Home Cerpen Umum Shasha - Bab 5
Shasha - Bab 5
Ai Em
18/4/2020 21:43:57
124
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Sedang aku ralit mencatit catatan yang memenuhi segenap ruang pada papan hitam satu cuitan di pinggang serta-merta membuatkan aku tersentak. Mujurlah aku bukan jenis individu yang mudah melatah. Sarah disisi aku kerling tajam. Dia menyeringai membuat muka tidak bersalah. Sehelai kertas kecil diselitkan dibawah buku tulisku. Aku mengambilnya lalu membaca pesanan tersebut. Tidak mengambil masa untuk berfikir panjang, aku mengangguk tanpa memandang ke arah gadis itu. Melalui ekor mata aku lihat Sarah sengih lebar.

"Kau nak cari apa dekat mall?" soalku ketika kami berdua berjalan bergandingan sebaik turun dari bas.

"Sushi! Lama tak makan sushi dekat Mr. Seaweed. Teringin sangat tau." jelas Sarah tanpa menghiraukan pandangan sekeliling yang bertumpu kepadanya dek kerana nadanya yang agak kuat. Aku tersenyum tipis.

"Kenapa tiba-tiba ajak aku?"

"Sebab kau ni jenis tak membantah. Aku suka kawan kau pasal kau tak macam orang lain." kata Sarah lagi menerangkan persoalan yang timbul sejak aku dipelawa tadi.

"Jadi, sebab aku ni jenis ikut telunjuklah?" tempelakku tanpa ada niat untuk bertikam lidah.

"Tak. Sebab kau buatkan sesuatu tu jadi mudah dan tak menyusahkan orang lain. Kalau budak lain, bila aku ajak ke bandar je mesti nak tukar baju dululah... Nak balik dululah. Leceh!" ujar Sarah panjang lebar. Aku senyum tipis lagi.

"Aku belanja, k. Jangan malu-malu." kata Sarah lagi ketika kami melangkah masuk ke dalam mall yang berhawa dingin itu. Ah! Lega rasanya setelah menempuh keadaan panas diluar. Di Mr. Seaweed, benar seperti yang dikatakan oleh Sarah. Berselera betul dia menikmati hidangan dari negara matahari terbit itu. Usai di situ, kami mengambil keputusan untuk window shopping sebelum pulang. Ketika berada di tingkat dua, entah macam mana aku ternampak kelibat seseorang yang amat aku kenali. Berdesup detak jantungku tiba-tiba berhenti seketika. Lelaki itu! Dan tidak semena-mena sahaja perasaan cemburu timbul melihatkan lelaki itu sedang duduk berbual dengan seorang wanita. Mereka kelihatan mesra berbual-bual sambil bergelak ketawa. Aku memerhati lagi. Wanita itu mengenakan tudung di kepala. Shawl panjang itu seakan pernah aku lihat sebelum ini. Begitu juga dengan pakaian yang dikenakan. Apabila wanita itu menoleh ke sisi jantungku kini benar-benar berhenti. Kak Jojo!

"Oi, Hana! Aku berjalan sampai hujung sana sorang-sorang, bercakap sorang-sorang.. Rupa-rupanya kau tertinggal dekat sini. Malu, oi! Ada budak laki tu gelakkan aku tadi. Perghh! Kau kalau nak makan lagi bagitahulah." omel Sarah lantas mengejutkan lamunanku yang masih diam memerhatikan Kak Jojo dan lelaki itu di dalam sebuah restoran. Aku segera memusingkan tubuh. Tak sanggup lagi aku melihat adegan itu. Hisy! Apa kena dengan aku ni? Kenapa nak cemburu? Aku tak kenal pun siapa lelaki tu? Jumpa pun baru dua kali. Itu pun siap pengsan. Malu betul! Cuma, aku sedikit terkilan kerana sebaik aku sedar lelaki itu tiada. Hanya Kak Nora sahaja yang berada disisiku. Kata Kak Nora, Kak Min yang menghantarku pulang. Tidak langsung disebut tentang lelaki itu. Aku pula berasa segan untuk bertanya dengan lebih lanjut.

"Jom balik." ujarku. Sarah nampak sedikit terkejut. Namun, dia pantas menutupi perasaannya dengan sebuah senyuman.

"Yelah. Lagipun hari ni banyak kerja sekolah, kan? Jomlah." Kata Sarah perlahan. Mungkin cuba menyedapkan hatiku. Mungkin juga hatinya sendiri. Entahlah. Aku melangkah dengan perasaan yang bercampur baur. Aku keliru. Dan aku marah dengan diriku sendiri. Belum pernah aku merasai perasaan sebegini. Ianya terlalu asing bagiku. Semakin jauh aku melangkah menjauhi mall tersebut makin kerap pula wajah dan senyuman lelaki itu bermain dimindaku. Dada tiba-tiba menjadi sarat. Apakah ini? 

Bab 6

Aku tiba awal satu jam di cafe. Rata-rata terkejut. Selamba aku memberi alasan enggan terperangkap di dalam kesesakan. Padahal laluan yang dilalui oleh bas yang aku naiki selama ini belum pernah menempuh kesesakan kecuali apabila tiba di kawasan bandar. Beg galas pada hari ini sedikit berat. Kerja sekolah turut aku bawa bersama. Aku bercadang mahu menghabiskan masa dengan menyiapkan kerja sekolah sebelum masuk berkerja. Tepat jam enam aku sudah kemas mengenakan apron dan mula melayani pelanggan. Seperti biasa, sepuluh minit sebelum jam lapan aku meminta kebenaran untuk berhenti solat. Begitulah rutin kami. Sama-sama mengambil giliran untuk berehat seketika bagi menunaikan kewajipan itu. Selesai bersolat, aku mengemas ikatan rambut yang panjangnya  hampir mencecah pinggang. Penampilan ketika aku berkerja mendapat sedikit bantahan dari Mami. Namun, setelah aku memberikan hujahku tersendiri Mami mendiamkan diri. Kaca mata juga tidak aku gunakan. Tiada siapa tahu bahawa kaca mata yang aku kenakan ketika disekolah hanyalah sebagai aksesori semata-mata. Mengenangkan kaca mata itu, ruang memori melayang terkenangkan Abang Didi. Kerana lelaki itu aku mengenakan kaca mata. Kerana Abang Didi berkaca mata! Sejak kecil aku gembira bermain bersama Abang Didi. Tuturnya lembut sahaja. Jikalau Kak Jojo memarahiku, Abang Didilah yang akan memujukku. Kerana Abang Didilah aku tidak gemar bergaul dan berkawan dengan budak lelaki. Sikap mereka sangat berbeza dengan Abang Didi. Sudahlah gemar mengejek dan mempersenda. Kasar dan terlalu berterus-terang. 

"Shasha, ada tetamu nak jumpa kau." tegur Sweta sebaik kakiku melangkah masuk ke ruang kerja. Kedua belah keningku sedikit terangkat. Sweta menunjuk ke arah sesuatu dengan jari telunjuknya. Pipiku sebal. Dengan langkah yang berat aku melangkah mendekati tetamu yang tidak diundang itu. 

"Kenapa tak balik rumah? Jenuh kakak tunggu, tau." ujar Kak Jojo. Sesungguhnya aku tidak mengerti bagaimana Kak Jojo mampu tersenyum lebar sebegitu meskipun dia sedang terkilan dengan layananku terhadapnya selama ini. 

"Sibuk." jawabku acuh tak acuh. Kerana kakaklah aku bertolak awal dari rumah tadi. Aku pasti dia akan balik ke rumah. Dan aku belum bersedia untuk bertemu dengannya setelah kejadian di mall siang tadi. Aku masih berdiri. Sesekali memerhati ke kiri dan kanan. Bimbang jika ada pelanggan yang ternanti-nanti untuk mendapatkan perkhidmatan. 

"Duduklah. Kakak dah minta kebenaran untuk bercakap dengan Hana. Manager bagi sepuluh minit." kata Kak Jojo masih mempamerkan barisan giginya yang indah bersusun. Antara mahu atau tidak aku duduk juga dihadapan kakakku itu. Kak Jojo senyum pula. Gembira agaknya melihat aku mengalah dengan permintaannya. 

"Balik nanti kakak ambil, ye." ucap Kak Jojo lagi. Aku menggeleng. 

"Tak perlu. Mungkin lewat. Siap closing baru boleh balik." kataku menolak pelawaan kakakku itu. Kak Jojo senyum lagi. Dia tahu tiada guna membuat tawaran dengan adiknya yang keras kepala ini. Buang masa sahaja! 

"Okay. Takpe.. Hati-hati tau. Kakak tak sabar nak berborak panjang dengan Hana. Ada banyak perkara kakak nak luahkan. Salah satunya kakak nak bertunang!" tutur Kak Jojo dengan suara yang tertahan namun bercampur teruja. Bagi Kak Jojo mungkin ianya berita gembira. Tapi tidak bagi aku. Bagai dihempap sebiji batu besar, aku tidak lagi mendengar celoteh Kak Jojo saat ini. Tunang? Apakah dengan lelaki itu? Dadaku mulai sebu. Wajah lelaki itu dan senyumannya datang bersilih ganti dengan Kak Jojo. Oh! Aku dah gila! Aku sukakan bakal tunang kakak aku sendiri! Sebutir bicara dari Kak Jojo langsung tidak aku ikuti. Ketika Kak Jojo memeluk bahuku untuk beredar juga aku masih terpaku di meja. Sehinggalah Sweta datang menegurku barulah aku kembali ke dunia realiti. Meski aku kembali melayani kemahuan pelanggan yang datang silih berganti, kata-kata Kak Jojo kerap diulang siar dalam benakku. Aku bergerak bagai robot ketika ini. Senyum apabila melihat seseorang senyum. Berbicara apabila seseorang berkata-kata. 

"Shasha.." langkahku serta merta mati. Aku berpaling. Lelaki itu? Dia datang! Adakah umtuk memperkenalkan dirinya yang sebenar? Aku menelan air liur. Lelaki itu sedang duduk di salah sebuah meja. Oleh itu secara automatik aku harus melayaninya sebagai pelanggan. Dengan dada yang hebat berdebar aku mara kearahnya. Mataku tetap ke dalam matanya. Entah dari mana datang keberanian. Untuk kali ini sahaja.. Untuk kali ini sahaja aku ingin menatap wajah lelaki itu sepuasnya sebelum dia sah bergelar tunangan kakak. 

"Encik. mahu. order. apa?" tanyaku satu persatu. Sehabis tenang. Tetapi, aku pasti ada nada kegigilan dihujungnya. Bagaimana untuk bertenang jikalau berhadapan dengan lelaki yang disukai. Mendapat panahan dari renungannya sahaja sudah melemahkan jiwa. Apatah lagi bertukar bicara. 

"Saya suka awak." ucap lelaki itu dengan tenang dan yakin. Desiran nafasku terhenti. Kakiku menapak beberapa langkah kebelakang sebelum aku berlari menuju ke kawasan dapur dan terus ke arah tandas. Aku tak mampu lagi bertahan untuk berhadapan dengan lelaki itu. Ya! Aku enggan menipu diri sendiri lagi. Memang aku gembira dengan pengakuan lelaki itu sebentar tadi. Sungguh aku gembira kerana perasaanku berbalas. Tetapi, dia bakal tunangan kakak aku!! Sebelah tangan menekup mulut. Menahan tangisan yang mulai kedengaran. Sebelah lagi merenggut erat baju di dada. Seakan mahu merobek perasaan yang sarat di dalam dada ini.  Jahat! Lelaki itu memang jahat! Kau dah kucar-kacirkan perasaan aku dan sekarang kau datang untuk berikan bukti. Kenapa permainkan aku begini? Kenapa...??  Aku memejamkan kedua belah mata menahan bedilan emosi yang dihadiahkan oleh lelaki itu. Puas aku memaki hamunnya di dalam hati. Namun, entah mengapa tidak pula aku mampu ucapkan dibibir. 

"Shasha. Are you okay?" soal Kak Min sambil mengetuk pintu bilik air. Alamak! Aku terlupa aku sedang berkerja. Cepat-cepat aku mencapai tisu dan menyapu wajah yang lencun dengan air mata. Beberapa kali juga aku membasahkan muka bagi  menghilangkan wajah tangisan sebentar tadi. 

"Kak Min dah call emak Shasha. Dia on the way datang ke sini. Dari tadi Kak Min perasan Shasha macam tak sihat. Jadi lebih baik Shasha balik awal je malam ni. Lagipun lagi beberapa minit aje nak closing." kata Kak Min bagaikan satu arahan mengenangkan suaranya yang tegas itu. Hmm.. Just nice! 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.