakah kelayakannya terlalu rendah? Atau terlalu tinggi? Soalan begitu seringkali menjadi batu penghalang untuk dirinya sentiasa positif. Abah pernah menyuarakan hasrat untuk membantu mencarikan satu jawatan di jabatan yang sedang diketuai oleh beliau ketika ini. Laju sahaja Suraya menolak. Bersetuju bermakna sanggup untuk menganiayai seseorang yang sedang berhempas pulas mendapatkan jawatan itu manakala dia dengan mudah menduduki tampuk itu dengan hanya berbekalkan bantuan cable daripada ayahnya sendiri! Tak mungkin. Terasa sia-sia sahaja kerja-kerja penyelidikan, eksplorasi dan kajian yang mengorbankan sekian waktu sebelum ini andai cadangan bapanya dijadikan pilihan. Suraya enggan. Malah meminta bapanya agar tidak lagi membangkitkan isu itu. Dia rela bermula dari bawah sekiranya itulah satu-satunya pilihan bermaruah yang ada. Suraya menarik nafas yang dalam. Kemudian perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Satu email rasmi berada di barisan pertama di antara barisan email yang lain. Font gelap yang menandakan ianya belum dibaca ditekan. Tekun sekali dia membaca email tersebut sebelum mulutnya melopong dan dadanya diserbu kemuncak kegembiraan. Suraya tidak terus membalas email tersebut. Sebaliknya dia bingkas bangun meninggalkan kamar tidurnya untuk mencari kedua orang tuanya. Khabar gembira itu harus disampaikan kepada mereka berdua terlebih dahulu. 
“Yaya, mummy tak kisah pun kalau Yaya belum dapat kerja. Lagipun tak sampai sebulan Yaya balik. Bila Yaya dapat kerja nanti tinggallah mummy sendirian lagi.” Lirih suara Puan Norlin kedengaran di cuping telinga Suraya yang baru menyertai ibu dan bapanya yang sedang minum petang di beranda. Belum sempat dia menyandarkan tubuh ke kerusi posturnya berubah tegak. Bapanya yang sedang tekun membaca akhbar tidak jadi meneruskan bacaan mendengar nada hiba yang datang dari mulut isterinya. Akhbar bersaiz kompak itu dilipat dua lantas cawan berisi teh O panas dicapai. Seteguk minuman disisip. Mata yang dilindungi oleh sepasang kaca mata untuk membaca bersilih ganti memerhatikan Puan Norlin dan Suraya.
"Begitulah hidup kita ni, Nor. Beralih dari satu fasa ke fasa yang lain. Nor tak boleh selamanya menganggap Yaya akan terus duduk dibawah ketiak kita. Sejak dia melangkah ke alam universiti, Nor dah tahu kan yang Yaya telah pun memilih jalan hidup dia sendiri." ucap Encik Fauzi sekaligus membuatkan tubuh Suraya yang tegang mulai kendur. Masakan tidak gusar dengan rungutan ibunya sebentar tadi. Kiasan sebegitu jelas menunjukkan ibunya itu berat hati untuk melepaskannya keluar mencari rezeki. Mummy bukanlah seseorang yang pandai menyembunyikan emosi. Kata abah, mummy itu ibarat open book. Terkandung persoalan dan jawapan dalam material yang sama. Tak perlu bersusah payah menebak atau menembak. 
"Iye, Nor tahu.. Tapi, bang, rasa baru sangat lagi Yaya balik ke sini. Dah kena pergi lagi." sahut Puan Norlin. Suraya menatap wajah ibunya. Mengerti akan perasaan rindu yang belum kebah sepenuhnya. Sebenarnya dia juga begitu. Terasa belum puas lagi mahu bermanja dengan kedua orang tua setelah lama terpisah. Tetapi, apakan daya. Azamnya ketika ini lebih kuat mempertahankan kemahuannya. Ibarat sebuah rumah yang sedang tenggelam dek banjir. Air makin meninggi manakala angin ribut kuat membadai. Namun, rumah itu tetap tegap mempertahankan diri. Begitulah azamnya saat ini. Mungkinkah kerana dia berasa cemburu dengan keupayaan Hanis yang terlebih dahulu berjaya memperoleh pekerjaan? Rasanya tidak. Sepanjang mengenali gadis itu iaitu dengan lebih tepat lagi semenjak mereka berdua dilahirkan ke dunia ini, belum pernah lagi perasaan begitu wujud di antara mereka berdua. Kata ibu Hanis, Puan Sharifah, mereka itu kembar lain ibu. Lahir di hari yang sama, waktu yang hampir sama. Perbezaan mereka hanyalah tempat kelahiran. Sumpah. Sekelumit rasa cemburu belum pernah wujud di dada Suraya buat gadis yang dianggap seperti adik kandungnya sendiri. 
Sungguh Suraya tidak menyangka pendapat mummy jauh tersasar dari abah dan dirinya sendiri. Alahai, gundah gulana pula dibuatnya memikirkan keluh-kesah mummy itu. 
“Yaya ni macam budak-budak lain juga, Nor. Habis belajar dah tentulah nak rasa dunia pekerjaan pula. Janganlah kita sekat kemahuan mereka tu. Kita cuma nasihatkan supaya mereka tak salah buat pilihan.” sahut Encik Fauzi. Pandangannya berlabuh kearah Suraya. Suraya membalas dan bermulalah bahasa isyarat antara kedua beranak itu dengan hanya kerdipan mata antara mereka. Suraya menyeringai tatkala bapanya menganggukkan kepala beberapa kali. 
"Nor, tak kesian dekat anak kita yang dah berhempas pulas belajar bertahun-tahun tetapi di suruh duduk dirumah sahaja?" tanya Encik Fauzi kepada mummy yang kelihatan sugul. 
"Agaknya mummy Yaya lupa kot macam mana lagaknya dia waktu muda-muda dahulu. Tak sempat tamat belajar mummy dah mula berkerja, tau."
"Hah, yeke abah?" sampuk Suraya sedikit terperanjat. Belum pernah lagi kisah ini diceritakan kepadanya. Suraya mengerling kearah ibunya yang mula kelihatan tidak senang duduk apabila fokus kini tertumpu kepadanya pula. 
"Hisy, abang jangan u-turn pula. Nor tengah fikirkan tentang Yaya, cerita Nor pulak yang abang bangkitkan." celah Puan Norlin dengan perasaan tidak puas hati. Suraya tergelak kecil. Lucu pula melihat adegan kedua orang tuanya ketika ini. 
"Okay, okay… Tak perlu ribut-ribut sebab Yaya, abah dan mummyku..," Tiba-tiba Suraya menyampuk sebelum sempat Encik Fauzi membalas. Hampir sahaja dia berdiri demi mendamaikan gaduh-gaduh manja kedua orang tuanya itu.  Suraya berdehem beberapa kali sebelum tersenyum sumbing. 
"Sebenarnya, Yaya dah dapat kerja!" ujar Suraya dengan nada yang sedikit tinggi. Kegirangan jelas kedengaran. Encik Fauzi dan Puan Norlin sama-sama memandang dengan perasaan tidak percaya. 
"Ya Allah, Alhamdulillah…" sahut Encik Fauzi. 
"Apa??" Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Puan Norlin. Kedua-duanya serentak berkata-kata. 
"Mummy, kenapa? Mummy betul-betul ke maksudkan apa yang mummy cakap tadi tu?" soal Suraya cemas. Riak yang bercahaya ketika mengumumkan berita itu berubah malap. Seriuskah mummy dengan kata-katanya itu? Tiba-tiba Puan Norlin ketawa kecil. 
"Mummy gurau ajelah, Yaya. Saje.. Nak tengok reaksi anak mummy tu." 
"Mummy dah berjaya buat Yaya bimbang tau." Baik Encik Fauzi mahupun Puan Norlin kedua-duanya tertawa besar mendengar ucapan dari Suraya. 
"Abah pun sama? Jadi, abah memang pakat dengan mummy untuk kenakan Yayalah ni?" ujar Suraya dengan mata yang terbeliak. Tak menduga sama sekali gurauan kedua orang tuanya benar-benar menjadi. Sedangkan dia sudah bertekad untuk melutut merayu kepada ibunya seandainya tidak diberi
keizinan untuk berkerja. Mulut Suraya sudah muncung seperti paruh burung. Elusan mesra dibelakang tubuh sekelip mata mengubah mood untuk merajuk kepada satu senyuman simpul. Suraya melirik ke arah ibunya yang tersenyum mesra menatap wajah buah hati tercinta. 
"Tunggu sekejap. Yaya pergi ambil laptop." tutur Suraya lantas meninggalkan kedua orang tuanya yang  kembali tertawa. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.