Home Novel Cinta SUAMI TANPA JIWA
SUAMI TANPA JIWA
Queen
16/8/2019 17:47:18
1,531
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

CHEMPAKA melangkah dengan kaki bergementaran ke ruang tamu yang dijadikan tempat untuk acara akad nikahnya dengan... 

Ibra.

Air liur yang ditelannya terasa kesat dengan hanya menyebut nama itu di dalam hati.

Lelaki itu membuatnya tak tenang. Setiap kali dia cuba membayangkan wajah Ibra setiap kali itulah ketakutan menyergapnya. 

Wajah bengis itu menakutkan. Tuduhannya yang kejam pada hari itu masih terasa menusuk sampai sekarang.

Dipaksakan kakinya untuk melangkah. Hati Chempaka menangis namun tidak dapat dia zahirkan. Papa sudah memberi amaran awal-awal menyuruhnya menjaga tingkah lakunya. Sejak peristiwa pembantaian tiga hari lepas, papa tidak lagi memukulnya. 

Lebam-lebam di tubuhnya masih tak hilang. Sakit di sekujur tubuhnya masih menyengat. Hanya wajahnya bebas dari pukulan brutal papanya hari itu kerana papa tak mahu wajahnya yang cedera akan menceritakan kisah sebenar realiti rumah yang disangka syurga oleh semua orang. 

Dunia yang penuh sandiwara dan kepura-puraan. Malah skrip lakonannya sudah dihafal kalau ditanya oleh orang luar. 

Datuk Marzuki dengan murah hatinya mengadakan majlis kecil untuk menghargai ibunya yang sudah lama berkhidmat di rumah Datuk Marzuki. Lagi pula kerana dia anak yatim piatu yang membesar di rumah Datuk Marzuki jadi dia sudah dianggap seperti keluarga Datuk Marzuki sendiri.

Jalan cerita yang indah. Menjadi anak orang gaji jauh lebih baik dari menjadi anak luar nikah. Lahir dari cara yang sah. Bukan sepertinya yang kotor dan jijik menurut kata papanya. 

Ibu bapa kandungnya telah melakukan dosa dan dia terpaksa menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh manusia untuk anak-anak yang lahir sepertinya. Beban dosa yang terpaksa dia usung di bahunya sampai bila-bila.

Dadanya terasa sesak bila dia tiba di tempat hukuman untuknya bakal dijatuhkan. Chempaka melihat sekilas orang-orang yang hadir sebelum kakinya yang bergetar sedari tadi dipaksa untuk duduk. 

Orang yang berkumpul tidak melebihi sepuluh orang. Keluarga Izan yang dia kenal tak ada yang datang. Daniel juga tak ditemukan kehadirannya.

 Lebih baik begitu. Daniel hanya akan memburukkan apa yang sudah kacau. Selain dari pembantu-pembantu rumah, ada beberapa orang yang dia tak ketahui siapa gerangannya. 

Dan Ibra…

Lelaki itu memakai baju melayu putih. Sama sepertinya. Jangan harapkan persalinannya adalah baju yang indah seperti bakal pengantin yang lain. Hanya baju kurung putih kosong dan selendang. Itu sahaja.

Chempaka memandang belakang lebar yang kelihatan begitu tegap di hadapannya. Dia tak tahu apa ekspresi lelaki itu. Mungkin turut berlakon  seperti papanya yang sedang menunjukkan wajah bahagia.

Sepanjang proses akad nikah berjalan, Chempaka hanya tunduk. Ketika mendengar namanya diseru suara kasar itu Chempaka hampir ingin bersujud memohon supaya akad nikahnya dibatalkan.

Dan apabila perkataan sah dilaungkan tangannya menggenggam sisi baju kurungnya dan merintih kepada Allah S.W.T.

Tolong hamba-Mu ini Ya Allah. Tolong lembutkan hati dia. Tolong…

Usai upacara akad nikah dan melihat tetamu sedang menyantap makanan membuatkan dahi Datuk Marzuki berkerut menahan rasa tak puas hati terpaksa mengadakan majlis walaupun kecil untuk perkahwinan si budak sial yang dibencinya itu.

Tak habis dia memaki di dalam hati sehinggalah bahunya ditepuk dari belakang. 

“Datuk, tak makan ke?” 

“Apa panggil datuk pulak Imam. Segan saya.” Ketawa mesra Datuk Marzuki memecah.

Imam Lokman tersenyum. Datuk Marzuki memang cukup terkenal sebagai orang yang dermawan dan merendah diri. Datang juga dari keluarga yang baik-baik dan alim.

"Murah betul hati Haji buat majlis untuk anak bekas pekerja Haji." 

"Hish, majlis kecil aje Imam. Ikutkan saya nak buat besar sikit, kurang-kurang biarlah ada pelamin. Baru nampak macam kahwin. Ni tak, hesy..." Datuk Marzuki menggeleng-geleng memaparkan wajah terkilan.

"Orangnya tak mahu. Tak nak menyusahkan katanya. Yalah mereka berdua tu sama-sama yatim piatu. Dengan saudara mara pun kurang rapat. Tengoklah yang datang berapa kerat saja. Jadi buat majlis besar pun tak tahu nak jemput siapa katanya," panjang lebar Datuk Marzuki bercerita tak bagi Imam Lokman di depannya ini curiga.

"Oh... patutlah. Kesian dua-dua dah tak ada mak ayah." Iman Lokman tumpang simpati. 

"Pengantinnya sama cantik sama padan kan Haji. Saya doakan bahagia sampai ke anak cucu," doanya penuh ikhlas.

Tangan Datuk Marzuki terkepal erat namun tetap mengawal air mukanya. "Aamiin..." sahutnya penuh harapan namun di dalam hati dia mencemik.

Kalau kedua-duanya mati pun malam ni dia cukup bertuah. Hilang dua darah kotor yang tak patut wujud di atas muka bumi ini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Queen