Home Novel Cinta Hanya Dia...
Hanya Dia...
Suhailah Selamat
29/2/2020 18:30:41
1,145
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 8

“Hisy, tak guna! Tak guna! Minah gelandangan tu memang kurang ajar. Tengoklah nanti. Kalau aku jumpa dengan kau lagi, habis muka tak lawa kau tu aku tenyeh-tenyeh dengan penumbuk aku ni!” Marah Arshah sambil menepuk-nepuk stereng keretanya. Bunyi pintu kereta yang dibuka menyebabkan Arshah terus mengunci mulut. Rapat-rapat! Takut juga dia dengan Puan Rashidah yang bila-bila masa sahaja boleh berubah menjadi singa lapar. Lebih-lebih lagi kalau dia dapat tahu yang anak terunanya yang seorang ini masih lagi cari pasal dengan anak dara orang!

Tanpa menoleh ke sebelah, Arshah terus menggerakkan keretanya menuju ke jalan utama. Sudah lama benar dia menunggu Puan Rashidah yang sibuk sangat nak tolong membasuh pinggan mangkuk kotor di dapur tadi. Dia sudah mengantuk. Sudah beberapa kali Arshah menguap. Termasuk kali ini sudah 50 kali dia menguap! Tadi dia ada kira, okay! Dah namanya pun bosan… Semua benda nak dihitungnya.


“Kenapa suka sangat bergaduh dengan Syaza? Tak rasa ke cucu Tok Mah yang satu itu cantik dan lemah-lembut,” lembut sahaja Puan Rashidah berkata-kata. 


Arshah mencebik! Lemah-lembut apanya kalau tadi dia sepak perut aku mengalahkan jantan berotot, bisiknya dalam hati.


“Ya, ibu. Perempuan tu memang lemah-lembut sangat! Sampaikan Shah rasa nak bagi penampar aje dekat muka dia!” Ujar Arshah dengan nada yang geram. Bau busuk yang tiba-tiba sahaja memenuhi ruang keretanya menyebabkan Arshah cepat-cepat menekup mulutnya dengan sapu tangan yang diletakkan di dalam dahsbord kereta.


“Ishh, bau apa busuk sangat ni? Macam bau bangkai pun ada juga,” gumam Arshah. Dahinya mula berkerut-kerut pelik melihat Puan Rashidah hanya membisu di tempat duduk sebelah. Langsung tidak menyahut mahupun membalas pertanyaannya itu.


“Ibu…” Arshah terus terkaku tatkala melihat Tok Mah sedang merenung ke arahnya dengan mata yang terjegil besar. Hampir terlepas stereng kereta yang dipegangnya kerana terlalu terkejut. Mati-matian dia sangkakan yang masuk tadi adalah ibunya. Rupa-rupanya ada ‘tetamu’ lain yang tidak diundang telah duduk di kerusi penumpang. 


“Errr… Tok Mah rupanya. Tok Mah buat apa kat dalam kereta Shah ni? Nasib baiklah kereta Shah tak terbabas di kebun pisang Pak Abas tadi. Kalau tak, jenuh Shah nak kena bayar ganti rugi pisang Pak Abu yang rosak,” seloroh Arshah sambil tersengih-sengih. Jelas sekali yang tangannya sedang terketar-ketar hebat.


Peluh jantannya mula mengalir laju di dahi. Dia semakin keliru sama ada mahu berpatah semula ke rumah Mak Long atau teruskan sahaja perjalanan ke rumahnya yang hanya tinggal beberapa meter jaraknya untuk sampai. Akhirnya Arshah mengambil keputusan untuk berpatah semula. Tak pasal-pasal nanti kena marah dengan Puan Rashidah kerana pulang ke rumah tanpa menunggunya terlebih dahulu!


“Kau nak bawa aku ke mana? Jalan ke rumah aku tak payah lalu jalan ni pun,” tegas Tok Mah dengan suara garaunya. Terdengar dengusan kasarnya yang menandakan dia benar-benar marah. Makin kecut perut si Arshah dibuatnya. Suara Tok Mah yang terlalu ‘lunak’ itu berjaya melunturkan semangatnya yang sudah melayang entah ke mana.


“Tok Mah, kita patah balik ke rumah Mak Long, ya. Shah nak jemput ibu dulu. Nanti ibu marah Shah pula sebab...”


“Hantar Tok Mah balik dulu, Shah.” Kali ini, suara Tok Mah sudah bertukar lembut. Perlahan-lahan Arshah menoleh ke sebelah. Sekali lagi, untuk kali yang ke berapa dia tergamam melihat wajah Tok Mah sudah bertukar menjadi wanita lain. Wanita di sebelahnya kelihatan lebih muda. Apa yang paling menarik perhatian Arshah adalah baju kebaya warna merah yang dipakainya. Nampak cantik dan menarik sangat. Sesuai benar dengan ‘jiwanya’ yang lembut dan sedikit sensitif.


“Kenapa... Kenapa kau ganggu aku?” Keras suara Arshah bertanya sambil menggenggam kuat stereng keretanya. Bersiap-sedia sekiranya berlaku perkara buruk nanti. Sempatlah juga dia mengawal keretanya itu walaupun kurang pasti sama ada dirinya mampu ataupun tidak. Maklumlah, sikap agresif Tok Mah kadangkala bukan boleh dijangka. Bila-bila masa dia boleh kena tendang keluar dari keretanya terus!


“Aku nak darah….”


“Ambillah darah Syaza! Diakan cucu Tok Mah!” 


‘Pada muka kau perempuan!’ Jerit hati Arshah yang masih marah dengan tindakan Syaza tadi. Sedut darah dia habis-habisan! Biar sampai ke titisan darah yang terakhir. 


Dalam diam, sesekali dia mencuri pandang ke wajah lembut wanita berkebaya merah itu. Manis sekali raut wajah itu. Perlahan-lahan hati Arshah mula kembali tenang. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menyakitkan mata dengan pemandangan yang kurang indah seperti tadi. Siapa aje yang suka pandang muka nenek tua yang dah tumbuh kedut di sana sini! Lebih-lebih lagi Arshah kurang pasti sama ada manusia di sebelahnya ini benar-benar orang ataupun hantu!


“Dia bukan cucu aku…” 


“Apa maksud kau?” Keras suara Arshah bertanya. Dia terus menoleh ke sebelah. Kosong! Dahinya mula berkerut seribu. Hilang terus ‘kelembutannya’ dan terkeluarlah suara jantan yang selama ini ditahan-tahan.


Tanpa melengahkan masa, Arshah berpatah semula ke rumah Mak Long untuk menjemput Puan Rashidah yang mungkin sedang menunggunya di tepi jalan. Hampir 10 minit perjalanan, akhirnya keretanya membelok ke lorong di sebelah kiri. Dah namanya pun jalan kampung. Bawa kereta kenalah berhemah sikit. 


Tepat sekali dugaan Arshah. Dari jauh, sudah kelihatan kelibat Puan Rashidah dengan muka yang masam mencuka berdiri di bawah pokok mangga sambil ditemani Syaza di sebelah.


Cermin kereta diturunkan. Sempat dia menjeling ke arah Syaza sebelum memandang ke arah Puan Rashidah yang nampak bila-bila masa sahaja mahu meletup.


“Ibu, maaflah. Shah terlupa nak tunggu ibu tadi,” tutur Arshah dengan lembut. Tipu pun tipulah. Tipu sunat!


“Teruknya Shah ni. Dahlah, ibu sambung bebel dekat rumah ajelah.” Puan Rashidah menoleh ke arah Syaza sambil melemparkan senyuman bergulanya.


“Syaza, terima kasih sebab sudi temankan auntie sampai Shah datang. Auntie ni nampak aje berani. Tapi, sebenarnya penakut. Jumpa lagi, ya.” Puan Rashidah sempat menepuk bahu Syaza sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembusnya ke muka Syaza.


Arshah terus melopong melihat tindakan spontan Puan Rashidah itu. Yang peliknya, Syaza kelihatan seperti tidak perasan dengan tindakan spontan Puan Rashidah tadi. Memek wajahnya nampak begitu bersahaja menyebabkan Arshah mengambil keputusan untuk mendiamkan sahaja perkara tersebut. Arshah menoleh ke arah Syaza yang sedang membuntangkan mata ke arahnya.


“Ingat lawa sangat ke buat muka macam tu? Macam cik Pon tahu tak!”


“Ceh, lawalah. Dibandingkan dengan muka kau, cik Pon pun boleh menang!” Syaza berpaling dan terus masuk ke dalam sambil mulutnya tidak henti-henti menyumpah Arshah si mamat kurita!




Sekejap Arshah mengiring ke kiri. Apabila tidak selesa, dia mengiring ke kanan pula. Akhirnya Arshah mengalah. Malam ini, matanya memang tidak mahu lelap. Dia terus duduk sambil bersandar di kepala katil. Bukan malam ini sahaja dia tidak boleh tidur. Sememangnya setiap kali dia pulang ke kampung, perkara inilah yang akan berlaku berulang-ulang kali. Arshah membuka baju tshirt yang dipakainya kerana bahang di dalam bilik semakin terasa sehingga ke tulang. Kipas angin sudah dibuka ke paras yang paling maksimum. Makin lama dia ‘berserah’, semakin banyak peluh yang keluar berjejeran sehingga membuatkan tilamnya basah lencun.


Sekilas dipandangnya ke arah Izhan yang sudah lama terlena di sebelahnya. Dengkurannya yang kuat sedikit-sebanyak berjaya menganggu konsentrasi Arshah yang sejak tadi sedang berusaha untuk tidur. 


“Aduh, Izhan. Diamlah sikit. Memekaklah kau ni!” Marah Arshah sambil tangannya sibuk menggoncang-goncang tubuh sasa Izhan. Macam biasa, lelaki tu tidak akan sedar selagi matahari pagi belum menjelma.


“Hisy! Tidur dekat luar lagi bagus!” Gumam Arshah dengan geram. Dia sempat mencapai sebiji bantal dan selimut sebelum melangkah keluar menuju ke ruang tamu. Mahu dicapai bantal panjangnya, Izhan sedang sedang memeluk bantal itu pula. Nak tak nak, terpaksalah dia tidur ‘keseorangan’ tanpa ditemani bantal busuknya malam ini.


Dengan berhati-hati, bantal diletakkan di atas kerusi sofa. Ditepuk-tepuk bantalnya sehingga menghasilkan kepulan habuk halus di udara. Sudah beberap kali dia terbersin. Pelik betul aku. Asal tepuk aje. Keluar habuk! Asal aku tak tepuk, ada benda pula merayap-rayap dekat kepala aku. Takkanlah tidur dekat rumah emak sendiri pun nak kena bawa bantal dari KL! Jerit Arshah dalam hati. Dengan pantas, kepalanya terus direbahkan di atas bantal. 


Satu senyuman mula terukir di bibirnya tatkala teringatkan si jantung hati yang sudah tentu sedang terlena di atas katil empuk. Bukan macam aku! Kena buat tahi mata dekat atas sofa, rungutnya lagi. ia Namun, sekadar bermain di dalam fikirannya sahaja. 


“Kena tidur awal. Esok pagi sebelum bertolak ke KL, kena jumpa dulu dengan Nasya si cinta hati,” bisik Arshah sambil tersengih-sengih. Dia menarik kain selimut sehingga ke dagu lalu matanya terus dipejam rapat. Baru sahaja dia hendak terlena, tiba-tiba ada satu suara telah menyergahnya dari tepi. Terus termelatah Arshah sehingga tergolek jatuh di atas lantai.


“Tidur dekat sini ke, Shah? Kenapa tak masuk ke dalam bilik? Sejuklah tidur dekat kerusi,” tegur Puan Rashidah sambil duduk di atas kerusi sofa yang satu lagi. Renungan matanya cukup tajam. Sesekali mata Puan Rashidah menerawang memandang ke sekeliling.


“Ibu, pleaselah jangan buat anak lelaki ibu ni hampir terkena serangan jantung. Shah nak hidup lama lagi tahu tak. Nak kahwin dengan Nasya. Nak ada anak dengan dia.” 


Arshah terus bangun dan duduk semula di tempat perbaringannya tadi. Matanya yang tadi kian layu semakin segar pula. Hampeh betul.


“Siapa kata Shah boleh berkahwin dengan dia? Ibu tak nak keturunan Shah lahir entah dari siapa-siapa! Shah mesti ikut cakap ibu. Kahwin dengan perempuan tu!” Tegas Puan Rashidah dengan mata yang merah menyala. 


Arshah terus bangun dan menerpa ke arah Puan Rashidah. Walau apapun yang terjadi, dia mesti mempertahankan keputusannya itu. 


“Ibu, Shah cintakan Nasya!” Ujar Arshah dengan nada yang kuat. Sempat juga dia terfikir siapa pula perempuan yang di maksudkan oleh ibunya tadi. Dia terus menapak beberapa langkah ke belakang tatkala melihat Puan Rashidah sedang tersenyum menyeringai ke arahnya sehingga menampakkan kedua-dua taringnya yang agak panjang. Ulat hidup jatuh bertaburan dari muka Puan Rashidah yang tiba-tiba berlubang. Makin lama makin banyak pula. Arshah menekan-nekan perutnya dengan kuat. Hampir sahaja dia termuntah di hadapan wanita itu.


“Kau tak boleh berkahwin dengan dia!” Jerit Puan Rashidah lagi. Dia bingkas bangun lalu cuba mencekik leher Arshah. 


“Arghh!” 


Jeritan Arshah yang kedengaran hampir di setiap pelusuk rumah benar-benar mengejutkan Puan Rashidah dan Izhan yang sedang enak menjamu sarapan pagi di dapur.


“Oi, apa jerit-jerit ni! Tak macholah, bro,” usik Izhan sambil tergelak besar. Mana tak kelakar kalau Arshah yang sudah besar panjang boleh mengingau sampai tertidur di hadapan pintu depan rumah. Sengaja dia menahan Puan Rashidah dari mengejutkan abangnya yang masih terlena dibuai mimpi. Senanglah dia nak berjenaka pagi dengan lelaki itu nanti!


Arshah sedikit terpinga-pinga. Pandangannya bersilih-ganti memandang Puan Rashidah dan Izhan. Macam mana dia boleh tertidur di depan pintu pula? Bukankah malam tadi dia tidur di sofa ruang tamu?


“Dah, cepat mandi. Lepas itu, kita sarapan sama-sama. Ibu tunggu Shah.” 


Baru sahaja Puan Rashidah hendak melangkah ke dapur semula, Arshah terus memanggilnya dengan suara yang agak nyaring. Kalah suara Mak Bedah kampung sebelah!


“Ibu! Shah nak tegaskan di sini. Walaupun ibu menentang hubungan Shah dengan Nasya, Shah tetap akan ambil dia sebagai isteri Shah yang sah. Okay, deal?” Dengan sedikit lenggok, Arshah terus berjalan menuju ke biliknya. Walaupun tadi hanyalah sekadar sebuah mimpi, dia tetap mahu meluahkan isi hatinya itu kepada Puan Rashidah. Wajib! Mana tahu suatu hari nanti Puan Rashidah betul-betul tidak bersetuju untuk dia bersatu dengan Nasya. Sempat pula Izhan mengusik-usiknya namun Arshah hanya membalas dengan jeliran lidah.


Puan Rashidah terdiam. Dia sempat melihat ada kesan jerutan berwarna merah kehitaman di leher Arshah yang nampak begitu ketara pada pandangan matanya. 


“Kalau kau tak menghalang perkara itu daripada berlaku, tahulah nasib gadis itu bagaimana. Sama macam gadis-gadis lain yang aku pernah ‘hancurkan’. Arshah juga mungkin terpaksa menerima nasib yang sama. Kau tak mahu anak lelaki kau jadi seperti mereka, bukan,” bisik satu suara ghaib yang hanya Puan Rashidah sahaja boleh mendengarnya. Satu keluhan kedengaran keluar dari mulutnya.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat