1,681
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
RIANA EXTRA
"Ah Ba, Ah Ma.. Ini result PMR," kataku dengan rasa megah kerana keputusan cemerlang yang aku perolehi. Keputusan akulah yang terpaling tinggi disekolah. Jadi, seharusnya aku berbangga. Jika dinilai kembali, keputusan aku lebih hebat dari Ah Jin ketika Ah Jin mendapat keputusan sebegini dahulu. Ah Ba mengambil slip kertas ditanganku sambil terangguk-angguk membacanya. Kemudian, bertukar tangan dengan Ah Ma.
"Bagus, Zihan." ucap Ah Ma. Tebal perasaan banggaku menyelubungi diri. Ah Ba masih menganggukkan kepala lalu mengambil seketul daging ayam ditumis dan dimasukkan ke dalam mangkuk nasi dihadapanku.
"Adik Ah Jin mesti kena pandai macam Ah Jin. Nanti masuk U excell like Ah Jin, eh." kata Ah Ma lagi seraya mematikan terus selera makanku. Aku merampas kembali slip keputusan ditangan Ah Ma. Laju aku melangkah keluar dari kedai tanpa menghiraukan teguran kakakku, Li Lian dan duduk di batu besar ditepi kedai. Disitu, aku duduk termenung. Bengkak hati mengenangkan tiada nama yang layak dipuji setinggi-tingginya selain Ah Jin.
"Abang, kenapa sedih?" Lamunan aku terganggu. Seorang budak perempuan tanpa rasa segan duduk disebelahku. Senja sedang menghampiri tapi, dia masih sendirian ke kedai dan bermain-main. Aku rasa, tentu dia tinggal dekat-dekat sini saja. Walau dalam keadaan marah dan jengkel dengan kehadiran budak itu, ekor mataku mengamati. Selipar jepun dikakinya berlainan warna. Satu merah. Satu lagi biru. Seluar yang dipakai pun aku tahu kepunyaan budak lelaki. Begitu juga tshirt lusuh yang dikenakan. Hanya rambutnya yang kerinting dan panjang membuatkan orang mudah mengenalinya sebagai seorang budak perempuan.
"Mak kata, kita tak boleh sedih. Bila sedih senang dapat sakit. Nah, ambil hadiah ni. Apa nama abang?" kata budak perempuan itu lagi. Boleh tahan petahnya bercakap. Tapi, dengan mood aku macam ni, aku hanya diam membisu.
"Abang, siapa nama abang?" soalnya lagi. Aku menjengilkan mata. Wajah usah di cakap. Masam mencuka. Geram pula dengan budak kecil ni.
"Balik." kataku sepatah. Nak marah lebih-lebih anak orang. Budak kecil pula tu.
"Ok. Tapi, nah. Ambil hadiah ni." ujarnya pula lalu menghulurkan satu bungkusan kecil. Melihatkan plastik berwarna kuning itu aku tahu mainan apa yang dia main dekat kedai tadi. Budak-budak di kampung ni sedang gila dengan mainan tikam. Bagi aku, itulah judi. Tapi, judi kecil-kecilan. Tak tahulah aku jikalau mereka yang berbangsa Melayu ni sedar jika mainan ni dibolehkan oleh agama mereka.
"Ambillah." desak budak perempuan itu lagi. Aku mendengus kasar sambil memandang kearah lain. Satu sentuhan aku rasakan dilengan. Budak kecil itu masih belum berputus asa. Mata bulatnya itu memandang aku. Bibirnya pula senyum sahaja. Terserlah lekuk lesung pipit di kedua belah pipinya. Aksi comelnya aku tepis. Bukan masa untuk memuji! Dengan perasaan malas aku ambil pemberiannya. Dan dengan perasaan geram aku buka bungkusan kecil tersebut. Berterabur isinya hingga ke atas rumput. Budak kecil itu segera melompat. Mengutip isi yang dirasakan datang dari bungkusan tersebut.
"Cantiknya cincin ni." kata budak itu lagi sambil bermain-main dengan sebentuk cincin plastik berwarna emas bertahtakan permata ruby. Juga plastik.
"Kak long kata, bila sedih kita main permainan. Ni semua mainan perempuanlah." ujar budak itu lagi sebelum kembali duduk disisiku. Mengamati sikapnya aku teka budak kecil ni tentu mempunyai jika tidak ramai, seorang abang. Selamba sahaja dia duduk disebelah aku begini.
"Jom kita main tuju selipar? Tapi, tak cukup oranglah. Main rejam tin? Tak cukup juga. Main guli? Erm, Nana takde guli." omelnya lagi. Aku sudah menggelengkan kepala. Rimas pula dengan telatah budak kecil ini. Ingatkan tadi mahu tenangkan fikiran. Jadi makin berserabut pula.
"Ha!! Nana tau! Kita main kahwin-kahwin! Kak long kata, main kahwin-kahwin paling seronok. Sebab, semua orang gembira. Takde orang menangis pun bila hari kahwin. Emm, siapa nama abang?" soalnya entah untuk kesekian kali.
"Zihan." sahutku dengan perasaan malas.
"Han-Han. Ok. Han-Han, janji dengan Nana macam ni." kata budak itu dengan jari kelingkingnya diangkat. Ah! Aku taulah janji tu. Tapi, takkan aku nak melayan ragamnya itu?
"Cepatlah. Kalau dah azan baru Nana balik, nanti abah rotan. Cepatlah..." gesanya lagi. Entah kenapa kasihan pula bila aku fikirkan budak kecil ni dirotan. Aku turut angkat jari kelingking kananku.
"Ikut Nana cakap tau." pesannya. Aku menyahut malas.
"Saya, Han-Han, berjanji akan kahwin dengan Nana." Aku diam. Biar betul? Budak kecil itu memandang aku dengan penuh pengharapan. Jari kecilnya sudah melingkar dijari kelingkingku. Sudah...
"Okay! Sekarang kita dah kahwin. Yeay! Seronok, kan main kahwin-kahwin. Nana takkan buat abang sedih tau. Nah, ini cincin untuk Han-Han. Jangan lupa tau! Han-Han dah janji kahwin dengan Nana. Bye-bye. Esok kita main lagi ye." ucap budak perempuan itu lagi lantas melompat turun dari batu besar tersebut.
"Eh, apa nama?" tanyaku walaupun aku tak berminat pun nak tahu.
"Nama saya Riana Ailin!" pekiknya sambil berlari anak untuk pulang ke rumahnya. Cincin berwarna perak bergerigi yang diberikan tadi aku baling ke tanah. Namun, sebelum masuk ke dalam kedai, cincin itu aku ambil kembali. Dan cincin itu aku simpan sahaja diantara barangan peribadi milikku. Aku tidak pasti mengapa cincin itu sukar untuk aku buangkan. Namun, setelah lebih sepuluh tahun peristiwa itu berlalu, barulah aku sedar. Pertama kali bertemu kembali dengan Riana Ailin, dialah yang sentiasa terpahat di dalam hati. Matanya yang bundar menawan dan lekuk lesung pipit di kedua belah pipi itu... Cantik sungguh! Mungkin rupanya yang buat aku jatuh hati. Mungkin juga kerana janjinya dahulu untuk tidak buat aku sedih yang mengikat aku. Atau mungkin semuanya sudah tertulis sejak azali.

TAMAT



p/s; kpd semua yg membaca, sy selaku penulis minta maaf sbb sy sendiri tak tahu apa silapnya karya yg diupload sebelum ini xdpt disiarkan. Dan terima kasih kerana membaca😊



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh