Home Cerpen Kisah Hidup Cerita Aku & Dia
Cerita Aku & Dia
sipencintapena
1/1/2021 21:12:27
219
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

Ifti Risya nama yang diberi. Aku merupakan anak sulung dalam keluarga. Aku masih ada dua orang adik lelaki yang merupakan pasangan kembar seiras. Kedua-duanya kini sudah berumur 13 tahun. Selepas adik kembarku dilahirkan, ibu pula pergi meninggalkan kami. Kata ayah, doktor telah menasihati ibu supaya tidak meneruskan kandungannya kerana ia sangat berisiko. Namun oleh kerana ibu tidak mahu aku rasa keseorangan tanpa teman, akhirnya ibu mengambil keputusan untuk meneruskan kandungannya. Kehidupan diteruskan seperti biasa tanpa ibu di sisi. Pada usia yang sangat muda, aku secara tidak langsung belajar banyak perkara kerana terpaksa memikul tanggungjawab menjaga kedua orang adikku. Ayah sentiasa sibuk mengurus gerai kecil mereka. Aku tidak salahkan ayah. Aku tahu ayah sudah bertungkus lumus mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Ifti menarik nafas panjang.

Sebulan yang lalu aku telah menerima surat tawaran untuk memasuki salah sebuah kolej yang agak ternama terletak di ibu kota. Pada mulanya aku memang rasa serba salah mahu memberitahu ayah. Aku bukan risaukan ayah yang mungkin tidak mengizinkan aku. Aku cuma bimbang untuk meninggalkan adik kembar kesayanganku, Rayqal dan Rafiq.

“Kamu kena pergi Ifti. Ayah boleh jaga Ray dan Raf. Ingat, selagi mampu ayah akan pastikan kamu sambung belajar sampai ke menara gading. Jangan sia-siakan keputusan cemerlang itu,” nasihat Pak Rizal.

Sokongan yang kuat daripada ayah menyebabkan aku berani membuat keputusan untuk masuk ke kolej ini. Sejak dari awal lagi, aku sudah menyimpan angan untuk memasuki kolej ini. Future College menawarkan pelbagai jenis bidang. Selain itu, kolej ini juga menyediakan kemudahan yang lengkap untuk para pelajar. Apa yang paling aku suka, biarpun aku bukan daripada golongan elit namun pihak pengurusan tetap menyediakan tempat aku di kolej ini. Syukur, semuanya disebabkan oleh keputusan cemerlang aku dalam sijil pelajaran Malaysia.

“Buat apa?” soal Janet teman barunya. Dia cuba mengintai apa yang sedang ditulis oleh gadis itu namun Ifti dengan pantas menutup bukunya.

“Tak ada apa,” balasnya dengan senyuman nipis.

“Ifti, ingat tak mamat yang langgar aku semalam?” soal Janet dengan kening berkerut. Ifti mendengus perlahan mendengar soalan gadis itu.

“Mesti lah aku ingat. Mamat itu kurang ajar sangat,” balasnya. Teringat semula peristiwa yang berlaku semalam.

***

Terkebil-kebil Ifti memandang Janet yang terkial-kial membersihkan bajunya yang telah terkena tumpahan jus tembikai. Dia memandang ke arah kumpulan lelaki yang selamba berlalu tanpa perasaan bersalah.

“Biadabnya!” getus hatinya.

“Hoi!” teriaknya kuat. Langkah Farhan dan rakan-rakannya serentak terhenti. Mereka berpaling memandang Ifti. Ifti mendengus geram sambil melangkah pantas menghampiri kumpulan tersebut. Farhan dan rakan-rakannya itu hanya tenang membalas pandangan tajam Ifti.

“Buta? Tak reti minta maaf?!” marah Ifti dengan suara keras. Farhan hanya memandang gadis itu dari atas ke bawah.

“Maaf,” balasnya dengan wajah tidak bersalah. Ifti mengetap bibir geram.

“Ifti, aku okay,” celah Janet sambil menarik lengan gadis itu untuk berlalu.

“Jan, aku tak habis lagi,” balas Ifti yang jelas tidak puas hati. Janet melepaskan tangannya apabila mereka sudah jauh dari kumpulan tersebut.

“Kau dah gila? Ifti, kau kena ingat dalam kolej ini ramai anak orang kaya. Kau bukan tak tahu, mereka itu boleh buat apa saja pada kita,” balas Janet separuh memujuk. Ifti terdiam mendengar pujukan rakannya itu. Dalam diam dia setuju dengan Janet. Namun dia masih tidak dapat melupakan wajah sombong lelaki itu sebentar tadi.

***

“Kau dengar tak?” soal Janet dengan kening berkerut. Lamunan Ifti berkecai.

“Apa?” soalnya.

“Nama lelaki yang langgar aku semalam itu Tengku Farhan. Semua orang dalam kolej ini kenal dengan lelaki itu. Aku cuma nak ingatkan kau. Pasal semalam itu aku dah maafkan mereka. Kau jangan pula jadi singa bila jumpa Farhan,” jawab Janet separuh menasihati.

“Kau yang jadi mangsa. Buat apa aku nak over pula?” soalnya tanpa memandang wajah gadis itu. Janet tersenyum sambil menarik nafas lega.

*****

“Siapa budak semalam itu? Budak baru?” soal Fikri sambil menghirup tea panas yang baru dipesannya.

“Aku rasa budak baru kot,” jawab Haikal sambil mencapai karipap panas di atas meja. Farhan yang sedang leka dengan telefon bimbitnya hanya memasang telinga mendengar perbualan rakan-rakannya itu.

“Budak itu lawa,” puji Fikri dengan senyuman nakal.

“Aku setuju,” balas Haikal ikut tersenyum. Farhan menarik nafas perlahan. Terbayang semula wajah garang Ifti. Seingatnya, selama ini memang tidak ada sesiapa pun yang berani menegur mereka. Gadis itu adalah orang yang pertama.

“Riz, kau nak pergi mana?” soal Fikri apabila melihat Hariz yang tiba-tiba sahaja berdiri. Farhan turut memandang pemuda tinggi lampai itu.

“Aku nak balik,” jawab Hariz perlahan sebelum berlalu.

“Hati-hati,” pesan Haikal. Farhan hanya memandang langkah rakannya itu yang semakin jauh. Dia akui walaupun sudah mengenali rakannya itu hampir dua tahun lamanya namun masih banyak tentang Hariz yang tidak diketahuinya. Lelaki itu agak perahsia orangnya.

*****

Ifti sudah dua kali memeriksa beg sandangnya namun dompet kesayangannya masih tidak kelihatan.

“Aduh! Masalah betul!” rungutnya perlahan.

“Ada duit ke nak bayar ini dik?” soal pemandu teksi yang mula tidak senang duduk.

“Kejap pakcik,” jawab Ifti sambil menumpahkan semua isi begnya di tepi jalan raya.

“Lain kali kalau tak ada duit jangan nak susahkan orang lain!” marah pemandu teksi tersebut. Ifti mengetap bibir. Baru sahaja dia ingin menjawab tiba-tiba datang seorang pemuda lalu menghulurkan wang kepada pemandu teksi tersebut.

“Terima kasih. Lain kali jangan menyusahkan aku!” kata pemandu itu sebelum memecut teksinya berlalu.

“Ek eleh, bukannya saya sengaja susahkan pakcik,” balas Ifti sambil memandang teksi yang semakin jauh. Dia memandang lelaki yang membantunya sebentar tadi. Lelaki itu sudah jauh melangkah di depannya.

“Awak! Kejap,” dengan pantas Ifti memasukkan semula barang-barangnya ke dalam beg sebelum mengejar langkah lelaki yang baik hati itu.

“Awak!” Ifti menahan lelaki itu dengan berdiri di hadapannya. Langkah Hariz terhenti. Dia hanya memandang gadis itu. Ifti terkedu apabila memandang wajah lelaki itu.

Erk?!

“Saya…,thank you!” ucapnya agak gugup. Dadanya berdebar. Hariz berlalu tanpa berkata apa-apa. Ifti hanya memandang langkah lelaki itu.

“Mamat ini...,” Ifti mendengus perlahan apabila melihat Hariz menghampiri kumpulan Tengku Farhan.

*****

Farhan hanya mengikut langkah gadis itu dari belakang. Ifti beralih dari satu rak ke rak yang lain. Apabila sampai di salah sebuah rak yang agak tersorok, dia berhenti melangkah. Kerana merasa tidak sedap hati, dia berpaling memandang ke belakang. Kelihatan Farhan sedang berpeluk tubuh memandangnya.

“Nak apa?” soalnya separuh berbisik. Nasib baik dalam perpustakaan.

“Nak awak,” jawab Farhan selamba. Dia tersenyum mempamerkan lesung pipit kecil di pipi kirinya. Ifti tersenyum sinis.

“Awak memang suka buat kerja ini?” soalnya dengan kening terangkat.

“Maksud awak?” soal Farhan pula yang kurang faham dengan maksud gadis itu.

“Buang masa kat sini. Saya tahu yang awak ini anak orang kaya. Selepas keluar dari sini, awak memang tak ada masalah sebab awak akan mewarisi harta ibu bapa awak. Tapi saya lain. Saya ini anak orang miskin. Tujuan saya datang sini nak belajar dan berjaya. So, boleh tak jangan ganggu saya?” soal Ifti dengan kening berkerut. Dia mendengus geram sebelum berlalu dengan pantas. Farhan terkedu memandang langkah gadis itu.

*****

Ifti pantas menahan langkah lelaki itu. Langkah Hariz terhenti. Ifti menghulurkan wang kepada Hariz.

“Saya nak bayar hutang,” kata Ifti tanpa senyuman. Hariz hanya memandang wang yang dihulurkan. Dia memandang wajah gadis itu semula.

“Awak nak tak?” soal Ifti yang mula rimas dengan renungan lelaki itu. Hariz menyambut perlahan huluran tersebut. Ifti terkejut apabila melihat tangan lelaki itu yang berdarah.

“Eh, tangan awak berdarah,” katanya dengan kening berkerut. Hariz berlalu tanpa berkata apa-apa.

“Awak!” Ifti yang tidak berpuas hati pantas mengejar langkah Hariz semula. Tanpa sedar dia menarik lengan lelaki itu. Langkah Hariz terhenti lagi. Dia terkedu apabila Ifti dengan selamba membelek pergelangan lengannya.

“Awak buat apa sampai tangan ini berdarah?” soal Ifti tanpa memandang Hariz. Dia leka mencari punca keluarnya darah tersebut.

“Bukan darah, tapi warna. Saya baru aje siap melukis,” beritahu Hariz perlahan. Sepantas kilat Ifti melepaskan tangan lelaki itu.

Oh my!

“Oh, okay,” balas Ifti sebelum berlalu pantas.

Malunya!

Hariz hanya memerhatikan sahaja langkah gadis itu. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman.

*****

Ifti dan Janet sedang duduk berehat sambil menikmati minum petang mereka.

“Aku tertekan dengan mamat itu. Dia itu tak faham yang aku tak suka,” luah Ifti sambil mendengus geram. Janet hanya tergelak kecil.

“Aku rasa dia memang ikhlas sayangkan kau. Kau tak dengar ke tadi dia sebut nama kau melalui radio kolej? Satu kolej dah tahu yang kau itu dah jadi milik dia. Malah dia siap beri amaran tak ada sesiapa pun boleh dekati Ifti Risya. Aku dengar dari rakan-rakan lain, Tengku Farhan itu tak pernah buat hal sebelum ini. Kau sepatutnya bersyukur. Anak orang kaya itu,” balas Janet separuh mengusik.

“Jangan nak merepek. Mamat itu dah buat aku malu,” kata Ifti jelas tidak puas hati. Janet menggelengkan kepalanya.

“Sebagai kawan, aku nak nasihatkan kau supaya jangan terlalu bencikan Farhan. Ingat, benci itu boleh bertukar jadi sayang. Nanti tak pasal kau pula yang merana,” katanya separuh mengingatkan. Ifti tergelak kecil.

“Itu tak mungkin akan berlaku,” balasnya dengan yakin.

“Dengan Hariz? Aku perhati kau semakin rapat dengan Hariz sejak akhir-akhir ini. Kau tolak Farhan sebab Hariz ke? Ifti, Farhan dan Hariz itu kawan baik. Aku takut ada yang terluka nanti,” kata Janet dalam penuh makna. Ifti mengeluh perlahan.

“Kau jangan risau. Aku datang sini bukan nak bercinta,” balasnya perlahan hampir tidak kedengaran. Janet hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.

*****

Ifti tidak jadi membuka bukunya apabila melihat Farhan menarik kerusi di hadapannya.

“Hai,” sapa Farhan dengan senyuman manis. Ifti mengalihkan pandangannya dari terus memandang senyuman lelaki itu. Senyuman manis lelaki itu sering membuatnya kalah dengan perasaan sendiri.

“Awak marah?” soal Farhan apabila melihat wajah tegang gadis itu. Ifti tersenyum sinis.

“Kalau saya jawab ya, awak nak buat apa? Berlutut minta maaf?” soal Ifti dengan nada agak keras. Farhan tersenyum.

“Saya gembira bila awak dah mula marah saya. Itu bermaksud saya dah berjaya menarik perhatian awak,” balasnya tenang. Berkerut kening Ifti membalas pandangan lelaki itu.

“Awak memang dah gila. Dengar sini Tengku Farhan, kalau awak tak nak hentikan kerja gila ini, saya akan keluar dari kolej!” katanya separuh mengugut sebelum menarik kasar beg sandangnya lantas berlalu pergi. Terkebil-kebil Farhan memandang langkah gadis itu.

*****

Ifti melangkah perlahan masuk ke dalam kelas. Dia agak lega apabila melihat mejanya yang kosong. Biasanya ada sahaja benda yang diletakkan di atas mejanya itu. Ifti menarik kerusi lantas duduk.

“Kalau tak silap dah hampir seminggu si Farhan tak beri kau hadiah,” usik Janet yang duduk di sebelahnya. Ifti hanya tersenyum tanpa membalas.

“Aku ingat mamat itu jenis yang tak dengar cakap,” getus hati kecilnya.

“Kau okay? Aku tengok macam tak sihat aje,” soal Janet apabila melihat bibir pucat gadis itu. Ifti mengangguk perlahan.

“Kenapa pula aku rasa ada yang tak kena ini?” getus hati kecilnya semula. Dia mengeluh perlahan. Janet memerhatikan sahaja telatah rakannya itu.

“Ifti, kau okay tak ini?” soalnya agak risau.

“Aku okay,” balas Ifti dengan senyuman hambar sebelum membuang pandang ke luar tingkap. Agak lama dia memandang taman kecil yang terletak tidak jauh dari kelasnya itu. Biasa lelaki itu akan berdiri di taman tersebut memerhatinya. Ifti mendengus perlahan.

“Aku dah terjangkit dengan penyakit lelaki itu,” bisik hati kecilnya.

*****

Janet menarik lengan Ifti menghampiri gelanggang bola keranjang.

“Tengok siapa yang sedang bermain. Hari ini kolej kita hantar wakil untuk berentap dengan kolej GNC. Nampak tak siapa wakil kolej kita? Tengku Farhan and the gang,” beritahu Janet dengan riak wajah yang teruja. Ifti hanya membisu. Pandangan matanya tertumpu pada seseorang yang sedang ligat bermain. Setengah jam berlalu, akhirnya kolej GNC berjaya dikalahkan.

“Yeah!” jerit Janet gembira. Beberapa orang gadis juga menjerit riang apabila melihat kumpulan Farhan keluar dari gelanggang.

“Aku balik dulu,” Ifti ingin beredar apabila perasan lelaki itu sedang memandangnya.

“Ifti!” Hariz pantas menahan. Dia menarik lembut lengan kiri gadis itu. Ifti kaku sejenak. Apatah lagi apabila terasa jemari kanannya digenggam erat oleh seseorang. Dia berpaling menoleh. Kelihatan Tengku Farhan sedang menggenggam erat jemarinya. Gelanggang yang sebentar tadi bingit tiba-tiba menjadi senyap seperti diserang garuda. Semua mata tertumpu ke arah mereka. Hariz dan Farhan saling berbalas pandang tanpa sepatah kata.

“Ifti, I love you,” ucap Hariz tenang namun pandangannya terarah pada Farhan. Farhan semakin kuat menggengam jemari Ifti tanpa berkata apa-apa. Ifti yang berada di tengah seperti ingin menangis. Dia menarik kedua-dua tangannya serentak.

“Enough, please,” katanya hampir tidak kedengaran sebelum berlalu pantas. Hariz dan Farhan tidak menahan.

*****

Janet mengeluh perlahan melihat Ifti yang hanya termenung sedari tadi.

“Kau sayang Farhan?” soalnya dengan perasaan berdebar. Risau dia kalau tiba-tiba gadis itu meradang dengan soalannya.

“Aku tak tahu,” balas Ifti dalam nada perlahan.

“Hariz?” soal Janet lagi. Ifti mengeluh. Janet menggigit bibir.

“Hariz atau Farhan, aku tak ada apa-apa kaitan dengan dua orang lelaki itu. Jan, aku masih ingat pesan ayah. Aku datang sini untuk menuntut ilmu,” balas Ifti dengan nada tegas.

“Aku faham Ifti. Aku pun ada misi yang sama dengan kau. Tapi tak salah kalau buka hati itu untuk orang yang kau sayang. Betul tak?” soal Janet separuh menasihati.

“Aku dengar Farhan nak pindah kolej,” beritahu Janet apabila melihat Ifti yang hanya membisu. Ifti terkedu. Dia menoleh memandang wajah rakannya itu.

“Kau tak tahu kan? Sebab kau tak pernah ambil tahu pasal Farhan. Kau tak pernah beri dia peluang Ifti. Aku pun kadangkala keliru dengan kau. Bila Farhan ada, kau tak layan. Bila tak ada, kau pula tak tentu arah. Kau kena tanya hati itu. Farhan atau Hariz,” nasihat Janet ikhlas sambil bangun dari kerusinya lantas menuju ke katil. Ifti tunduk memandang jemarinya. Keluhan berat dilepaskan.

*****

Janet meninggalkan Fikri dan Ifti apabila lelaki itu mengisyaratkan supaya meninggalkan mereka sebentar. Fikri merenung wajah gadis di hadapannya itu.

“Farhan sangat sayangkan awak,” beritahunya. Ifti diam tidak membalas.

“Awak ego Ifti. Biar saya terus terang dengan awak. Kalau awak nak tahu, kehadiran awak adalah sinar kebahagian buat Farhan. Sebelum ini dia pernah kehilangan kedua-dua orang tuanya. Pemergian orang tuanya umpama meragut sebahagian daripada hidupnya. Kami dah lama berkawan Ifti. Farhan seperti mendapat sesuatu yang hilang bila awak hadir dalam hidupnya. Tapi sikap awak yang tak pernah beri dia peluang menyebabkan dia mengalah. Awak tak pernah beri dia peluang. Tak pernah walau sekalipun. Malah awak buat dia malu depan semua orang. Awak tak pernah hargai kasih sayang Farhan,” sambung Fikri dengan kening berkerut.

“Kenapa cepat sangat mengalah?” soal Ifti dalam nada perlahan tanpa memandang wajah Fikri. Giliran Fikri pula terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Sampai nak pindah kolej? Saya tak dapat terima alasan dia nak pindah sebab saya. Mesti ada sebab lain. Tapi saya tak nak tahu pun apa sebab itu. Kalau awak jumpa dia lagi beritahu dia, saya tak pernah beri orang peluang kedua,” sambung Ifti dengan nada tegas sebelum berlalu. Fikri hanya memandang gadis itu berlalu tanpa berniat untuk menahan. Hariz yang berdiri tidak jauh dari mereka mengeluh perlahan.

*****

Setahun kemudian

“Untuk kau,” kata Janet sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru.

“Dari siapa?” soal Ifti dengan kening berkerut sambil menyambut huluran gadis itu. Janet hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu sebelum berlalu keluar dari kelas. Ifti hanya menggeleng melihat telatah rakannya itu. Perlahan dia membuka sampul surat tersebut.

Ifti,

Saya tahu saya tak pernah ada ruang di hati awak.

Tapi, saya tetap nak cuba selagi awak bukan milik sesiapa.

Setahun saya menunggu awak.

Nampaknya saya masih ada peluang.

Kali ini awak tak akan dapat mengelak.

What? Awak tak nak beri saya peluang kedua?

Peluang pertama pun saya tak pernah dapat…,

Tengku Farhan

Ifti menarik nafas panjang. Perlahan senyuman terukir di bibirnya.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.