Home Cerpen Cinta BELIKAS ATMA, MENENUN NARA II (Pecah Perang)
BELIKAS ATMA, MENENUN NARA II (Pecah Perang)
Johari A. Julaihi
5/11/2021 23:11:28
218
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

BelikasAtma Menenun Nara (pecah perang)

Seminggu ini, Tekukur seringkali mengucapkan sesuatu yang tidak masuk akal bagi diri Nara. Dia mengatakan sesuatu musibah akan berlaku pada Puak Berma. Yang langsung tiada masuk dek akal, Tekukur memberitahu, anak rusa itu yang memberitahu dirinya. Nara mengeluh. Kemudian, dia terbang keluar untuk menjemput Atma yang sedang menanti di luar kawasan kediaman Puak Berma. Nara menyentuh lapisan itu dan membuka ruang untuk Atma masuk. Atma memandang sekelilingnya. Terlihat olehnya, warga Puak Berma berterbangan membuat kerja. Ada antara mereka yang berbisik-bisik memuji kecantikan Atma. Nara dan Atma merentasi rumah-rumah yang berbentuk kubah, taman-taman indah sehingga menuju ke balai pendapa. Raja Puak Berma telah menunggu di situ. Tersenyum sinis Atma. Masa kehancuran puak ini telah tiba.

            “Selamat datang, Atma. Segununglah kami menerima kedatangan dirimu,” kata Samudera.

            “Terima kasih atas undangannya, Samudera,” kata Atma lalu menatap tajam Raja Puak Berma di hadapannya.

            Nara dihempas batu kehairanan. Nara memandang Ayahandanya namun raut wajah Ayahandanya terpamer reaksi terkejut.

            “Siapa kamu?” herdik Raja Puak Berma lantas mengejutkan mereka yang berada di balai pendapa. Hanya seorang sahaja yang memanggilnya dengan nama itu.

            “Adakah engkau telah melupakan aku, Samudera? Atau lebih tepatnya, Kakanda Samudera.”

            “Cemangi!”Apakala nama itu disebut, maka, huru-haralah balai pendapa itu.

            “Ratu Cemangi?” Nara menyebut nama Ratu yang terkenal bagai kerbau runcing tanduk dalam kalangan warga buana.

            “Ya,anakku. Itu aku … Ibundamu.”

***

Anak rusa itu tidak keruan. Tekukur turut mundar-mandir. Hari ini adalah hari musibah itu. Dia perlu melakukan sesuatu agar bencana tidak merekahkan bumi kediamannya. Tiba-tiba, guntur mengaum memutuskan pergerakan Tekukur. Awan hitam pantas berarak menutupi tanah Puak Berma sehingga mentari beradu. Tergamam Tekukur. Tiba-tiba, seketika kertas memorinya terlepas. Kemudian, dia berlari ke satu arah dan diekori oleh anak rusa itu.

***

Nara terkesima. Perkataan‘ibundamu’ itu mengoyakkan mindanya.

“Apa yang dirimu merepek ini, Atma?”

“Oh! Rupa-rupanya diriku masih berjasad ini,” kata Ratu Cemangi.

Bibirnya membaca sesuatu. Tiba-tiba separuh tubuh Atma terbelah dua. Keluar asap hitam dari belahan tubuh Atma itu, kemudian ligat berpusar membentuk satu jasad. Jasad Ratu Cemangi berdiri di hadapan mereka. Tubuh Atma yang terbelah dua itu,bercantum kembali.

“Engkau bukan Atma!”Nara berteriak menjauhi Ratu Cemangi dan penyamar itu.

“Dia Lintah. Atma,bintang hatimu itu sudah mati!” kata Ratu Cemangi.

***

Imbas kembali.


Ratu Cemangi mendatangi Atma,meminta dia bersubahat dengan dirinya untuk membunuh Nara dan menawan kota Puak Berma. Namun, Atma keras kepala. Mengatakan dia tidak ingin bersubahat bersama manusia penyembah Iblis. Lantaran hangat hatinya dibentak sedemikian, dia menusuk jantung Atma dengan buluh runcing. Terbuntang mata Atma ketika sakarat mendakap nyawanya. Kemudian, tubuhnya di kerat-kerat dan dipanggang untuk diberi kepada buah hatinya, Nara.

***

Mendengar itu membuatkan hatinya seumpama kaca terhempas ke batu. Berguguran air mata Nara tatkala mengetahui Atma telah tiada lagi. Longlai tubuhnya lalu terjelepok di lantai.

“Dirimu sudah terlalu sesat, Cemangi,” kata Samudera. Hatinya sebak apabila melihat keadaan anak terunanya sedemikian. “Sanggup dirimu membiarkan anakmu sendiri menderita.”

Ratu Cemangi mengilai.“Asalkan kemahuanku dapat digenggam, Samudera. Untuk apa aku harus peduli dengan ehwal lain? Sudah puasku tunggu hari ini. Hari dirimu akan hilang nyawa.”

Sejurus sahaja Ratu Cemangi berkata sedemikian, dia menghentakkan tongkatnya lalu kabus hitam meluru pantas ke arah Samudera. Kedua-dua pengawal yang melihat raja mereka berada dalam keadaan bahaya, pantas terbang ke hadapan untuk menghalang kabus itu. Namun, ketika kabus itu mengenai tubuh mereka, lantas menjeritlah pengawal berdua itu. Menjerit kesakitan. Beberapa saat sahaja, tubuh kedua-dua pengawal itu hanya tinggal tulang-temulang.

Bila mana Samudera melihat itu, dia terus terbang menjauhi agar warganya tidak menjadi pelanduk di dalam perkelahian antara gajah. Ratu Cemangi melihat Samudera beredar, cuba menahannya. Timbul beberapa tangan gergasi di bawah tanah meluru untuk mencengkam Samudera. Namun, pergerakannya yang bagai belut diketil ekor, Samudera berjaya menghindari halangan itu. Tangan-tangan gergasi itu hancur dengan bebola api biru yang dipancarkan olehnya.

Samudera turut melindungi warga puaknya dengan membentuk satu benteng pasir yang kukuh agar makhluk-makhluk berwajah tikus dan kera itu tidak dapat mengapa-apakan mereka.Namun, terdapat beberapa warganya menjadi mangsa apabila dibalut oleh kabus hitam. Walang hatinya. Ratu Cemangi yang melihat Samudera berjaya beredar dari kawasan itu, lalu mengekorinya.

“Lintah! Bunuh Nara,”teriak Ratu Cemangi.

***

Lintah sememangnya hebat di dalam gelanggang perlawanan. Ramai tentera Puak Berma berjaya ditumbangkan. Pandangannya mencari kelibat Nara. Kematian Atma merobohkan benteng sukma Nara. Jiwanya dilahap kesedihan. Peluang itulah diambil oleh Lintah memandangkan jika Nara berkeadaan sihat, pasti dia bukan lawan Nara. Tentera yang mengawal Nara semuanya dihapuskan dengan jelmaan lintah serta kabus hitam itu. Tangannya bertukar menjadi seekor lintah yang sebesar peha dewasa, menerpa ke arah Nara yang tidak menyedari. Beberapa detik sahaja lagi, lintah itu pasti akan menghisap seluruh darahnya.

***

Pertarungan antara Samudera dan Ratu Cemangi sememangnya bak bertemu teras dengan beliung. Masing-masing lincah dan pantas, cuba menumbangkan lawan. Meskipun serangan yang mematikan banyak dilancarkan oleh Ratu Cemangi. Samudera, hanya mengelak dan sesekali melancarkan serangan. Mereka berdua tiba di tepi pantai. Sebatang tombak yang terhasil daripada kabus hitam itu mengenai bahu Samudera dan keseimbangan Samudera sirna lalu tercampak dirinya ke dalam air. Luka pada bahu Samudera itu memakan isinya. Kesakitan menggigit rakus hingga membuatkan Samudera berteriak kesakitan. Ratu Cemangi ketawa terbahak-bahak.

Dia mendekati Samudera yang kini hanya mampu berdoa agar Tuhan melindunginya. Ratu Cemangi lantas inginmenghunus tombak ke jantung Samudera. Namun, entah mengapa, tubuhnya kaku.Perlahan-lahan kakinya menjadi batu dan merebak sehingga keseluruhan tubuhnya menjadi batu. Ombak yang berupa naga, datang menghempas tubuh Ratu Cemangi itu sehingga berkecai. Percikan air terkena luka Samudera, perlahan-lahan sembuh.Samudera mendongak dan memanjatkan syukur yang teramat pada Maha Pencipta.

***

Beberapa detik sahaja lagi, lintah itu pasti akan menghisap seluruh darahnya. Lintah mengilai gembira. Tetapi sesuatu melanggarnya sehingga sasarannya tidak mengena. Anak rusa itu telah menendangnya hingga Lintah tercampak ke dinding. Tangannya yang berupa lintah itu dipotong oleh pengawal, mengeliang-geliut di atas lantai. Lintah bangkitsemula.

Darah legam berlendir mengalir daripada luka potongan tersebut. Lintah mengangakan mulutnya dan keluarlah beberapa ekor lintah, menari-nari pantas menuju ke arah Nara. Nara yang baru menyedari dirinya di dalam bahaya bergolek menjauhi lintah-lintahitu. Lintah itu mengejarnya kembali.

Nara terlihat pedang yang terkaku di satu sudut lantas mencapai pedang itu. Dia meloncat tinggi dan sayapnya dikibarkan sehingga berterbangan debu-debu, menerpa ke arah Lintah. Lintah terpaksa menghalang debu itu dengan menutup matanya. Namun, di situ silapnya apabila pedang Nara itu memenggal kepalanya. Darah hitam berbau kohong menyeruak daripada leher yang terpenggal itu. Nara berpusing di udara lalu terduduk menongkah pedang.

Anak rusa itu merapati Nara sambil mencium tangannya. Di luar, tentera-tentera Ratu Cemanggi semuanya menjadi pepohon atau lebih tepat lagi, mereka terkubur di dalam batang pohon.Itu adalah jasa nenek Tekukur yang mempunyai kuasa tersebut. Tekukur memanggilnya untuk membantu Puak Berma.

            Samudera tiba. Nara, Tekukur dan semua warga menghampirinya dan bersyukur yang raja mereka tidak apa-apa. Nara memeluknya.

            “Alhamdulillah, Ayahanda tiada apa-apa.Nara sudah hilang seorang kekasih hati Nara, syukur pada Maha Pencipta kerana menyelamatkan Ayahanda,” kata Nara sambil menangis.

            “Abang Nara,” Tekukur memanggilnya. Nara melihat Tekukur.

“Jiwa Kakak Atma masih wujud, namun bukanlah berjasad manusia.”

            “Apa maksudmu, Tekukur?” Samudera bertanya.

            “Jiwa Kakak Atma di dalam jasad anak manjangan itu,” jelas Tekukur sambil menunjuk kearah anak rusa itu.

            Mereka berpaling. Namun, tiba-tiba satu cahaya pelangi memandikan tubuh anak rusa itu.Satu pancaran yang menyilaukan menyergah mereka. Ketika pancaran itu menyusut kecerahannya, terserlahlah seorang gadis cantik. Atma, tersenyum memandang mereka, terutamanya Nara. Di dalam hati masing-masing memuji kebesaran Tuhan,Penguasa Alam Semesta. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.