Home Novel Cinta SUAMI TANPA JIWA
SUAMI TANPA JIWA
La-lila
16/5/2020 16:48:51
690
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

ERANGAN kesakitan terdengar begitu lemah keluar dari pemilik tubuh yang meringkuk di lantai yang dingin itu. 

Sebaik saja kesedarannya menjelma bibir yang kering digigit, menahan rasa sakit yang menjalar di seluruh tubuhnya. Kepalanya berdenyut sakit seperti mahu pecah. 

Lidahnya menjilat bibir, tekaknya kering. Dahaga. Rasa sakit di sekujur tubuhnya ini menandakan yang dia masih hidup. 

Chempaka menangis, permintaannya untuk mati tidak dikabulkan. Berapa lama lagi dia harus menanggung derita dipukul dan dizalimi seperti dia bukan makhluk yang merasa sakit dan luka. Binatang pun tak diperlakukan sebegini rupa.

Haknya sebagai manusia dinafikan. Dikurung, dipukul, diperlakukan sehina-hinanya. Dia cuma mahukan semua penderitaannya ini berakhir. Itu saja.

Dan itu pun dia tak mampu dapatkan.

Air liurnya ditelan. Haus... dia haus sangat.

Chempaka menghela nafas perlahan-lahan. Mengumpul kekuatan untuk bangun. Entah bila kerana sekarang untuk menggerakkan seinci tubuhnya pun dia takut. Dia tak sanggup menanggung sakit lebih dari apa yang dirasakannya sekarang. Terbaring begini saja seluruh tubuhnya begitu azab, sakitnya hanya Allah saja yang tahu.

Chempaka memandang kosong ke jendela yang tak pernah terbuka lagi sejak kejadian Daniel membawanya lari. Datuk Marzuki tak mahu Daniel bertemu dengannya lagi lalu jendela yang sejak dari dia kecil sudah berjeriji kini dipalang dari luar.

Kalau dulu dia dapat melihat dunia luar melalui jendela itu sekarang tidak lagi. Malah dia tak tahu sama ada sama ada hari sudah pagi atau pun masih malam. Dia hanya mampu mengagak waktu melalui azan yang berkumandang. 

Hidungnya menghidu bau makanan basi. Seingatnya dia dipukul pada waktu malam. Itu membuktikan waktu sudah berganti hari.

Berapa lama sudah dia pengsan? Atau mungkin berapa hari sudah dia tak sedarkan diri.

Ibra!

Kuat jantung Chempaka berdegup sehingga nafasnya terasa sesak bila teringatkan lelaki yang cukup menggerunkan itu. 

Tak mungkin malam ini kan?

Kalaulah perkahwinannya berlangsung pada malam ini maknanya malam ini juga tubuhnya bakal dibantai lagi. Oleh orang yang berlainan dengan tenaga yang jauh lebih kuat. Mungkin tak perlu pukulan berkali-kali seperti yang dilakukan Datuk Marzuki untuk buat dia pengsan. Sekali saja sudah cukup. Mungkin lagi bagus begitu. Lagi kuat, lagi sakit, lagi cepat kematian akan menjemputnya.

Mata Chempaka melilau memandang ruangan yang kini kosong setelah kematian Nek Pah. Datuk Marzuki membuang segala barang di dalam bilik yang ditempatinya bersama Nek Pah sejak dia masih merah lagi.

Tiada apa yang tinggal hanya beberapa helai pakaiannya yang bertebaran akibat ditendang Datuk Marzuki di malam dia mengamuk itu. Bilik ini sekosong-kosongnya. Kata Datuk Marzuki dirinya yang hina ini tidak layak untuk mendapat sebarang kemudahan darinya.

Dia sedar Datuk Marzuki ingin menyiksa bukan setakat fizikalnya. Tetapi sampai mentalnya juga. Datuk Marzuki mahu buat dia sampai hilang kewarasan.

Chempaka tak kisah tidur tanpa alas tetapi dia tak mahu barang-barang Nek Pah dibuang. Itu saja kenangan dia dengan Nek Pah yang tinggal. Bahkan Datuk Marzuki begitu tidak berperikemanusian tidak mahu membenarkan dia melihat Nek Pah untuk kali terakhir.

Dia masih ingat dia memberanikan diri merayu Datuk Marzuki. Permintaannya tak ditunaikan malahan dia dipukul berkali-kali sehingga pengsan. Sebaik sahaja sedar ruangan ini sudah kosong. 

Chempaka melirik ke arah pinggan yang diletakkan di atas lantai dengan hati sayu dan menyesal. Kalaulah dia sedar dari awal tentu nasi itu takkan sia-sia dibazirkan begitu saja.

Bukannya selalu dia dapat makan, dalam tempoh sebulan ini ianya boleh dibilang dengan jari.

Nasib baik bilik ini ada bilik air. Air paip dari situlah menjadi sumber dia tetap bertahan hidup sampai sekarang. 

Dia tak pernah keluar dari biliknya sejak kecil. Pintunya sentiasa dikunci. Pernah dulu Nek Pah lupa, ketika itu usianya 6 tahun dan sejak itu dia tak pernah teringin lagi untuk keluar dari biliknya.

Hari itu dia sembunyi-sembunyi keluar dan malangnya terserempak dengan Datuk Marzuki.

Cubitan dan pukulan di badan oleh Nek Pah di saat dia merengek ingin keluar bukan lagi apa-apa kalau nak dibandingkan dengan pukulan yang begitu sadis oleh Datuk Marzuki yang disaksikan oleh Datin Junaina dengan Daniel yang langsung tak berniat untuk menolongnya malah Daniel bersorak sakan seperti menyaksikan pertunjukan di sarkas. Malah dia dapat melihat senyuman puas di wajah Datin Junaina.

Pukulan itu berhenti bila Nek Pah yang nekad memeluknya yang meringkuk di lantai menggantikannya menerima pukulan dari Datuk Marzuki. Di saat itu juga Datin Junaina pantas menghentikan kegilaan suaminya.

Nek Pah disayangi Datin Junaina. Sebagai orang yang membesarkannya di rumahnya yang dulu dan dibawa ke rumah ini setelah berkahwin dengan Datuk Marzuki. 

Dulu dia menganggap kebencian Datuk Marzuki dan Datin Junaina kerana dia anak luar nikah yang dijumpai Nek Pah di depan rumah banglo ini. 

Rupa-rupanya ada rahsia lain di sebaliknya. 

Alasan sebenar kenapa dia tidak dibenarkan keluar dari rumah ini.

Punca kenapa dia tidak dibenarkan sekolah.

Sebab kenapa Nek Pah curi-curi mengajarnya membaca dan memintanya untuk merahsiakan dari sesiapa pun.

Semuanya kerana Datuk Marzuki dan Datin Junaina tak mahu dia berpelajaran dan berniat untuk mencari siapa dirinya yang sebenar.

Datuk Marzuki begitu membencinya kerana dialah punca kesedihan Datin Junaina, isteri kesayangannya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila