Zaqwan menunggu kepulangan isterinya. Ruang tamu dibiarkan bergelap tanpa lampu. Jarum jam ditenung tajam sahaja dari tadi. Sudah hampir ke jam 10:00 malam. Lewat sekali isterinya pulang. Risau dan marah siling berganti mengambil tempat dalam hatinya.
Krek. Engsel pintu berbunyi setelah pintu ditolak seseorang. Zaqwan tahu, itu pasti Mawar. Ternyata tepat apabila suis lampu dipetik, Zaqwan dapat melihat kepulangan Mawar dengan wajah yang sedih.
Mawar mengeluh lalu berpura-pura tidak melihat sang suami sedang duduk bergoyang kaki menunggu kepulangannya. Kunci kereta disangkutkan pada dinding lalu langkah diatur ke kamar tidur. Dia ingin mandi dan tidur selepas ini. Fikiran dan tubuhnya penat. Dia tidak ingin untuk berbicara lebih mengenainya.
Namun, langkahnya terbejat apabila ditegur Zaqwan. Dia tidak jadi mendaki tangga.
“Baru balik?” Nadanya meninggi.
Mawar menoleh melihat suaminya yang bermuka serius disimbah cahaya lampu luar. Dia tidak mahu menjawab.
“Awak tu isteri orang dan berbadan dua. Awak perlu tahu batas,” ujar Zaqwan dengan tegas.
“What do you mean?” Soal Mawar laju-laju, tidak puas hati dengan teguran suaminya.
Hairan dengan kata-kata Zaqwan sedemikian yang tidak seperti selalu.
“Sepatutnya lepas pulang dari melawat ibu… awak terus sampai ke rumah. Urusan awak dengan Kidman selepas waktu pejabat… saya rasa tak wajar!”
Mawar ketawa, “Awak intip saya? Saya hanya keluar makan sahaja dengan dia. Saya lapar sebab tak makan petang.”
“Makan sahaja? Bukan luahkan rasa sakit hati awak lepas terima panggilan saya?” Suara Zaqwan semakin tinggi. Dia sudah berdiri namun tidak mendekati Mawar.
Mawar berdengus.
“Dah tu awak nak saya buat apa? Apa yang awak takut sangat kalau saya berjumpa dengan ibu mentua saya sendiri?” Jerit Mawar lalu berombak-ombak dadanya menahan marah.
Suasana begitu tegang saat ini. Zaqwan tergamam melihat Mawar yang selama ini lemah-lembut bertukar garang akibat provokannya. Itulah kali pertama mereka bergaduh.
“Saya tak faham dengan awak! Saya penat… letih!” Marah Mawar, meneruskan langkah meninggalkan Zaqwan yang terpinga-pinga.
Pintu kamar dihempas kuat oleh Mawar. Zaqwan terduduk dengan penuh kekesalan.
*****
WAKTU pagi hari ini terasa lain sekali. Zaqwan semalam tidur di atas sofa ruang tamu. Mawar pula awal-awal lagi sudah keluar ke tempat kerja. Lebih awal daripada kebiasaan. Apa yang tidak berubah, isterinya itu walaupun merajuk tetap sahaja sempat menyediakan sarapan pagi.
Roti bakar bersama telur separuh masak terhidang elok di atas meja. Kopi O panas di dalam teko tanpa dituang. Zaqwan berasa menyesal kerana terlalu ikutkan hati semalam. Hampir menitik air matanya melihat hidangan itu. Mawar isterinya yang baik.
Panggilan telefon dibuat kepada Mawar. Malangnya, semua panggilan ditolak. Sudahnya, Zaqwan menghantar pesanan melalui Whatsapp. Antara mesej yang dikirim, ‘Terima kasih sediakan sarapan saya. Saya minta maaf untuk kejadian semalam.’
Dan mesej-mesej itu hanya dibaca sahaja tanpa dibalas oleh Mawar.
*****
Mawar membiarkan sahaja mesej-mesej kiriman suaminya yang berulang kali meminta maaf atas kejadian semalam. Dia menjeling sahaja skrin telefon pintar sebelum fokus kepada skrin komputer.
Ting! Lagi sekali telefon pintarnya berdenting. Pada mulanya dia menyangka pesanan dari Zaqwan namun meleset setelah muncul nama Emily sebagai pengirim.
Laju sahaja Mawar menggeser skrin melihat kiriman Emily. Beberapa artikel dalam bentuk PDF dihantar oleh Emily dengan pesanan, ‘Ni artikel yang pernah I tulis mengenai Ismail Mahmud. Ada gambar-gambar sekali. I hope… it will help you!’
“Thanks Emily!” Balas Mawar, menaipnya.
Satu persatu fail PDF dibuka. Hampir sama sahaja maklumat di dalamnya; mengenai kisah hidup tokoh itu dari kecil sehingga dewasa; hasil-hasil karya dan percapaian.
Mawar mengeluh bosan. Hampir menguap membaca maklumat itu sehinggalah secara mendadak bola matanya mendadak besar membaca peristiwa malang menimpa tokoh itu.
“Kejamnya! Tergamak betul buat macam tu!”
Mawar meneruskan pembacaan. Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan artikel nukilan Emily, tokoh itu ditemui mati terapung di sebuah sungai. Belakang tubuhnya terdapat luka akibat tikaman objek tajam dipercayai pisau. Senjata pembunuhan tidak dapat dikesan dan kes ini masih tidak selesai sehingga sekarang. Motif pembunuhan dipercayai angkara tidak puas hati daripada sesuatu pihak.
Mawar mengurut kepala membaca maklumat itu, “Keluarga dia… ha, maklumat mengenai keluarga dia pula!”
PDF kiriman Emily yang lain dibuka lagi. Dibaca dan diteliti demi maklumat yang diingini. Setelah fail PDF itu tiada info yang dimahukan, dia membuka fail lain. Begitulah akhirnya dia tiba pada PDF terakhir. Terasa ingin melompat sebaik sahaja maklumat yan dicari ada di situ.
“Ismail Mahmud meninggalkan seorang isteri bernama Halimah Ahmad dan seorang anak lelaki berusia 5 tahun. Alah… tak cakap pula nama anak dia! Apalah Emily ni tulis artikel tak lengkap!” Rungutnya sambil mengetuk kepala sendiri.
Laju sahaja jari-jemarinya menaip pada papan kekunci. Dia mencuba pula carian bahan di Internet. Tidak menunggu lama, terpapar pelbagai bahan di situ. Dia mengklik pada imej. Rata-rata keputusan hanya gambar Ismail Mahmud semasa muda sahaja.
Asyik tatal ke bawah, tidak semena-mena mendadak berhenti.
“Itu ke isterinya?” Soalnya pada gambar Ismail Mahmud berdiri bersebelahan dengan seorang wanita. “Kejap… kenapa macam familiar ya perempuan tu?”
Mengikut syak wasangkanya, pantas dia mencetak keluar gambar itu. Diperhatikan sahaja untuk mengingati gerangan sebenar wanita itu. Apabila jawapan tidak ditemui, dia mencari lagi info di Internet. Dia mengeluh kuat setelah tiba di maklumat terakhir di situ.
“Terhad betul maklumat yang ada. Apalagi cara yang aku boleh buat?”
Ruangan bilik dipandang mencari akal sambil menongkat dagu. Tidak semena-mena, ekor matanya terpandang buletin lama yang diambil dari stor beberapa bulan lepas.
Tali rafia dileraikan. Ada dalam kira-kira 10 buletin. Tidaklah terlalu tebal mahupun terlalu nipis. Yang Mawar pasti, buletin-buletin lama semasa ayahnya masih bertugas di situ lagi.
Agak laju Mawar menyelak helai demi helaian. Namun, matanya begitu tajam membaca maklumat dalam artikel. Masuk ke buletin ke berapa, dia berhenti. Mulutnya terkumat-kamit sebelum meneliti gambar di situ.
“Ayah? Logik je kalau ayah bergambar bersebelahan dengan Ismail Mahmud. Lelaki tu pun kerap buat pameran dekat sini dulu.”
Tuk. Tuk. Tuk. Ketukan pintu berjaya mengejutkan Mawar yang begitu asyik dengan pencariannya.
Melihat jambangan mawar merah, Mawar tahu siapa disebaliknya.
“Sayang…”
Mawar buat-buat tidak dengar. Dia berpura-pura sibuk.
“I’m so sorry. Saya tak patut marah awak semalam,” sambungnya.
Pujukan dengan suara lemah-lembut membuatkan ego Mawar mencair. Dia ingin menangis apatah lagi emosinya tidak stabil dalam keadaan sekarang.
Zaqwan meletakkan jambangan mawar merah di atas meja.
“Saya bawakan kek coklat ganache kegemaran awak,” hulurnya.
Mawar menyambut dengan mata berkaca-kaca, “Janji jangan buat lagi macam malam tadi?”
“I promise my dear,” balasnya, mencium lembut dahi Mawar.
“I love you,” giliran Mawar memeluk tubuh suaminya dengan erat.
Bermadu kasih sekalipun, Zaqwan tetap tidak melepaskan peluang memerhatikan apa yang terpapar pada skrin komputer Mawar yang mengandungi maklumat mengenai Ismail Mahmud. Dan, buletin yang terbuka luas besar diperhatikan juga serta cetak keluar gambar oleh Mawar tadi menarik perhatiannya. Tahulah dia akan apa yang sedang dikerjakan Mawar.
“Jom kita makan di taman?” Ajak Mawar setelah Zaqwan diam begitu lama.