Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 50

Dia mengeluh. Entah berapa kali. User dengan nama Admin ditekan setelah user bernama Adrian tidak dapat ditembusi kerana memerlukan kata kunci untuk masuk.

"Duduk sorang-sorang pun nak kena pakai password ke?" gumamnya tidak berpuas hati.

Dilarikan tetikus. Mengeksplorasi ruang desktop yang padat dengan folder kerja. Setiap satu nama folder itu dibaca dengan teliti hinggakan ikon Bin turut ditekan. Diselidiki dan tiada fail yang dirasakan berkaitan sebelum dia menutup tong sampah itu. Puas, dia kembali ke laman desktop. Menekan ikon G dan tiba-tiba berdekah dia ketawa keseorangan.

How to win a girl's heart terpapar dalam kotak carian. Amboi! Google juga yang dijadikan tempat rujukan. Tetapi, meski berasa lucu dia disaluti rasa terharu mengenangkan usaha lelaki itu untuk memenangi hatinya. Cuma, setelah itu dia terkelu. Pantaskah perbuatannya ini? Keliru dan buntu akhirnya dia menutup komputer itu sebelum melarikan diri ke tingkat bawah.

Sebenarnya sejak dari bangun tidur tadi dia bersendirian. Tiada Dr. Adrian menyapa dan setelah dirasakan memang dia benar-benar bersendirian pagi itu, mood malas mengambil alih. Enak bergolek di atas katil barulah dia berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Selepas itu dia memanjat ke tingkat atas. Membaca buat beberapa ketika dan komputer itu pula ditinjau.

Langkah diambil terus ke dapur. Lapar. Sebaik menjejak ke ruang itu dia mendapati sarapan sudah disediakan. Makanan itu ditutup dengan penutup besi berbentuk bulat bersaiz sederhana. Terus sahaja dibuka penutup makanan tersebut. Terdapat sepinggan mee tarik tetapi kosong. Seperti sudah dicelur. Juga terselit sekeping nota dengan tulisan tangan lelaki itu dibawah pinggan tersebut.


Saya keluar. Makan dulu.


Oh. Patutlah senyap sahaja rumah itu. Nota pesanan itu direnung sebentar kemudian diletakkan kembali ke meja. Dia mendekati mesin kopi untuk membancuh minuman. Siap dan dia kembali ke island table lalu duduk. Sebiji mangkuk yang bertutup rapat bersebelahan pinggan mee dibuka penutupnya. Aroma sup ayam bertebaran. Enak baunya. Oh. Rupa-rupanya Dr. Adrian menyediakan mee sup untuk sarapannya. Senyum hingga ke telinga dia menghabiskan hidangan paginya itu.

Usai makan dia duduk berteleku dimeja. Dikerling ruang yang sentiasa menenangkan mata. Tiada apa untuk dikemas apatah lagi dibersihkan. Akhirnya dia meninjau laman belakang melalui cermin tingkap. Sebelum ini halaman itu cuma diintai dari balkoni tingkat atas. Belum lagi berkesempatan untuk dijelajahi. Hajat dihati mahu menerokai laman itu pula dari duduk bermalasan begitu.

Daun pintu ditarik dan udara pagi menjemputnya agar melangkah keluar. Wah, halaman belakang yang agak luas. Diintai sepasang selipar bersaiz besar. Tentu milik lelaki itu. Disarung ke kaki dan dia menapak di atas lantai yang diperbuat daripada material kayu untuk menuruni dua mata anak tangga.

Dihalaman kirinya, padang rumput dengan lebar lebih kurang sepuluh kaki terbentang dengan tiga binaan tempat sidaian yang kosong. Dihujungnya pula terdapat sebuah gelanggang bola keranjang mini. Laluan pejalan kaki dibina bermula tempatnya berpijak membelah kawasan berpagar itu menjadi dua bahagian. Sebuah pondok berdinding kaca dan berbingkai hitam berada disebelah kanan. Manakala bersebelahan rumah hijau itu sebuah taman mini bertemakan Zen Garden dengan taburan batu hitam dan putih, pokok-pokok hiasan yang pelbagai saiz dan dua buah kerusi kayu pelengkap dekorasi.

Dikerling rumah hijau. Tanaman di dalam rumah hijau itu amat dikenali olehnya. Bagaikan magnet kakinya tertarik untuk ke situ. Ditolak pintu gelongsor itu. Harum mewangi tumbuhan itu menyapa. Dimana-mana kelihatan tanaman orkid sama ada di dalam pasu yang serba putih itu, digantung, di atas para atau pun di tanah.

Perasaannya bercampur-baur. Teringatkan arwah mummy yang gemarkan tanaman itu. Apakah Dr. Adrian juga berkongsi minat yang sama seperti arwah mummy? Perlahan-lahan dia mengelilingi ruang sederhana bersegi empat tepat itu. Telapak tangan membelai beberapa jenis yang dikenali antaranya Cattleya, Mokara dan Doritis yang pelbagai bentuk dan warna. Sebuah meja kecil dengan bangku yang terletak dihujung diduduki. Dia memerhati. Terlihat bayangan arwah mummy semasa sedang menguruskan tanaman kesayangan itu. Sejenak dia melayani perasaan.

Bakul di atas meja pula dikerling. Sarung tangan, gunting, botol-botol spray dan pelbagai alatan berkebun. Dia meneliti sebuah pasu berdekatan yang dipanggil dengan nama Phal oleh arwah mummy. Dia bangun lalu mendekati tanaman yang diletakkan di atas para itu. Disentuh dan dibelek dengan hujung jarinya. Tiada bunga. Hanya dedaun hijau dan batang yang tinggi. Bahagian bawah batang pokok itu ditilik. Nampak keiki dengan daun selebar tiga hingga empat sentimeter tumbuh dicelahan. Dia mengenalinya kerana diajar oleh arwah mummy sebelum ini. Itu pun sudah ingat-ingat lupa.

Dibawa pasu itu kembali ke meja. Gunting dan satu botol yang bertanda alcohol dicapai. Disembur cecair itu pada bilah gunting dan dia kembali duduk. Rasanya dia masih ingat akan cara memotong keiki. Kaedah untuk mengalihkan anak pokok ke dalam satu pasu kecil yang lain bagi proses tumbesaran tersendiri. Otak ligat mengingat jarak yang seharusnya diambil untuk dipotong batang kecil itu.

'Lebih kurang dua ruas jari, kot.'

Hujung gunting diacah beberapa kali ke arah batang pokok tersebut.

"Opss! It's alright. I'll take it from there."

Dia tergamam. Tangan yang memegang gunting dipegang kejap. Sebentar dadanya deras bergetar. Terkejut sungguh disapa begitu. Dia mendongakkan kepala. Dr. Adrian tersengih dengan gunting yang telah dirampas berada ditangannya. Suraya memuncungkan bibir sebelum teringatkan sesuatu.

"Oh, sorry, tak mintak izin." ujarnya setelah sedar akan kesilapan. Dia memandang ke depan melihat keiki yang hampir dipenggal sebentar tadi. Sebelah tangan lelaki itu dirasakan berlabuh dibahunya.

"Yup. Lagi satu kenapa tak pakai glove?"

Dia tersipu apabila ditegur. Terlupa. Mungkin kerana terlalu teruja setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti itu.

"Bosan?" tanya Dr. Adrian lagi.

"Boleh, lah." sahutnya.

"Dah makan?"

"Dah. Awak?"

"Awak? Malam tadi bukan nama lain ke awak panggil saya?"

Keningnya berkerut. Direnung Phal dihadapan.

"Panggil apa?" soalnya hairan. Dr. Adrian meletakkan gunting di tepi pasu. Disentuh kedua belah bahu Suraya dan dibawa gadis itu untuk berdiri. Juntaian rambut yang terlepas dari ikatan ekor kuda itu diselit ke belakang telinga dengan hujung jari. Ragu-ragu kerlingan gadis itu dihantar kepadanya. Dr. Adrian senyum. Tipis.

"Cuba ingat balik."

Suraya menunduk. Memerah otak memikirkan.

'Malam tadi? Bila masa pulak aku panggil dia malam tadi?'

Rasanya semasa bermimpikan arwah abah pada malam tadi memang dia ada menjerit. Memanggil abah berulang kali. Tapi, tidak pula dia ingat memanggil lelaki itu. Kepala tergeleng-geleng. Langsung tak ingat. Dengan sedikit menunduk wajah Dr. Adrian bertemu betul-betul dihadapan mukanya. Terkelip-kelip kelopak matanya membalas tatapan tersebut.

"Awak panggil saya abang."

Mulutnya sedikit terbuka. Kemudian tutup. Adakah seruannya malam tadi terlalu kuat hingga didengari oleh lelaki itu. Tetapi, dia pasti lelaki itu telah salah mendengar.

"Tak. Mana ada.." jawabnya perlahan. Dr. Adrian sengih.

"Maybe awak bercakap dalam tidur, kot? Tapi saya suka dengarnya. Apa kata lain kali awak praktis panggil saya macam tu." ucap Dr. Adrian berbaur harapan. Suraya merona. Tidak sampai hati mahu membetulkan salah faham itu kerana dia belum bersedia untuk berkongsi mimpinya itu dengan sesiapa. Ia memori peribadinya. Dan terlalu peribadi.

"Erm... Awak pergi mana tadi?"

Dr. Adrian ketawa lepas. Kembali menegakkan tubuh dan satu cubitan mesra dipipi Suraya diberikan.

"Pandai tukar topik."

Suraya kembali tersipu.

"Jumpa kawan baik. Jangan fikir awak seorang aje yang ada BFF." tutur Dr. Adrian lantas bersandar pada tiang para dibelakangnya. Kedua tangan masuk ke dalam poket jeans.

"Tak sangka awak ada kawan jugak. Saya fikir dunia awak cuma ada diri awak dan kerja aje." getusnya. Dr. Adrian tergelak kecil.

"Itu pandangan awak?"

Suraya mengangguk.

"Based on?"

"Sebab di ofis awak sentiasa nampak sendirian."

Suaranya diperlahankan. Bimbang memandai membuat andaian. Sebaliknya suaminya itu tetap dengan lagak tenangnya.

"And..?"

"Sebenarnya sebelum ni saya tak pernah pun pedulikan awak. Tapi, selepas kali pertama kita jumpa di site, kadang-kadang saya jadi pemerhati." ceritanya akan tabiat dalam diam terhadap suaminya itu sebelum ini.

"Really? Tapi apa yang nak diperhati?"

"Eh, awak tak tahu ke berapa ramai peminat awak dekat ofis tu yang gemar spy awak?"

"Hmm... Tapi saya tak berminat nak tahu. Saya nak tahu tentang awak. Apa yang awak perhati tentang saya tu?" ujar Dr. Adrian selamba. Suraya menggeleng.

'Memang sah dia dan dunia dia aje.'

"Bila terserempak dengan awak, saya tengok awak macam menutup ruang disekeliling awak... Orang lain seperti tiada kaitan dengan awak. Bila orang tegur, awak akan balas sebab ianya tindak balas spontan bukan sebab awak yang sapa mereka dulu... Bila mereka pandang, awak tak hiraukan pandangan mereka. Awak macam tengah berfikir. Dan bila mereka berbual awak tak ambil peduli. Tapi, awak dengar dan akan mencelah bila sesuatu berkaitan dengan a-... Huhh?" ucapan panjang lebarnya terhenti sebelum diraih rasa terkejut kerana kedua belah tangannya tiba-tiba ditarik. Spontan tubuhnya terdorong ke depan.

"Untuk kesekian kali, saya tertanya-tanya, siapa sebenarnya awak, Suraya?" soal Dr. Adrian separuh berbisik. Juga sedikit berhati-hati. Jari telunjuk lelaki itu mencuit hidungnya. Sebentar sebelum turun ke bibir. Lama jari itu meniti di atas ulas bibir berona merah jambu yang pucat sebelum hujung jari itu tiba-tiba digigit.

"Aduh!!"

Pantas Dr. Adrian menarik tangannya.

"Ahahaha...! Awak gigit saya? Awak gigit saya, Suraya!" kata Dr. Adrian sambil ketawa besar. Terkejut dan lucu dengan tingkah isterinya itu. Suraya mengetap bibir.

"Berhenti bermain-main dengan saya, Adrian!" katanya sedikit geram.

"Tapi, suami isteri bergurau-senda dapat pahala, kan?" usik Dr. Adrian. Belum puas melihat reaksi marah isterinya itu. Tengah marah pun cantik pada matanya. Suraya terdiam sebentar sebelum merenung tajam lelaki itu.

"Boleh tolong kembali ke topik asal, tak?" ucapnya serius. Segaris senyuman diukirkan oleh Dr. Adrian.

"Okay. Apa topik yang kita bincang tadi? Saya lupa pulak." kata Dr. Adrian dengan selamba sambil berpeluk tubuh. Menyaingi lagak lelaki itu dia turut mengangkat tangan berpeluk tubuh.

"Tentang awak, Adrian... Tentang diri awak. Jangan buat-buat lupa pulak yang awak pernah janji akan ceritakan pada saya tentang diri awak."

Dr. Adrian mengangguk-anggukkan kepala. Merenung sebentar isteri dihadapannya sebelum menggeleng sekilas.

"Belum sampai masanya lagi."

"Apa? Apa maksud awak, Adrian?" tanya Suraya tidak berpuas hati. Lelaki itu menjungkitkan bahunya, tipis tersenyum lalu dibiarkan pertanyaannya tergantung. Bengang.

"Adrian! Awak mungkir janji!" selar Suraya.

"Nope. Saya tak pernah janji untuk ceritakan pada hari ini."

"Habis tu bila lagi? Bila masa yang sesuai tu?"

Separuh tidak sabar, dia menanya lagi.

"Nantilah." sahut Dr. Adrian ringkas. Suraya menahan dinding kesabaran yang semakin menipis disanubari.

"Atau, awak tak percayakan saya?" getusnya. Dr. Adrian diam. Suraya terpaku. Reaksi terkejut yang terpamer hanya sesaat diwajah lelaki itu sempat tertangkap pada lensa matanya.

"Awak tak percayakan saya?" tuturnya satu per satu. Air muka lelaki itu ketara berubah sebelum dihapuskan dengan ombak ketenangan.

"Awak yang tak faham, Suraya. Belum tiba masanya lagi." balas Dr. Adrian dengan suara yang perlahan. Tangannya yang berpeluk tubuh kembali masuk ke dalam poket jeans yang dikenakan. Suraya memerhati ke bawah sebelum sepasang matanya diangkat membalas renungan lelaki itu.

"Baik. Saya faham. Saya faham sangat-sangat, Adrian. Daripada seseorang yang tak dikenali saya jadi isteri awak. Memang patut awak curiga dengan saya. Manalah tahukan kot-kot saya ni spy yang dihantar oleh musuh awak tu." sindirnya. Hairan. Mengapa hatinya terasa sakit seperti sedang dicucuk oleh sesuatu yang tajam. Dan hairan mengapa akhir-akhir ini perasaannya agak sensitif terhadap apa saja ucapan atau tindak-tanduk lelaki itu yang dirasakan tidak sesuai mengikut kehendaknya. Kenapa mudah benar amarah itu memunculkan diri? Kenapa dia tidak mampu untuk bertolak-ansur dan berbincang dengan tenang padahal itulah sikap yang sering diamalkan sebelum ini. Dia benar-benar kebingungan dan keliru. Tanpa menantikan penjelasan lelaki itu dia mengangkat kaki terlebih dahulu tanpa menoleh lagi ke belakang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.