Home Cerpen Cinta BELIKAS ATMA, MENENUN NARA (SEBERMULA)
BELIKAS ATMA, MENENUN NARA (SEBERMULA)
Johari A. Julaihi
3/11/2021 22:39:58
227
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

BelikasAtma Menenun Nara (Sebermula)

 

Nun, terlihat seorang jejaka melungguh berjuntai kaki di atas dahan pohon yang tumbuh tinggi. Asyik dirinya dicumbui oleh bayu pagi seraya memerhatikan permaidani bentala nan kehijauan. Usai subuh, dia pasti akan ke tempat itu untuk menatap keindahan fajar yang mengenyit mata kepada buana. Unggas berterbangan serta marga berkeliaran, menjadi panorama yang menenangkan sukma. Dia sanggup berlama-lama di situ. Jejaka itu menggeliat lalu bangkit. Entah berapa lama detik berlalu, tiadalah diketahui. Sayapnya bak sayap burung lang dan warna kemerah-merahan, dikibar-kibar. Dia menjunam lalu terbang merentasi banjaran-banjaran, sungai-sungai, air-air terjun dan sesekali mencarik awan-gemawan pada cakerawala. Senang hatinya lantaran itulah ragah yang dilakukan setiap hari, sekiranya bumi tidak basah.

Di bawahnya, terbentang dataran luas rerumputan dengan kawanan rusa dan pelanduk berlari-lari. Tiba pada satu dataran batu kapur, dia terlihat seseorang sedang membelai seekor anak rusa yang terbaring. Rasa ingin tahu mengetuk fikiran. Dia lantas menjunam turun dan mendarat dengan baik lalu bergerak merapati gadis tersebut. Gadis itu yang menyedari detap menghampiri, menoleh ke belakang dan mendapati seorang jejaka anom bertubuh kekar dan bersayap merah berada tidak jauh daripadanya. Gadis itu pantas berdiri dan menunduk kepalanya kerana dia tahu siapa gerangan jejakaitu.

“Mengapakah anak manjangan itu, ayuhai, Dayang?” Dayang merujuk kepada gadis atau perawan.

“Anak manjangan itu terluka kaki lantaran jerat berduri, Aria,” balas gadis itu. Kepalanya tidak didongak sama sekali untuk melihat jejaka di hadapannya. ‘Aria’ adalah gelaran untuk putera raja.

“Kasihan ia. Adakah ia langsung tidak mampu berjalan?”

“Yang Ulum pasti ia tidak dapat bergerak buat sementara waktu ini, Aria.”

“Biar aku melihatnya.”

Jejaka itu mengayun langkah merapati anak rusa itu. Anak rusa itu kelihatan takut-takut ketika jejaka itu mendekati. Dilihatnya terdapat daun-daun herba digunakan untuk menutup luka pada kaki anak rusa itu. Jejaka itu bertinggung lalu membelai kepala anak rusa itu.

“Daun apakah itu,Dayang?”

“Itu daun binahong,Aria. Daun itu yang ulum lumatkan terlebih dahulu sebelum dilumur pada kaki ia. Daun itu sangat berkesan untuk menyembuhkan luka. Kelak, anak manjangan itu,Yang Ulum akan bawa ke pondok yang ulum untuk dijaga sementara sehingga ia afiat,”jelas gadis itu.

“Biar aku membantumu,Dayang. Silalah tunjukkan jalan ke pondokmu,” kata jejaka itu lantas mengendong anak rusa itu.

Gadis itu khuatir.“Tidak apa, Aria. Yang ulum mampu membawa ia. Tidaklah ingin yang ulum membebankan Aria.”

“Tiada susahnya bagiku,Dayang,” bilang jejaka itu kepada gadis di hadapannya.

Gadis itu menganggukkan kepala lalu meminta jejaka itu mendahului. Kemudian, mereka berjalan beriringan.

“Siapa asmakmu,Dayang?”

“Nama Yang Ulum, Atma,Aria.”

“Indah asmakmu itu.Tidak usah memanggilku Aria dan tidak usah memanggil dirimu yang ulum, Atma.Namaku Nara,” ucap jejaka itu.

“Merasa hati yang ulum kiranya memanggil Aria dengan nama. Yang ulum Puak Manusia. Aria pula daripada Puak Berma,” jelas Atma.

Terletus ketawa Nara mendengar ucapan daripada Atma. “Kita sama sahaja Atma. Makhluk ciptaan Tuhan. Tidaklah bererti jika aku daripada Puak Berma, aku berdarjat tinggi daripada makhluk lainnya. Justeru, Usahlah merendah-rendahkan darjatmu. Juga, tidak penatkah lehermu asyik menunduk sahaja, Atma? Merasa hatiku jika lehermu itu tidak dapat didongak lagi sekiranya kamu sebegitu dalam detik yang lama. Adakah kamu mahu digelar Atma teleng?”

Atma pantas menoleh kearah Nara sambil menjegilkan matanya. Perbuatan Atma itu mengundang rasa lucu pada Nara sehingga termuntah ketawanya.

Daripada detik itu,Nara, Atma serta anak rusa itu menjadi teman.

***

Sepurnama Nara telah mengenali Atma. Gadis itu bukan sahaja anggun bagai bulan purnama empat belas, bahkan perilakunya disarungi kesantunan dan juga bijak. Tersenyum-senyum sendiri Nara apabila album memorinya terselak kenangan bersama Atma sehingga tidak menyedari Samudera, Raja Puak Berma masuk ke kamarnya.

            “Pertemukanlah bunga itu dengan Ayahanda, Nara.” Suara Samudera menutup diari kenangan Nara lantas anak muda itu bangkit dan menoleh.

            “Oh! Ayahanda. Bunga apa yang Ayahanda maksudkan?” Nara menaruh malu.

            “Bunga yang berhasil membuatkan anak teruna ayahanda ini kena hati (sambil tersenyum). Siapa asmaknya?” kata Samudera sambil melungguh pada kasur anaknya.

            “Atma namanya Ayahanda. Dayang itu daripada Puak Manusia.”

            “Masih berpenjaga?”

“Tiada lagi Ayahanda.”

            RajaPuak Berma menganggukkan kepalanya. Tersenyum. “Bawalah Atma bertemu ayahanda. Insya-Allah, jika ada jodoh kamu berdua,asam di darat, ikan di laut, di dalam belanga bertemu jua.”

***

Nara melangut memandang cakerawala nan biru. Kepulan-kepulan awan putih bertompok di sana-sini, menyulam corak yang memukau. Dia duduk di tepi dataran tinggi batu kapur itu sambil menggoyang-goyangkan kakinya. Sesekali pandangannya terarah pada hamparan rerumputan akhzar yang menyegarkan mata.

            Kedengaran detap merapatinya dari arah belakang lantas Nara berpaling. Anak rusa itu berlari-lari menghampirinya. Meretak bibirnya membentuk senyum. Anak rusa itu menguak nyaring sambil terloncat-loncat. Nara hanya ketawa melihat olahan anakrusa itu.

            “Nara!”Atma melambai. Di tangannya terdapat sebuah raga.

            Anak rusa itu yang melihat Atma pantas berlari dan bersembunyi ke dalam hutan berhampiran.

            “Sudah lamakah dirimu menantiku, Nara?”

            “Baru sahaja aku tiba.”

            Bau sedap masakan menggeletek sistem pernafasan Nara. “Apakah yang dirimu bawa hari ini, Atma?”

            “Aku memasakkan daging pelanduk panggang untukmu, Nara. Harapnya dirimu menyukai masakanku ini,” ujar Atma.

Atma membuka penutupbakul itu lalu mengeluarkan kuih-muih dan daging panggang yang dilapik dengan menggunakan daun pisang. Mereka berdua menjamu selera sambil berbual-bual dan berseloroh.

            “Ayahanda aku ingin bertemu dengan dirimu, Atma,” kata Nara.

            Atma menatap Nara. “Mengapa ayahandamu mahu bersua dengan diriku, Nara?”

            Senyuman tergaris pada bibir Nara. “Ayahandaku ingin berkenalan dengan dirimu,”

            “Khuatir diriku, Nara.”

            “Usah merasa hati, Atma. Ayahandaku pasti dapat menerima dirimu,”

            “Bilakah pertemuan itu, Nara?”

            “Sepekan yang akan tiba.”

***

Nara menjunam terbang ke bawah ketika dia melihat anak rusa itu berdiri di luar kawasan kediaman Puak Berma. Apabila melihat sahaja Nara, anak rusa itu melenguh dan meloncat-loncat seperti di dataran batu kapur sebentar tadi. Nara digamit hairan.

            “Mengapa engkau ada di sini, anak manjangan?” Nara membelai kepala anak rusa itu.

            “Mari,aku bawa engkau masuk ke tempat kediamanku.”

Nara menyentuh sesuatu dan tiba-tiba kelihatan satu lapisan berwarna-warni berserak, membuka satu ruang masuk. Kawasan tempat tinggal Puak Berma itu seperti dibenteng oleh sebuah kubah telus mata. Kemudian, serakan itu bercantum kembali dengan pantas setelah Nara dan anak rusa itu melangkah masuk. Disebabkan inilah, kawasan Puak Berma tidak dapat dimasuki oleh musuh dengan mudah. Anak rusa itu masih melenguh dan mengekori Nara.

“Abang Nara, mengapa dengan anak manjangan ini?” Seorang gadis kecil berusia sepuluh tahun bertanya.

“Anak manjangan ini yang dipelihara oleh Kakak Atma dahulu. Ia mengekori abang. Tekukur, abang ingin bertemu dengan ayahanda abang dulu, mainlah bersama anak manjangan ini,ya,” kata Nara sambil mencium pipi Tekukur.

Tekukur memandang sahaja Nara berlalu. Anak rusa itu melenguh halus. Tekukur bertinggung sambil membelai anak rusa itu. Matanya menatap mata anak rusa itu. Pandangan mereka bersimpul. Seketika.

“Ya, Tuhan!” Tekukur menekup mulutnya.

***

Ratu Cemangi menghentakkan tongkat berpilinnya ke tanah. Bergegar bumi seketika. Romannya terlukis amarah. Makhluk-makhluk kerdil yang berwajah tikus dan kera tetapi bersayap kelawar, masing-masing berhati silu.

            “Jahanam,Puak Berma! Disebabkan mereka, aku patah perang,” kata Ratu Cemangi lalu menghentakkan sekali lagi tongkatnya ke tanah.

            “Mengapa Ratu harus panas darah? Bukankah rancangan kita semakin beroleh hasilnya?” kata seorang gadis yang berdiri di sebelah kanannya.

            “Aku tidak dapat bersabar. Rancangan engkau itu terlalu lambat untuk menunggu hasilnya,” kata Ratu Cemangi. Cemberut wajahnya.

            “Sabar, Ratu. Tindakan yang terbaik tidak semestinya melalui peperangan semata-mata. Lihat sahaja segala rancangan Ratu sebelum ini, usaha Ratu bagai antan pencungkil duri. Bukan sahaja Ratu hilang banyak tentera malah kehebatan nama Ratu tercalar. Makar perlu dililit, Ratu, agar hasil yang diperoleh, bertimbun emas. Ratu boleh menakluki seluruh alam buana selepas Ratu membunuh raja Puak Berma. Bak kata pepatah, anak baik, menantu molek.” kata gadis itu. Hanya dia sahaja yang berani berbicara sedemikian kepada Ratu Cemangi yang sememangnyaterkenal sebagai seorang yang buta ala.

            Ratu Cemangi hanya membisu mendengar kata orang kanannya itu. Berfikir sejenak dan kemudian ketawa mengilai. Gadis di sebelahnya tersenyum sinis. Parasnya cantik,tetapi dia adalah umpama seekor ular berbisa. Dia adalah Atma!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.