Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne
Khas Buat Suraya Anne
kamika
25/3/2022 15:01:48
628
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3


Berbanding keadaan yang riuh-rendah dihalaman, suasana dalam ruang segi empat berdindingkan konkrit itu sepi. Hanya bunyi-bunyian yang datang dari pusingan bilah ventilation fan yang memecah kesunyian. Ditepi pintu masuk terdapat sebuah rak sepanjang dinding menempatkan alatan memasak yang kemas tersusun. Pelbagai jenis periuk belanga, pinggan mangkuk, penapis minyak, kendi, senduk dan sudip serta bermacam lagi. Malah, ada diantara alatan itu tidak berapa dikenali. Apakah fungsi dan kegunaannya? Dibahagian dinding yang bertentangan pula terdapat lower cabinet siap dipasang dapur memasak. Tetapi, dapur itu kelihatan usang seperti sudah lama tidak disentuh. Sebuah meja panjang mengambil tempat dibahagian dinding lagi satu dan sebuah meja segi empat bersaiz sederhana diletakkan ditengah-tengah ruang. Keadaan di dalam ruangan itu nampak padat tetapi susun atur perabot dan alatan berjaya memberi impak lapang. Kaca mata tanpa power yang bertindak sebagai perisai dibetulkan seketika sebelum tangan menggagau kembali pisau yang diletakkan di atas meja. Sudah hampir penuh bakul bersaiz sederhana dengan timbunan bawang besar yang telah dikupas kulitnya. Namun, beg guni sepuluh kilo itu kelihatan tidak susut isinya. Suraya menendang sepasang kaki yang sedang bergoyang di bawah meja. Mata yang turut dilindungi oleh sepasang kaca mata yang sama seperti Suraya terkebil memandang. Kedua belah kening yang semulajadi tebal dan berlekuk bulan sabit itu terangkat. Serangan balas turut dirasai dikaki. Suraya merenung geram sambil menjuihkan mulut dan mengerling ke arah guni bawang yang diletakkan dekat dengan mereka. Dia mengisyarat sesuatu perlu dilakukan oleh temannya itu jikalau mahu kerja mengopek bawang itu selesai dengan cepat. Mulut Hanis terbentuk huruf O. Kemudian dia menganggukkan kepala tanda faham. 
"Aaa.. Kak Ipah, boleh tak akak tolong Hanis dengan Yaya kupas bawang?" Laung Hanis kepada salah seorang pekerja katering milik bapanya. Latifah yang mesra dipanggil Kak Ipah baru sebentar masuk dan sedang tercegat berdiri disamping meja panjang yang penuh dengan bahan masakan yang disimpan di dalam bekas-bekas besar. Wanita itu sedang memerhatikan bahan-bahan yang sudah siap dikisar dan memastikan tiada bahan yang terkurang kerana sebentar lagi kesemua bahan itu akan dibawa keluar untuk digunakan sebagai perencah masakan. Kak Ipah menoleh. Wajahnya bergaris kejutan sebelum menganggukkan kepala. Suraya hampir menepuk dahi. Bukanlah bantuan sesiapa yang dipinta. Tetapi, tumpuan temannya itu yang sekejap sekejap terganggu dek kerana bermain dengan telefon pintarnya. Namun, apa yang dilihat oleh Suraya, fokus gadis itu lebih berat kepada telefon daripada mengopek bawang. Entah dengan siapalah Hanis berbalas mesej itu. 
"Kak Ipah sibuk ke?" soal Hanis meminta kepastian. Suraya menoleh. Memerhati Kak Ipah yang berada dibahagian rak seperti sedang tercari-cari sesuatu.
"Apalah kau ni. Dah mintak tolong baru nak tanya." kecam Suraya. Hanis buat tak kisah. Sebaliknya hanya mencebirkan bibir. 
"Tak. Mak Long suruh Kak Ipah blender cili kering, serai, bawang putih.. Macam-macam lagilah. Dah siap dah kerjanya." sahut Kak Ipah lantas mengambil sebiji bakul besar yang bersusun sebagai mengisi bebawang yang telah dikopek kulitnya nanti. Ditangannya terdapat sebilah pisau sederhana besar.  Dia mengambil tempat di sebelah Suraya. Satu senyuman dilemparkan ketika pandangan mereka berdua bertaut. 
"Apa lagi yang belum siap?" tanya Hanis sebaik wanita itu memulakan kerja. 
"Bawang aje. Yang lain dah beres. Tapi kalau bahan sampingan ada lagi yang nak kena siapkan. Macam ulam-ulaman dan buah-buahan. Tapi, Mak Long dan Kak Nor tengah buat tu dekat depan." jelas Kak Ipah panjang lebar.
"Kuih?" tanya Hanis lagi. 
"Tempah." sahut Kak Ipah. Suraya dan Hanis berbalas pandang dan saling menganggukkan kepala tanda mengerti. Disebabkan kekangan kerja dan masa, malam tadi, Suraya dan Hanis tiba dikampung. Itupun setelah dijemput oleh bapa Suraya yang kebetulan menghadiri sebuah seminar di Kuala Lumpur. Oleh itu, kedua teman akrab itu tidak sempat mengikuti akan perancangan yang dibuat oleh kedua orang tua mereka sejak dari awal. Sebenarnya, pada hari itu, keluarga Suraya dan Hanis sudah sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran bersempena mereka telah tamat belajar dan memperoleh pekerjaan. Hanya pada hujung minggu itu sahajalah jadual perniagaan katering milik keluarga Hanis kosong dari sebarang tempahan. Oleh itu dapatlah kedua orang tua Hanis melaksanakan majlis itu sekaligus melaksanakan kerja-kerja memasak menu yang bakal disajikan kepada sebilangan penduduk taman. Majlis itu tidaklah besar, tetapi disebabkan ianya majlis yang digabungkan jelas terasa kemeriahannya. Dihalaman rumah Hanis ketika ini hingar-bingar dengan suara jiran tetangga yang hadir merewang. Majlis dijadualkan berlangsung pada sebelah petang nanti.
"Bisingnya dekat luar. Ramai ke orang yang datang, Kak Ipah?" tanya Suraya ingin tahu. Ketika diarahkan oleh bapa Hanis untuk mengupas bawang disitu, Suraya dan Hanis sama-sama memendam perasaan kerana tidak dapat duduk bersama-sama mereka dilaman. Tentu seronok jikalau suasana gegak- gempita ketika itu turut dirasai oleh mereka. Tapi, apa boleh buat, jikalau Hanis yang agak lantang bersuara itu pun kecut dengan bapanya apatah lagi Suraya. Menikus. Terpaksalah mereka berdua akur dengan arahan bapa Hanis yang mesra disapa Pak Long itu. 
"Ramailah juga." Suraya dan Hanis saling berbalas pandang. Melepas. Apa boleh buat, arahan persis jeneral itu tak mungkin mereka berdua berani ingkari.
"Jadi makcik bawanglah kita hari ni, ye." usik Kak Ipah membuatkan Suraya dan Hanis tidak semena terburai ketawa. 
"Tapi tak adil. Makcik bawang dalam stor. Agaknya ayah tak kasi kita membawang dengan makcik-makcik bawang dekat luar tu sebab tulah disuruh kita duduk dekat tempat tersorok ni." getus Hanis masih tidak puas hati. Suraya dan Kak Ipah sama-sama menjungkitkan bahu seraya tergelak kecil. Sebenarnya binaan dapur yang dibina diluar rumah Hanis itu asal muasal permulaan perniagaan katering mereka. Kini dijadikan stor sahaja kerana ibu dan bapa Hanis telah pun memiliki sebuah lot perniagaan yang tidak jauh dari taman perumahan mereka ini.
"Kira okay, lah. Dalam ni taklah panas sangat. Selesa je.." kata Suraya memujuk sahabat dan dirinya sendiri. Sebiji bawang yang telah dikupas dibaling lembut ke dalam bakul kosong yang baharu diletakkan oleh Kak Ipah. 
"Kak Ipah dengar tempat kerja Yaya dekat dengan tempat kerja Hanis. Jadi, korang berdua ni duduk serumahlah?" risik Kak Ipah ingin tahu. Baik Suraya mahupun Hanis sedar, kawasan kediaman mereka itu tidaklah sebesar mana. Meski perumahan mereka merupakan lot rumah yang berasingan, tetapi, berita kecil pun boleh jadi berita besar. Ada sahaja perkara yang mahu dijadikan berita sensasi! 
"Ha'ah. Kami pergi kerja pun sama-sama, kak. Naik tren. Entahlah, kak. Mungkin betullah apa yang Mak Long selalu sebut tu. Kami ni memang kembar lain mak agaknya. Susah benar nak berpisah jauh-jauh ni." kata Suraya pula. Mak Long itu merujuk kepada ibu Hanis. Kedua orang tuanya memang mesra disapa panggilan begitu sejak berzaman lagi. Kak Ipah ketawa kecil. Hanis pula tersengih. Mengiyakan kebenaran kata-kata ibunya sendiri yang acapkali didengari sejak dari kecil. 
"Untung korang berdua. Dapat merasa belajar tinggi-tinggi dan berkerja di bandar besar. Kak Ipah ni macam nilah dari dulu. Terperap dikampung." tutur Kak Ipah sayu seakan sedih mengenangkan nasib hidupnya. Siapa tidak kenal Kak Ipah yang rumahnya dibelakang sekolah. Kehidupannya boleh dikatakan kurang bernasib baik berbanding orang lain. Di kala kanak-kanak, dia sudah bergelar sebatang kara. Mujurlah Pak Teh Yusuf yang merupakan seorang pesara guru mahu mengambilnya sebagai anak angkat. Membesar Kak Ipah dirumah orang tua itu dengan penuh kasih dan sayang oleh Pak Teh dan isterinya. Namun, tatkala keduanya telah tiada, anak Pak Teh yang menetap di bandar kembali menuntut hak. Kak Ipah baru berusia lima belas tahun ketika itu. Pelajarannya tercicir dan dia diusir keluar. Kak Ipah menumpang pula hidup dirumah Cikgu Besah sebelum tragedi yang sama berulang buat kali kedua. Ketika peristiwa yang menggemparkan seluruh kampung itu berlaku, Suraya dan Hanis baru berusia sepuluh tahun. Jahat! Perbuatan mereka terhadap Kak Ipah tidak dapat Suraya tafsirkan kecuali dengan satu perkataan itu. Ketika sudah dewasa, barulah Suraya faham mereka itu berhak cuma, cara mereka mengambil hak itu tidak dijalankan secara berhemah. Mengapalah sanggup dilayani seorang anak yatim piatu yang tidak berupaya begitu sekali. Mujurlah semangat Kak Ipah untuk meneruskan kehidupan tidak pernah goyah. Terakhir, Kak Ipah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sehinggalah Kak Ipah berusia lapan belas tahun. Keinginan untuk terus tinggal dikampung itu tidak pernah lenyap dalam diri Kak Ipah. Betapa Kak Ipah sayangkan tempat lahirnya itu hinggakan kembali lagi ke tempat yang pernah melukainya tidak sekali tetapi dua kali. Akhirnya, kedua orang tua Hanis menjadikan Kak Ipah antara pekerja terawal mereka. Dahulu, Kak Ipah pernah menumpang dirumah Hanis sebelum bapa Hanis menyediakan sebuah rumah yang dijadikan asrama buat pekerjanya kerana perniagaan yang dibina makin berkembang apabila bukan sahaja perkhidmatan katering disediakan. Malahan, lauk pauk dalam bentuk frozen turut menjadi salah satu cabang perniagaan mereka. 
"Kak Ipah muda lagilah. Baru nak masuk tiga puluh, kan? Lagipun, zaman sekarang ni macam-macam kursus disediakan. Asalkan akak minat dan mahu berusaha. Amacam?" cerita Hanis pula. Suraya lihat Kak Ipah termenung seperti sedang memikirkan sesuatu. 
"Tapi, akak tak pandai komputer ni semua. Kesian diorang nanti kalau dapat pelajar macam Kak Ipah." 
"Tentang komputer Kak Ipah jangan risau. Sebab tulah diwujudkan pusat komputer dekat taman kita ni. Untuk kemudahan dan kegunaan semua orang. Rasanya Razuan adik Abang Chik yang jaga tempat tu. Nanti Hanis cakap dengan dia." usul Hanis lagi. Nampak benar Hanis bersungguh-sungguh mahu melihat Kak Ipah mengubah nasib hidup yang bercorak pilihan sendiri. Bukan kerana terpaksa atau terdesak. 
"Betul tu, Kak Ipah. Belajar komputer tak susah pun. Yaya pasti sekejap aje akak akan dapat gunakan komputer tanpa bantuan sesiapa." dorong Suraya pula.
"Tak apa. Nanti Kak Ipah cakap sendiri dengan Abang Chik." Suraya dan Hanis saling  berbalas pandang. Bukan mereka berdua tak tahu sikap malu tapi mahu antara Kak Ipah dan Abang Chik yang  merupakan rakan sekerja itu. Tapi, sikap Kak Ipahlah yang ketara. Menolak sejak sekian lama pelawaan Abang Chik yang mahu menukar hubungan mereka menjadi satu hubungan yang halal. Abang Chik pun satu. Setia betul padahal sudah lebih sepuluh tahun mereka berdua berhubungan begitu. 
Tepat jam 3.00 petang tetamu mulai hadir ke majlis yang sederhana tetapi meriah itu. Majlis dimulai dengan alunan selawat kemudian bacaan doa oleh anak-anak dari sebuah pusat tahfiz yang dijemput khas pada majlis itu.
Suraya tercegat dibawah pohon mempelam dihadapan rumah ketika menyaksikan acara dimulai. Dia bukan sengaja berada disitu sendirian. Tadi, ketika sedang berbual bersama mummy dan tetamu yang hadir dibawah khemah itu, Suraya perasan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Patutlah, bendera merah tiba-tiba naik. Kelam kabut Suraya meminta izin untuk masuk ke rumah. Suraya memerhatikan suasana yang kebiasaan sepi berubah riuh. Lorong dua hala yang lebar dihadapan rumah terpacak dengan dua buah khemah yang besar dan sebuah bersaiz kecil hinggakan terpaksa mengambil keseluruhan ruang dihadapan rumah Aunty Lela. Jiran berketurunan India yang baik hati itu mengizinkan kawasan itu digunakan. Bahkan, Aunty Lela turut ada bersama-sama sepanjang aktiviti rewang itu berlangsung. Suraya melihat gelagat tetamu yang hadir. Disatu sudut disebuah khemah yang diasingkan untuk tetamu lelaki dan wanita, kelihatan bapanya sedang rancak berbual sambil menjamah makanan. 
"Yaya…" gamit Puan Norlin dari salah sebuah meja yang ada di bawah khemah yang paling dekat dengan kawasan rumahnya. Suraya mengangguk sambil mengangkat tangan. Dia mendekati kumpulan yang terdiri dari ibunya, Mak Long dan Hanis sambil tersenyum simpul. Disamping itu terdapat juga tiga orang yang lain duduk disitu. 
"Yaya ni, Nor?" soal salah seorang wanita yang agak sebaya dengan ibunya yang duduk bertentangan dengan Hanis. Tanpa berlengah Suraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ketiga-tiga tetamu itu. 
"Sebayalah dengan Hanis." sampuk Mak Long pula. Suraya tidak mengenali gerangan tetamu tersebut. Tetapi mengikut perbualan ibunya dan Mak Long, tetamu itu dikenali oleh mereka berdua. Suraya melemparkan pandangan kearah Hanis yang tak jemu menatap telefon ditangan. Dia ditampar rasa bengang. Lalu dihampiri teman karibnya itu dan melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang kosong sementara jari telunjuk mengenai tepat ke pinggang temannya itu. Hanis kelihatan tersentak sebelum tersipu malu. Cepat-cepat telefon disimpan ke dalam poket baju kurung yang dipakai. Hanis kelihatan cantik mengenakan rona baby blue dan tudung bawal berwarna keemasan. Kena dengan kulit hitam manis dan wajah jelita yang diwarisi oleh Mak Long yang berketurunan Jawi Peranakan itu. 
"Hisy budak-budak ni. Tak kenal ke Mak Jah kantin ni?" tutur Mak Long. Suraya dan Hanis berpandangan seketika sebelum masing-masing ketawa kecil. 
"Laa.. Mak Jah nampak lain. Dulu masa sekolah menengah berisi. Sekarang kurus sangat. Tak cam." tutur Hanis lalu diiyakan oleh Suraya. 
"Mak Jah sihat, tak?" tanya Suraya pula. 
"Alhamdulillah. Sebelum ni Mak Jah sakit. Kena kencing manis. Sekarang dah sembuh." luah Mak Jah disambut dengan perasaan lega dan syukur oleh mereka yang mendengarnya.
"Bila lagi?" soal Mak Jah membuatkan enam pasang mata terpaku kearahnya.
"Laa.. Kahwinla.. Belajar dah habis, sekarang dah kerja. Tunggu apa lagi.. hah, Long? Nor? Kalau dah ada calon tu nikahkan aje.." tukas Mak Jah seraya membuatkan Suraya dan Hanis berbalas pandang dan mencapai sepakat untuk segera beredar dari situ. 
"Alahh Kak Jah.. Ada jodoh nanti segera kami buat. Kak Jah orang pertama saya jemput." sahut Mak Long membuatkan Suraya dan Hanis sama-sama menahan perasaan geli hati. Gembira kerana orang tua mereka arif dalam mengulas isu yang sering mencabar mental dan emosi para ibu yang mempunyai anak gadis yang sudah menginjak dewasa. Melihatkan arah perbualan yang mula menyimpang, Puan Norlin mengubah topik perbualan bertanyakan tentang keadaan anak-anak tetamu itu pula. Suraya dan Hanis belum puas berbalas pandang. Berbual dalam diam melalui pandangan mata sebelum mendengar suara Puan Norlin menjemput mereka untuk menjamu selera pula. Petang itu tetamu dijamukan dengan menu rendang kambing dan roti jala. Selain itu, terdapat juga nasi putih, ayam goreng berempah dan ulam-ulaman. Pencuci mulut seperti pulut durian, kuih-muih dan buah-buahan turut disediakan.
Majlis yang berlangsung hingga ke petang itu bersambung pula disurau apabila menjelang solat Maghrib mereka bersama-sama hadir untuk bersolat jemaah. Ketika selesai solat Isyak, pulut kuning yang ditempah dibungkus dalam bekas polistren menjadi bekalan pulang oleh jemaah yang hadir. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.